Yunus – Kebun Durian – akhir

(Sangkut sikit kerana nak ingat balik tu susah ambil masa. Mujur ada Encik Yunus yang ingatkan balik. Inilah kesudahannya, tak seram tapi jadi pengajaran, ada yang sanggup korbankan darah daging sendiri kerana kemewahan)….

Kejadian yang berlaku tidak kami ceritakan pada budak-budak lain yang memanjat rambai, rambutan dan langsat. Dengan keluarga pun tidak kami ceritakan. Mahu kena leter seharian kalau diberitahu. Madi, Pak Lah dan Yed demam. Selepas itu, Pak Lah dan Madi tidak lagi mahu mengikut aku dan Yunus mengutip durian selepas itu. Aku bukan anak orang senang, sebenarnya benda ada yang aku hajatkan. Yunus juga begitu, tidak mengharapkan keluarga kalau berhajat sesuatu.

Kerja jadi terhenti kerana mereka bertiga demam berhari-hari. Aku dan Yunus setiap hari menziarahi mereka bertiga selepas balik sekolah. Pada masa itu, kebanjiran pekerja Indonesia mulai ramai, jadi Yed mengupah beberapa orang Indonesia yang bekerja di kelong tidak jauh dari situ. Mereka hanya mengutip durian waktu siang, kerana di kelong, malamnya tenaga mereka lebih diperlukan untuk mengawal kelong dari diceroboh. Berehatlah kami seminggu. Tidak dengar cerita aneh dari pekerja Indonesia. Yunus pernah berkata, dia tidak pernah berjumpa dengan orang Indonesia yang “kosong”. Sedikit sebanyak, mesti ada ilmu yang menjadi amalan mereka.

Aku ingat lagi, hari-hari terakhir kami di kebun durian ialah pertengahan bulan Islam. Bulan terang benderang. Sangka aku, bulan terang akan memudahkan kerja. Salah rupanya, bulan terang, keadaan kebun lebih menyeramkan. Bunyi-bunyi binatang yang tak pernah aku dengar, bergema bila tengah malam. Entah kenapa, aku pun tidak tahu. Seramnya susah aku nak ceritakan. Jika tidak, pokok hanya akan kelihatan bila disuluh. Dengan bulan yang terang, nampak bayangan pokok sejauh mata memandang. Memang menyeramkan kerana kebun itu meninggi mengikut bukit. Yang memanjat manggis, langsat dan rambutan sudah selesai kerja mereka seminggu yang lepas.

Beberapa hari sebelum kami tamatkan kerja, seperti setiap malamnya, kami akan bersolat hajat dan bergilir membaca Quran. Tadi semasa sedang membaca Quran dengan Yed, aku nampak Yunus di dapur menjerang air. Untuk kopi lah tu, apa lagi. Kemudian, Yunus naik ke atas dan menyelongkar beg doraemonnya. Disebabkan tiada gangguan selepas bercuti tu, kami jadi sedikit lalai, dan lupa syaitan itu tidak akan menepati janji mereka. Kemudian, Yunus turun semula ke dapur kerana air sudah menggelegak. Aku asyik membaca Quran, tidak sedar Yunus pergi ke mana. Sedar saja Yunus tiada, aku mendengar bunyi kicauan burung murai batu yang meriah. Bunyi itu dekat dengan pancuran di mana pokok pandan hidup dengan subur dan ada beberapa pokok jambu batu dan serai. Setahu aku, murai takkan berkicau waktu sebegitu. Sangka aku, mungkin Yunuslah tu, mengacau sarangnya. Yed juga kaki burung, jadi dia sudah jadi macam kucing hendak beranak mendengar bunyi kicauan murai.

Aku habiskan bacaan dan keluar untuk menyusun raga buluh. Yed yang sudah hilang tumpuan, segera menghabiskan bacaannya. Kerana buah sudah tidak begitu banyak, kami letakkan buah yang sudah dikutip di atas beranda dan selebihnya dalam kereta sorong (wheelbarrow). Pintu dapur ternganga, mungkin tadi Yunus keluar tidak menutupnya. Itulah aku katakan tadi, kami menjadi sedikit lalai dan selesa. Pintu dapur selalunya ditutup, salah satu sebab ialah untuk mengelakkan binatang seperti ular masuk ke dalam pondok. Aku sangat asyik menyusun raga buluh, dan sebentar memandang ke dalam pondok.

Aku nampak “Yed” sedang menyangkung, tersengih menyeringai memandang aku. Mata “Yed’ terjegil besar. Apa penyakit kau, Yed, kata aku dalam hati. Tidak terlintas apa-apa dalam hati, lantak kaulah Yed. Malas aku hendak melayan, aku susun raga buluh dengan seeloknya. Bila aku pandang semula ke dalam pondok, “Yed” sudah tiada di situ. Sebenarnya, masa itu, aku berangan untuk keluar ke bandar selepas mendapat upah nanti. Itulah sebabnya aku malas melayan “Yed” yang sudah tidak kelihatan dari dalam pondok.

Tiba-tiba aku nampak Yed berlari mendapatkan aku. Pucat mukanya. “Hang ni pasai apa? Hang pi mana tadi?” soal aku pada Yed yang sudah berada di tepi aku. Tercungap-cungap Yed menarik nafas. “Abang Yan mana bang?” tanya Yed. “Hang bukan tak tau dia, Yed. Bab menghilangkan diri memang kepakaran dia. Hang dari mana tadi? Awat hang ketaq?” bertalu-talu soalan aku pada Yed. Pandangan aku masa tu mengadap ke kebun durian, pandangan Yed ke arah dalam pondok.

“Aaaaaaaa…. Hantuuuuuuuu!!! kata Yed menunding jari ke arah dalam pondok. Spontan aku berpaling. Aku tidak nampak apa pun. Tahu-tahu, Yed sudah terjelepok ke tanah. Melihat muka Yed yang sudah tidak sedarkan diri itu, timbul rasa kasihan. Aku beranikan diri memandang sekeliling perut pondok, ke tingkap dan menjenguk ke dapur. Tiada apa pun, kosong. Celaru juga fikiran aku waktu itu. Pesan emak dan Yunus selalu aku ingat – dalam kubur nanti lagi gelap dan menakutkan, apalah sangat gangguan makhluk di atas dunia. Aku angkat Yed yang sudah terbaring dan bawa dia masuk ke pondok. Mujurlah Yed ni budak lagi (tingkatan 3), berbadan kecil dan tidaklah berat mana. Entah dari mana datang keberanian, aku pun tak tahu. Tiada langsung rasa takut atau seram. Walaupun matanya tertutup, jelas nampak Yed ini sebenarnya sengsara.

Aku baringkan Yed di atas tilam. Aku bangun dan tutup pintu beranda. Aku turun ke dapur untuk menutup pintu dapur, terjengul Yunus dengan parang panjangnya. Tiada sengihan seperti biasa dari Yunus. Naluri aku berkata, Yunus tahu apa yang sudah berlaku. “Maafkan aku Ku, aku lalai” kata Yunus meletakkan parang panjang atas para. Yunus naik dan duduk di hujung kepala Yed. Yunus bacakan sesuatu dan meminta aku ambilkan air. Doa dibaca dan direnjis sedikit ke muka Yed, tak lama kemudian Yed mula sedar. Yed bingkas duduk dan memegang tangan Yunus. Pucat mukanya tak surut.

“Abang Yan, jomlah kita balik. Yed takut duduk dalam pondok ni. Jomlah kita balik. Tadi Yed nampak arwah tok duduk mencangkung kat alang. Tadi masa Yed pi belakang nak tengok burung, Yed nampak arwah tok dok berguling kat pokok pandan. Jomlah kita balik bang Yan..” rayu Yed. Dalam kepala aku, kebun langsat kurang menakutkan jika dibandingkan dengan kebun manggis. Lalu saja di kebun manggis, bulu roma aku akan segera meremang, entah kenapa. Tidak pula terjadi di kebun durian, mungkin kerana kawasannya luas.

“Tenang, Yed. Sabaq, istighfar banyak-banyak. Aku minta maaf sebab aku lalai” kata Yunus merenung muka Yed. “Tak pa, aku janji, ni last dia kacau hang. Aku pun dah bercakap ngan tok ngan dan tok ayah aku. Depa tulong aku dari jauh. Hang toksah risau, salah aku tadi, aku lalai” kata Yunus. “Tok ayah aku dah pesan, tak hari, esok dia akan kacau. Aku pikiaq esok, rupanya dia dah tak sabaq. Aku lupa pesan tok ayah aku. Aku minta maaf” kata Yunus tenang. Aku langsung tak faham apa yang Yunus cakapkanm, tapi aku tak nafi kejadian lepas memang menakutkan. Tak sanggup aku nak hadap sekali lagi.

“Hangpa duduk tang situ” perintah Yunus. Kami berdua duduk tanpa banyak tanya. Yunus duduk bertafakur, membaca doa dan beberapa ayat Quran. Panjang juga bacaannya, kemudian Yunus menarik nafas panjang, hembuskan dan tundukkan kepalanya. Yed seperti biasa, duduk dengan dahinya menyentuh atas lutut, menggigil. Aku seperti biasa, tenangkan hati dengan berzikir dan beristighfar sebanyaknya, dan membaca ayat Qursi. Dalam setengah jam juga Yunus duduk begitu, dan akhirnya aku dengar “Terima kasih. Assalamualaikum” kata Yunus sambil menghulur tangan seolah bersalaman. Mungkin korang tak seram, tapi aku yang melihat, segala bulu roma di badan tegak berdiri. Yunus seperti sedang bersalaman dengan sesuatu yang tak terlihat mata. Pertama kali aku lihat Yunus begitu.

Yunus tidak segera bangun, masih bersila menghadap pintu pondok yang tertutup. Kalau dilihat dengan mata kasar, Yunus macam sedang lena, dengan badannya bongkok dan kepala terlewah. Serba salah jadinya. Yed sudah tidak malu, menangis terisak-isak. Aku cuba tenangkan dia dengan mengusap belakangnya. “Sabaq Yed, insya Allah, Yan tahu apa dia buat. Kalau Allah tak izin, apa pun takkan jadi” kataku menenangkan Yed. Suasana jadi sangat sunyi, tiada langsung bunyi cengkerik atau bunyi-bunyi yang selalu kedengaran waktu dinihari begitu.

Kami dikejutkan dengan bunyi seolah bunyi guruh nun di atas bukit. Rasanya, bunyi itu tidak di dalam kawasan kebun kerana bunyinya seolah jauh dan sayup kedengaran. Kemudian, Yed menutup telinganya dan menangis dan menggeleng kepalanya. Aku tidak perasan, Yunus sudah berdiri di depan Yed dan membaca ayat Quran (aku tak dapat teka ayat apa) dan menghembus ubun-ubun Yed. Tak lama kemudian, Yed semakin tenang dan tangisannya juga tidak kedengaran, tapi mukanya masih tersemban di pahanya. “Dah Yed, dia dah tak dak. Sampai kiamat dia dah takkan kacau hang” kata Yunus tenang. “Jomlah kita minum kopi. Lepaih tu kita buat solat sunat. Ucap syukur pada Allah. Tak dak apa yang nak ditakutkan lagi dengan izin Allah” kata Yunus dan kemudian turun ke dapur membancuh kopi.

“Buah dah tak banyak jatuh. Kiat relaks sajalah sampai pagi. Nak tidoq ka, nak baca Quran ka, nak apa ka suka hati hangpa” kata Yunus yang membawa satu jag kopi dan 3 cawan. Aku tuangkan dan letak cawan-cawan di depan mereka. Muka Yed pun dah tak pucat seperti tadi. “Aku minta maaf Yed, lalai sangat aku tadi” kata Yunus sambil menghirup kopi dari piring. Macam orang tua sangat lagaknya. “Tok ngah dah pesan buat awai-awai, tapi aku lupa. Mujoq aku dah bagi tahu depa. Kalau aku sorang, memang tak habih lagi ni. Alhamdulillah, setan yang mengacau dah dihapuskan. Tok ayah nak jumpa hang, Yed” Yunus mulakan bicara.

“Tadi aku pi ataih sana, dia merayu-rayu aku suruh hang ambik juga 2 ekoq tu jaga segala harta, termasuk kebun ni. Aku kata tu bukan urusan aku, dia marah dan mula serang aku. Patutnya sampai sampai saja aku kena taboq (tabor) benda di luaq pagaq ataih, tapi aku lupa. Tu yang dia berani sangat. Masa aku dok bekelai (berkelahi) dengan dia, aku nampak macam pak belang besaq di luaq pagaq. Aku tak tau sapa punya tapi pak belang tu hambat setan tu sampai hujung sana bukit. La ni benda tu dah tak dak dah, hanchoq dah kot. Hang tok sah bimbang la lepaih ni, Yed. Mak hang pun dia takkan kacau lagi. Adik beradik pak hang pun dia takkan kacau dah lagi” kata Yunus panjang lebar. “Hang rasa macam mana la ni, Yed?” tanya Yunus.

Yed cerita, dia paling takut bila tiba waktu malam. Hendak tidur pun takut. Satu ketika dia bongkok, persis orang tua. Bila berubat dengan ustaz, Alhamdulillah, sembuh tapi kasihan emaknya yang kerap diganggu sehingga kurus kering. Tapi, emaknya tidak mengeluh dan serahkan nasibnya kepada Allah. Emak Yed juga selepas solat rajin membaca Quran, dan selalunya akan terdengar suara neneknya menjerit melolong dari dalam bilik. Banyak kesan gigitan pada seluruh badan emaknya. Hanya berkurangan bila berubat dengan seorang ustaz. Paling seksa ialah bila hendak tidur. Kadang-kadang Yed terasa badannya dipeluk dan bila dia terjaga, susup sasap “benda” itu hilang di bawah katil. Yed pernah ternmpak tangan hitam berbulu dengan kuku yang sangat panjang di dalam tandas. Hidupnya tak pernah aman. Selalu diganggu dengan bayangan hitam di mana saja dia berada. Pelajarannya jangan cakaplah. Selalu mendapat nombor tercorot. Sebab itu Yed suka sendirian dan nampak seperti sombong.

Malam itu, kami rasakan aman yang susah hendak diungkap. Yed juga nampak tenang dan tidak takut-takut seperti selalu. Kami solat sunat dan sambung baca Quran sampai ketiganya terlena, hanya dikejutkan oleh Yunus untuk solat subuh. Kami sambung tidur sehingga pukul 9 pagi, bangun pun kerana menjadi habuan nyamuk dan perut yang sudah berkeroncong minta diisi. Ubat nyamuk sudah habis rupanya. Satu rasa tenang yang aneh bila aku memerhati sekeliling kebun, dan bila melalui kebun manggis, tidak lagi terasa seram seperti selalu. Emak Yed masakkan sarapan yang sangat sedap. Esoknya kami dapat gaji. Gaji itulah yang paling berkat dan manis aku rasa sepanjang hidup.

Yed secara tidak langsung masuk geng sewel. Mana kami ada, di situlah dia menempel. Nampak jelas peribadinya yang kelakar dan suka menyanyi, seperti Yunus. Kami berlima ke bandar membeli kasut sekolah dan beg yang sangat aku hajatkan. Kerana upahnya bagus, aku beli sepasang untuk kakakku juga. Geng sewel selepas itu pergi sekolah dengan kasut dan beg yang sedondon. Cuti sekolah, Yunus membawa Yed dan ibunya ke kampung datuknya di Kedah. Aku tidak mengikut kerana tidak mendapat keizinan dari emakku. Yed kemudian belajar di sekolah pondok, dan pernah satu ketika, semasa solat Jumaat di kampung, dialah yang menjadi khatib membaca khutbah. Hampir aku tidak kenal kerana dia sudah gempal. Aku sangat bangga melihat Yed gembira dan menjadi orang yang hebat ilmu agamanya.

Tamat

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

8 thoughts on “Yunus – Kebun Durian – akhir”

  1. Assalamualaikum…kalau boleh nk tau kedah kt mna…sbb ada masalah yg hampir sama jugak…kalau boleh nk minta tolong

    Reply
  2. saya dah baca semua kisah dari tuan…harap akan ada kisah lain lagi yang sudi dikongsi oleh tuan..saya suka baca kisah tuan dengan yunus…teruskan berkarya..semoga berjaya dengan buku tuan.

    Reply
  3. A W E S O M E. best naw cerita ni and semua cerita Yunus. Harap-harap ada lagi na. Tak jemu langsung time baca cerita ni. Semoga berjaya !!!. Nanti kalau dah ada novel habaq na….. kalau ada rezeki boleh la pi beli.

    Reply

Leave a Comment