Nota : Kredit buat FaizalRoziVlogs yang sudi berkongsi dan memberi izin untuk dicerpenkan pengalaman beliau. Boleh lihat video rakaman sebenar dan subscribe channel untuk video yang lainnya.
Setahun yang lalu.
Beg yang digalas di bahu diletakkan di atas sofa, langkahnya terus dihala ke dapur.
“Haa, Im. Kamu nak ke mana bersiap bagai ni?” soal Puan Rohaya. Sempat dia mengerling jam di dinding dapur. Masih awal pagi.
“Im nak pergi Kluang sekejap, mak.”
“Ada hal apa sampai ke Kluang?”
“Kerja sikit, mak.”
Puan Rohaya mengebam bibir. Bukan dia tidak tahu sikap anaknya yang satu ini.
“Im, kerja tu kerja juga. Solat jangan tinggal. Keselamatan diri jaga.” Puan Rohaya berpesan. Hendak ditegah, anaknya itu sudah dewasa. Sudah tahu membezakan baik buruk setiap langkah yang diambil. Jiwa orang muda, bukan boleh dikongkong.
Fahim pantas mengangguk. Suapan nasi goreng bersama ikan goreng masih diteruskan. Dia perlu bertolak segera, perjalanannya agak jauh dan rencananya aktiviti yang bakal dilakukan harus selesai pada waktu yang telah ditetapkan. Dia tidak mahu melengah masa.
“Mak, Im pergi dulu.”
Puan Rohaya mengangguk. Huluran salam anak lelakinya itu disambut lantas dia mengiringi Fahim hingga ke muka pintu.
“Ingat pesan mak, Im. Solat jangan tinggal.” Sekali lagi Puan Rohaya berpesan.
Fahim mengangguk lalu masuk ke dalam kereta. Fahim terus memandu pergi meninggalkan kawasan rumah.
TARIKH : 31 Jan 2018
WAKTU : 1730 pm
LOKASI : HOSPITAL LAMA
Dengan lafaz basmalah, dia melangkah masuk ke dalam bangunan hospital yang menempatkan ruangan kecemasan. Suasana di dalam ruang tersebut gelap pada sesetengah tempat walau hari masih lagi siang.
“Assalammualaikum, semua. Kali ni saya berada di sebuah hospital yang telah dikosongkan. Akan tetapi, masih ada lagi unit yang beroperasi di sini iaitu klinik pergigian. Eksplorasi kali ni dilakukan pada waktu petang, memandangkan masa yang terhad. Jadi saya akan meneruskan eksplorasi ke bangunan-bangunan yang lain dengan kadar segera.”
Dia memulakan rakaman. Eksplorasi dimulakan, langkahnya tiba di bahagian farmasi. Tanpa ragu, dia meninjau dari sebuah bilik ke sebuah bilik yang lain. Lensa kamera tidak lepas dihala ke serata arah, merakam setiap inci sudut di dalam bangunan tersebut. Keadaan di dalam wad tampak sedikit bersepah, beberapa rak serta almari kelihatan semakin usang. Sekali imbas, bangunan tersebut seperti ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa.
“Untuk info, hospital ini mula beroperasi pada tahun 1931 dan pernah menjadi pejabat pentadbiran tentera Jepun. Dan pada tahun 2010, unit operasi hospital ini telah dipindahkan dan secara rasmi ianya ditutup.”
Dia kembali berjalan lalu keluar dari bangunan tersebut. Kali ini, destinasinya menuju ke wad Tanjung I yang mana wad tersebut merupakan bekas wad yang merawat pesakit lelaki.
“Terdapat bunyi ketukan dari dalam bangunan wad. Saya tak pasti bunyi apa,” ujarnya sambil meneruskan langkah memasuki ke dalam bangunan wad.
Tanpa berlengah dia terus berjalan meneroka dan merakam.
“Walaupun petang dan suasana di luar bangunan masih lagi terang, keadaan dalam hospital ini agak menyeramkan. Jam saya sekarang menunjukkan pukul enam setengah.”
Lampu LED dihalakan ke segenap bahagian.
“Allahuakhbar!”
Dia terundur beberapa tapak ke belakang apabila sekumpulan kelawar terbang menerpa ke arahnya. Mungkin terganggu dek silauan cahaya dari lampu LED yang digunakannya.
“Apa yang kita boleh lihat, keadaan dalam wad ni dipenuhi dengan kelawar. Jadi, saya memang kena bersiap sedia dengan kehadiran kelawar-kelawar ni.”
Lampu LED masih disuluh. Dia kembali berjalan meneroka setiap ruang dan bilik yang ada. Setiap pintu bilik ditolak dengan cukup berhati-hati. Pandangannya meliar, memastikan setiap langkahannya tidak tersilap pijak. Eksplorasinya membawa hingga ke luar wad. Kawasan di luar bangunan tampak tidak terjaga. Dia melangkah penuh berhati-hati dalam bersegera.
Destinasi seterusnya adalah ke bahagian wad yang menempatkan pesakit wanita yang dikenali sebagai wad Tanjung II. Laluan pejalan kaki yang berbumbung kelihatan suram dan sedikit menggerunkan. Rumput liar hampir melitupi sebahagian bangunan. Dalam tidak semena-mena, bau busuk bangkai berserta bau d***h menerpa rongga hidung namun, eksplorasi masih tetap diteruskan.
Daun pintu wad tersebut dikuak. Lampu LED disuluh ke dalam bangunan. Ruang utama wad tidak terdapat sebarang perabot yang tinggal. Hanya runtuhan kecil siling bangunan sahaja yang berselerakan di atas lantai. Bau hanyir serta busuk semakin kuat apabila dia tiba di sebuah bilik di hujung wad. Dia berdiri seketika, merakamkan kawasan sekeliling bilik tersebut sebelum kembali ke ruangan utama menuju ke pintu keluar.
“Okay, saya gerak dulu ke bangunan lain sebabnya wad Tanjung II ni terlampau busuk dengan bau d***h,” ujarnya.
Lensa kamera masih merakam suasana sekitar. Dia tidak mahu tertinggal satu sudut pun bangunan-bangunan lama di situ.
“Nampaknya, bangunan di hadapan saya ni masih digunakan lagi berdasarkan alat penghawa dingin yang masih aktif.”
Lensa kamera dihalakan pada bangunan di seberang jalan yang berhadapan dengan laluan pejalan kaki yang menempatkan unit X-Ray serta wad kanak-kanak. Tanpa berlengah dia terus melangkah, berlegar-legar di kawasan sekitar bangunan.
Destinasi seterusnya menuju ke arah wad Melor I. Lampu kalimantang di luar wad bernyala. Mungkin ianya arahan pihak atasan bagi memudahkan pihak pengawal keselamatan menjalankan tugas pada waktu malam. Eksplorasinya terus ke arah tandas wad. Keadaan di kawasan tersebut sedikit gelap. Mungkin kerana kawasan yang sedikit ke belakang dan terlindung.
Lampu LED serta lensa kamera dihalakan pada setiap sudut tandas. Setiap kubikel dijengah sebelum dia kembali menuju ke arah Dewan Permata yang berhubung dengan bangunan wad Melor III.
“Boleh tahan besar juga kawasan hospital ni,” ujarnya sambil mencuri nafas.
Mengah apabila terpaksa berjalan dari satu bangunan ke bangunan yang lainnya. Jarak di antara satu bangunan ke satu bangunan yang lainnya tidaklah terlalu jauh, cumanya keluasan setiap kaki persegi bangunan membuatkan dia mula terasa penat.
“Ini wad Melor III. Nampak menarik. Jom kita cuba masuk.”
Pintu kayu wad tersebut ditolak lalu dia melangkah masuk. Seperti biasa, ruang utama wad sudah dikosongkan. Lapang. Terdapat beberapa bilik yang mana berkemungkinan bilik tersebut dahulunya digunakan oleh staf hospital sebagai bilik penyimpanan rekod pesakit, bilik persediaan atau bilik ketua jururawat.
Bamm!
Bergema bunyi sesuatu yang dibaling atau mungkin juga sesuatu yang terjatuh di atas bumbung bangunan wad. Langkahnya terhenti. Fahim sedikit terkejut dengan bunyi tersebut. Pandangannya menebar ke serata ruang wad, mencari punca arah bunyi itu namun, tiada sebarang tanda. Dia menarik nafas seraya berpaling ke arah bertentangan. Meneruskan eksplorasi ke bahagian lain.
Langkahnya diteruskan lagi. Kali ini, dia berada di sebuah lagi wad. Keadaan di luar wad tersebut sedikit bersih dari tumbuhan liar.
“Yang ini pula adalah wad Melor IV.”
Dia memasuki wad tersebut dengan cukup berhati-hati. Debaran yang dirasakan semakin kuat namun ianya tidak langsung mematahkan semangatnya untuk meneruskan eksplorasi.
“Struktur bilik dalam wad ni sama dengan wad Melor III. Allah!” Lensa kamera yang dipegang sedikit bergegar dek terkejut dengan terjahan sekawan kelawar yang tiba-tiba sahaja berterbangan.
“Kelawar lagi. Rasanya dah bermangkuk-mangkuk d***h saya hilang sebab terkejut,” selorohnya cuba meredakan debaran.
Ktang! Ktang! Ktang!
Langkahnya terhenti seketika. Lampu LED dihalakan ke arah tandas dan kemudiannya beralih ke arah bahagian belakang dirinya. Bunyi ketukan tersebut jelas kedengaran. Seperti ada yang sengaja membuat bunyi tersebut. Dia tidak menunggu terlalu lama, langkahnya kembali ke arah ruang utama wad dan seterusnya keluar dari wad tersebut. Perjalanannya menyusuri jalan berturap yang mana di kiri kanan adalah bangunan hospital yang telah dilawati. Nafasnya sedikit mencungap kepenatan.
“Kawasan sekitar ni, walaupun siang tapi ianya memang sunyi. Kalau malam, rasanya lebih sunyi dan menyeramkan,” komennya sambil memandang ke arah lensa kamera. Senyum nipis diukir sebelum dia kembali merakamkan kawasan sekeliling.
“Baiklah, bangunan terakhir Dewan Permata.”
Sepantas mungkin dia cuba menghabiskan penerokaan walaupun rasa diperhatikan serta diekori semakin kuat. Dia sekadar berdiri di muka pintu wad, menyuluh dan merakam. Sesekali dia menoleh ke belakang, meninjau untuk memastikan tiada siapa yang mengekori.
“Okay, selesai eksplorasi hari ni untuk hospital lama. Seperti yang saya maklumkan di awal rakaman, hospital ini masih beroperasi untuk unit pergigian sahaja. Masih ada lagi kenderaan staf dan ambulans. Selain dari bangunan unit pergigian di belakang saya ni, adalah bangunan yang tidak digunakan lagi. Terima kasih kerana menonton, kita jumpa lagi untuk eksplorasi akan datang. Terima kasih,” ujarnya mengakhiri rakaman.
Kereta dipandu dengan kelajuan sederhana. Debaran hati masih belum reda sepenuhnya. Rasa seperti diekori masih jelas dirasakan walau dia sudah hampir satu kilometer keluar dari kawasan hospital tersebut. Dia memerhati keadaan sekitar, jalanraya tidak terlalu sibuk. Mungkin waktu kemuncak sudah berlalu, fikirnya sendiri. Pemanduan diteruskan.
“Kenapa aku rasa macam dah lalu jalan ni tadi?” desis Fahim hairan.
Setelah setengah jam baru dia perasan yang kenderaannya hanya berpusing di kawasan yang sama. Dia yakin dia tidak silap pandang. Sudah hampir tiga kali dia melalui jalan yang sama. Berkali-kali dia melafaz istighfar, cuba meredakan hati sendiri. Jam di dashbord sudah menunjukkan hampir ke pukul 8.30 malam.
“Awal lagi ni kalau nak kenakan aku.”
Fahim memberhentikan kenderaannya di bahu jalan. Telefon bimbit dicapai, skrin telefon dibelek, tiada sebarang rangkaian. Spontan dia merengus kecil. Dia berpaling, meninjau kawasan sekeliling namun tiada sesiapa yang lalu di situ.
“Pelik. Sepatutnya aku akan tembus terus ke lebuhraya. Tapi, ni kawasan kampung. Tak mungkin salah jalan,” omelnya hairan.
Dia kembali masuk ke dalam kereta. Masih tidak putus asa membelek telefon bimbit mencari rangkaian talian.
Tuk. Tuk. Tuk.
Spontan dia menoleh ke arah cermin tingkap. Ketukan yang membuatkan degup jantung hampir sahaja terhenti akibat terperanjat.
“Kus semangat…”
Tuk. Tuk. Tuk.
Sekali lagi cermin tingkap diketuk. Kali ini Fahim dengan beraninya menurunkan cermin tingkap. Pandangannya berlaga dengan pandangan wanita tersebut.
“Maaf ganggu. Saya nampak kereta awak dekat sini. Kenapa?”
“Saya sesat.”
“Oh. Memang selalu orang sesat dekat sini,” tutur wanita itu lagi. Senyuman diukir nipis buat Fahim.
“Awak tinggal dekat sini ke?” soal Fahim. Rasa gementarnya hilang. Wanita itu dirasakan tidak menjadi ancaman terhadap dirinya.
“Saya tinggal di kampung hadapan simpang tu. Nak saya tunjukkan jalan keluar?”
“Boleh juga kalau tak keberatan. Naiklah, saya hantarkan cik sekali.”
Wanita itu mengangguk kecil. Langkahnya terus dihala ke bahagian tempat duduk di sebelah Fahim.
“Jalan terus. Dekat depan sana ada satu simpang ke kiri, ambil jalan tu,” arah wanita tersebut.
Tanpa berlengah, Fahim memulakan kembali pemanduannya. Suasana di dalam kereta sunyi. Wanita di sebelahnya juga tidak berkata apa-apa. Dia merasa janggal sendiri. Stereng kereta dipulas sedikit, membelok ke simpang di kiri jalan. Fahim memandang kawasan sekitar. Tiada sebarang rumah yang kelihatan. Pokok-pokok di kiri dan kanan jalan tampak merimbun.
“Kampung kecil, jauh dari pekan. Rumah antara satu sama lain sedikit jauh,” terang wanita di sebelahnya.
Fahim mengangguk, tidak tahu apa yang harus dijawab.
“Depan sana tu rumah saya.” Wanita itu menunjukkan arah rumahnya. Fahim memicing anak mata, di hujung jalan dapat dilihat sebuah rumah kampung tersergam cantik. Haluan kereta dipandu ke arah rumah tersebut.
“Terima kasih tolong hantarkan saya. Kalau awak nak balik, keluar semula jalan tadi, hujungnya ada simpang tiga. Ambil jalan terus,” ujar wanita itu.
Fahim mengangguk. Gusar hatinya berkurang sedikit, ternyata wanita itu benar-benar akan menunjukkan jalan kepadanya.
“Tak singgah dulu?” pelawa wanita itu.
Fahim ukir senyum. Jam di dashboard dikerling sekilas. Sembilan malam, sudah malam jika hendak bertandang ke rumah orang. Bimbang akan mengganggu isi rumah yang sedang berehat, fikirnya. Lambat-lambat dia menggeleng.
“Terima kasih, cik. Tapi hari dah lewat, tak elok pula saya mengganggu cik sekeluarga. Mungkin lain kali,” ujarnya berbasa-basi. Tidak mahu mengecilkan hati wanita tersebut.
Wanita itu mengangguk, masih lagi dengan senyuman.
“Baiklah, hati-hati memandu.”
Dia melepas nafas lega apabila tiba di rumah. Mujur dia terjumpa dengan wanita itu. Jika tidak, dia sendiri tidak pasti bila dia akan bertemu jalan keluar. Apabila mengingatkan tentang wanita itu, perasaan hairan masih bersarang di benak. Dari mana munculnya wanita itu dan bagaimana pula dia boleh tersesat hingga ke kawasan perkampungan tersebut. Seingatnya, dia tidak pernah melalui kawasan perkampungan itu setiap kali dia berulang-alik ke daerah tersebut.
Beg galas dicapai seraya dia keluar dari perut kereta. Jam sudah menunjukkan hampir ke tengah malam. Suasana sekitar rumah sedikit hening. Ahli keluarganya mungkin sudah tidur. Dia menginjak anak tangga pertama di hadapan pintu utama rumah.
Heee~~~
Spontan dia berpaling. Sayup-sayup kedengaran suara seakan bergurindam. Dia menoleh ke arah sisi rumah yang terdapat serumpun pokok pisang. Fahkm memicing anak mata mencari sesuatu di situ.
Heee~~~
Semakin sayup dan jauh suara tersebut. Tanpa berlengah, dia terus membuka pintu rumah, tidak mahu berlama-lama di luar rumah. Bak kata orang tua-tua, jika suaranya jauh bermakna dia dekat. Dan Fahim yakin, mahkluk tersebut sengaja cuba menakutkannya.
“Abang Im baru balik?”
Fahim mengurut dada. Terasa sebu dadanya apabila disergah sebegitu.
“Yang duduk dalam gelap ni kenapa?”
Soalan Fahim itu tidak dijawab. Adik perempuannya itu dilihat sekadar berdiri di tengah ruang tamu sambal merenung ke arahnya. Fahim malas mahu melayan kerenah adiknya itu. Dia terus melangkah ke dapur untuk membasahkan tekak.
“Astaghfirullahal’azim. Dah kenapa dengan kau ni, dik?” soal Fahim sedikit marah apabila adiknya sudah tercegat di sisi meja makan sambal merenung ke arahnya. Senyuman adik perempuannya itu tampak lain. Seakan pernah dilihat.
“Lambat abang balik?” soal adiknya lembut. Suaranya kedengaran lunak dan sedikit gemersik dari kebiasaannya.
Fahim menoleh. Terasa pelik dengan tingkah adiknya itu. Setahunya, adiknya jenis yang jarang tidur lewat. Dia malas mahu bersoal jawab, langkah kakinya dihala ke bilik tidur. Badannya letih, matanya juga terasa kelat.
“Nak pergi mana tu?”
Fahim merengus marah. Suara adiknya benar-benar berada di belakang tengkuknya. Dia rimas!
“Im? Cakap dengan siapa?”
Fahim berpaling ke muka pintu bilik emaknya.
“Mak. Intan tu mak tak tidur lagi.”
“Intan? Intan dah lama dah tidur.”
Fahim termengkelan. Lambat-lambat dia menoleh ke arah meja makan yang terletak di antara dapur dan ruang tamu. Kelibat adiknya tiada di situ.
“Tadi… tadi Intan ada dekat tepi meja makan tu. Dia tanya Im macam-macam, mak.”
Puan Rohaya menggeleng kecil.
Hee~ Hee~ Hee~
“Mak!!!”
Fahim dan Puan Rohaya saling berpandangan. Tanpa berlengah Fahim terus berlari ke dapur. Halanya menuju ke belakang rumah.
“Intan?!!” teriaknya sedikit kuat. Adiknya Intan sedang berdiri tegak dengan kepala tertunduk. Rambutnya yang panjang melepasi bahu tampak kusut dan menutupi sebahagian wajah. Baju yang dipakai Intan kelihatan kotor berlumpur.
“Im. Pegang adik kamu, lekas!” arah Encik Fuad. Fahim menurut.
Pergelutan di antara Fahim dan Intan berlaku. Kekuatan adiknya itu dua kali ganda dari kekuatan seorang lelaki dewasa. Beberapa kali Fahim jatuh tergolek dek tepisan dan tendangan Intan. Encik Fuad bersiaga untuk merawat anak bongsunya itu.
“Aku nak dia!!!” Parau suara Intan sambal menuding jari ke arah Fahim. Pandangan matanya tajam.
“Siapa kau?” jerkah ayahnya. Rontaan anak bongsunya itu tidak dilepaskan. Fahim di sebelahnya dijeling sekilas. Dia dapat mengagak apa yang sedang berlaku.
“Tak ada siapa pun akan jadi milik kau. Keluar kau dari badan budak ni!” tutur encik Fuad lagi dengan tegas.
Proses rawatan untuk anak bongsunya dimulakan. Beberapa ayat Quran dibaca lalu dihembus pada ubun-ubun. Jerit pekik suara anak bongsunya itu bergema memecah hening malam di belakang rumah pusaka keluarganya. Fahim masih memegang kemas adiknya walaupyn dia sudah kelelahan dek tenaga Intan yang luar biasa itu. Hampir tiga puluh minit mereka bergelut dengan Intan.
“Allahuakhbar!” laung encik Fuad kuat seraya menepuk belakang badan Intan.
Jeritan Intan membingit sebelum tubuhnya terkulai lemah. Fahim pantas menyambut tubuh kecil adiknya dari terjelepok terus ke tanah. Encik Fuad melepas nafas lega. Peluh yang merenik di dahi diseka kasar. Dia pantas mendapatkan kedua anaknya.
Hee~ Hee~ Hee~
Suara hilaian kedengaran seketika.
“Bah, apa benda tu sebenarnya?”
Encik Fuad memandang wajah Fahim. “Dia mengikut kamu, Im. Mana je Im pergi?”
“Im pergi explore hospital lama, bah. Tapi Im takde ambil apa-apa pun. Explore macam biasa je,”
“Dia mengikut kamu. Lain kali nak pergi tempat orang hati-hati, Im.”
Fahim mengangguk. Timbul tanda tanya di benaknya apabila memikirkan yang abahnya seakan tahu sesuatu. Ketenangan abahnya dalam mengatasi situasi Intan menambahkan lagi persoalannya. Namun, semua itu hanya mampu dipendam sendiri. Dia tidak mahu memanjang cerita, mungkin belum masanya lagi.
apa kesudahan cerita ni?
ada suara masa dia masuk wad tu. 2x jelas. Macam mendengus. Sapa dengar?
mcm mana nk tgk video dia ?
play je video dekat ats ni
GI JE KAT VLOG DIE.. BEST..
Minit ke berapa ye.. Sy x perasan
Nice story jika di karang dengan lebih bersahaja dan jelas, agak monotonous, sayang, kisah yang boleh jadi lebih menarik jika pengolahan lebih sempurna.
mcm mne ending citer ni?
mcm trgntung sepi jer citer nih..adoyai
Tergantung sepiiiiiiii~
KALO TGOK VIDEO DIE, MMG DIE JUST EXPLORE KT SEPITAL LAMA KLUANG TU JE.. YG PSL ADIK BERADIK DIE TU MGKIN CERPEN TAMBAHAN PENULIS TU.. CER LA TRY TGOK VLOG DIE.. MMG BERANI LA DIE GI SORG2..
Hospital tu mse digunakan pn mmg keras.da kosong ni lgi la.. Rumah saya deorg buat shoot movie al hijab.. Pn area tu jugak..
ending dia mcmmn?? ad kisah lagi ke disebalik hospital ni?? sy lama dh cari pasal hospital lama ni.. sbb ad bngunan tepi surau tu, nak tau jgk bngunan ap.. pastu kolej sy tu lecturer cakap tempat icu/ccu.. btw, sy student kejururawatan kat sini..