#ESTODANIA: Perang Duyung

SELAMAT DATANG LAGI KE ESTODANIA. Kota manusia dan jin hidup bersama. Kisah Estodania, saya muatkan beberapa kisah yang ada dalam Al-Quran, sedikit Israiliyat, sedikit juga daripada kisah dongeng dan mitos rakyat. Sedikit lagi daripada kisah sejarah yang ada. Kadang-kadang, sumber saya akan kongsi di ruangan page saya. Fakta mungkin sedikit tersasar. Kalau ada pembaca yang perasan kesilapan saya lakukan, jangan segan-segan tegur di ruang komen. After all, Estodania ini sekadar fiksyen acah-acah epik, acah-acah thriller.

Bahagian 7. Selepas lama meninggalkan kisah Ayyan, bahagian ini saya fokuskan kepada kisah Ayyan. Selepas ini, kelak kita selongkar bersama pengembaraan Ayyan dan rakan-rakannya yang lain. Terima kasih sudi baca kisah fiksyen saya ini. Haha. Jom sambung melancong.

.

ESTODANIA (BAHAGIAN 7) : PERANG DUYUNG

.

Awal Januari 2018, Esramudra.

.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakan daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.”

Terkesima Ayyan membaca Surah Al-Araff, ayat 179 itu. Pembacaan yang hanya dilakukan melalui kotak minda itu cepat menyentuh hatinya. Bertapalah khilafnya dia menjadi manusia yang lalai tanpa dia sedari. Dia hanya menggunakan telinga untuk mendengar ayat-ayat suci Al-Quran yang saban waktu dipasangkan oleh almarhum Imam Syahriyan dahulu. Gigih mendengar tanpa memahami bait-bait yang diujarkan oleh Al-Quran itu. Dia malas menggunakan matanya untuk melihat Al-Quran yang telah dijilidkan ke dalam tablet elektronik Estodania. Matanya hanya diarah memandang Al-Quran saat dia ingin turun ke laut bersama Faris. Itupun dengan paksa hati bagi mendapatkan keizinan datuknya. Hatinya lebih diabdikan kepada keseronokan duniawi semata-mata. Lalai dalam meniti hidup. Sangkanya, dia sudah cukup ad-din kurang menggunakan teknologi Estodania mencari ikan di laut dahulu. Kononnya ingin menikmati bagaimana nikmatnya menjadi nelayan lama tanpa bantuan mesin-mesin canggih. Hanya sampannya sahaja yang terlihat moden sedikit. Namun, keperluan ibadahnya masih penuh kebergantungan dengan modenisme semata. Atas alasan, Islam itu tidak menyulitkan, bahkan memudahkan. Justeru, bacaan Quran hanya diputarkan tanpa bacaan. Tanpa pemahaman.

Ayyan memandang kejap tablet Quran Estodania di tangan kanannya. Duduknya berteleku di pusat Masjid Esramudra. Sebentar tadi dia ditemani Delustar menyelongkar bilik penyimpanan tablet-tablet ini di tingkat bawah Masjid. Tablet-tablet berwarna hijau tersusun rapi dalam bilik penyimpanan itu. Tanpa mengedipkan sedikit cahaya dan paparan bait-bait suci Al-Quran. Perlahan-lahan menitik air mata Ayyan lalu terjatuh ke atas tablet itu. Sakit terasa ulu hati apabila dia terlupa dengan ayat-ayat Al-Quran yang sepatutnya dihafaznya dahulu. Ketika Estodania masih gah, dia hanya perlu memainkan semula putaran bacaan ayat yang dia terlupa. Kini, dia terpaksa bergantung kepada kekuatan ingatannya sahaja. Alangkah lalainya rakyat Estodania dengan kecanggihan teknologi mereka yang mendahului peradaban dunia yang lain. Istidraj dalam diam seperti Kaum Tsamud yang membelakangkan seruan Nabi Saleh A.S. dahulu. Bezanya, mereka lebih mentauhidkan Allah, tetapi sama lalai dengan nikmat dunia yang Allah izinkan mereka nikmati.

Sudah hampir sebulan Ayyan mendiamkan diri di Esramudra. Cuba mendalami kelebihan Islam yang termaktub dalam Al-Quran. Memujuk hatinya memahami bait Al-Quran agar yakinnya pada Allah melangkaui semua. Beruntai taubat dan munajat dia lakukan. Seiring dengan itu, semakin banyak kesilapan disedarinya. Namun, perjalanan taubat tanpa rujukan Al-Quran terasa berat sekali. Dia seperti hilang panduan dan pedoman bagaimana hendak kembali menyakini keesaan Allah, apabila hatinya sudah terbiasa bergantung harap kepada mesin-mesin canggih untuk menyelesaikan masalahnya.

DELUSTAR yang dari tadi mengintai tingkah Ayyan di sebalik daun pintu Masjid Esramudra turut berasa galau melihat Ayyan teresak-esak menangis. Perlahan-lahan dia menapak masuk ke dalam masjid menghampiri Ayyan. Bahu manusia itu dipegangnya. Pegangan tangannya itu mengejutkan Ayyan. Segera Ayyan mengangkat kepalanya yang tertunduk.

“Mengapa kamu masih di sini, Delu?” tanya Ayyan sambil menyeka air matanya yang sedikit mengalir. Tanpa menjawab, Delustar mula mengetap bibir, menelan tangisannya. Sepertinya, dia memahami kekesalan yang dirasai Ayyan. Dia juga sedikit ralat apabila memikirkan kehancuran Estodania yang menyebabkan mereka seperti kehilangan panduan untuk terus mentauhidkan Allah. Tiga tumbuhan kecil yang tumbuh di atas kepalanya terlihat longlai.

“Delustar risau kelaknya kita menjadi seperti Jahiliyah,” jawab Delustar, akhirnya. Tangannya masih memegang bahu Ayyan.

“Jahiliyah? Maksud kamu apa Delu?” tanya Ayyan.

“Kisah runtuhnya empangan kerajaan isteri Nabi Sulaiman A.S. Beberapa ratus tahun sebelum kemunculan Islam,” jawab Delustar. Kali ini pegangan tangannya dilepaskan. Dia melabuhkan punggunnya di samping Ayyan. Duduk bersila.

Ayyan mengangguk mendengar jawapan Delustar itu. Dia memahami inti ujaran Delustar. Permulaan kisah Arab Jahiliyah dahulu.  Memang hampir serupa dengan nasib Nusantara saat ini. Keruntuhan Empangan Maarib yang dibina oleh Kerajaan Saba’ menyebabkan tanah Arab dalam kekalutan hidup. Hilang pedoman dan keupayaan hidup kerana sudah terbiasa dengan nikmat yang terhasil daripada Empangan Maarib.

Keruntuhan Empangan Maarib menyebabkan bangsa Arab hilang kemudahan hidup dan mula hidup dalam serba kekurangan. Ditambah lagi dengan ketiadaan utusan Allah ketika itu, akhirnya bangsa Arab mula jahil sehingga mewujudkan agama sendiri bagi mengelakkan kemelaratan kecewa lalu muncullah nabi-nabi palsu. Namun, kisah Estodania ini lebih gawat. Mereka bukan sahaja hilang kecanggihan teknologi, dan bukan sahaja ketiadaan utusan Allah pada saat ini. Bahkan, warisan Utusan Allah itu mula menyirna tanpa sisa kerana semua telah diangkat ke langit untuk dimuatkan dalam nombor-nombor binari mesin. Andai darurat ini berterusan, kelak Estodania dan seluruh Nusantara yang bergantung kepadanya akan menjadi seperti Arab Jahiliyah. Hilang pedoman dan terlupa Al-Quran.

“Kamu bertuah dilahirkan sebagai manusia, Ayyan,” ujaran Delustar menyedarkan Ayyan daripada bicara kotak mindanya sendiri.

“Kami, bangsa jin terkadang jadi iri dengan kamu. Terlalu tinggi darjat kamu di sisi Allah walaupun bangsa kamu paling muda,” ujar Delustar.

“Mengapa kamu berkata sebegitu, Delu? Bukankah Allah telah menciptakan kita dengan kelebihan masing-masing? Apakah kamu kurang redha dengan takdir Allah?” tingkah Ayyan. Ujaran Delustar sebentar tadi kurang dipersetujuinya.

“Bukan begitu, Ayyan. Delustar mensyukuri setiap apa yang Allah kurniakan. Tetapi kelebihan bangsa Ayyan lebih tinggi nilainya. Dikurniakan para Nabi dan Rasul sebagai penunjuk jalan agar bangsa Ayyan tidak jauh terpesong daripada Allah. Kami? Malah Allah kurniakan manusia untuk memimpin jin. Nabi Sulaiman,” rungut Delustar. Dalam hati, Ayyan mengakui dakwaan Delustar tentang kelebihan manusia itu.

“Bahkan, musuh agama kita yang paling nyata juga asalnya dari bangsa kami. Andai saja Iblis tidak membongkakkan diri, pasti para syaitan ini tidak wujud!” Delustar menyambung rungutannya. Ayyan sekadar mengangguk.

“Sudahlah, Delu. Setiap kejadian di dunia ini, Allah sudah tentukan hikmahnya kelak. Kamu jangan terus-menerus merungut seperti ini. Tidak elok untuk iman. Kita hanya perlu insafi setiap kejadian agar tidak terlalu lama kita menyimpang,” nasihat Ayyan. Dia berharap Delustar akan segera berhenti merungut. Dia faham bahawa Delustar sedang dalam kekesalan kerana kehancuran Estodania itu adalah berpunca daripada hasil tangan bangsanya.

“Delustar pelik! Mengapa ada manusia seperti Pawang Benayat? Lebih mengagungkan bangsa kami, tunduk kepada telunjuk bangsa kami. Takut d*****h! Sedangkan manusia itu Allah sudah angkat lebih tinggi berbanding Jin. Pewaris langsung sunnah Nabi…!” Delustar masih meneruskan kekesalannya. Mendengar sahaja nama Pawang Benayat, Ayyan terdetik untuk membongkar kisah sebenar petaka Estodania.

“Delu tahu apa yang berlaku dengan Estodania?” tanya Ayyan, memintas rungutan Delustar. Soalan itu menyebabkan Delustar terdiam. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya. Tiga tumbuhan kecil di atas kepalanya menegak cuak.

“Apa yang berlaku? Apa yang Pawang Benayat lakukan? Kalau bukan dia pemeran utama, lalu siapa? Bagaimana Estodania yang gah itu boleh musnah?” bertalu-talu soalan Ayyan lemparkan. Harapannya untuk mengetahui kisah petaka Estodania mula bersinar cerah.

Delustar menatap mata Ayyan. Dia melihat sinar harapan dalam mata lelaki itu. Mengharapkan jawapan daripada dirinya. Terkedip-kedip mata Delustar melihat riak wajah Ayyan yang teruja itu. Jelas berbeza dengan wajahnya yang sebelum ini terlihat sedih. Delustar melepaskan nafas keluhan. Bahunya dilenturkan rendah seiring dengan tumbuhan-tumbuhan kecil di atas kepalanya melonglai.

“Pangeran Badar arahkan Delustar berdiam. Kelak Pangeran sendiri akan ceritakan. Maaf Ayyan,” jawapan Delustar sangat mengecewakan Ayyan. Tetapi dia tidak ingin mendesak Delustar untuk menceritakan kisah petaka itu. Dia menghormati keputusan Pangeran Badar. Lagipun, Pangeran Badar sendiri pernah berjanji akan menceritakannya apabila dia melihat Ayyan sudah bersedia. Mungkin Delustar juga sama.

“Apa yang Pangeran maksudkan sehingga saya bersedia? Delustar tahu…?” tanya Ayyan selepas dia berjaya mengekang rasa ingin tahunya akan kisah Petaka Estodania.

Belum sempat Delustar menjawab soalan Ayyan itu, tiba-tiba lantai masjid terasa bergegar. Bumi Esramudra seperti ditimpa gempa bumi. Rihal-rihal Quran berjatuhan mencium lantai masjid. Lampu kubah masjid terhuyung-hayang seolah-olah akan terjatuh. Beberapa rak kitab rebah dan pecah. Ayyan segera menekup wajahnya tatkala kaca tingkap masjid pecah berbilah-bilah. Sedikit pecahan kaca itu terkena tubuhnya. Calar.

“Ayyan! Ayyan!!” Delustar sedang terapung, mengejutkan Ayyan. Kakinya sudah digantikan dengan ekor ikan.

Ayyan mendongakkan kepalanya. Matanya terpandang lampu kubah masjid yang terhuyung-hayang di atas mereka.  Tali lampu itu hampir terputus. Hanya ada seurat benang sahaja yang tersisa menampung berat lampu kubah yang besar itu. Dengan pantas Ayyan berdiri dan mencapai tangan Delustar. Ayyan melompatkan dirinya lalu terguling menjauhi ruang tengah masjid. Lampu kubah sudah terputus dan terjatuh tepat di tempat duduk mereka sebentar tadi. Kaca-kaca lampu itu pecah bertaburan dan terpelanting memenuhi segenap penjuru masjid. Sebilah kaca berjaya menusuk lengan kiri Ayyan. D***h merah mula mengalir mencemari warna putih jubahnya.

“Ayyan! Kamu terluka,” ujar Delustar. Dia masih terkejut dengan adegan sebentar tadi. Hampir sahaja dia dan Ayyan menemui ajal akibat gempa.

“Tidak mengapa, sedikit sahaja,” ujar Ayyan. Dia menggagahkan dirinya untuk duduk. Gegaran sudah berhenti. Layaknya, Esramudra telah ditimpa gempa bumi yang sangat besar sehingga seluruh masjid tampak hancur seperti dilanda beliung. Beberapa lampu masjid masih tergantung dan teroleng-oleng ke kiri kanan menanti putus.

Ayyan mengoyakkan lengan kiri jubahnya agar mudah dia mencabut pecah kaca yang menusuk lengan kirinya. Tusukan kaca itu sangat dalam sehingga bilahan kaca menembusi lengannya. Mujurlah tidak terkena tulang lengan. Andai tertusuk tulang, pasti Ayyan bakal kehilangan tangan kirinya. Sedang menahan kesakitan, tiba-tiba Pangeran Badar datang meluru menghampiri mereka. Kepala Pangeran itu terlihat merah berdarah. Mungkin terhantuk benda tajam ketika gempa tadi.

“Delustar, kamu pergi ke rumah kamu. Jenguk bagaimana keadaan anak-anak kamu,” arah Pangeran Badar.  Delustar yang dari tadi risau keadaan keluarganya segera meluru keluar, berenang laju. Sejak gempa tadi dia ingin meninggalkan Ayyan dan menjenguk keadaan keluarganya. Cuma dia terikat dengan tanggungjawab untuk melindungi lelaki manusia itu kerana Pangeran Badar kata Ayyanlah yang akan mengembalikan kegemilangan Estodania.

Pangeran Badar segera merawat Ayyan. Bilah kaca yang menusuk lengan kiri Ayyan ditarik perlahan. Kedua-dua jarinya dibenamkan ke dalam kulit Ayyan. Usai berhasil, segera pecah kaca itu dilempar ke tengah masjid. Panjangnya lebih kurang dua jengkal jari manusia. Segera Pangeran Badar tercari-cari kotak rawatan luka masjid yang diletakkan di belakang mimbar. Kotak merah itu terlihat luntur kerana sudah lama disimpan. Di dalamnya, banyak peralatan kecemasan. Terkerut-kerut dahi Ayyan menahan sakit saat Pangeran Badar sedang membalut lukanya. Tangan Pangeran Badar terlihat cekap menguruskan luka seperti itu. Bersesuaianlah dengan dirinya yang merupakan bekas pejuang kanan Estodania.

“Apa yang berlaku Pangeran? Esramudra dilanda gempa bumi?” tanya Ayyan. Pangeran Badar menggelengkan kepalanya. Dia sudah selesai menjahit luka Ayyan. Dengan laju dia membalut lengan lelaki manusia tersebut.

“Kamu perlu meninggalkan Esramudra sekarang, Ayyan. Teruskan perjalanan kamu ke Tanah Emas,” ujar Pangeran Badar. Wajahnya tampak serius seperti pertuturannya.

“Tapi Pangeran, saya rasa saya belum bersedia lagi,” ujar Ayyan. Dia terkejut mendengar arahan Pangeran Badar yang tiba-tiba itu. Tanpa menjawabnya, Pangeran Badar segera meninggalkannya. Dia meluru keluar Masjid. Tinggallah Ayyan seorang diri yang masih termangu penuh persoalan. Ayyan menongkat dirinya untuk berdiri. Perlahan-lahan dia menapak hendak keluar.

Tiba-tiba sekali lagi Pangeran Badar muncul di hadapannya dengan memegang sepersalinan berwarna biru gelap. Wajahnya masih terlihat cemas.

“Tukar pakaian kamu, Ayyan. Segeralah kamu ke Tanah Emas. Cari wilayah yang pertama disimbah matahari. Tok Kandek sedang menunggumu. Aku sudah memaklumkan kedatangan kamu,” ujar Pangeran Badar. Ayyan menyambut huluran tangan Pangeran Badar yang penuh dengan pakaian. Pangeran Badar meletakkan sebilah keris berwarna perak di atas pakaian tersebut.

“Apa yang berlaku Pangeran?” tanya Ayyan sekali lagi. Dia masih tidak mengerti rasional tindakan Pangeran itu. Lampu masjid yang tadinya putih mula bertukar jingga.

“Keris ini, warisan tanah leluhur kamu. Di hantar ke sini selepas kematian Tok Guru Hafizul kamu. Tunjukkan ini kepada Tok Kandek sebagai bukti kamu sudah pernah sampai ke sini,” ujar Pangeran Badar tanpa menjawab soalan Ayyan.

“Jangan tinggalkan masjid ini!” usai menuturkannya, Pangeran Badar bersedia meluru keluar sekali lagi.

“Pangeran!” bentak Ayyan. Dia mula marah kerana selalu ditinggalkan dengan penuh tanda tanya. Bentakannya berjaya membuatkan langkah Pangeran Badar terhenti.

“Apa yang berlaku? Mengapa saya harus meninggalkan Esramudra sekarang?” tanya Ayyan. Pangeran Badar berpaling ke arahnya. Dia menghampiri Ayyan lalu memegang pundak kanan Ayyan.

“Esramudra diserang. Kali ini kami mungkin tidak dapat melindungi mukim bawah laut ini. Maaf Ayyan. Saya tidak dapat membantu kamu lagi,” jawapan Pangeran Badar itu mengejutkan Ayyan. Sangkaannya bahawa Esramudra bakal terselamat mula meleset. Dia tidak pernah menduga kelak Esramudra bakal mengalami nasib yang sama dengan Estodania.

“Walau apapun berlaku, walau apapun yang kamu dengar, jangan tinggalkan masjid ini, Ayyan. Tunggu di sini sehingga cahaya bertukar putih semula,” ujar Pangeran Badar lagi lalu mengghaibkan dirinya. Sekali lagi Ayyan ditinggalkan tanpa penjelasan.

Sebaik sahaja Pangeran Badar hilang dari pandangan, Ayyan segera menukarkan pakaiannya. Pakaian seragam tentera udara Estodania. Nama Pangeran Badar tersulam di dada kiri baju tersebut. Tahulah Ayyan bahawa pakaian itu pakaian seragam Pangeran Badar dulu. Dia diarahkan memakainya memandangkan jubahnya sebelum ini terkoyak. Keris perak dipasakkan ke pinggang pakaian tersebut. Ayyan meraba-raba poket kanannya. Ada seutas tasbih diletakkan di situ. Ayyan segera mengeluarkannya. Tasbih jingga yang diperbuat daripada mutiara tiram.

“Istra… Ostra… Migamos… Kuwasa… Istra… Ostra… Migamos… Kuwasa…”

Tingkah Ayyan terhenti tatkala mendengar suara halus yang menuturkan kata-kata asing itu. Bisikan suara seperti memuja sesuatu. Bacaan seolah-olah mantera memanggil sesuatu. Dia mengenali bait-bait mantera itu. Sama seperti mantera yang dia dengari di pinggir pantai Belawai sebelum dia dibawa masuk ke dalam Esramudra ini. Mantera sebelum pertarungannya dengan jin berupa ular. Adakah jin tersebut menyusulnya sehingga ke Esramudra? Segera Ayyan berlari ke luar masjid, terlupa pesanan Pangeran Badar agar tidak meninggalkan masjid tersebut.

Sebaik sahaja kaki kirinya meninggalkan perkarangan masjid, tidak semena-mena tubuh Ayyan melayang jatuh. Dia tersembam menyembah bumi. Rupa-rupanya, masjid tadi sudah terapung, tidak mencecah bumi. Ayyan segera menoleh ke belakang. Masjid Esramudra tadi terlihat kecil dalam buih sabun. Terapung-apung dan bercahaya jingga. Perlahan-lahan masjid itu membesar lalu kembali kepada saiz asalnya. Kemudian, bangunan masjid itu bertukar menjadi buih-buih kecil yang banyak sebelum satu persatu meletup bocor. Tatkala semua buih itu sudah lesap, Ayyan baru menyedari dia sedang duduk dalam ruang yang gelap. Sekali lagi dia kesal kerana tidak mengikuti arahan Pangeran Badar. Sekali lagi dia baru menyedari rasional arahan Pangeran Badar selepas dia melanggar arahan tersebut. Mengapalah Pangeran Badar tidak menerangkan dengan lebih jelas setiap arahannya?

Tiba-tiba, pemukaan pasir di bawah perutnya terasa bergegar. Sekali lagi. Beberapa meter ke kanan dari tempat Ayyan tertiarap baring timbul istana Esramudra dari dalam pasir. Timbulnya sama seperti kali pertama Ayyan melihat istana tersebut. Istana itu mengeluarkan cahaya neon berwarna jingga. Apabila sempurna istana itu menjelma, cahaya neon jingga dari istana itu menjalar ke bahagian laluan pintu masuk menuju ke arah Ayyan lalu terhenti di gerbang terumbu karang yang terletak di sebelah kiri Ayyan. Dia sedang tertiarap di perkarangan istana.

Cahaya neon jingga istana itu menyirami seluruh Esramudra dengan cahaya jingga. Pada masa itulah, Ayyan dapat melihat rakyat Esramudra sedang berkumpul dalam barisan di ruang tengah mukim. Masing-masing dalam keadaan siap-siaga. Di hadapan mereka ada seekor ikan bertaring banyak yang sangat besar. Terdampar m**i. Bangkai ikan itu sedang dilahap oleh seekor ular besar yang bertanduk. Lembaga yang sama menyerangnya di Pantai Belawai dahulu. Ayyan segera berdiri. Dia menghampiri kerumunan rakyat Esramudra.

Di barisan hadapan, Pangeran Badar bersama empat orang penjaga pintu Esramudra sedang bersiaga. Masing-masing menjulang pedang panjang. Seluruh Esramudra ketika itu hanya dihadiri oleh warna jingga dan hitam gelap. Terlalu kelam. Anak-anak mata penghuni Esramudra turut memantulkan cahaya jingga dari istana. Terlihat seram apabila mata makhluk-makhluk yang berkaki ikan itu membiaskan cahaya berwarna jingga.

Hanya bunyi kacip-kacip raksasa ular memakan bangkai ikan besar kedengaran jelas memenuhi rongga udara Esramudra. Sedangkan rakyat Esramudra membatu senyap sedang menjulang senjata masing-masing. Ayyan semakin mendekati barisan belakang rakyat Esramudra. Tiba-tiba, bahagian kiri seluarnya terasa ditarik-tarik. Ayyan segera memandang ke bawah. Seekor ketam sedang menarik seluarnya dengan sepit. Ayyan segera duduk mendekatkan kepalanya kepada ketam itu. Ketam itu menjalar naik ke bahunya lalu berbisik.

“Mengapa kamu meninggalkan Masjid Esramudra?!” tanya ketam itu, kedengaran sedikit marah. Ayyan berasa agak lucu sedikit. Kali pertama dia berbual dengan seekor ketam. Sebelum ini, dia hanya memerhatikan ketam-ketam Esramudra melakukan kerja masing-masing. Dia tidak pernah menduga bahawa ketam-ketam itu boleh berbicara. Mungkin salah satu lagi jelmaan jin yang bermukim di Esramudra.

“Saya terjatuh,” ujar Ayyan.

“Aku maklumkan kepada Delustar. Kamu tunggu sini. Jangan ke mana-mana,” ujar ketam itu seraya menjalar turun dari bahu Ayyan. Ketika turun, ketam itu tersentuh keris yang terpasak di pinggang Ayyan. Sentuhan itu menghasilkan bunyi dentingan yang sangat kuat dan bergema sehingga semua mata terarah kepada Ayyan.  Ayyan terpaku melihat mata-mata rakyat Esramudra yang berwarna jingga itu. Tiba-tiba, keris itu mengeluarkan cahaya berwarna perak yang sangat terang.

“Bangsat! Kau kata budak itu tidak ada di Esramudra!” tempik lembaga ular bertanduk itu. Dengan pantas ular bertanduk itu terbang menerpa ke arah Ayyan. Ular itu terlihat lebih besar daripada kali pertama Ayyan melihatnya.

Terpaan ular itu menghasilkan deruan angin yang sangat kuat sehingga pasir-pasir tersapu ke kiri dan kanan. Pangeran Badar yang melihat keadaan itu, segera menerbangkan dirinya menendang kepala ular tersebut daripada menuju ke arah  Ayyan. Delustar mengghaibkan dirinya di sebelah Ayyan lalu membawa Ayyan lesap ke bahagian tengah barisan rakyat Esramudra. Maka bermulalah pertarungan antara Esramudra dengan Mandalika.

Mandalika mengaum geram. Tendangan Pangeran Badar menyebabkan dia terubah arah. Segera dia memuntahkan lahar berwarna biru tua. Warna lahar itu jelas kontra dengan Esramudra yang saat itu disimbahi cahaya neon jingga istana. Lahar itu dihalakan kepada barisan rakyat Esramudra. Tatkala lahar itu menyentuh kulit, empunya badan akan menggelupur kepanasan kerana kulit terhakis. Lahar itu seperti asid yang melecurkan kulit. Beberapa rakyat Esramudra berundur menjauhi muntahan lahar itu.

Ammar Hillman, penjaga pintu selatan Esramudra dengan pedangnya tampil maju lalu melompat tinggi mendekati Mandalika. Pedangnya segera dipusing-pusingkan menghasilkan angin untuk menghalang lahar biru itu menghampiri rakyat Esramudra. Putaran pedangnya berjaya mewujudkan medan yang dapat menghalang lahar itu. Tiga penjaga pintu yang lain menyertai aksi Penjaga Pintu Selatan Esramudra itu. Gabungan keempat-empat penjaga pintu Esramudra berjaya memantulkan muntahan lahar tersebut kembali ke Mandalika. Seluruh tubuh ular bertanduk itu diselimuti laharnya sendiri. Sangkaan mereka, Mandalika akan menggelepur seperti beberapa rakyat Esramudra yang lain. Sebaliknya, Mandalika langsung tidak terjejas dengan lahar tersebut. Sebaliknya, lahar-lahar itu mula mewujudkan perisai yang lebih ampuh sehingga rakyat Esramudra tidak boleh menyentuh kulit ular bertanduk itu. Lahar-lahar itu menjalar ke seluruh tubuh Mandalika sehingga ke bahagian ekor. Mandalika yang tadi berwarna jingga hasil simbahan cahaya istana, bertukar menjadi biru tua hasil serapan laharnya sendiri.

Mandalika menyerang balas. Kali ini ekornya dilibaskan menyebabkan semua rakyat Esramudra termasuk Ayyan terpelanting. Sesiapa yang terkena libasan ekor Mandalika menemui ajal kerana tersentuh lahar biru itu. Rumah-rumah Esramudra yang diperbuat daripada kerang kima musnah akibat libasan Mandalika itu. Delustar sempat melindungi Ayyan dengan daun tumbuhan kecil di kepalanya. Dia sempat mengubah saiz daun ketiga-tiga tumbuhan di kepalanya lalu menyelubungkan dirinya dan Ayyan dalam bulatan lembayung daun kepalanya. Kedua-dua mereka terguling seperti bola.

Pangeran Badar tidak bertinggal diam. Dia segera melayangkan dirinya sambil menjulang pedang. Tatkala terapung di udara, Pangeran Badar memusing-musingkan badannya. Pedang dihunus ke hadapan, lalu dengan perlahan pedang itu mula membesar dan memanjang. Pangeran Badar menghayunkan pedang itu dengan niat hendak mematahkan tanduk Mandalika. Pertarungan ini merupakan kali pertama dia melihat susuk tubuh Mandalika. Selama ini, dia hanya mendengar nama Mandalika dari bibir amirul-amirul Estodania sebelum kota gah itu hancur. Hayunan pedang Pangeran Badar ternyata sia-sia kerana tatkala pedang menyentuh tanduk Mandalika, hentakan pedang itu terpantul sehingga menyebabkan tubuh Pangeran Badar terhumban jauh lalu terhempas ke kubah istana. Hempasan tubuh Pangeran Badar menyebabkan kubah istana Esramudra hancur. Tubuh Pangeran Badar terhumban kuat, masuk ke dalam istana. Kemusnahan kubah itu menyebabkan simbahan neon jingga istana semakin malap.

Melihat kegagalan Pangeran Badar, Delustar berasa geram dan marah. Segera dia meninggalkan Ayyan bersama penduduk Esramudra yang lain. Dia mengghaibkan dirinya ke udara. Kedua-dua tangannya diubah menjadi akar-akar pokok yang besar. Nekadnya ingin menjerut leher Mandalika. Dia terlupa bahawa Mandalika dilumuri lahar yang dapat membunuhnya. Delustar berhasil menjerut leher Mandalika. Namun, tindakannya itu disambut dengan tawa Mandalika. Ular bertanduk itu memacakkan sisiknya.  Akar-akar jelmaan tangan Delustar disentuh menggunakan jari tengah kirinya. Sebaik sahaja hujung jarinya menyentuh akar Delustar, titik lahar biru mula menjalar membaluti akar jelmaan tangan Delustar. Mandalika menggenggam jerutan tangan Delustar agar Delustar tidak dapat menarik kembali jerutannya itu. Lahar biru menghasilkan bisa yang sangat sakit sehingga Delustar menjerit kesakitan.

Ammar Hillman segera melambungkan dirinya lalu menetak akar-akar yang merupakan jelmaan tangan Delustar. Akar-akar itu terputus dua. Bahagian kanan sudah dilumuri lahar Mandalika manakala bahagian kiri lagi masih tersambung dengan tubuh Delustar. Tubuh Delustar melayang jatuh kerana dia sudah tidak sedarkan diri. Tubuhnya disambut oleh Tim Timmy, Penjaga Pintu Utara Esramudra.

Melihat keadaan itu, Mandalika semakin marah. Dia mengira, dia akan berjaya menamatkan hayat Delustar sebentar tadi. Matanya dihalakan tepat memandangkan Ammar Hillman yang sedang bersiaga tidak jauh dari tempatnya. Matanya menangkap suasana Esramudra yang semakin malap itu. Banyak mayat bergelimpangan di atas pasir. Hanya ada beberapa orang sahaja yang masih bernyawa sedang berkumpul mendekati Bukit Selatan Esramudra. Dicelah-celah penduduk Esramudra itu, seorang manusia yang diperintahkan untuk d*****h sedang terselit. Mandalika merengus. Kelak dia akan m******h manusia itu, terlebih dahulu dia menamatkan riwayat pelindung-pelindung Esramudra itu terdahulu.

Mandalika segera memuntahkan lahar birunya sekali lagi. Kali ini dihalakan tepat kepada Ammar Hillman. Dia ingin menamatkan nyawa Penjaga Pintu Selatan Esramudra itu. Sebaik melihat muntahan lahar tepat ke arahnya, Ammar Hillman selajur memutar-mutarkan pedangnya. Cuba menghasilkan medan perisai sekali lagi. Malangnya dia sedikit terlambat. Muntahan lahar Mandalika sempat menyentuh bahu kanannya. Bisa segera menjalar ke tulang sum-sum. Namun, dia gagahi untuk bertahan.

Pada masa yang sama, Pangeran Badar yang baru tersedar dari pengsan akibat pantulan tanduk Mandalika mendaratkan dirinya di atas tanduk Mandalika. Dia tidak peduli tubuhnya akan melecur akibat lahar yang membaluti tubuh Mandalika. Dia yakin, kelemahan Mandalika terletak di antara tanduk besarnya itu. Benaman pedang di situ kelak dapat menewaskan Mandalika. Pangeran Badar segera membenamkan pedangnya di antara ruang tanduk Mandalika itu.  Sewaktu dengan itu juga, kedua-dua  Penjaga Pintu Timur dan Barat Esramudra merejamkan pedang-pedang mereka ke arah Mandalika. Kedua-dua pedang itu dihalakan ke mata kiri Mandalika lalu terbenam di mata ular bertanduk itu.

Mandalika menjerit kesakitan. Ekornya terlibas-libas ke kiri dan kanan sehingga memusnahkan bangunan-bangunan Esramudra. Muntahan laharnya dihentikan. Ammar Hillman terkulai layu lalu rebah. Seluruh anggota kanannya dilumuri lahar Mandalika. Pangeran Badar pula segera melompat turun dari tanduk Mandalika. Daratannya tidak sempurna. Dia tersungkur ke tanah sebelum dilibas ekor Mandalika kembali Istana Esramudra yang semakin malam biasan cahaya jingganya.

Tubuh Mandalika mengeluarkan cahaya biru. Dari rongga-rongga sisiknya, lahar-lahar biru mula mengalir keluar, perlahan-lahan membanjiri Esramudra. Kelak, jika lahar itu terus mengalir, seluruh Esramudra akan dibanjiri lahar biru itu. Tiada lagi ruang untuk berlindung. Lahar-lahar biru juga terpancut keluar dari mulut Mandalika lalu menghujani bumi Esramudra. Setiap kali menyentuh bumi, lahar-lahar itu akan meleburkan objek yang disentuhnya. Rakyat-rakyat Esramudra termundur-mundur menaiki Bukit Selatan, cuba menyelamatkan diri daripada terkena lahar berbisa Mandalika itu.

Tim Timmy yang sedang mendukung Delustar menelan liur. Otaknya ligat memikirkan cara untuk menyelamatkan Ayyan. Penjaga Ayyan, Delustar sedang terkulai tidak sedarkan diri dalam pangkuannya. Pangeran Badar pula tidak kelihatan selepas membenamkan pedang di kepala Mandalika. Rakan-rakan penjaganya juga tidak kelihatan langsung. Hanya Ammar Hillman terkojol di hadapan Mandalika. Ini bukan penamat! Ayyan perlu meneruskan misinya menyelamatkan Estodania! Dia tidak boleh m**i di sini!

“Ayyan!!”segera Tim Timmy bertempik memanggil Ayyan yang sedang menyertai rakyat Esramudra mendaki Bukit Selatan. Panggilan Tim Timmy itu didengari Ayyan. Segera lelaki manusia itu menghentikan pendakian. Dia menoleh ke belakang. Seekor duyung sedang mendukung Delustar menghampirinya. Tiba-tiba, tubuh Ayyan dicapai oleh satu tangan yang panjang. Tangan itu adalah milik duyung yang mendukung Delustar. Ayyan ditarik rapat menghampiri Delustar.

“Kita pergi dari sini!” ujar Tim Timmy. Matanya memandang Ayyan kemudian keris perak yang tersisip di pinggang Ayyan. Keris itu masih mengeluarkan cahaya. Tim Timmy segera mengghaibkan diri mereka. Lesap. Hilang dari bumi Esramudra yang sedang di ambang kemusnahan itu.  Melesapkan diri jauh ke permukaan Laut China Selatan, lalu muncul semula di atas Laut China Selatan.


Maaf.

Bersambung lagi.

Kelak kita teruskan kembara.

Terima kasih sudi baca.

Jemput singgah di page saya.

#Estodania #epikthiller #fiksyensahaja #share jika bermanfaat.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]
dhaifullahazzayyani

3 thoughts on “#ESTODANIA: Perang Duyung”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.