Yunus – Kisah Tok Embong

Assalamualaikum. Silalah baca kisah yang biasa -biasa saja ini dari Pak Engku. Harap pembaca suka. Novel sedang dalam pembikinan. PKP ini, semuanya terhenti. Printing sangkut sekejap, ada pekerja kilang itu terkena wabak…

Gempar di rumah itu kerana ramai yang melihat dengan mata mereka sendiri. Mereka nampak ada mahkluk bertanduk di atas bumbung, di balik semak-semak di paya dan ada yang nampak makhluk itu di atas pokok nangka yang rimbun merindang. Ada yang terus pulang ke rumah, ramai juga yang masih kekal kerana soal mengkafankan orang m**i bukan perkara enteng yang boleh dibuat mudah.

Aku dan Yunus yang baru sampai, terpinga-pinga tidak tahu hujung pangkal. Si m**i adalah orang yang baik. Bukan hartawan pun, beliau hanya seorang nelayan yang mencari rezeki di laut. Kalau dia tidak ke laut, di bawah pokok itulah dia akan merawan jalanya, supaya elok dan boleh dipakai berkali-kali. Tok Embong bukan sahaja ringan tulang kerana anaknya 5 orang, malah selalu menolak upah orang yang ditolongnya. Panjat kelapa boleh, ke bendang boleh, memugar tanah boleh. Cakap saja, Tok Embong akan pinjamkan kudratnya untuk membantu.

Aku dengar, Tok Embong sakitnya tidak lama. Dia jatuh di pintu dapur sewaktu hendak menghalau kucing bergaduh. Mujur anaknya dua orang tinggal sebelah menyebelah. Khabarnya, ada perselisihan faham dengan salah seorang saudaranya tentang hal tanah di sebelah hutan bakau. Tak sampai dua bulan sakit, Tok Embong pun dipanggil Sang Pencipta ke negeri abadi. Isterinya, Tok Mek, juga telah lama sakit, tidak mampu berjalan. Anak mereka yang sulunglah yang paling mengambil berat. Dia juga tidak berminat hendak berebut tanah atau harta. Tidak boleh dibawa m**i katanya.

Bila kami sampai, kami lihat jenazah dengan wajah yang tenang, ditutup kain batik lepas. Bacaan Yasiin tidak putus-putus dibaca. Aku dan Yunus juga sempat membaca Yasiin bersama dengan jiran tetangga serta anak cucunya. Kemudian, semasa menunggu jenazah dimandikan, kami duduk di bawah pokok nangka. Tok Embong juga rajin dengan tanahnya. Segala macam pokok rempah ditanam dengan Tok Mek di belakang dapur, dekat dengan paya yang tidak pernah surut airnya.

Kerana baiknya hati hamba Allah bernama Tok Embong ini, maka ramailah yang datang di hari kematiannya. Beliau meninggal sebelum subuh. Kata anaknya, sebaik diberitahu tentang kematiannya, jiran tetangga dan handai taulan datang seperti semut menghurung gula. Hebatnya kuasa Allah. Kerana ramainya orang yang datang, barang-barang yang dijamu kepada yang datang harus dibeli beberapa kali. Tok Embong meninggal musim kemarau. Masa itu panas berdenting. Sudah menjadi kebiasaan di sini, sirap dicampur dengan daun pandan. Beberapa kali juga cucu-cucunya dikerah memotong pandan yang tumbuh dengan subur di tepi paya.

Tiada apa yang pelik semasa kematiannya. Kemudian, gemparlah cerita orang nampak makhluk bertanduk itu. Pelik, siang-siang buta, makhluk itu keluar menunjukkan diri. Semasa kami sampai, memang ada kami dengar orang bercerita. Bermacamlah andaian yang keluar. Manusia, begitulah, tidak tahu cerita sebenar, sedap mulut bercakap. Yunus tidak endahkan. Dia lebih banyak berdoa. Kami datang tergesa-gesa. Kopiah pun tidak dipakainya. Dia sempat membawa buku Yassin lusuhnya itu. Sayang benar dia dengan surah Yasiin itu, pemberian gurunya.

Kemudian, terdengar anak ke empat Tok Embong memanggil-manggil anak cucunya. Daun pandan habis. Yang lelaki, aku tahu mereka sudah ke tanah perkuburan. Yunus yang mendengar, menawarkan diri. Parang dihulur dan dia menarik aku untuk pergi ke paya sebelah semak samun meliar. Tidak mahu kaki basah katanya, air paya itu kotor dan busuk. Kami pun berjalan ke arah belakang rumah anak-anak Tok Embung. Pokok bunga kantan Tok Embong subur di situ. Cantik pula kelihatannya. Kemudian, nampaklah rimbun pandan tumbuh meliar sehingga ke dalam hutan, yang aku dengar tiada siapa yang berani masuk, waima mereka yang berani sekali pun, kecuali Tok Embong.

Tidaklah jauh kami berjalan, tapi melepasi beberapa buah rumah juga. Baru hendak sampai melepasi sebuah rumah kosong, Yunus berhenti. Aku terkejut juga. Yunus pegun dan pandang ke depan, di bawah naungan pokok-pokok di hutan. Walau berdekatan dengan rumah orang, hutan itu aku lihat gelap dan suram. Yunus menundukkan kepalanya, menarik nafas dan berkata “Aku mai bukan nak cari pasai. Aku mai nak k***t pandan. Pandan ini hak Allah, aku ambik sikit saja”. Yunus kemudian mengangkat kepalanya, membaca bismillah dan melangkah ke depan. Di situ, semak samun bermaharajalela. Pokok-pokok pisang menyembunyikan pandangan kami dari rumah Tok Embong dan anak-anaknya.

Kami sampai di pinggir paya di mana semak samun tidaklah begitu tebal. Baru Yunus hendak mencangkung untuk memotong pangkal pandan, bergoyang-goyang pokok pandan yang di bawah lembayung pokok-pokok hutan. Yunus tidak endahkan. Aku pula telah siap membuka mulut guni gula untuk mengisi daun pandan. Baru 3 pangkal pandan masuk ke guni, air paya itu berkocak. Mula-mula kocakannya biasa, tetapi ia menjadi ganas seperti ikan sedang diberi makan. Berkocak-kocak hanya di satu tempat di mana pokok kesum hidup. Masih Yunus tidak endahkan, memotong pangkal pandan dengan selamba. Aku pula sudah rasa gerun. Kocakan air itu terlihat aneh.

“Ishhh.. hang tak reti bahasa noohh. Aku dah cakap elok-elok, aku mai nak ambil daun pandan” kata Yunus sambil tangkas tangannya memotong pangkal pandan. Tidak cukup dengan air berkocak, kami dengar suara orang batuk di dalam hutan itu. Batuk amaran, lebih kepada berdehem. “Rasa cukup dak, Ku?” tanya Yunus, bangun dan melihat ke dalam guni. “Ishh sikit sangat ni” kata Yunus, tersenyum sinis. Ah..dia buat dah.. Aku tahu makna senyuman sinis itu. Yunus sudah naik angin. Yunus ingin “bermain”.

“Dok belakang aku, Ku. Dia dok baling benda yang hang tak boleh nampak. Kalau terkena, mau sakit kulit. Tak dak ubat ni” kata Yunus. Cepat-cepat aku menyorok belakang Yunus. Yunus membaca beberapa p****g ayat Quran. Aku dengar macam ayat terakhir ayatul Qursi. Yunus hentakkan kakinya ke tanah, dan, aku dengar sesuatu yang besar jatuh dalam air nun di depan. Bunyinya macam sesuatu yang besar jatuh ke dalam paya di depan. “Ku, hang dok sana, kat rumah tu” kata Yunus yang sudah mula menguatkan kuda-kuda silatnya. Langkah silat dibuka, mantera dibaca bersulam ayat Al Quran.

Di dalam suram bawah lembayung pokok-pokok, aku nampak sepasang mata merah, makin lama makin besar. Air terdengar bagai diranduk, bergoyang pokok pandan yang banyak itu. Segera telinga aku berdesing. Walau takut, aku sangat ingin melihat makhluk yang cuba menghalang kami dari mengambil pandan. Yunus masih lagi bersilat. Aku pandang sekeliling, kalau-kalau ada orang yang melintas. Bagus juga kalau ada teman, boleh diceritakan benda yang sahih. Tiada seorang pun yang lalu. Aku terdengar bunyi motorsikal lalu. Kami agak terlindung di balik rumah kosong dan pokok-pokok hiasan ditanam orang.

Dan, makhluk itu menunjukkan dirinya. Tingginya dua kali dari ketinggian aku. Tanduk dan telinganya runcing seperti kambing. Tidak jelas seperti bayang lutsinar, tapi aku tahu apa yang aku nampak. Warnanya hitam, berbulu lebat dan mulutnya luas menyeringai. Aku larikan pandangan kerana wajahnya menyeramkan, seperti terbakar. Matanya sangat besar, memandang kami dengan pandangan marah. Tadi aku dengar hup hap hup hap Yunus bersilat. Sekarang, Yunus dan dia saling berpandangan. Kemudian, makhluk itu lenyap. Yunus masih berdiri di tempatnya, dan kemudian menamatkan silatnya dengan duduk seperti seorang pahlawan.

Yunus pandang belakang, mencari aku yang menyorok di belakang dapur rumah kosong itu. “Ku, jom tetak pandan, mesti depa tunggu. Dia tak kacau buat masa ni” kata Yunus. Segera dia menetak beberapa rimbun pokok pandan yang dekat dengan tebing. Memang air paya itu berbau busuk, dan nyamuk memang banyak. Aku masih berdebar. Yunus faham perasaan aku dan berkata “Dia tak kacau lagi selagi aku ada sini. Tapi niat dia memang tak baik. Dia hanya ikut cakap tuan dia” kata Yunus yang tangkas menetak pangkal pandan. Penuh juga guni gula dengan rimbunan pandan. Habis, Yunus mengajak aku ke rumah anak Tok Embong.”Jangan buka mulut lagi na, Ku. Kesian kat mayat” kata Yunus. Aku mengangguk faham.

Kami serahkan guni berisi rimbunan pandan (bukan daun lagi) dan minta maaf sebab sedikit lama. “Tak pa, bagoih banyak, tak payah ulang pi ambik” kata wanita yang mengambil guni daripada tangan Yunus. Ustaz yang bertugas memandikan jenazah pun sampai. Kami tidak melihat, dan Yunus menolak biskut tawar dan air kopi yang disua kepada kami. Memang ramai yang hadir, dan penat juga tangan bersalam. Siapa Tok Embong ini? Ramai sungguh yang datang. Jenazah akan dikebumikan jam 11.30 pagi, sebelum hari menjadi sangat terik.

Selesai, jenazah akan di bawa ke masjid untuk disembahyangkan. Rumah Tok Embong berhadapan sawah padi “liat”, di mana padi yang ditanam tidak menjadi. Di permatang dan jalan besar, berduyun orang mengikut jenazah yang dibawa dengan van ke masjid. Aku agak hairan, kali ini, Yunus mengajak aku pulang. Selalunya, jika kami hadir jika ada kematian, Yunus akan ikut dan turut turun ke liang lahad menyambut jenazah. Kali ini, lain benar. Dia mengajak aku balik. Aku mengikut sahaja. Tentu ada sebab yang kuat kenapa Yunus mengajak aku pulang.

Sampai di kampung kami yang jaraknya cuma 3 kilometer dari rumah Tok Embong, Yunus terus balik ke rumah tok ngah. Aku tidak berhasrat mengikut Yunus. Aku tadi sedang mencangkul ubi keledek bila kami dikhabarkan ada jenazah. Jadi, aku sambung kerja aku yang terbengkalai. Aku meneruskan kerja, berhenti untuk makan tengahari dan solat, dan kembali menyambung kerja menggali keledek. Pucuknya juga aku petik untuk dijadikan sayur. Hampir jam 3 petang, Yunus datang ke belakang rumah aku tersengih-sengih seperti selalu. Dia baru balik dari “bermain” di rumah Tok Embong. Sengaja dia tidak mengajak aku, kerana dia tahu aku tidak mahu pun terlibat.

Kata Yunus, ada pertelingkahan tentang harta dari ibu bapa Tok Embong. Ada pihak yang tidak puas hati, dan orang itu tinggal tidak jauh dari rumah Tok Embong. Ada kaitan saudara. Dia sanggup menghantar iblis untuk memburukkan nama Tok Embong, supaya orang kampung nampak Tok Embong itu jahat. Orang akan menuduh Tok Embong membela, sebab itulah makhluk itu muncul menakutkan orang di atas bumbung dan pokok nangka di hari kematian Tok Embong. Iblis yang mengganggu itu, memang tinggalnya di hutan itu. Tanah hutan itu ialah tanah tuannya. Tok Embong yang berani, kadang-kala masuk ke hutan itu mencari rebung dan keladi.

Hutan itu berada di tepi kampung, bersempadan dengan sawah padi. Saudara Tok Embong itu sudah lama meminta tanah di tepi bakau itu, tapi Tok Embong enggan berikan. Biarlah jadi milik anak cucunya. Aku selalu lalu berhampiran hutan itu sebagai jalan pintas untuk ke rumah nenek aku, yang kebetulan tidak jauh dari rumah Tok Embong. Walau di terik matahari, hutan itu suram dan gelap, tanda ia dihuni makhluk halus. Cerita tentang mahkluk bertanduk itu bukan baru, tapi itulah pertama kali ramai orang melihatnya.

Aku tanya, Yunus “bermain” apa dengan makhluk bertanduk itu. Kata Yunus, dia hanya memasung makhluk itu di sebatang pokok pinang kerana tadi, makhluk itu mencabarnya. Selagi buah pinang itu tidak bertukar menjadi emas atau perak, selagi itulah dia terpasung di situ. Tiada niat Yunus untuk melawan, tapi makhluk itu meludah Yunus. Mujur tidak terkena. Itu yang membuatkan Yunus berang, dan kembali ke situ setelah dia mengambil beg doraemonnya. Makhluk itu marah, tidak sangka orang seperti Yunus seperti padi, diam berisi. Beradu kekuatan mereka di dalam hutan. “Hang masuk hutan tu, Yan? Aku mampoih tak berani” kataku. Yunus hanya ketawa. Katanya, makhluk itu memang menakutkan, tapi tidak terlalu tinggi ilmunya, menyembah minta ampun dengan Yunus selepas kalah bertarung.

Syaitan itu juga tamak, tinggal berseorangan di hutan itu. Memang dia tidak mengganggu, hanya kadang-kadang orang kampung akan nampak kelibatnya di pinggir hutan jagaannya itu. Selepas beberapa lama kematian Tok Embong, saudaranya itu yang jauh lebih muda, mula sakit, hingga kurus kering. Melalak-lalak dia meracau minta ampun dengan Tok Embong yang telah lama pergi. Menjadi seperti isim, dan selalu menjerit ada hantu bertanduk sedang memerhatikannya. Allah bayar tunai sekarang, pernah Yunus berkata. Itulah pengajarannya. Harta dunia tidak boleh dibawa m**i. Tidak guna haloba. Semua akan ditinggalkan.

Sampai sekarang, hutan di tepi kampung itu masih ada. Dan aku tetap akan lalu di tepi hutan itu untuk ke rumah nenekku. Hutannya tetap seperti dulu, dan masih lagi orang tidak berani masuk ke dalamnya, termasuk aku.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 36 Average: 4.9]

8 thoughts on “Yunus – Kisah Tok Embong”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.