Tarikh : 31 Jan 2019
Waktu : 1700pm
Lokasi : Hospital Lama
DIA menarik nafas dalam sebelum dihela perlahan. Pintu kereta dikuak lalu dia mula melangkah keluar sambil kamera di tangan dipegang kemas. Butang on ditekan dan rakaman dimulakan. Langkahnya terus dihala menuju ke arah bangunan wad yang telah dikosongkan.
Struktur bangunan masih lagi kelihatan utuh. Senibina lama, namun tegapnya masih memasak bumi. Dia berjalan menyusur laluan pejalan kaki yang sudah sedikit bersih berbanding sebelumnya.
“Assalammualaikum dan salam sejahtera semua. Baiklah, hari ni sekali lagi saya berada di hospital lama di wad bersalin. Yang mana keadaan sekitar hospital ni telah dibersihkan. Rumput-rumput dan pokok yang tumbuh meliar kebanyakkannya sudah ditebang dan diracun bagi tujuan pembersihan. Aktiviti hari ni tak lama, saya cuma ada masa dalam satu jam untuk explore dalam kawasan ni,” ujarnya kepada kamera, memulakan intro.
Hayunan langkah masih diteruskan. Lensa kamera dari jenis DJI OSMO X3-Z AXIS terus dihalakan ke serata arah bagi merakamkan keseluruhan keadaan bangunan yang telah wujud sejak dari zaman tanah melayu dijajah lagi.
Dia punya misi. Misi di mana setiap jejak langkahnya pasti ada sesuatu yang tersirat untuk dipersembahkan kepada masyarakat umum, sama ada untuk menggali sejarah yang sudah sekian lama terpahat atau mungkin meneroka satu lagi sisi halus dunia yang jarang terbias dek mata kasar manusia.
“Okay, sekarang ni saya akan masuk ke dalam bangunan. Kita tengoklah apa yang ada dekat dalam tu.”
Pintu utama wad Melor yang terbuka sedikit ditolak agar bukaannya lebih luas. dengan hati yang bulat dia melangkah masuk. Bau pengap dan udara yang lembab sedikit mengganggu rongga pernafasannya namun dia tetap meneruskan langkah.
Ruangan wad tersebut agak luas. Terdapat beberapa rak almari yang tergeletak berselerakan ditinggalkan. Fail-fail lama juga bertaburan di atas lantai. Dia mendongak memandang siling bangunan. Kamera dihalakan ke arah yang sama, dapat dilihat runtuhan-runtuhan siling di sana sini dan tidak kurang juga pada dinding bangunan yang sudah dilitupi lumut dan kuat menandakan ianya sudah lama dibiar tidak diselenggara.
“,” ujarnya lagi memberi info terkini.
Dia berjalan masuk lebih ke dalam bahagian wad lagi. Kawasan tengah wad tersebut lapang tidak berperabot. Tingkap-tingkap di sekeliling bangunan juga bertutup rapat.
“Sekarang ni saya berada betul-betul di tengah bangunan yang mana di sinilah para pesakit ditempatkan serta dirawat. Jika dapat dilihat, ruang di sini luas dan boleh menempatkan hampir dua puluh buah katil pesakit pada satu-satu masa.”
Kreekk…
Sepantas kilat dia berpaling sambil menghalakan kameranya ke arah datangnya bunyi daun pintu tersebut.
Kreekk…
Spontan dia meraup wajah. Tersenyum nipis.
“Kalau anda boleh dengar, itu bunyi pintu. Seolah dibuka dan ditutup.”
Tanpa berkira-kira, dia terus berjalan ke arah bilik-bilik yang terdapat di hujung bangunan wad tersebut. Terdapat tiga buah bilik. Mengikut perkiraannya sendiri, bilik-bilik tersebut berkemungkinan adalah bilik ketua jururawat atau mungkin juga bilik yang menempatkan spesimen pesakit dan mungkin juga bilik simpanan barangan rawatan.
Kreekk…
“Masih berbunyi lagi. Ini adalah bilik pertama yang mana daun pintunya sudah tercabut. Tidak pasti sama ada ianya tercabut kerana dimamah usia atau sengaja dicabut.”
Kamera dihalakan ke dalam bilik pertama tersebut. Merakam kawasan ruang kecil bilik tersebut sebelum dia beralih ke bilik seterusnya.
“Ini bilik kedua. Dan bunyi pintu tu masih lagi ada dari bilik hujung. Kita tengok sekejap lagi,” ujarnya dengan nafas yang sedikit terengah.
Keadaan bilik kedua juga sama seperti bilik pertama. Tiada sebarang perabot, hanya terdapat beberapa fail dan kertas-kertas lama yang berselerakan serta basah di atas lantai.
Langkahnya kemudian terus dihala menuju ke bilik terakhir. Bilik yang menyumbangkan bunyian daun pintu. Penuh berhati-hati dia menyentuh tombol pintu lalu dipulas, pintu kayu tersebut ditolak seluas mungkin. Kosong. Ruang bilik tersebut juga kosong. Dia kembali berpatah balik meninggalkan deretan bilik di hujung bangunan wad itu.
“Pintu dah berhenti berbunyi.”
Dia berpatah kembali ke tengah wad. Nafasnya di hela kasar.
“Fuhh, berdebar.”
Kreekk…kreekk…
“Dengar tak pintu tu berbunyi lagi bila saya dah sampai dekat kawasan tengah-tengah wad ni.”
Dia berhenti betul-betul di tengah wad sepertimana sebelumnya dia menuju ke arah kawasan bilik-bilik tersebut.
“Cukuplah setakat tu, kita pergi cari wad bersalin pula.”
Dia meneruskan langkah.
Kreekk…Bam!
Lipat maut dia berpaling memandang ke arah bilik paling hujung yang mana daun pintunya sudah tertutup rapat.
“Dia dah suruh balik tu,” selorohnya pada muka lensa kamera sambil tersenyum nipis mengurangkan debar.
Langkah terus dihayun keluar dari bangunan wad. Laluan pejalan kaki kembali disusuri sambil kameranya masih terus merakam. Kawasan sekeliling bangunan hospital tersebut sudah dibersihkan hampir 70 peratus. Jika kali pertama dia menjejakkan kaki pada misi sebelum ini, kawasan tersebut masih dikelilingi pokok-pokok yang merimbun serta semak-samun yang meninggi.
“Sekarang ni kita masuk wad bersalin pula. Saya tak tahu apa beza di antara dua buah wad ni. Sebab sebelah kiri ni wad bersalin dan sebelah kanan juga dinyatakan sebagai wad bersalin. Kita masuk yang di sebelah kanan. Bismillah…”
Lampu LED digunakan bagi memberi sumber cahaya kerana kawasan wad yang sedikit gelap dan berbahaya agak menyukarkannya untuk bergerak. Bangunan wad bersalin itu lebih suram dari bangunan yang pertama dimasukinya. Dia berdiri seketika, melempar pandangan ke serata ruang sambil lensa kamera tetap merakam setiap detik dan sudut.
Sekali lagi dia melepas nafas.
“Terus-terang saya katakan, hospital lama ni sangat menakutkan walaupun pada waktu siang. Aura dekat sini agak lain.”
Dia meneruskan penerokaan di dalam wad tersebut. Setiap ruang dan bilik dijejakinya. Dilihat sekali lalu sebelum berlalu ke ruang lain. Langkahannya membawa hingga ke bahagian luar wad yang bersambung dengan laluan berbumbung.
“Di sebelah kiri saya ni adalah bangunan hospital yang paling lama yang dibina keseluruhannya dari kayu.”
Seketika dia berdiri memandang ke seberang jalan yang menempatkan bangunan hospital kayu tersebut. Kawasan yang dirimbuni dengan rumput-rumput kering yang telah diracun. Dia kembali mengorak langkah hingga ke hujung bangunan.
“Baiklah, itu sahaja untuk hari ni yang dapat saya kongsikan tentang hospital lama. Untuk video penuh, saya akan muat naik di channel seperti biasa. Akhir kata, jumpa lagi untuk aktiviti akan datang,” ujarnya mengakhiri rakaman.
Dia terus berjalan menuju ke arah kereta yang diparkir di bahu jalan. Mujur juga pihak keselamatan hospital tersebut sudi memberi izin kepadanya untuk memandu kenderaan hingga ke bangunan wad tersebut. Jika tidak, jenuh juga dia hendak berjalan dari pintu pagar utama.
Dia berjalan dari dapur menatang mug berisi air suam menuju ke ruang tamu. Televisyen yang terpasang dibiarkan, cuma nada suara direndahkan agar tidak menganggu kosentrasi. Nyatanya dia tidak sukakan suasana yang terlalu sunyi dan terlampau hingar. Cukup sekadarnya bagi membunuh rasa bosan.
Pandangan kembali terpaku pada skrin laptop. Laju tangannya menggerakkan tetikus, ikon anak panah mula menari di atas skrin laptop. Dia perlu menyudahkan kerja-kerja mengedit rakaman yang telah dibuat sebelum dimuat naik ke peranti Youtube. Para pengikutnya sedang menanti buah tangan terbaru darinya dan dia tidak mahu menghampakan mereka.
“Im, tak tidur lagi?”
Spontan dia mengurut dada. Terkejut.
“Belum, mak.” Sambil dia berpaling sekilas ke arah emaknya yang berdiri di antara laluan bilik.
“Buat apa sajalah tu. Waktu orang tidur, kamu merayau merata tempat. Dah teringin sangat nak jadi burung hantu? Waktu cuti pun tak pernah lekat di rumah,” bebel Puan Rohaya sebelum melangkah ke dapur.
Fahim hanya diam tidak membalas, tahu silapnya. Tapi dia tidak merambu tidak tentu hala, dia punya hobi. Dan hobinya tidak sia-sia walau tampak pelik. Cuma penerimaan orang keliling pastinya berbeza-beza.
“Im! Dengar tak apa mak cakap?” sergah Puah Rohaya apabila soalannya tidak bersambut Fahim. Anak lelakinya itu ralit dengan dunianya.
“Mak tanya apa?”
“Mak tanya, bila kamu nak berhenti buat kerja-kerja tak berfaedah ni?” ulang Puan Rohaya lagi. Geram hatinya tiap kali memikirkan tentang anak keduanya itu.
“Nantilah, mak.”
“Itu sajalah jawapannya. Ingat Im, malang tak pernah berbau. Jangan apa yang kamu cari tu nanti memudaratkan orang lain pula,” tutur Puan Rohaya lagi sebelum dia berlalu ke dalam bilik.
Fahim hanya diam. Tidak menafikan kata-kata emaknya. Setiap yang dia lakukan punya risiko yang tersendiri dan dia tetap bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal timbul. Bukan dia hendak mendabik dada, cumanya sedikit sebanyak dia tetap mempersiapkan diri demi sebarang kemungkinan. Fokusnya kembali menala pada skrin laptop. Masih banyak yang perlu diedit bagi memastikan setiap footage yang diperolehi tidak terlepas pandang.
“Im, tak tidur lagi?”
Sekali lagi Fahim mengurut dada. Terkejut dek sapaan emaknya.
“Belum lagi mak,”
“Buat apa sajalah tu. Waktu orang tidur, kamu merayau merata tempat. Dah teringin sangat nak jadi burung hantu? Waktu cuti pun tak pernah lekat di rumah,” bebel Puan Rohaya.
Fahim termengkelan. Dialog yang sama diucapkan emaknya. Spontan dia memandang jam di dinding. Hampir menginjak ke angka tiga pagi. Dia berpaling memandang Puan Rohaya.
“Mak bukan baru tadi masuk bilik ke?”
“Apa yang kamu merepek ni, Im? Mak baru je bangun ni ha, nak ke dapur. Tekak dahaga pula.”
Fahim terpinga-pinga. Dia masih ingat dengan jelas, baru sahaja tadi dia melihat emaknya ke dapur, meleteri dirinya dan kemudian kembali semula ke dalam bilik. Dan kini emaknya kembali muncul bertanyakan soalan yang sama seperti mula-mula tadi.
“Im!”
“Ad.. ada apa mak?” soal Fahim.
“Mak tanya, bila kamu nak berhenti buat kerja-kerja tak berfaedah ni?” ulang Puan Rohaya lagi.
Fahim menelan liur. Soalan itu, sama.
“Nan…natilah, mak.”
Puan Rohaya menggeleng. Sudah habis ayat untuk dia meleteri anak yang satu itu.
“Itu sajalah jawapannya. Ingat Im, malang tak pernah berbau. Jangan apa yang kamu cari tu nanti memudaratkan orang lain pula.” Puan Rohaya kembali menghilang ke biliknya.
Fahim terdiam. Fikirannya seperti kosong. Skrin televisyen dipandang, kemudian beralih pada skrin laptop dan sudahnya ke arah muka pintu bilik emaknya. Dia keliru sendiri. Dia menarik nafas dalam seraya menggeleng beberapa kali. Masih cuba untuk berfikir secara rasional.
“Perasaan kau je ni, Im,” pujuknya menyedapkan hati sendiri.
Dia kembali menyudahkan kerja-kerja yang tergendala seketika tadi. Fokusnya kembali ditumpukan pada rakaman video yang sedang diedit.
“Im, tak tidur lagi?”
Fahim keras membatu diri.
“Im… kenapa tak tidur lagi?” soal emaknya lagi.
Fahim masih kekal diam. Tidak sedikit pun dia bergerak.
“Im… mak tanya ni. Kenapa tak tidur lagi?” Kali ini suara emaknya kedengaran cukup dekat.
Lambat-lambat Fahim cuba berpaling, menoleh ke arah datangnya suara tersebut. Senyum seringai menyapa pandangan, peluh sejuk mulai membasahi badan. Dia melihat seorang perempuan yang menyerupai wajah emaknya mula berubah sedikit-sedikit ke wajah asal yang mengerikan. Bermata sepet, dengan kulit yang pucat serta lidah yang terjelir. Perempuan itu mulai menegakkan badan, hawa mulutnya busuk berbau pekung, perlahan-lahan dia terapung sambil memandang Fahim.
“Arghh!!!!!” jeritannya bergema bersama suara tertawa perempuan itu.
Dia bangun berlari ke arah dapur dan kemudiannya kembali semula ke ruang tamu. Perempuan tersebut masih mengekori, tidak mengejar dengan laju, cukup sekadar melayah di udara sambil mentertawakannya.
Dengan sisa tenaga yang masih ada, Fahim berlari menuju ke arah bilik tidur. Bilik tidur emaknya menjadi destinasi. Namun, langkahnya bagai ditarik hingga menyebabkan dia tersungkur jatuh. Perempuan itu mendekat, merangkak di sebelahnya. Kulit lengannya terasa disentuh sesuatu yang bersifat tajam. Perempuan itu bergurindam, gurindam yang dia sendiri tidak pernah mendengarnya.
“Kau cari aku?” soal perempuan itu dengan seringai yang makin melebar. Suaranya lunak namun cukup menakutkan. Fahim menyilangkan lengan melindungi wajahnya dari bertatapan terus dengan perempuan itu.
“Pergi! Pergi!!!”
Hee..heee..hee…..
Hilaian perempuan itu nyaring bergema. Fahim masih menjerit meracau menghalau perempuan tersebut. Tingkahnya bagai tidak tentu arah.
Kelopak mata dibuka perlahan. Anak matanya mengecil apabila bias cahaya menyilaukan pandangan. Lengannya diangkat menutupi sebahagian dari muka bagi menghadang cahaya dari terus-terusan menikam anak matanya.
“Ha! Sedar dah?” Suara parau abah menerjah anak telinga. Fahim lipat maut berpaling mencari kelibat abahnya.
“Bah?” ujarnya seraya menyentuh lengan abahnya.
“Kenapa kau ni, Im? Macam orang tersampuk je dah gayanya,” soal abah.
“Bah, cuba abah baca ayat kursi,” pinta Fahim spontan.
Encik Fuad tertawa lepas. Gelagat anak lelakinya itu mengundang rasa geli hati. Selamba dia merenjis air ke wajah Fahim.
“Dah. Minum air ni, selawat dulu.” Encik Fuad menghulurkan segelas air yang sudah dibacakan dengan beberapa potong ayat suci Al-Quran bagi memulihkan semangat Fahim.
Seawal pagi sewaktu dia bangun untuk bersiap ke masjid, hampir-hampir sahaja dia terpijak Fahim yang terbaring mengerekot di hadapan pintu bilik. Puas dikejut namun Fahim tidak langsung memberi respon. Sudahnya, dia terpaksa meminta tolong anaknya yang seorang lagi untuk membantu mengalihkan Fahim.
“Lain kali, pergi lagi tempat-tempat macam tu, Im. Padanlah muka kamu, mak cakap tak nak dengar.” Puan Rohaya bersuara dari arah dapur.
Fahim lekas-lekas menelan air yang baru diteguknya. Cepat-cepat dia berpaling memandang emaknya yang sedang berdiri di sisi meja makan.
“Mak. Mak ke yang berbual dengan Im malam tadi?” soal Fahim.
“Tak kuasa mak nak berjaga, bersembang dengan Im tengah-tengah malam.”
Fahim kembali memandang abahnya. Encik Fuad masih dengan senyum nipis. Tidak mahu mengulas panjang peristiwa yang menimpa anaknya.
Fahim telan liur. Peristiwa yang dialami masih jelas di ingatan. Siapakah yang bersembang dengannya jika bukan emaknya? Perempuan itu? Apakah tujuan kemunculannya?
Nota : Kredit buat FaizalRoziVlogs di atas kesudian beliau berkongsi dan memberi izin untuk dicerpenkan pengalaman beliau. Cerita ini adalah berdasarkan travelog sebenar beliau. Boleh lihat video rakaman dan subscribe untuk travelog yang lainnya.
Link Vlogs : https://www.youtube.com/watch?v=wymS6dsY4dk
Kreekk…
Spontan dia meraup wajah. Tersenyum
Tang ayat meraup wajah je aku da terbayang Faizal..sekali betul dia punya pengalaman…selalu follow blog dia
mcm faizal je..hihi