Harimau ke Kucing?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih pada FS jika sekali lagi terpilih kisah saya ni untuk dikongsi bersama pembaca.

Sekali lagi diberi kesempatan untuk saya berkongsi kisah ibu saya. Sebelum ni saya dah kongsikan kisah nakal ibu saya yang sanggup tidur di dalam sampan semata-mata takut kena tinggal dengan Tok Yam. Kali ini, saya ingin kongsikan pengalaman ibu saya semasa dia tinggal bersama dengan bapa saudaranya di seberang sungai.

Ketika ibu saya berusia 9 tahun, dia menumpang di rumah bapa saudaranya, Pokde, sebab Tok Yem kurang sihat untuk berulang-alik menghantar ibu ke sekolah dengan menaiki basikal tuanya. Sementara menumpang di rumah Pokde, ibu juga menumpang bersekolah di sana untuk dua tahun sebelum kembali tinggal bersama orang tuanya setelah Tok Yem meninggal dunia.

Di seberang sungai, Ibu dan sepupunya ke sekolah hanya dengan berjalan kaki. Ibu beritahu ada dekat sejam juga berjalan. Pokde akan mengiringi mereka dengan menaiki basikal. Setelah memastikan anak-anak selamat masuk ke kawasan sekolah, Pokde akan terus mengayuh ke tempat kerjanya, sebuah hospital daerah. Pokde bekerja sebagai tukang kebun di sana.

Satu hari di musim durian, entah kenapa Pokde boleh singgah di dusunnya yang terletak di kaki gunung sebelum ke tempat kerja. Pokde singgah sebentar di pondok menunggu duriannya dan tiba-tiba terdengar bunyi kucing mengiau. Dia mencari ke sekeliling dan ternampak sepasang kucing seolah-olah sedang menantinya di bawah pondok.

“Eh…comel korang berdua ni ye. Mari sini ikut aku balik. Aku jaga korang berdua, nak?”
Pokde menangkap kucing-kucing itu dan meletakkan ke dalam raga basikalnya. Kucing-kucing itu tidak meronta langsung bila ditangkap malahan duduk diam di raga bila Pokde mengayuh basikalnya pulang ke rumah. Setelah menyerahkan kucing tersebut pada Mokde, Pokde kembali ke tempat kerja.

Waktu pulang dari sekolah, ibu berjalan sendiri bersama sepupu-sepupunya tanpa ditemani Pokde. Memang kebiasaannya hanya pada waktu pagi sahaja Pokde akan menemani mereka sebab takut anak-anak itu tuang kelas. Dalam perjalanan pulang, mereka akan melalui dusun Pokde. Itam, sepupu ibu, mencadangkan supaya mereka singgah mencari durian di dudun bapanya itu. Mereka semua bersetuju dan merancang untuk mandi di anak sungai yang mengalir di dusun itu sebelum pulang.

Mereka seronok menjelajah mencari durian. Long bertindak sebagai ketua, sesuai dengan statusnya sebagai yang paling tua di kalangan anak-anak itu. Dia sibuk mengarahkan ibu, Itam dan Acik untuk mngutip durian yang jatuh. Setiap kali bunyi durian gugur, berkejaran mereka berlari untuk mengutip, namun setiap kali hampa.

“Wei, balik yok. Aku tak sedap hati la”, Acik bersuara setelah tiada satu hasil pun mereka perolehi walaupun sungguh meriah bunyi durian gugur. Tiba-tiba Itam mencicit lari meninggalkan mereka. Ibu dan sepupu-sepupunya yang lain terkejut dan turut cabut lari tanpa ketahui apa punca Itam dan mereka berlari. Memang kotor laa baju mereka tersembam sana sini sepanjang berlari tu sebab tersandung akar pokok durian.

Setiba di rumah, Mokde marah mereka sebab pulang lewat serta baju sekolah kotor dan koyak. Habis semua tak boleh masuk, kena bersihkan diri di perigi dan duduk luar sampai Pokde pulang. Sementara mereka didenda tinggal di luar rumah, ibu bertanya pada Itam, kenapa dia lari, habis yang lain-lain tak tahu hujung pangkal pun ikut mencicit.

“Aku nampak ada pak belang. Tengah melahap durian. Tak terkeluar suara aku nak jerit. Aku ingat nak cabut je tadi”

“Setan ko, bukan nak bagitau, nasib baik kitorang ikut cabut. Nak cabut sensorang je ko ni pastu tinggalkan kitorang kena baham harimau” marah si Long. “Tapi kan, sebenarnya aku ada terdengar bunyi lain tadi, bunyi perempuan mengikik ketawa kat anak sungai tu. Aku ingat si Icah (ibu) ni yang ketawa. Dia kan dari sekolah tadi galak je ketawa” si Long menambah.

“Acik ajak balik tadi sebab tu la. Acik nampak tuan puteri 3 beradik turun mandi. Ada sorang tu sibuk jeling-jeling kita” Serta-merta ibu dan sepupunya merasa bulu tengkuk meremang dan seram sejuk. Mujur Pokde dah sampai rumah. Kalau lambat lagi, memang diorang lagi sanggup menadah batang paip hadiah dari Mokde dari menunggu Pokde di tengah senja remang tu.

Malam itu Pokde leka bermain dengan kucing 2 ekor yang dikutipnya dari dusun. Pokde ni memang obses sikit dengan kucing. Ibu dan sepupunya berkumpul di pelita, menyiapkan kerja sekolah. Tiba-tiba terasa rumah seperti bergegar. Mokde bergegas ke ruang tengah dari dapur. Dia bisikkan sesuatu ke telinga Pokde. Ibu lihat riak muka Pokde berubah. Dalam samar cahaya, dapat dilihat muka Pokde berubah pucat. Rumah bergegar lagi seolah-olah ada yang menggoncang tiangnya.

“Ye…aku pulangkan, tapi bukan malam ni. Hari dah gelap, mata aku tak nampak jalan. Aku janji esok sesudah subuh aku terus pulangkan” Pokde menjerit. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Dia renung kucing 2 ekor yang dikutipnya itu. Manja betul kucing itu. Bila Pokde letakkannya ke bawah tadi, kedua-duanya meleset tak henti-henti dan mengiau minta diangkat. Terasa sayang nak dipulangkan tapi apakan daya, hak orang.

Setelah Pokde membuat janji entah pada siapa, ibu terdengar sayup bunyi harimau mengaum. Mereka saling berpandangan dan Pokde segera suruh mereka masuk tidur. “Esok tak payah sekolah. Aku ada hal, tak boleh hantar korang” ringkas Pokde bersuara.

Esoknya, selepas menunaikan solat subuh, Pokde membawa kedua-dua kucing tu keluar. Nak pulangkan pada tuannya, Mokde beritahu. Setelah terang tanah, ibu turun ke tanah untuk bermain bersama sepupunya. Dia ternampak kesan geseran di tiang rumah dan tapak kaki harimau di laman.

Mokde beritahu, malam tadi ada orang datang nak tuntut balik peliharaan mereka. Kucing yang Pokde kutip tu, bukan kucing biasa, kucing bertuan. Salah Pokde pergi kutip dengan tak bertanya dulu. Sebab tu Pokde kena pergi pulangkan balik. Mujur tuan punyanya minta dipulangkan secara baik. Sebelum rumah bergegar, Mokde dengar orang memberi salam di pintu. Bila dibuka, ada seorang gadis sedang menunggang harimau di kaki tangga. “Pulangkan anak tunggangan aku, dan aku maafkan kamu” hanya itu pesanannya sebelum dia berlalu pergi dengan harimaunya.

Pasal kucing yang Pokde kutip tu, memang tak nampak macam harimau atau anak harimau langsung. Warna pun macam kucing normal, satu putih bertompok hitam dan lagi satu putih bertompok kuning. Sama ada gadis yang Mokde jumpa tu berkaitan ke tidak dengan puteri yang mandi tu, ibu saya pun tak pasti sebab cuma Mokde je yang pernah nampak gadis itu dan Acik je yang pernah nampak puteri bertiga itu.

Ibu saya beritahu, pengajaran kisah ni, jangan suka-suka kutip haiwan atau barangan di kebun atau hutan sebelum kita betul-betul pasti status dia. Kadang-kadang haiwan atau barang ni bertuan. Dan kalau balik sekolah tu, jangan menyimpang. Orang tua pesan terus balik rumah, terus balik, jangan merayap pula tanpa kebenaran serta pengetahuan orang tua. Kalau jadi apa-apa kan susah macam ibu saya dengan sepupunya tu. Mujur tak kena culik, setakat kena sakat je.

Maaf jika ceritanya agak meleret dan bosan, tapi lebih kurang macam tu lah ibu saya bercerita pada saya. In shaa Allah, ada masa, rezeki, dan kesempatan lagi, saya kongsikan lagi kisah yang ibu saya pernah alami.

Sekian,
Makcik Otomen

12 thoughts on “Harimau ke Kucing?”

  1. Best ler cte ni..xseram tp best..umh sy salu gk ada kucing2 dtg menumpang pstu xnk balik2..mujur ler xde y dtg mtk balik..kalau x,seriau jgk rse..hehehe~

    Reply
  2. Rasanya tuan punya ank kucing tu puteri bertiga tu la..sebab kebun tu pokde yg punya,kalau ade penjaga mesti dia tau kan..agaknya la…

    Reply

Leave a Comment