Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih pada FS jika sekali lagi terpilih kisah saya ni untuk dikongsi bersama pembaca.
Sebelum ini saya telah kongsikan pengalaman ibu saya ketika dia tinggal di rumah Pokde. Rasanya setakat ini, saya telah kongsikan semua kot pengalaman di rumah Pokde yang ibu saya ceritakan kepada saya.
Pada kesempatan kali ini, saya ingin kongsikan pengalaman ibu saya setelah dia kembali ke kampung halamannnya. Ketika ini, Tok Yem sudah mula sakit kuat. Ibu pulang ke kampung untuk membantu Tok Yam menjaga Tok Yem. Pada masa ini, ibu berumur dalam lingkungan 11 tahun.
Aktiviti harian ibu berlainan dari ketika tinggal bersama Pokde. Masanya pada ketika ini banyak dihabiskan di rumah. Ibu hanya ke sekolah apabila Ayah Ucu tidak merantau kerana Tok Yem sudah tidak larat untuk berbasikal menghantar ibu ke sekolah yang boleh tahan jauhnya. Pada masa sekarang, jika kita menunggang motor pun mengambil masa hampir setengah jam untuk sampai ke sekolah ibu.
Ibu ada kongsikan satu peristiwa yang berlaku ketika dia menjaga Tok Yem di rumah. Seperti biasa, jika tidak ke sekolah, seusai Subuh, ibu akan membantu untuk membawa Tok Yem turun ke halaman untuk mendapatkan panas matahari pagi. Sambil Tok Yem duduk berehat di pangkin, ibu mengemas ternakan di belakang rumah.
Sedang leka ibu memberi ayam, itik, angsa makan, tiba-tiba semak di belakang kandang kambing bergoyang. Ibu tidak mempedulikannya kerana beranggapan mungkin kambing bermain di situ.
“Aishah…..Aishah….”
Ibu terdengar bisikan halus suara seorang wanita memanggilnya. Ibu begitu pasti itu bukan Tok Yam kerana suara itu begitu halus dan lunak, tidak seperti suara Tok Yam yang kasar. Dan juga bukan bonda ibu kerana pada ketika itu, Mak Ucu tiada di kampung, kerana pergi mengikut kumpulan penoreh getah untuk menoreh di estet getah di seberang sungai. Lagipun, Mak Ucu selalunya akan memanggil ibu dengan nama Long Cha, bukan nama penuhnya.
Sudah menjadi sifat ibu yang kering hati, dia pergi ke arah suara itu. Suara itu setelah diamati, datangnya dari rimbun buluh di belakang kandang kambing Tok Yem. Tak semena-mena, ibu berkata, bila dia lepasi kandang kambing itu, dia seolah-olah berada di tempat lain. Dilihat sekeliling, tiada lagi kandang kambing Tok Yem, tiada lagi reban ayam serta tiada lagi kelibat bumbung rumah Tok Yem.
Ibu agak ketakutan pada masa itu, namun dipegang pesanan Tok Yem, andai kata ibu tersesat suatu hari nanti, usah gentar. Tabahkan hati, kuatkan semangat dan ingat pada Allah. Ibu cuba untuk membaca ayat-ayat suci yang dihafalnya, tapi entah kenapa pada waktu itu, satu ayat suci pun tak terlintas dalam ingatannya. Bacaan bismillah pun tidak dapat diingati.
Dalam ibu cuba menenangkan diri, tiba-tiba muncul seorang wanita, ayu berbaju kebaya.
“Usah takut gadis manis. Aku tak berniat jahat terhadapmu. Aku ingin kirimkan sesuatu untuk datukmu, Ibrahim. Sampaikan salamku padanya. Katakan padanya, andai kata memang tiada jodoh lagi, maafkan aku zahir dan batin serta aku juga memaafkan dia. Semoga dipermudahkan urusannya ke jalan abadi nanti”
Wanita itu memberi pada ibu satu bungkusan herba hutan dan setelah selesai wanita itu berkata-kata, ibu terus berasa dunianya menjadi gelap gelita dan terus tidak sedarkan diri.
Ibu sedar kembali apabila Tok Yam menyiram dirinya dengan air. Dilihat Tok Yem juga ada di sisinya dan ibu tidak lagi berada di belakang, tapi telah berada di dalam rumah.
“Ko ke mana je cu. Risau atok. Kan atok dah pesan jangan masuk tanah orang. Kenapa merayap juga ke sana?”
Ibu cuma terkebil-kebil mendengar bebelan Tok Yam. Tok Yem tidak berkata apa, hanya duduk berehat merenung ke halaman rumah.
“Tok, ada orang sampaikan salam pada atok. Dia ada bagi barang, tapi Icah tak tahu mana dah barang tu sekarang. Tok Yam ada nampak bungkusan hijau tak tadi?”
“Aku dah ambil. Perempuan ye yang jumpa ko tadi?” ringkas Tok Yem membalas. Tok Yam merenung tajam wajah Tok Yem, ibu hanya mengangguk.
“Apa lagi dia pesan pada ko?”, Tok Yem bertanya pada ibu.
“Dia cakap dia maafkan atok, lepas tu dia pun minta maaf kat atok. Siapa dia tu tok? Icah kenal ke?”
“Kenapa dia datang balik Yem? Aku ingat dah putus semuanya. Kalau niat dia nak menyambung balik, aku tak suka. Kita dengan dunia kita, dia dengan dunia dia.” Tok Yam menyampuk.
“Memang dah putus, kalau belum, dia dah jumpa aku sendiri. Dia nak ucap selamat jalan agaknya. Ye lah, aku ni pun tak tahu berapa lama lagi. Ko tak usah risau sangat, dia tahu Asim tu siapa. Ni Icah, dia tu sahabat lama keluarga aku. Lama dah aku putuskan hubungan dengan dia, sejak sebelum aku ke sini lagi. In shaa Allah, dia tak ganggu apa, cuma nak menyapa je.”
Perbualan itu mati di situ. Ibu pun tak ada rasa ingin bertanya lanjut sebab badannya terasa lemah. Dia cuma nak berehat saja dulu. Ibu tak pasti apa yang Tok Yem buat pada bungkusan yang wanita itu beri pada ibu sebab ibu tak pernah nampak lagi bungkusan itu di rumah.
Tak sampai setengah tahun selepas ibu bertemu dengan wanita berkebaya tu, Tok Yem kembali ke rahmatullah. Alhamdulillah tiada sebarang kejadian aneh dan urusan jenazah Tok Yem berjalan dengan sungguh lancar. Ramai saudara serta sahabat yang hadir untuk membantu.
Namun, ibu beritahu, ketika semua lelaki ke kubur, ibu ada terperasan kelibat wanita berkebaya tersebut di sebalik pokok rambai yang Tok Yem tanam di penjuru halaman rumah. Ibu cakap, wanita itu nampak bersedih, tapi bila ibu toleh lagi sekali untuk ditunjukkan pada Tok Yam, wanita itu sudah tiada. Ibu suarakan pada Ayah Ucu setelah mereka pulang dari kubur, Ayah Ucu cakap, mungkin dia cuma nak jengah buat kali terakhir.
Rumah lama Tok Yem dah lama dirobohkan, lepas permergian Tok Yem, Tok Yam berpindah tinggal bersama dengan keluarga ibu. Rumah tu pun dirobohkan dan kayunya digunakan untuk membesarkan rumah keluarga ibu. Tapak rumah tersebut didirikan bangsal untuk meletak hasil kebun dan dusun. Kira tak terbiar macam tu sajalah sebab kalau nak ke dusun keluarga kami pun, masih perlu lalu tapak rumah tu.
Sampai sekarang, bila kami berkunjung ke tapak bekas rumah Tok Yem dan Tok Yam untuk ke dusun, memang ada satu perasaan yang susah nak dijelaskan. Hati macam berdebar dan sayu, tapi tak tahu kenapa terutama kalau berada dekat dengan sempadan tanah belakang yang ada rimbun buluh tu. Tapi perasaan tu akan hilang bila dah lepas dari kawasan tapak rumah lama. Sampai ke dusun memang dah tak ada rasa lain selain dari rasa gembira dan teruja nak memetik buah, hehehehe.
Sekian sahaja untuk perkongsian kali ini. Maaf di atas sebarang kekurangan dalam penceritaan dan jika ada ruang kesempatan yang lain, saya akan cuba kongsikan lagi pengalaman ibu saya.
Sekian,
Makcik Otomen
Org bunian lh tu kot
hi makcik otomen. tomeyy nye namaa
kebaya warna apa.cantik x pmpn tu macik otomen..
Kachi kachi kachi ka…x2
mungkin siti saleha bertudung merah kot.. ataupun perempuan bunian terakhir..
siap berbaju kebaya tu
Elok la dh putuskan hubungan, x elok berkawan dgn jin lama2, blh bg mudarat nnti
Fazura ke makcik
Mgkin tokyem ada hubungn dgn org bunian kot..wallahualam..
Mcm penulis dri cite andik jer ni kan…