2037 – Rumah di Dalam Rumah

Mimpi… perkara biasa, kan? Aku berani jamin, semua orang yang pernah hidup atas bumi ini, pernah bermimpi. Ya, mungkin seperti diri kita juga, pengaruh mimpi dalam hidup kita semakin lama semakin lemah. Mungkin korang faham maksud aku. Tak ada lagi kan mimpi-mimpi yang mampu mengubah persepsi hidup korang sejak dewasa ni? Tak macam minda kanak-kanak yang lebih mudah dipengaruhi, minda orang dewasa lebih matang. Mereka (orang dewasa) tahu, mimpi tidak mengubah realiti. Ia sekadar… mainan tidur. Tidak lebih.

Tetapi,

Pernah tak, pada suatu malam biasa, dalam kehidupan kau yang biasa, ketika kau tidur di dalam rumah yang biasa, kau terjaga dari sebuah mimpi. Dan kau dapati, mimpi kau tadi lebih ‘sebenar’ perasaannya berbanding realiti. Ya, tidak semestinya mimpi ngeri. Mungkin mimpi tentang waktu kecil kau. Mungkin juga tentang teman-teman sepejabat. Atau mungkin… tentang sebuah rumah lain yang berada di dalam rumah kau; itulah mimpi yang membuatkan aku terjaga tadi.

Dalam keadaan yang langsung tidak mamai, aku menjeling ke arah jam loceng. Dua jam lagi sebelum matahari terbit. Aku letakkan sebelah tangan di atas dada. Jantungku berdegup dengan kadar biasa. Tidak cemas. Jauh sekali takut. Habis, perasaan apa yang sedang aku rasakan sekarang ni? Aku jeling ke arah pintu bilik.

“Ah, takkan kau percaya dengan mimpi?” Suara lubuk hatiku mengejek sendiri. Tanganku masih di dada. Jantungku berdegup sedikit kencang. Ya, ini bukan perasaan takut. Ini perasaan ingin tahu!

Berkira-kira, aku bangkit menjejak lantai. Suasana di dalam apartment berbilik satu ini terasa luar biasa sunyinya. Perlahan-lahan aku menghampiri pintu bilik. Dengan satu pulasan pada tombol, aku menarik deras daun pintu, mendedahkan ruang tamu yang perabotnya cuma sebiji sofa lusuh berwarna biru tua (yang tampak kehitaman di dalam ruang gelap itu). Tiada rumah lain.

Aku tolak daun pintu. Sedikit keliru samada aku berasa lega atau kecewa. Kecewa? Sambil bersandar pada kepala katil, aku cuba ingati semula mimpiku tadi.

Dalam keadaan mamai, aku terjaga, dikejutkan oleh satu suara dari arah ruang tamu. Aku berjalan ke arah pintu. Daun pintu aku buka beberapa inci. Tidak berani meninjau, aku dekatkan telingaku pada bukaan pintu. Ya, kedengaran jelas suara bergetar seorang perempuan tua sedang mengomel;

“Salah, salah. Aku tak fahamlah! Tak faham! Masuk dalam semula,” arah suara itu.

Masuk dalam? Masuk dalam mana? Tertanya-tanya, aku jengukkan kepala sedikit. Apa yang menangkap mataku membuatkan aku ternganga. Sebuah rumah kayu kecil beratap nipah berdiri tegak betul-betul di tengah ruang tamu! Di belakang binaan kayu itu aku melihat kibaran jubah hitam seseorang yang sedang mundar-mandir.

Cahaya berbalam-balam dari balik pintu logsor kaca rumahku melimpahkan seluruh cahaya ke atas rumah itu, membuatkan pintu bilikku (terletak bertentangan dengan pintu longsor tadi) gelap. Aku tertanya-tanya, kenapa langsung tiada perasaan takut terbit di dalam hatiku. Malah, tanpa teragak-agak, aku melangkah keluar dari bilik, menyusuri setiap sudut binaan kecil itu, mencari-cari kibaran jubah hitam tadi. Tiada. Kelihatannya, perempuan tua itu sudah kembali ke dalam ‘rumah kayu’nya.

Kini aku berdiri di hadapan sudut di mana terletaknya pintu rumah kecil itu. Pada daun pintu papannya, tergantung beberapa batang ranting pendek yang diikat dengan seutas tali berwarna hitam. Kelihatan seperti tombol pintu yang dihias terlalu sarat. Aku menghulur tangan, kemudian pantas menarik semula. Aku amati suasana, langsung tidak kedengaran sebarang bunyi dari dalam rumah itu. Aku memanjangkan leher, memeriksa semula setiap sudut. Tiada tingkap yang kelihatan. Satu-satu caranya untuk aku tahu apa di dalam, adalah melalui pintu hadapannya.

Sedang aku berkira-kira di hadapan pintu kecil itu, tiba-tiba kedengaran bunyi deruan angin entah dari mana. Aku menjeling ke luar balkoni. Pokok pokok berdiri kaku. Namun bunyi deruan angin tadi masih ada. Dengan hirupan nafas yang dalam, aku amati betul-betul bunyi tadi. Mataku dipejamkan. Ada sesuatu tentang bunyi ini yang membuatkan hatiku berasa tenang. Deruan yang tidak begitu liar, namun tidak pula terlalu lemah sehingga boleh diabaikan. Ia seperti membisikkan kata-kata semangat buatku. Seakan-akan memanggilku masuk ke dalam ruang baharu. Meninggalkan hidup sedihku di dalam ruang sempit di tengah kota metropolitan Kuala Lumpur. Mataku terbuka luas. Bunyi itu datang dari dalam rumah ini. Dan seperti juga bentuk legap binaan kecil itu, bunyi itu beransur-ansur hilang. Aku akan ketinggalan! Ketinggalan?

Tanganku pantas mengetuk pintu kayu yang kelihatan semakin lutsinar itu. “Tok, tok, tok!” Bunyi deruan angin tadi hilang serta-merta. Bentuk rumah kayu tadi pula semakin melegap perlahan-lahan, sehingga ia kembali seperti sediakala. Senyap. Tanganku terketar-ketar, bersedia untuk mengetuk sekali lagi. Sebelum sempat buku jariku menyentuh daun pintu itu, kedengaran bunyi berdetap-detup dari balik pintu. Seakan-akan seseorang sedang membuka selak pintu. Sesaat kemudian, daun pintu terkuak perlahan, menyinarkam sebaris cahaya kuning (dari dalam rumah kecil itu) menegak ke dinding belakang tubuhku. Sedang berdiri di muka pintu, seorang wanita tua berbadan gempal dengan wajah keibuan yang menyelesakan. Mungkin kerana senyuman lebar yang terukir pada wajah bulatnya. Lengan jubah hitamnya diselak tidak kemas. Dengan riak senang hati, wanita itu mencekak pinggangnya yang lebar. Aku tergamam.

“Nak masuk?” Tanya wanita tua itu, masih tersenyum.

“Masuk? Masuk mana?”

Dengan riak malas, wanita tua itu menjeling ke belakang bahunya, ke ruang dalam rumah kecil itu, kemudian ke arahku semula.

“Ke-kenapa saya kena masuk?”

Wanita tua itu berdekeh pendek, “aku tak cakap kau ‘kena’ masuk, tapi kau boleh masuk kalau kau nak, Jimmy kecil,” katanya mesra. Aku mengangguk faham, kemudian memandang wanita tua itu semula.

“Jimmy kecil?”

“Ya, kau akan sentiasa jadi Jimmy kecil aku,” perempuan tua itu mengangguk-angguk. Matanya kelihatan mesra memandangku.

“Ma-mana nenek tahu nama saya Jim-Jimmy?”

Wanita tua itu mengeluh perlahan. Dia termenung sejenak, kemudian menunduk. Sambil menggeleng dia mengomelkan sesuatu tentang keberterusan masa dan penanda yang salah; membuatkan dahiku semakin berkerut.

Sejenak kemudian, wanita tua itu mengangkat kepalanya, memandangku semula. Soalan yang ingin aku ulang tadi aku telan semula sebaik terlihat riak wajahnya. Wajahnya tidak semesra tadi. Seakan-akan seorang wanita tua yang baharu sedang menggantikan tempatnya, dan aku hanya seorang pejalan kaki yang kebetulan lalu di hadapan rumahnya.

“Tak apalah, Jimmy. Aku salah masa,” kata wanita tua itu selamba. “Sekarang, kau masuk tidur semula. Ini mimpi saja. Sekejap lagi kau akan terjaga macam biasa… dan… buat apa yang seorang Jimmy dewasa akan buat. Pergi kerja, atau berkahwin, atau jaga anak,” sambil mengomel beberapa perkara rawak, wanita tua itu memusingkan badannya sambil menarik daun pintu tadi. Aku pantas menahan pintu itu dari tertutup rapat. Wanita tua tadi memandangkan dengan kening yang terangkat.

“Siapa kau? Apa kau buat dalam rumah aku?!” Tiba-tiba aku rasa hak diriku tercabar. “Kau dah datang rumah aku, panggil aku dengan nama panggilan aku semasa kecil, kemudian nak pergi macam tu saja? Sekurang-kurangnya berikan aku penjelasan!” Jerkahku garang. “Siapa kau?!”

Wanita tua itu sekadar tersenyum mesra. Sama seperti tadi, tidak kelihatan tercabar. “Kau takkan faham, sayang. Tidurlah. Aku janji takkan kacau kau lagi.”

Geram, tanganku pantas mencengkam lengan jubah wanita itu. Sebaik sahaja kulitku tersentuh fabrik jubahnya, aku merasakan satu perasaan suam yang terbit jauh dari dalam hati sanubariku. Entah kenapa aku terasa luar biasa selamatnya. Segala beban masalah yang memakan jiwa dewasaku bagaikan lenyap serta-merta. Wanita tua itu mengangguk perlahan memandangku, “rasa terlindung, kan? Sayangnya, kau tak ingat apa-apa,” keluhnya. “Tak apalah, satu masa nanti, kita akan jumpa lagi.”

Terasa segan, aku lepaskan genggamanku dari jubahnya. “Ju-jumpa lagi? Bila?” Soalku hairan (yang peliknya, aku separuh berharap agar wanita itu akan datang lagi bertemu denganku).

“Tu,” wanita tua itu menuding ke arah satu contengan kecil pada dinding di atas pintu longsor rumahku. Aku mengecilkan mataku, mengamati.

“Tulisan nombor 2037 tu?” Soalku. Memang itulah nombor yang terpapar pada dinding itu. Walaupun tiada cahaya yang menyinari bahagia contengan itu, namun aku sudah cukup hafal empat digit angka yang tertera dalam tulisan merah itu. “Tulisan tu memang ada dekat situ sejak ibu dan ayah aku ada dulu. Sejak… sejak aku kecil. Kenapa?”

Wanita tua itu mengekeh geli hati memandangku, “ya, aku tahu. Itu tahun, sayang.”

“Tahun? Tahun apa? Sekarang tahun 2017!”

“Ya, ya,” wanita tua itu melayangkan sebelah tangannya, seakan-akan menghalau lalat, “aku tahu salah aku. Dua puluh tahun lebih awal dari yang sepatutnya.”

“Dua puluh tahun lebih awal?” Kali ini aku pula mencekak pinggangku. Kepala aku terasa berat semula. Tidak setenang ketika tanganku menggenggam jubah wanita tua itu tadi.

“Ya,” jawab wanita tua itu. Dia memandang ke arah kiri dan kanannya, kemudian mendekatkan wajahnya ke arahku, seperti ingin membisikkan sesuatu, “Kau ada boot nelayan tak, Jimmy?”

“Boot nelayan?! Kenapa pulak dengan boot nelayan. Mana ada?”

“Ah, tak apalah,” wanita tua itu lantas mengibas-ngibas jubahnya, lalu mengangkat sedikit bahagian bawah jubahnya itu. Seakan-akan bersedia untuk mencecahkan kakinya ke dalam tasik. Kemudian, jubahnya dirapikan semula, “bolehlah ni. Aku pergi saja. Banyak sangat singgah pun tak elok juga,” katanya selamba sambil menarik rapat daun pintu tadi. Aku tercengang. Seakan-akan kehadiran aku dilupakan oleh wanita tua itu. Sejenak kemudian, pintu rumah kecil tadi terbuka semula, mendedahkan wajah bulat wanita itu yang sedang tersenyum penuh semangat.

“Beli banyak-banyak boot nelayan, ya Jimmy kecil! Oh, dan juga… kalau boleh, beli bot jugak! Kau akan perlukannya nanti,” kata wanita tua itu jelas dari sebalik bunyi deruan angin yang mula kedengaran semula.

“Bot?! Bila masanya pulak aku perlukan bot?!”

Wanita tua itu menuding ke arah tulisan pada dinding di atas pintu longsor tadi, “dua puluh tahun dari sekarang, Jimmy sayang.”

Lalu dengan lirikan senyuman terakhirnya, dia menutup rapat pintu kayu rumah kecil itu. Meninggalkan aku terpinga-pinga. Perlahan-lahan bentuk legap rumah itu beransur-ansur hilang, ditemani oleh bunyi deruan angin yang menenangkan. Mataku terpejam rapat, melayani deruan itu. Sebaik sahaja detik pada jam loceng di meja sisi katilkan menunjukkan angka empat pagi, aku terjaga.

Aku pulas tombol pintu selaju mungkin. Dengan hati penuh harapan, aku amati keadaan di luar bilik. Gelap, seperti biasa. Tidak kelihatan rumah kecil tadi di tengah ruang tamuku. Aku petik suis lampu. Hatiku berasa sedikit kecewa. Buat beberapa saat, aku sekadar berdiri bodoh di tengah-tengah ruang hapak apartment bujang itu. Perlahan-lahan mataku melirik ke arah setiap bentuk yang berada dalam ruang itu, sehingga mataku akhirnya tertancap pada coretan merah di atas pintu longsor itu. 2037. Aku berpeluk tubuh, memerhati digit-digit itu. Cuba untuk mengangati semula, sejak bila tulisan itu berada di situ.

Ya, memang sejak aku kecil, fikirku. Mungkin juga ukuran sentimeter pintu longsor itu yang kontraktor lupa untuk padamkan berpuluh tahun dahulu. Ia sekadar mimpi. Tidak lebih dari itu. Aku perlu rehatkan minda. Sambil menggeleng, aku melangkah semula ke arah pintu bilikku. Sedia untuk melelapkan mata buat beberapa minit sebelum bersiap untuk ke tempat kerja.

Dalam keadaan separuh berjaga, mindaku bercelaru memikiran deadline yang harus aku kejar. Kertas-kertas kerja yang masih bertimbun di atas para ‘masuk’ di dalam pejabatku terasa seakan menghantui hidupku. Aku mengeluh lemah.

Kalaulah buat seketika, dapat aku dengar semula bunyi deruan angin tadi, mungkin ia dapat menenangkan sedikit mindaku. Entah kenapa bunyi itu mengingatkan aku kepada zaman kanak-kanakku dahulu. Zaman kanak-kanak yang aku luangkan di dalam ruang sempit apartment ini. Sesungguhnya, aku rindukan ibu dan ayahku. Apartment inilah satu-satunya harta peninggalan mereka. Aku dilahirkan di dalam ruang ini. Biarpun ibu dan ayah sudah tiada, aku akan terus menjaga ruang kecil ini sampai bila-bila. Itu janji aku sejak aku kehilangan ibu dan ayah dalam kemalangan lima tahun dahulu. Amanah buatku.

“Ahh!” Aku bangkit bangun dari katil. Mataku terasa segar. Mungkin aku patut mandi sahaja, fikirku.

Sedang aku melangkah keluar dari bilik untuk menuju ke bilik air, langkahku terhenti seketika di hadapan ruang kosong yang dahulunya menjadi ruang permainanku. Dahulunya ruang ini sarat dengan kotak-kotak mainan dan buku-buku mewarna. Kini yang ada dalam ruang itu hanyalah timbunan surat khabar lama yang masih aku langgan, biarpun kali terakhir aku membaca surat khabar adalah awal tahun dahulu.

“Mungkin aku patut hentikan langganan surat khabar ni,” aku mengomel sambil sendirian sambil merapi-rapikan timbunan surat khabar lama tadi. Entah bagaimana, sikuku tertolak timbunan itu sehingga separuh daripadanya terjatuh bersepah di atas lantai, mendedahkan contengan-contengan pensel warna pada dinding di belakang timbunan itu.

“Contenganku sewaktu kecil dahulu,” aku tersenyum. Kalaulah masa dapat diundurkan, fikirku dalam hati.

Kemudian, sebelum sempat aku menyambung langkahku ke bilik air, mataku menangkap sesuatu di dalam contengan itu. Lakaran kasar sebuah rumah kecil (dengan pensel berwarna coklat) yang di hadapannya berdiri imej lakaran seorang wanita berjubah hitam yang sedang tersenyum. Pada daun pintu rumah itu terdapat lakaran juraian tali hitam dengan ranting-ranting pendek pada setiap hujungnya. Aku meniliti lukisan-lukisan lain pada dinding itu. Aku ingat semuanya. Hasil kerja tanganku. Tetapi kenapa aku tak ingat tentang yang ini?

“Nampaknya aku pernah mimpikan perempuan tua tu dulu,” aku menghenjut bahu, “mungkin aku lupa,” kataku sambil menghayun semula langkah ke bilik air.

Bersambung…

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

104 thoughts on “2037 – Rumah di Dalam Rumah”

      • Aku prepare utk ko punye long final chapter nti bro..mana tahu nti boleh catat masa terpantas..

        Padahal baca tajuk dgn bersambung je..trus malas nak baca lagi..haha drop comment dulu..sila baca komen aku tadi balik dgn nada frust and a pinch of sarcasm..haha

        Reply
        • Hahaha nanti aku buat contest siapa yang terpantas aku kasi hadiah. Kau Dah boleh prepare dari sekarang lah ni hahaha. Kau tak baca cerita ni sampai habis ke? Aku selalu baca komen dulu baru baca. Bacalah weh aku nak tahu cerita dia macam mana takpun kau cerita dekat aku haha

          Reply
          • Aku baca habis lah tu dari tajuk sampai yg tulis bersambung..cuma yg tgh je aku tak baca lagi..aku pun nak tgok respon readers yg lain dulu baru baca..haha

  1. fiksyen ke cerita betul ni?
    aku nak tau ape motif nenek tu nk dtg balik lg 20 tahun..
    setori best jgk la tp perasaan aku rasa mcm tergantung bile baca cite ni..hahaha
    mungkin lepas abes baca next chapter aku blh rate setori ni..

    arini cikbambam xmo rate..heuheu

    Reply
  2. 1st comment !!

    Penulisan yang baik membuatkan pembaca seperti saya agak berpuas hati.. Dengan ini saya bagi 8/10
    Kipidap writer.

    Reply
  3. Macam2 bnda bermain kat fikiran aku ni…
    Ni cerita fiksyen ke cerita betul?
    Apa kena mgena bot nelayan ngan tahun 2037?
    (Byk lagi persoalan sebenarnya tp malas nak taip)

    Cerita ni mengingatkan aku cerita 7pintu…
    Imaginasi tinggi…
    (Mgkin sbb dari segi penulisan dia kot yg nampak mcm tu)

    Reply
  4. tau tak cerita oculus pasal cermin tu? cite tu main gn imaginasi fantasi bagai.. cermin tu jahat buat org jadi mcm halusinasi.. and kak mami rasa ada pressure kat kepala bila tengok movie tu.. mcm tu la bila kak mami baca cerita kau.. bepusing2 pale kak mami.. tapi best kak mami suka..

    Reply
  5. Alaaa tengah best baca tetiba ade perkataan ‘bersambung’.. Cepat2 sambung ye..

    Btw, penceritaan yg bagus.. Kemas dan teratur.. Buat org tertanya2 dan nk tau smbungannya.. Kipidap writer.. ??

    #same mcm cikbambam xnak bagi rate dulu.. tunggu full story dulu baru rate..

    Reply
  6. makaiiii… komen lg pnjg dr cerita lak ha… hahaha…
    apapun, cite ni best.. silalah sambung sepantas yang mungkin ye.. 😀

    Reply
  7. Cerita betul ke ?

    Best mimpi kau. Aku asyik dapat mimpi kena kejar je, penat weh. Bangun2 terus mengah, tak guna betul.

    Cepat ah sambung, aku pun nak beli bot jugak tahun 2037 kalau berguna. Hahaha

    Reply
  8. Kalau bukan fiksyen, samada yang satu itu atau comfort zone. Mimpi selalunya menjadi medium kecelaruan diri mencari comfort zone kita sendiri dari minda separa/bawah sedar. Tapi jgn diabai pesanan pasal bot.

    Penulisan yang kemas. Sy suka. Mohon sambung cepat.

    Reply
  9. TAHUN 2037??? 20 tahun akan datang?? Umur aku dah 40++ wei ! Entah berapa orang dah anak aku nanti yee. hahahahahahahahahha.

    Sambung cepat yeeee! hehe

    Reply
  10. Cerita dia sangat menarik.Jalan cerita jelas satu persatu dan setiap ayat sangat bagus. Kalau jadi penulis ni mesti laku cerita.Tak sabar nak tau sambungannya

    Reply

Leave a Comment