Aku masih teringat lagi kisah yang diceritakan oleh arwah ayah aku sewaktu aku masih kecil, tentang kisah pengalaman hidupnya semasa tinggal bersama sekumpulan orang asli di sebuah perkampungan di Endau-Rompin. Banyak perkara yang dia pelajari, antaranya cara membuat jerat sembat, jerat ayam hutan, perangkap musang dan beberapa ilmu mistik.
Ilmu mistik itu tidaklah dipunyai oleh ayahku, sebaliknya dia menceritakan pengalaman melihat proses pembuatannya dari awal hingga akhir. Banyak kisah yang diceritakan kepadaku. Aku tidak berapa ingat kisah mengenai cara mendapatkan toyol, namun kisah yang masih aku ingat sampai sekarang adalah cara membuat minyak dagu.
Aku tidaklah dapat ingat secara terperinci seratus peratus mengenai kes ini, namun aku boleh mengingati fakta-fakta utama yang diceritakan. Harap kalian dapat pengetahuan baru mengenai proses pembuatan minyak dagu ini. Cerita ini aku jadikan dari perspektif ayah aku sendiri terhadap pengalamannya ini;
Apabila suku orang asli ini dapat tahu ada seorang perempuan muda yang m**i dengan anak sulung mereka masih di dalam kandungan, mereka jadi teruja. Teruja bukan kerana apa, kerana mayat sebegini amat sesuai untuk didapatkan minyak dagu kerana jarang kematian sebegini rupa, di mana mayat ditanam bersama kandungannya sekali.
Aku sendiri pun tidak pasti bagaimana suku orang asli tersebut mendapat berita perkhabaran tentang kematian sedemikian kerana zaman itu, mana wujud telefon bimbit atau alat-alat komunikasi yang lain. Tambahan pula, mereka orang asli yang agak terpisah daripada pembangunan negara yang pesat.
Namun apa yang aku ingat, apabila adanya mayat sebegini, Tok Awang sudah awal-awal lagi bersedia untuk melakukan satu tugasan. Tugasan itu selalunya dilakukan bersama seorang anak didiknya, dan disebabkan aku berada di situ sebagai tetamu, aku diajak untuk menyaksikan sendiri proses penghasilan minyak dagu ini.
Man, pembantu tok awang sudah bersiap sedia membawa cangkul yang diikat dibelakangnya serta lampu minyak tanah. Mereka berdua bukanlah orang Islam, sebaliknya mereka mempertuhankan alam semulajadi, yang mana mengikut pada mereka, setiap pokok, kawasan hutan serta sungai mempunyai penunggu dan tuannya sendiri. Mereka memuja penunggu-penunggu ini bagi mendapatkan lebih hasil dan rezeki di dalam hidup mereka.
Penggalian kubur ini perlu dilakukan secara senyap-senyap. Maklumlah, kali ini, mayatnya berasal dari kampung sebelah, dan mana mungkin orang membenarkan sesiapa untuk menggali kubur, dan membuat macam-macam perkara terhadap jenazah yang baru ditanam.
Aku, Man dan Tok Awang berjalan merentasi satu anak sungai yang agak cetek. Perjalanan dimulakan selepas waktu maghrib, kira-kira jam 7.45 malam. Perjalanan ini bukanlah mudah, segala semak samun dan hutan rimba perlu kami harungi.
Akhirnya kami tiba di tanah perkuburan yang dimaksudkan itu setelah sejam setengah berjalan. Nyamuk, pacat dan lintah, semuanya aku rasa sepanjang perjalanan tadi. Maklumlah aku duduk di bandar, mana pernah merasai perkara sebegini.
Kami duduk sebentar di balik semak samun yang tinggi. Daripada situ, nampak jelas kawasan perkuburan itu, yang suram diterangi cahaya bulan. Tok Awang segera memberi arahan kepada Man untuk memadam lampu minyah tanah mereka, takut-takut ada orang di sekeliling yang terperasan.
Memang di salah satu kubur itu, terdapat 3 orang manusia yang masih berada di situ, barangkali keluarga si m**i itu. Tok Awang memberitahu supaya aku mendiamkan diri, dan jangan bergerak secara tiba-tiba kerana takut akan orang yang berada di kubur itu nampak kami. Kalau kami tertangkap, maka habislah terbongkar kegiatan ini.
Sejam selepas itu, mereka beredar. Jam sudahpun menunjukkan pukul 10.00 malam. Perlahan-lahan kami keluar, terus menuju ke arah kubur itu. Setelah memastikan kawasan tersebut sudah tiada orang, Man menyalakan semula lampu minyak tanahnya menggunakan mancis yang dia bawa.
Dihalanya lampu tersebut kepada kubur tadi. Tanah merah yang masih lembab itu memberi kepastian bahawa itulah jenazahnya, dan itulah mayat yang mereka cari yang sampai ke telinga Tok Awang. Man segera meletakkan lampu minyak tanahnya, kemudian diambilnya cangkul yang tadinya terikat di belakangya.
Tanpa disuruh, Man terus memulakan penggalian semula kubur yang aku rasa baru digali pagi tadi. Dengan mudah mata cangkul menembusi tanah yang masih lembut itu. Pergerakkan Man yang pantas dan senyap dalam menggali kubur itu sedikit sebanyak memberitahu aku bahawa ini bukan kali pertama mereka buat kerja ini.
Aku menawarkan diri untuk sambung menggali apabila aku kelihatan Man sedikit termengah-mengah, tetapi dihalang oleh Tok Awang. Aku orang luar, tidak boleh melakukan perkara-perkara sedemikian, takut tak jadi katanya.
Setelah setengah jam menggali, mata cangkul terkena sesuatu yang keras. Itulah saat yang ditunggu oleh Tok Awang, kerana penggalian sudahpun sampai ke keranda. Memang aku perasan, tanah perkuburan itu bukanlah tanah perkuburan Islam, sebaliknya tanah perkuburan masyarakat orang asli.
Setelah digali semua yang menutupi atas keranda itu, terus Tok Awang melompat ke dalam kubur tersebut. Perlahan-lahan keranda dibuka. Aku tiba-tiba rasa cuak, ibarat baru tersedar bahawa ada mayat yang baru sahaja ditanam di dalam keranda tersebut.
Saat dibuka penutup keranda itu, semerbak bau kapur barus dan daun pandan yang memenuhi ruang. Terdapat sekujur tubuh yang dibalut dengan kain putih di dalamnya. Tok Awang selamba sahaja membuka kain yang menutupi wajah mayat itu.
Agak kuat bau cendana setelah kain yang membaluti mayat pesakit dibuka, menampakkan wajah mayat. Wajahnya pucat serta kebiru-biruan. Matanya tertutup dan mulutnya terbuka sedikit. Apabila aku menghampiri kubur tersebut, aku hampir nak muntah apabila tiba-tiba bau busuk pula yang keluar, mungkin bau proses pereputan yang sudah mula berlaku.
Dibalik kain putih yang menutup mayat ini, aku dapat lihat bahagian perutya agak membusung. Aku rasa mungkin kerana mayat ini, semasa hidupnya, sedang mengandung. Apabila dia m**i, mayat dia dan anaknya yang berada dalam kandungan ditanam sekaligus.
Tok Awang kemudiannya memanjat keluar dari lubang kubur sedalam 6 kaki itu. Dia teraba-raba isi begnya dan kemudiannya mengeluarkan satu kitab kecil. Kitab tersebut nampak seperti kitab lama, berdasarkan ada beberapa halaman yang aku perasan berlubang-lubang, mungkin akibat dimakan anai-anai.
Dia kemudiannya mengeluarkan sebongkah kemenyan. Segera Man mendekatkan lampu minyak tanah dan membakar kemenyan tersebut. Aku mula bertanya kepada Tok Awang.
“Tok, kenapa kita nak kena bakar kemenyan?”
“Sebab nak menutupi bau mayat yang sudah nak reput ini, lagi satu aku nak jamu ‘benda-benda’ tu dengan asap kemenyan ni. Memang kegemaran mereka”, jawabnya sambil menyelak halaman demi halaman dalam kitab lamanya itu.
Setelah bau kemenyan yang kuat memenuhi ruang atmosfera di situ, Tok Awang mula membacakan mantera. Aku cuba mendengar dengan teliti kerana suara Tok Awang sungguh perlahan, namun aku langsung tak faham kerana mantera tersebut bukan dibaca dalam bahasa Melayu, sebaliknya bahasa lain yang aku tidak pasti.
Setelah 5 minit, Tok Awang meminta Man satu bekas kaca yang kecil, serta sebatang lilin bewarna merah. Man menggores sebatang lagi mancis untuk menyalakan lilin tersebut.
Dengan memegang lilin, Tok Awang melompat semula ke dalam lubang kubur itu, dan Man menurutinya. Tok Awang memegang dagu mayat itu, dan kali ini terpampang jelas muka mayat ini tadi. Menggunakan ibu jarinya, Tok Awang menolak dagu mayat tersebut ke atas, seakan-akan mahu menutupi mulut mayat tersebut.
Namun, disebabkan mayat tersebut telah kaku, tolakannya ke atas menyebabkan seluruh kepalanya terdongak. Kemudian dia dekatkan lilin tadi, sambil menyuruh Man memegang bekas kaca itu, untuk menadah minyak yang bakal keluar.
Setelah dibakar dagu mayat itu menggunakan lilin, aku terperasan ada titisan minyak mula terbentuk, sedikit demi sedikit memenuhi bekas kaca yang ditadah itu. Sambil itu, Tok Awang menyambung bacaan mantera itu.
Aku terkejut dan hampir nak pitam apabila aku dapat lihat sendiri mata mayat itu terbuka, dan berkelip-kelip. Seolah-olah ingin meronta, tetapi terhalang dek tolakan Tok Awang yang kuat. Upacara itu diteruskan tanpa memperdulikan gerak-geri mayat tersebut, dan setelah bekas kecil itu terisi satu per empat dengan minyak itu, Tok Awang meniup lilin untuk memadamkan api, seraya sebelah tangannya menutup kelopak mata mayat tadi yang terbuka.
Mayat tersebut dibaluti semula, keranda ditutup, dan kali ini aku bersama Man mengambus semula lubang yang digali tadi. Perjalanan terasa sungguh jauh kerana kami perlu merentasi semula hutang belukar dan sungai untuk kembali ke kampung asal tadi.
Setibanya di rumah, sinaran lampu kalimantang bewarna putih di rumah Tok Awang itu menampakkan dengan lebih jelas akan kandungan botol kaca itu. Saiznya kecil sahaja, ibarat sebesar tabung uji, tetapi lebih pendek. Terisi satu cecair bewarna keemasan, ibarat warna minyak masak.
“Kira dah selesai la kan upacara ni Tok”, aku bertanya.
“Ish, ini baru permulaan, sekarang aku perlu membuat minyak ini tunduk pada aku, supaya aku boleh kawalnya”, jawab Tok Awang.
Aku sedikit tidak faham, namun belum sempat aku habis bertanya, Tok Awang membaca mantera lagi. Kali ini ada sedikit-sedikit bahasa Melayu yang aku fahami.
“Mari sini datang kemari
Mari bersahabat bersama aku
Mari datang menjadi diriku
Datang taat turut perintahku
Jangan berani kau ingkar
Jangan berani langar perintahku
Jika engkau ingkar juga
Akanku buang engkau ke tengah laut”
Sehabis membaca mantera itu, aku lihat Tok Awang mencucuk jari telunjuknya menggunakan jarum yang agak besar. Bentuknya ibarat jarum jahitan. Kemudianya, Tok Awang memicit jarinya itu, memaksa d***h keluar daripada bekas yang dicucuknya itu.
D***h itu dititiskan di dalam bekas kaca itu. Saat minyak itu terkena sahaja d***h Tok Awang, tiba-tiba sahaja aku terdengar bunyi bayi yang menangis dengan begitu kuat sekali. Setitik demi setitik di masukkan, dan suara bayi menangis itu semakin lama semakin perlahan dan akhirnya berhenti.
“Kali ini, dia tahu siapa tuannya. Dengan cara inilah aku boleh kawal dan memberi arahan kepadanya untuk melakukan sesuatu. Sebab makanan dia cuma satu, d***h. D***h siapa yang hinggap terlebih dahulu, itulah orang yang bakal menjadi tuannya”, kata Tok Awang menjelaskan perkara itu kepadaku.
Aku masih lagi gementar apabila benda-benda ini terjadi di hadapan mataku. Ibarat sesuatu yang tak dapat difikirkan dan tak terjangkau dek akal fikiran. Kalau nak dikatakan mengenai logik atau tidak perkara itu, sememangnya tak logik.
Tok Awang memberitahu aku mengenai fungsi minyak dagu ini, yang mana apabila dicalit oleh tuannya kepada seseorang, orang terbabit akan tunduk dan mengikut kata apa yang kita hendaki. Sama ada nak membuatkan orang itu jatuh cinta, atau tunduk patuh mengawal suami atau isteri yang degil, serta kebolehan untuk mengawal kehidupan seseorang itu.
Betapa bahayanya kesan apabila terkena minyak dagu ini, yang sering dicalit tanpa pengetahuan orang, dan lebih teruk, apabila mereka mencalit minyak ini di tombol pintu, menyebabkan mangsa yang terpegang minyak tersebut tak semena-mena tunduk dan patuh kepada tuan minyak itu.
Memang tak dinafikan, seseorang yang terkena sihir ini, akan adi suka menyendiri, serta hilang kewarasan. Kata Tok Awang, jika seseorang itu terkena sihir ini, akan terbayang-bayang muka tukang sihir ini, membenci dan tidak mengenali ahli keluarga mereka sendiri serta mempunyai nafsu yang tidak dapat dikawal terhadap tukang sihir.
Memang aku sendiri pernah mendengar, mereka yang terkena sihir ini akan mula bermimpi mengenai ular hitam, anjing hitam serta termimpikan wajah penyihir itu sendiri. Memang rawatannya ada kerana sihir minyak dagu ini amat sensitif dengan ayat-ayat Al-Quran. Mereka yang sentiasa berwudhu’ akan sedikit susah dikawal dan tidak berkesan.
Pengalaman ini membuatkan aku sedikit berwaspada terhadap keadaan di sekeliling aku. Bukan itu sahaja, mulai daripada saat itu, aku merajinkan diriku sendiri membaca Al-Quran setiap hari, sebagai pendinding terhadap sihir-sihir sebegini.
TAMAT
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Innalillah hi wainnailaihi rojiun
sejujurnya sy sndri prnh kna calitan mnyk dagu ni. org tu mencalit mnyk dgu kat pntu umh sy. tujuannya nk buat mak sy tunduk n dgr ckp dia. tp sbb sy lemah smgt sy pn terkena. prnh nmpk rpa tok sy sndri mcm mayat. tdo dlm keadaan mta terbeliak.
Tabuh je la pak awang tu
Artikl Cara Membuat Minyak Calit Dagu Sangat Menarik