Assalamualaykum pembaca setia FS.
Ini Karya ketiga saya, harap FS sudi siarkan agar sesiapa yang membaca mendapat ‘Ibrah atau pengajaran dari cerita yang saya ceritakan.
Bibirnya diketap-ketap sambil melihat buah manga yang sudah kuning meranum di dahan pohon berhampiran pagar belakang itu. Sudah dua kali dia melihatnya sejak membuang sampah semalam. Pada fikirannya siapalah tuan punya pokok mangga ni.
Sejak semalam, fikirannya masih terlekat pada buah mangga itu. Bukan tak pernah makan, malah buah mangga paling besar, paling mahal, yang import malah yang Harum Manis pun pernah dijamah. Inikan pula buah mangga di luar pagar. Apalah sangat!
Tetapi dia silap, gambaran buah mangga ranum yang bergayut di dahan pohon itu membawa ke dalam igauannya. Dia nekad, buah itu mesti dipetik hari ni juga. Dia sudah menunggu 2 hari memerhati, siapakah yang akan memetik buah itu, namun tiada siapa pun yang datang. Lantas dia membuat kesimpulan, pohon itu tidak bertuan.
Buah mangga itu sudah dikeleknya untuk di bawa pulang ke rumah. Tak sabar dia ingin mengupas dan menjamahnya. Perutnya yang sudah kelihatan besar, bergerak-gerak sedikit. Mungkin inilah yang dikatakan orang tua-tua sebagai mengidam. Kandungannya kini sudah masuk 4 bulan.
“Baby tak sabar nak makan ke?”
“Kejap ye, mama kupas. Nanti kita makan.”
Dia berkata sendiri sambil tersenyum sendiri. Puas dapat memetik buah mangga yang diidamnya. Dia tidak menceritakan hal ini kepada suaminya kerana bimbang tidak dapat persetujuan. Bukannya tidak mampu untuk membeli, bahkan suaminya sanggup turun ke Perlis semata-mata untuk membeli buah mangga Harum Manis yang segar dari ladang untuk isterinya yang tercinta.
Malam itu, selepas memakan mangga yang dipetik siang tadi perutnya berasa memulas. Beberapa kali dia berulang ke tandas. Suaminya turut bimbang akan melihat keadaan isterinya itu. Pulang dari klinik doctor cuma mengatakan yang mungkin isterinya tersalah makan. Tiada masalah pada kandungannya. Tapi perut isterinya masih memulas juga. Berpeluh-peluh dia menahan sakit malam itu. Namun, tidak terfikir oleh akalnya untuk menceritakan hal yang sebenarnya pada suami. Bimbang suaminya akan berleter panjang lebar. Malam itu, dia bersabar menahan sakit perut. Asalkan kandungannya selamat, tiada apa yang dirisaukannya.
Malam itu dia seakan terbangun dari tidur tetapi melihat diri sendiri terbaring di katil. Dia terasa seperti terapung di udara. Tiba-tiba bahunya disentuh lembut dari belakang, keadaan sejuk beku menguasai bilik itu seperti dalam labor room. Dia tiba-tiba ternampak seperti dirinya di atas katil hospital dalam keadaan ingin melahirkan anak. Biarpun dia masih belum pernah melahirkan anak, tetapi sering kali dia melihat drama-drama di televisyen. Dia sangat tahu akan keadaan itu. Tidak terlihat seorang doktor atau nurse bersama dengannya dalam bilik itu. TIba-tiba muncul seseorang yang tidak terlihat wajahnya mendekati dirinya yang sedang terbaring dalam kesakitan. Orang itu dilihat dalam kelam. Dia pasti itu bukan doktor kerana orang itu tidak berpakaian putih atau uniform hospital. Tiba-tiba dia merasakan ketakutan yang teramat. Perutnya semakin kuat bergerak-gerak. Sakit yang teramat. Dia dapat rasakan ada tangan yang menyentuh kakinya dan cuba mengangkat kain yang menutupi bahagian bawah badannya. Dia ingin menjerit tetapi suaranya tersekat dikerongkong. Puas dia meronta, tetapi dia tidak dapat menggerakkan anggota badannya hatta bola matanya juga.
Tiba-tiba kesejukan itu semakin menghilang dan menghilang. Dia dapat menggerakkan badannya sehingga menendang kaki suaminya. Basah badannya berpeluh-peluh, walaupun sebentar tadi dia berdepan keadaan sejuk beku. Rupa-rupanya azan subuh berkumandang. Jam menunjukkan pukul 5.25 pagi. Terpisat-pisat suaminya bangun dalam keadaan terkejut.
“Kenapa awak tendang kaki saya?”
“Tak boleh ke bangunkan saya elok-elok?”
Dia tidak menjawab pertanyaan suaminya. Dia masih berfikir akan kejadian tadi. Adakah dia bermimpi? Apakah yang sebenarnya terjadi? Dia meraba perutnya, sakit perut itu sudah hilang. Dia meninggalkan suaminya dengan perbagai persoalan. Belum pernah lagi terjadi perkara seperti itu dalam hidupnya.
Suaminya dilihat sudah keluar bekerja tanpa memberitahunya yang termanggu di depan televisyen. Dia pun tak ambil peduli. Mungkin masih terasa hati dengan peristiwa pagi tadi. Rancangan Tanyalah Ustaz sedang bersiaran di kaca televisyen tetapi fikirannya merewang entah kemana. Dia masih membisu seribu bahasa. Otaknya ligat memikirkan mimpinya malam tadi. Dia terasa tak sedap hati, seolah-olah akan berlaku sesuatu yang buruk hari itu.
Awan gelap menyelubungi pagi yang kelam itu. Terlihat titik-titik hujan mula mencurah dan membasahi luar rumah. Keadaan yang gelap itu membuatnya sedikit gusar. Dia masih rasa berdebar-debar. Terasa seperti keadaan seram sejuk malam tadi akan kembali. Sedang dia duduk menghadap kaca televisyen, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Belum sempat Ustaz dalam rancangan itu membacakan doa, semuanya jadi gelap. Hujan diluar bertambah lebat.
Kilat pula sabung-menyabung menambah kegusaran hatinya. Dia cepat-cepat mencapai telefon bimbit. Mendail nombor suaminya beberapa kali. Tetapi panggilan gagal disambung. Dia mencuba lagi. Masih gagal.
Dia duduk senyap di atas sofa. Pandangannya melilau melihat setiap sudut rumahnya. Dalam hati dia berkata-kata memberikan keberanian semula.
“Apa yang aku takutkan?”
“Sekarang dah jam 7 pagi kan.”
Dia berkata sendiri sambil mengusap perut hamilnya lalu bangun dari sofa.
“Sorry baby, mama terkejut tadi.”
“Kita sarapan dulu ok,”
“Ok….”
Tiba-tiba dia seakan terdengar suara seakan memberi jawapan pada soalannya tadi. Suara itu sayup-sayup kedengaran dicuping telinganya. Tetapi dia dapat mendengarnya dengan jelas.
Terduduk dia kembali.
Jantungnya berdegup kencang. Terketar-ketar dia cuba melihat sekeliling. Cahaya kilat di luar memberikan hightlight pada pandangannya. Melihat di setiap sudut ruang, namun tiada sesiapa di situ. Namun, pandangannya terhenti di kaca televisyen. Monitor yang gelap itu memberi pantulan pada cahaya kilat yang kadang-kadang memecah sunyi. Sekilas pandang dia ternampak seperti susuk tubuh seseorang di hujung ruang tamunya. Berderau darahnya kembali. Perlahan-lahan dia cuba memandang semula, namun tidak ternampak apa-apa.
Allahuakbar, Astaghfirullahala’zim. Dia beristighfar.
Dalam keadaan cemas, tiba-tiba talifon bimbitnya berbunyi hampir tercampak dari tangannya dek kerana terkejut. Suaminya di talian menalifon kembali kerana risau melihat berkali-kali miscalled dari isterinya. Mendengarkan suara suaminya, dirinya yang ketakutan bagai terlepas dari ancaman. Menangis dia di talifon menyebabkan suaminya berjanji pulang ke rumah tengahari itu. Namun, dia tidak menceritakan perihal sebenar.
Suaminya cuba untuk faham yang dia sedang berbadan dua. Hati dan perasaan isterinya perlu dijaga. Dia faham kadang-kala emosi wanita hamil mudah terganggu. Ibunya turut berpesan berkali-kali mengenai hal itu.
Tengahari itu suaminya pulang sambil membawa makanan tengahari. Dia tidak mampu ke dapur, kepalanya terasa berat. Sejak terkejut dengan keadaan tadi, dia mengunci diri di biliknya dan cuba untuk lelap namun gagal. Mungkin sebab itu sakit kepalanya menyerang. Melihatkan keadaanya yang tidak sihat. Suaminya mengambil keputusan untuk mengambil cuti kecemasan separuh hari.
Dalam pada terlelap itu, tiba-tiba dia seakan terbangun dari tidur. Pabila tersedar, dia sudah berdiri di luar bilik tidurnya. Dari luar dia ternampak akan kelibat suaminya bersama seorang wanita di atas katil mereka. Bermimpi lagikah dia? Dia menghampiri katil kelaminnya senyap-senyap dan dia dapat melihat dengan jelas bahawa susuk tubuh seseorang yang baring bersebelahan suaminya itu bukanlah dirinya. Tidak terlihat wajah wanita itu, namun dia yakin ianya seorang wanita melihatkan bentuk tubuh badannya. Rambutnya hitam pekat dan panjang menutup separuh tubuhnya. Hatinya terasa luluh, tiba-tiba suaminya terbangun memandangnya. Suaminya pelik melihatkan dirinya yang kaku berdiri dengan linangan air mata.
“Kenapa ni sayang?” Suaminya cuba memujuk dan menyentuh tangan isterinya.
Namun dengan kasar, dia menolak tangan suaminya dan berlalu meninggalkan bilik tidurnya. Suaminya kebingungan. Kenapa isterinya berperangai pelik sejak pagi tadi. Dia menangis teresak-esak, ingin lari dari rumah dia tak mampu dengan keadaannya itu. Sakit kepalanya kembali menyerang. Tiba- tiba dia pitam, suaminya bergegas mendapatkannya yang rebah di dapur.
Apabila dia membuka matanya, dia melihat suaminya tidur di sisi dengan keadaan masih berpakaian kerja. Amatlah pelik jika ada wanita lain selain dirinya kala tadi. Ini semua hanya permainan mindanya sahaja. Dia cuba untuk tidak membangunkan suaminya yang terlelap kepenatan itu dan bergerak ke tandas untuk menyegarkan badan. Buntu memikirkan apa yang terjadi sebentar tadi.
Di luar bilik suaminya yang terlelap kepenatan tersedar dari lena. Suaminya sayu melihat keadaan isterinya yang terbaring pucat lesi disebelahnya. Lantas suaminya bangun dan mendekati isterinya yang sedang nyenyak tidur lalu memegang tangan isterinya lembut. Sejuk betul tangan isterinya.
Lantas si suami berkata separa kuat.
“Kenapa dengan sayang ni?”
“Risau abang tengok sayang.”
Tiba-tiba isterinya bangun dengan mata terbeliak memandang si suami. Dengan mata yang terjegil dan merah, isteri itu memandang suami dengan pandangan tajam. Lampu bilik pula menjadi semakin malap dan berkelip-kelip. Tiba-tiba, tangan yang dipegang suami tadi berubah menjadi hitam dan membusuk. Si suami sangat terkejut dan menjerit sehingga terjatuh dari katil. Isterinya yang berubah menjadi makhluk ganjil itu tiba-tiba bangun dan melayang di udara dengan suara seperti mengilai. Si suami yang melihat dengan mata kepalanya mengigil ketakukan. Lupa untuk beristighfar. Bau busuk mula memenuhi ruang bilik aircond itu. Sedang si suami terbatuk-batuk menahan nafas, isterinya yang sebenar pula keluar dari bilik air kehairanan melihat keadaan suami yang ketakutan.
“Kenapa ni abang?”
“Macam nampak hantu je?”
Isteri semakin hairan melihat bantal dan selimut berserakan di lantai. Si suami masih tergamam dengan peristiwa tadi.
Malam itu, si suami tak dapat tidur. Dia risau perkara seperti tadi berlaku kembali. Si suami akur yang dia sudah lama tidak solat malam dan bertadarus Al-Quran. Dia juga lupa untuk mengajak isterinya bersama-sama mengimarahkan amalan solat malam. Seingatnya kali terakhir dia bertadarus adalah di bulan Ramadhan yang lalu, lebih kurang 6 bulan lepas. Sejak itu, sudah lama dia tidak menyentuh Al- Quran. Melihat isterinya yang sarat itu, dia insaf akan kehilafan dirinya yang bakal menjadi bapa. Syukur, tiada apa yang terjadi malam itu.
Berharap yang esok segalanya akan kembali seperti sediakala, si suami cuba untuk tidak menceritakan hal yang terjadi kepada isteri kerana bimbang akan keadaan isterinya.
Pagi itu berlalu seperti biasa. Manisah, ibu muda itu berehat-rehat di balkoni sambil menikmati udara pagi. Suaminya sudah pergi kerja seperti biasa. Dia tidak membuka televisyen, dia cuba untuk menghabiskan masa dengan membaca buku berkenaan kehamilan yang dibelinya tempoh hari. Buku itu mengandungi tips-tips untuk mudah bersalin, amalan berpantang dan sebagainya. Kini kandungannya sudah masuk Trimester kedua dan menanti cuma beberapa bulan saja lagi untuk hari kelahiran. Sesungguhnya dia dan suaminya amat teruja dengan kehadiran insan baru yang akan menyinari hidup mereka berdua.
Malam itu, suaminya pulang lewat dari tempat kerja. Manisah hanya memesan makan dari talian kerana tinggal berseorangan. Dia cuba untuk tidak mengingati peristiwa pelik yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Dia hanya duduk di ruang tamu menonton televisyen sementara menanti makanan yang dipesannya sampai. Dia hanya memesan pizza untuk makan malam.
“Ting Tong!”
Loceng rumahnya berbunyi, dia pantas bangun mengambil beg duit dan berjalan ke arah pintu. Pabila pintu di buka, tiada kelibat sesiapa pun di hadapan pagar. Dia memberanikan diri untuk meninjau dengan lebih dekat. Benar. Tiada sesiapa di koridor itu. Dia tidak membuka pagar, namun dia dapat lihat keseluruhan koridor sehingga ke hujung. Tiada sesiapa di situ. Hatinya berdebar, dia takut perkara pelik seperti kelmarin berlaku lagi. Cepat-cepat dia menutup pintu rumahnya.
“Ting Tong! Ting Tong! Ting Tong! Ting Tong!”
Loceng rumahnya kembali berbunyi tanpa henti. Menjerit dia ketakutan di dalam rumah.
“Ya Allah, apa semua ni.”
Terketar-ketar dia mencapai telefon bimbitnya dan cuba menghubungi suaminya. Loceng rumah yang berbunyi masih belum berhenti. Tiba-tiba telefon di tangannya berbunyi. Nombor yang tidak dikenali muncul di skrin. Bunyi loceng pun terhenti.
Terketar-ketar dia mengangkat telefon. Di talian, pihak pizza menalifon memberitahu akan lambat sedikit kerana jalan jem dan hujan. Mereka akan memberikan kupon kerana kelewatan. Jantungnya berdegup kencang, kini dia buntu siapa yang menekan loceng rumahnya tadi.
Perkara tadi tidak diceritakan pada suaminya yang pulang dengan pizza ditangan. Suaminya berkata sudah lama budak pizza tu tunggu depan pagar, nasib suaminya kebetulan sampai di rumah lalu membayar pesanan tersebut. Bebelan suaminya seperti tidak didengar, dia masih buntu dan terkejut dengan kejadian di awal tadi. Risau dengan keadaan isterinya yang pucat itu, suaminya cepat-cepat menghidangkan pizza di meja makan.
Mereka duduk senyap di meja makan, hilang seleranya memikirkan perkara tadi. Si suami yang pulang dalam keadaan penat itu tidak dihiraukannya. Malah setiap persoalan suaminya ditinggal sepi. Bungkam hati suaminya mengenangkan perangai isterinya itu, lalu dia meninggalkan meja itu untuk ke bilik dan mandi.
Di meja makan, Manisah masih termanggu. Perutnya bergerak-gerak. Namun seleranya sudah tiada untuk menjamah pizza tadi. Dia tiba-tiba teringin nak makan telur ayam. Cepat-cepat dia menyelongkar cabinet daput dan peti sejuk mencari telur. Seperti kerasukan, dia menjadi marah bila tidak berjumpa walau sebiji telur ayam pun. Habis semua periuk belanga ditolaknya jatuh ke lantai. Terkejut dengan bunyi bising di dapur, suaminya cepat-cepat keluar dari bilik air. Tergamam suaminya melihat dapur yang hingar-bingar, lantas mencari kelibat isterinya. Dia melihat isterinya sedang duduk berteleku menangis di bucu dapur. Berderau darahnya tiba-tiba.
Suaminya mendekatinya dan bertanya dengan lembut.
“Kenapa ni sayang?”
“Kenapa jadi macam ni?”
Dia memujuk si isteri yang masih tunduk dengan rambut menutupi mukanya sambil menangis teresak-esak. Walaupun suaminya juga takut, namun dia harus memberanikan diri demi isterinya.
“Aku nak makan!”
Tiba-tiba isterinya bersuara. Suaranya kali ini bertukar garau. Tersentak si suami sehingga terduduk mendengarkan suara isterinya. Tiba-tiba Manisah mengangkat mukanya. Rambutnya terurai kusut masai. Matanya terbuntang, melilau dan memandang liar. Dia merangkak mendapatkan suaminya yang terduduk terkejut dengan sapaan suara isterinya sebentar itu. Si suami yang terkejut pantas bangun menjauhi isterinya yang bukan seperti isterinya itu. Keadaan isterinya yang sarat itu menyukarkannya untuk bergerak laju. Terkumat kamit dan terketar-ketar suaminya membaca Ayat Kursi dan apa-apa sahaja surah yang terlintas di kepalanya. Manisah tiba-tiba mengilai dengan suara yang tak pernah didengari suaminya sebelum ini lalu rebah tak jauh darinya.
Risau dengan keadaan isterinya yang sedang berbadan dua itu, suaminya memberanikan diri mendekati isterinya. Sebaik sahaja dapat memegang isterinya, si suami cepat-cepat mengucapkan kalimah syahadah di telinganya.
“La ilaha illallah..Muhammadurrasulullah..” berkali-kali sehingga isterinya lemah dan tak sedarkan diri.
Isterinya masih tak sedarkan diri, dia ingin membawa isterinya ke klinik namun dia pasti bukan doktor yang boleh mengubati isterinya. Suaminya memasang ayat-ayat bacaan Al Quran di televisyen. Pelbagai benda pelik yang terjadi sejak akhir-akhir ini pastinya berkaitan dengan peristiwa ini. Lalu dia dengan pantas menalifon Kakak Ipar isterinya (biras) yang tinggal berdekatan dan menceritakan hal yang terjadi. Malam itu, kakaknya datang melawat selepas dia menceritakan hal yang terjadi kepada dia dan isterinya. Hasil bertanya pada group Whatsapp Masjid di qariahnya, suami Manisah dapat memanggil seorang Ustaz dan pembantunya. Nasiblah suaminya pernah aktif dalam aktiviti masjid, biarpun jarang-jarang menjejakI tangga masjid dikala ini.
Manisah yang sedang tidur seakan seperti terbangun dalam mimpinya. Dia bangun dari mimpi, namun masih berada dalam mimpi lagi. Keadaan gelap sunyi itu menyebabkan dia ketakutan melihat sekeliling. Keadaan hitam pekat itu, menyebabkan dia berdiam diri. Tiba-tiba dia terasa ada sesuatu yang melingkari perutnya. Pelukan itu semakin kuat menyebabkan dia mengerang kesakitan. Jeritannya meminta tolong tidak didengari sesiapa. Semakin lama, dia menjadi semakin lemah dan terduduk longlai. Nafasnya tersekat-sekat. Matilah dia kali ni.
Tiba-tiba ada cahaya memancar dari suatu sudut jauh dari tempatnya. Dengan cahaya itu, dia dapat melihat ada tangan yang melingkari perutnya. Tangan hitam, berbulu itu tetap memeluknya kuat dari belakang. Puas dia cuba melepaskan diri, namun gagal. Dia cuba mengucap dan membacakan ayat Al Quran, namun satu ayat pun tidak singgah di mindanya. Dia menangisi keadaan itu, kerana terasa lemah dan putus asa.
Tiba-tiba Manisah merasakan ada angin bertiup menghembus segala kegelapan dan pelukan maut itu berlalu. Barulah dia dapat bernafas semula. Dia akhirnya dapat membuka matanya dan kembali ke alam yang nyata. Dia dapat melihat suaminya menangis di sisi dengan ditemani kakak iparnya. Dia juga terlihat seorang ustaz sedang membacakan ayat AlQuran di hadapannya. Dia terbaring di sofa dengan telekung membaluti tubuhnya. Sayup-sayup ada bacaan Al-Quran diperdengarkan di kaca televisyen. Hatinya terasa lapang.
Dia menceritakan hal yang sebenarnya yang membawa kepada peristiwa pelik yang berlaku. Namun, adalah sukar dimengerti akan hal sebegini. Suaminya marah dengan tindakannya yang memetik buah mangga seperti yang diceritakannya itu. Keesokkan paginya, suaminya di temani ustaz itu pergi kawasan pokok mangga yang diceritakan isterinya namun tidak berjumpa. Puas mereka melihat sekeliling namun tidak berjumpa pohon mangga. Bahkan bila mereka bertanya dengan seorang makcik yang kerap mengutip sampah di situ, makcik itu tak pernah ternampak akan pokok mangga yang berbuah di kawasan itu. Kawasan itu kawasan pembuangan sampah, mana ada pokok yang tumbuh, inikan pula pokok mangga. Benar juga kata makcik itu. Mereka pulang ke rumah dengan kehairanan. Persoalannya, bagaimana isterinya boleh melihat, memetik, malah memakan buah mangga itu? malam itu mereka melakukan solat hajat meminta petunjuk Allah atas perkara yang berlaku. Namun masih tiada jawapan.
Sejak kakak iparnya datang menemaninya di rumah, Manisah tidak mengalami gangguan lagi. Ustaz datang ke rumah mereka setiap malam, membacakan rukyah dan memagar rumah. Manisah yakin dia sudah sihat. Dia tidak ingin lagi menyusahkan kakak iparnya yang sepanjang minggu ini menemaninya di rumah pabila suaminya keluar bekerja.
Dia masih trauma dengan peristiwa yang berlaku, namun segalanya sudah pulih seperti sediakala. Dia akan melahirkan anaknya di kampung, Ibunya kerap kali berpesan agar dia pulang lebih awal untuk mempersiapkan diri. Lagipun, ini kandungan pertamanya. Dia dan seluruh keluarganya begitu teruja dengan kehamilan ini. Tiba hari yang ditunggu, suaminya telah menghantar dia pulang ke kampung dua minggu sebelum tarikh yang sepatutnya. Katil hospital telah ditempah, persiapan dan persalinan juga telah sedia. Dia sudah bersedia ke hospital bila-bila masa sahaja.
Malam itu, perutnya tiba-tiba sakit, terasa masanya sudah tiba. Dia membangunkan suaminya yang baru sahaja tiba di kampung malam itu. Jam menunjukkan jam 1.30 pagi. Dia menahan sakit menanti suaminya menghidupkan kereta dan memapahnya ke luar. Tiba-tiba ibunya datang dengan tergesa-gesa menarik tangannya masuk ke dalam bilik. Terkejut Manisah melihat ibunya bertindak sedemikian. Dia terduduk apabila ibunya menolaknya masuk ke dalam bilik ditengah rumah itu dan menguncinya dari luar. Bilik itu dipenuhi dengan kain kuning. Dia tidak pasti bila masa ibunya menghias bilik itu.
Dia tidak sempat menjerit kepada suaminya. Dia juga tidak pasti kenapa ibunya bertindak sedemikian.
“Mak, tolong buka pintu mak. Ani nak pergi hospital.”
“Abang! Tolong Manisah!”
Manisah sudah menangis teresak-esak. Dia hairan dengan sikap ibunya. Dia merasakan apa yang terjadi ini bagaikan mimpi. Kenapa dengan ibunya? Di manakah suaminya? Di manakah ayahnya?
“Ayah, tolong Manisah!!” Manisah masih menjerit-jerit dari dalam bilik berkunci itu namun tiada siapa yang datang menyelamatkannya.
“Ya Allah, tolong aku!” Manisah sudah terduduk menahan sakit. Dia merasakan ada darah mengalir dalam kainnya. Sakit perutnya menusuk-nusuk. Adakah masanya bersalin sudah tiba. Dia kaget. Dalam hatinya hanya berdoa agar Allah menyelamatkannya malam ini.
Jeritannnya semakin kelam, tangisannya semakin menjadi-jadi namun tiada siapa datang membantu.
Lampu di bilik itu tiba-tiba malap dan berkelip-kelip. Tepat di sudut bilik yang malap itu Manisah dapat melihat ada susuk tubuh seseorang yang duduk tunduk menghadap dinding kuning itu. Rambutnya mengerbang dan panjang sehingga memenuhi lantai. Bau busuk dan hanyir memenuhi ruang bilik itu. Manisah sudah hilang kata, tangisannya juga sudah tiada bunyi. Matanya seperti terpaku pada makhluk itu. Dalam terketar-ketar, dia cuba bangun untuk menyelamatkan diri namun tidak berhasil untuk berdiri. Makhluk itu tiba-tiba berpaling perlahan-lahan. Tidak terlihat di mana wajahnya dan badannya kerana Manisah sudah seakan pitam dalam pada itu. Manisah terasa dia sudah terbaring dilantai. Dia menangis meraung menahan sakit. Perutnya terasa pedih seperti ditoreh-toreh. Dia tidak melihat apa yang dilakukan makhluk itu kerana menutup mata menahan takut dan sakit. Dalam hatinya tak putus berdoa.
“Ya Allah, tolong aku Ya Allah.” Segala ayat-ayat Al Quran yang pernah dibaca hilang dari ingatannya. Dia hanya teringat akan mati malam itu.
Tiba-tiba dalam keadaan berputus asa itu, Manisah teringat pada pesan Ustaz yang mengubatnya dahulu. Tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah dalam apa jua situasi. Dalam keadaan getir ini, Manisah seperti diberi kekuatan untuk bangun dan berusaha menyelamatkan diri demi anak yang dikandungnya ini. Dengan lafaz Bismillah, segala ketakutan itu hilang dan dia bisa bangun dari kekakuan itu.
Pabila dia membuka mata, seluruh keadaan berwarna putih. Dia sudah tidak berada di bilik kelam itu. Rupanya dia berada di hospital. Ibu, Ayah dan suaminya berada di sisi melantukan ayat-ayat suci Al Quran. Dia menghela nafas lega dan bersyukur dalam tangisan. Suaminya cepat-cepat mendapatkannya.
“Alhamdulillah, Ani dah sedar.”
Teringatkan peristiwa tadi, Manisah meraba-raba perutnya lantas memikirkan nasib anaknya.
“Mana anak kita bang?”
Suaminya hanya menitiskan air mata bila ditanyakan persoalan itu. Ibu dan ayahnya juga turut menangis menahan syahdu.
Innalillahiwa innailaihi rojiun.
Bayi yang dikandungnya telah meninggal dunia. Dia bukan keguguran tetapi apabila doktor mengeluarkan janin itu, keadaan janin itu seperti sudah mereput dari dalam perut. Bahagian kaki dan kebawah sudah hancur. Doktor sendiri tak dapat mentafsir apa yang berlaku.
“Serahkan pada Allah, Allah lebih tahu apa yang terjadi. Bersabarlah.” Pesan Ayah dan Ibu pada mereka suami isteri.
Dia mengambil masa yang lama untuk pulih dari kesedihan dan kehilangan. Perkara yang terjadi pada malam itu juga diceritakan pada keluarganya. Ibu dan ayah Manisah amatlah terkejut dengan perkara ini. Gangguan yang terdahulu juga tidak sampai pada pengetahuan ayah dan ibunya membuat Manisah sedikit hairan. Perihal kakak Ipar yang menemaninya seminggu di rumah juga tidak diketahui Ibu dan Ayahnya.
Namun, masing-masing menyerahkan segalanya pada Allah. Ayah dan Ibu Manisah memanggil seorang Ustaz di kampung untuk memulihkan Manisah dan memagar rumahnya berikutan peristiwa itu. Biarpun perkara yang terjadi pada Manisah ketika itu cuma mimpi bilamana dia pengsan di pintu rumah tatkala ingin berangkat ke hospital pada malam kejadian itu. Namun, kesannya seadakan nyata terjadi. Ustaz tidak memberikan sebarang komen. Cuma nasihatnya, jagalah solat dan dekatkan diri dengan Al Quran, mengaji dan belajarlah Al Quran dengan lebih mendalam. Hanya ayat-ayat Allah sahaja yang bisa mengubati jiwa manusia yang kosong.
Setahun sudah berlalu, kini Manisah hamil lagi. Rezeki dari Allah. Cuti hujung minggu kali ini, dia dan suami pulang ke kampung bagi menziarahi Ibu dan ayahnya. Turut sama pulang ke kampung adalah kakak iparnya. Dia pulang sendirian tanpa suami. Biarpun kakak iparnya sudah berkahwin lain sejak kematian Abang Sulongnya setahun dahulu, namun hubungan kekeluargaan itu masih erat. Selalu juga Kakak iparnya pulang ke kampung sendirian. Dahulu, Manisah juga sering bercerita perihal dirinya keapada kakak iparnya kerana hubungan mereka yang agak rapat. Biarpun telah berkahwin 2 kali, namun Kakak Iparnya masih belum berpunya cahaya mata, jadi perihal kehamilan Manisah begitu mengujakan dirinya untuk berkongsi rasa.
Namun, sejak peristiwa hitam pada kehamilan yang lalu, Manisah seperti trauma untuk bercerita tentang kehamilannya. Dia hanya bercadang untuk bercerita pada Ibunya hujung minggu itu. Lagipun kandungannya baru mencecah dua minggu.
Melihat kakak iparnya sedang masak di dapur, Manisah hanya menemaninya sambil berborak. Ibu, suami dan ayahnya berada di depan bersembang petang. Rezeki musim buah. Di mana-mana sahaja meriah dengan buah-buahan tempatan. Di meja makan juga penuh dengan buah manggis dan rambutan yang dipetik dari belakang rumah. Tiba-tiba Manisah ternampak sebiji buah mangga yang membuat jantungnya berderau. Manisah memberanikan diri mengambil buah itu dan membeleknya. Terasa pernah dilihat sebelum ini. Tiba-tiba fikirannya membawa kepada kenangan buah mangga dahulu. Tercampak buah itu ke lantai kerana tindakan spontan Manisah yang terkejut.
Tiba-tiba Kakak Iparnya bersuara, tanpa menoleh ke arahnya.
“Kenapa Ani?”
“Kau tak kenal buah yang kau curi dulu?”
“Akak bawak jauh buah tu untuk kau, kau kan tengah mengidam!”
Kakak ipar Manisah bersuara keras.
Bulu roma Manisah tiba-tiba meremang, bagaimana Kakak Iparnya tahu akan kehamilannya sedangkan dia belum lagi bercerita kepada sesiapapun dirumah itu. Terketar-ketar Manisah ingin bersuara. Dia ingin menjerit memanggil suami, ayah dan ibunya namun lidahnya kaku. Kakak Iparnya menoleh dan memandangnya dengan pandangan tajam dan tersenyum sinis. Manisah pengsan di situ juga.
Sejak peristiwa itu, Kakak Iparnya telah menghilangkan diri dan tidak lagi menghubungi keluarga Manisah. Adakah Kakak Iparnya adalah dalang dalam peristiwa hitam itu? Kenapakah Kakaknya Iparnya berkelakuan begitu? Apakah niat disebalik perbuatannya itu? Segalanya tidak dapat dipastikan. Namun, biar apapun yang terjadi berlindunglah hanya pada Allah SWT. Berdoalah pada Allah supaya menyelamatkan kita dari tipu daya syaitan.
Wallahua’lam.
Ya Allah takutnyaaa. Btw bestt sangat cite ni 😍
Terima Kasih Meawwww sebab sudi baca..
Allahuakbar….
Seramnya…. meremang-remang bulu roma membacanya. Kalau ini cerita benar, penulis cuba amal Bismillah 5 ya untuk ikhtiar melindung diri. Semoga penulis dan anak dalam kandungan sentiasa dalam lindungan Allah dan terpelihara dari segala kejahatan iblis dan syaitan.
Terima Kasih sebab sudi baca..
InsyaAllah, sama2 Kita amalkan sbg pendinding diri..
Best cite ko ni cu…
Terima Kasih Nek sebab sudi baca..
Ya Allah..seram nya😣..
Terima Kasih Tinie sebab sudi baca..
Gred AAA++ cerita ni..
Terima Kasih Mawar sebab sudi baca..
Ada sambungan tak..apa yg terjadi selepas tu..kakak ipar dia tu benar2 wujud ke..?kemana agak nya kakak ipar dia tu lari???
Terima Kasih Blackrose sebab sudi baca.. InsyaAllah nantikan sambungannya.
Ujian betol😅
Terima Kasih Han Yuuki sebab sudi baca..
cite yg baru2 ni semuanya best2. terbaikkk
Terima Kasih Cikpah sebab sudi baca..
best dan seram cerita nie..
Terima Kasih CikPeah sebab sudi baca..
Sambung la lg citer tu…
Terima Kasih sebab sudi baca..InsyaAllah nantikan sambungannya
Terima Kasih sudi baca cerita ni.. InsyaAllah nantikan sambungannya..
Yg ni steady punya cerita…aku salute!
Terima Kasih Momok sebab sudi baca..
Besttt…smbil baca smbil sy membayangkan keadaan cerita ni..serammm
Terima kasih Noni sebab sudi baca..
macam ada kene mengena ngan kakak ipar jer peristiwa tuu…sbb lps perli x dtg2 pulak…aisehhh….xperlaaa…husnudzon jerlaa…org yg berbuat jahat pasti ada balasannya esok2…
Terima kasih sheera_schaa sebab sudi baca..
InsyaAllah, perbuatan jahat tu takkan terlepas..mesti ada balasannya..serah je pada Allah.
True story ke???? Please smbg…
Terima kasih Cik Sue sebab sudi baca..
To be honest, based on true story..InsyaAllah nantikan sambungannya..