PIATU

PIATU
Karya: DeeFen DF

Diadaptasi daripada kisah benar seorang remaja yang kesepian.

=======================

Sederhana kelajuan langkahan kakinya. Sesekali terdengar bunyi hentakan selipar jepun ke atas mini tar jalan kampung. Kepalanya menoleh ke kiri jalan memandang kawanan bangau mencari makanan di sawah. Matanya redup.

Di tangannya dijinjing botol air berisi bunga-bungaan. Jika terdapat pokok bunga liar di tepi jalan, akan dipetik bunganya dan dimasukkannya ke dalam botol tersebut. Penuh warna-warni bunga yang terendam di dalam air.

“Nak ke mana tu?” Sapa seorang wanita pertengahan umur yang menunggang basikal mini. Dia berhenti sebentar untuk menegur anak remaja yang sedang berjalan kaki tersebut. Di raga basikalnya penuh plastik barangan dapur.

“Saya nak ke kubur. Mak cik baru balik dari beli barang ke?” Jawabnya polos.

“Ahaa mak cik dari kedai runcit Pak Samad. Bebaik jalan kaki tu Fitri.”

“Baiklah. Timakasih. Mak cik pun hati-hati.” Sopan tutur kata anak remaja itu. Penuh hormat terhadap orang yang lebih tua daripadanya.

Fitri, berumur 15 tahun. Masih bersekolah di tingkatan tiga. Bertubuh kurus, mata sedikit cengkung. Pakaiannya kelihatan lusuh. Di lutut seluarnya terdapat bekas jahitan untuk mencantumkan koyakan.

Sesampai di pagar kubur, mulutnya terkumat-kamit memberi salam dan mensedekahkan bacaan al-Fatihah kepada seluruh ahli kubur. Dia bersandar seketika di bawah pohon kemboja untuk melepaskan lelah sambil pandangannya dihalakan ke arah tanah berbonggol-bonggol di sekelilingnya. Dengan mata yang terpejam, fikirannya menerawang ke masa lalu…

***

“Assalamualaikum! Kak Lijah! Kak Lijah!”

“Waalaikummussalam. Ya ya sekejap saya datang!” Laung suara dari arah dalam rumah. Berdentam-dentum bunyi lantai kayu dipijak pantas. Sebaik pintu dibuka, kelihatan seorang wanita berumur lewat 20-an sedang mengendong anak kecil di tangan kirinya. “Haaa kamu ka Hakimi, apahal nampak macam kelam-kabut?”

“Bang Mat… Bang Mat kemalangan!”

“Allahu akbar… Suami aku! Kat mana?”

“Kat jalan ke bandar. Jom cepat Kak kita pi tengok. Naik kereta cepat, saya bawa kak.”

Sesampainya di tempat kemalangan, kelihatan paramedik sedang memberi bantuan awal kecemasan kepada Bang Mat. Serpihan motosikal bertaburan di atas jalanraya menggambarkan dahsyatnya kemalangan yang berlaku. Kesan seretan berbekas jelas di atas tar.

Deras air mata Lijah tatkala melihat keadaan suaminya sebegitu rupa. Mulutnya dipekup cuba menahan esakan tangis yang lebih kuat. D***h mengalir keluar tanpa henti daripada rongga hidung dan telinga suaminya. Kuyu mata Bang Mat memandang kosong ke arah langit. Dadanya berombak perlahan dan lemah.

Suasana yang kelam-kabut dan kerumunan ramai penonton membuatkan anak kecil Lijah mula merengek gelisah. Apabila terlihat yang sedang terbaring itu ayahnya, anak kecil itu memanggil dan meronta-ronta untuk pergi ke arah ayahnya, “Ayah, ayah! Nanak ayah!”

Ketika diangkat masuk ke dalam ambulans, Bang Mat sempat memandang sayu ke arah isteri dan anak kecilnya. Setitis air matanya mengalir jernih…

Bang Mat tidak dapat diselamatkan. Dia disahkan meninggal dunia di dalam ambulans ketika perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah di dalam badan.

Menurut saksi, kereta yang melanggar Bang Mat dari arah bertentangan adalah milik anak ahli parlimen di kawasan itu. Anak ahli parlimen itu terkenal suka memandu secara semberono kenderaan turbonya. Langsung tak menghiraukan keselamatan orang lain. Walaupun laporan polis telah dibuat oleh saksi, namun langsung tiada tindakan yang diambil.

Orang berpangkat menyalahgunakan kedudukannya untuk mengatasi undang-undang. Akhirnya yang teranaiya terabai begitu sahaja. Terkontang-kanting Lijah dan anaknya Fitri meneruskan kehidupan.

Waktu itu Fitri masih berumur tak sampai dua tahun.

***

Fitri dengan penuh hati-hati menelusuri kuburan, berjalan sambil mata tak lepas memandang nisan-nisan yang berceracak. Risau dilangkahnya kubur jika tak cermat. Tidak sopan untuk melangkah kubur orang yang sudah m**i.

Sesampainya di bawah pohon kemboja yang sangat besar di tengah-tengah kuburan, Fitri meletakkan botol air berisi bunga di perdu pokok. Dahinya yang diselaputi titisan halus peluh diseka dengan lengan baju. Matanya tertacap pada nisan yang terletak betul-betul di bawah rimbunan pohon itu.

Cebisan-cebisan memori yang pudar menerjah fikirannya…

***

“Lijah, dah 5 bulan tunggakan sewa rumah ni. Pak cik simpati dengan kehilangan suami kamu, tapi… pak cik menyara diri pak cik dengan duit sewa rumah ni saja. Kalau kamu mampu bayar setengah pun tak apa.” Rayu seorang lelaki berumur sekitar 60 tahun. Dia merupakan tuan rumah tempat Lijah menyewa.

“Maaf pak cik. Lijah memang usaha bayar sikit-sikit. Tapi pendapatan dengan jualan kuih tak seberapa. Lijah akan usaha cari kerja lain,” ujar Lijah. Kepalanya tunduk memandang tanah. Malu akan hutang sewa rumah yang semakin membukit.

“Pak cik benarkan tinggal lagi sebulan ya Lijah. Usaha la ye cari duit. Pak cik bukan kejam, tapi sebab dah tertunggak banyak sangat dah. Pak cik pun mengharap duit sewa ini sajalah untuk tampung makan minum diri pak cik.”

Lijah mengangguk. Air matanya mula berkolam di kelopak matanya. Sejak kematian suaminya, segalanya menjadi sukar untuk Lijah terutama berkaitan kewangan. Dahulu hanya arwah suaminya sahajalah yang bekerja mencari wang untuk mereka anak-beranak.

Dengan pendapatan membuat kuih-muih untuk diletakkan di gerai-gerai di tepi jalan memang tidak banyak mana. Kawasan kampung begini, berapa k***t sangatlah penduduk nak membeli di gerai. Ramai lebih selesa membuat dan masak sendiri sahaja di rumah masing-masing.

Sebaik pandangannya terjatuh pada tubuh kecil Fitri yang sedang bermain korek-korek pasir, kolam matanya pecah. Berjujuran air mata tak tertahan lagi. Fitri yang perasan akan ibunya sedang menangis segera berlari dan memeluk kaki Lijah. Walaupun masih mentah, hati anak kecil itu seakan memahami jerih-perih yang sedang dilalui ibunya.

Kira-kira seminggu kemudian, datang seorang wanita tua ke rumah sewa mereka. Dia memperkenalkan dirinya sebagai nenek saudara kepada arwah suaminya. Dipanggil Nek Som. Sejujurnya Lijah tak pernah berjumpa dengan Nek Som. Dahulu suaminya pernah bercerita yang di kampung sebelah ada tinggal nenek saudaranya, namun tidak rapat.

Nek Som mempelawa Lijah dan Fitri tinggal di tanah miliknya di kampung sebelah. Lijah berat untuk menerima kerana dia langsung tak pernah berjumpa. Tiba-tiba mahu menerima pelawaan Nek Som, terasa segan. Tapi akhirnya Lijah bersetuju kerana dia tidak jumpa lagi cara untuk menyelesaikan hutang dengan pak cik.

Yang lebih disegankan oleh Lijah adalah kerana Nek Som telah membayar sekaligus kesemua hutang pak cik. Setelah beberapa bulan, barulah diketahui yang Nek Som telah menggadaikan emasnya di pajak gadai untuk membayar hutang Lijah. Itupun selepas Lijah pergi ke pekan bersama Nek Som untuk menebus kembali sebahagian emas yang digadaikan.

“Nek Som… Lijah nak tanya boleh?”

“Apadia?”

“Emas yang Nek Som tebus tadi tu, duitnya dulu untuk bayar tunggakan sewa Lijah dulu tu ke?” Lijah mulanya teragak-agak untuk bertanyakan tentang hal ini, tapi diberanikan dirinya kerana berasakan Nek Som terlalu banyak berjasa kepada mereka dua beranak.

Nek Som sekadar diam dan mengalihkan pandangan ke arah lain.

“Betul la kan Nek Som guna duit pajak tu untuk bayar tunggakan sewa Lijah?” Lijah menyoal sekali lagi meminta kepastian.

“Lijah, Nek Som tak pandai nak berbohong. Jadi lebih baik Nek Som diam saja,” jawab Nek Som ringkas. Tapak tangan kedutnya mengusap rambut Fitri yang leka bermain di hadapan mereka.

“Allah! Nek Som… Kenapa Nek Som buat macam tu.” Sayu wajah Lijah memandang Nek Som. Dia tak menyangka seseorang yang langsung tak pernah dikenalinya sebelum ini sanggup membantunya setahap itu.

“Arwah Mat suami kamu tu cucu sedara Nek Som jugak. Dalam dunia ni, dia mana ada sedara dekat. Yang mana sedara yang dekat, semua dah meninggal. Yang lain-lain entah hilang ke mana. Dah terputus hubungan. Tinggal keluarga sebelah Nek Som saja la yang paling dekat.”

Lijah dan Fitri gembira tinggal di pondok kecil yang terletak bersebelahan dengan rumah Nek Som. Dahulunya pondok itu digunakan tempat menyimpan barang berkebun. Lijahlah yang datang mengemas setelah Nek Som mempelawa mereka tinggal di situ. Walaupun kecil, Lijah bersyukur ada tempat tinggal. Nek Som membenarkan mereka tinggal secara percuma.

Demi membalas budi Nek Som, Lijah sering membantu Nek Som di rumahnya. Menolong memasak, mengemas rumah, mencuci rumah dan menjaga dusun buah di tanah belakang rumah Nek Som. Selama ini Nek Som menyara hidupnya dengan hasil dusun itu. Setiap minggu ada sahaja peraih yang datang membeli buah daripada Nek Som.

Nek Som yang sudah tua tidak larat sangat untuk mengambil buah di dusun. Lijah yang membantunya kini. Melihatkan kesungguhan dan kebaikan hati Lijah, Nek Som bermurah hati untuk berkongsi hasil jualan buah. Hanya ucapan terima kasih dan syukur yang mampu diucapkan Lijah.

Lijah juga dijemput untuk tinggal serumah bersama dengan Nek Som. Hidup mereka bahagia, penuh senyuman dan riang. Hidup Lijah yang suram sebelum itu, kini kembali bersinar.

Disangkakan tenang selalu, rupanya gelora datang membadai. Hidup orang yang baik dan beriman pasti diuji sebagai ujian keimanan.

“Mak! Kenapa baik sangat dengan perempuan tu?!!” Jerkah seorang lelaki berumur pertengahan 40-an.

“Biarlah! Dia jaga aku elok. Dia tak ada apa-apa salah pun dengan kau Halim.” Tegas sekali nada suara Nek Som menjawab soalan lelaki itu yang dipanggil Halim. Halim merupakan anak tunggalnya yang tinggal di pekan. Menurut pemerhatian Lijah, anak Nek Som itu akan pulang tiga atau empat bulan sekali walaupun pekan itu tidaklah terletak terlalu jauh. Itupun sekadar untuk meminta wang daripada Nek Som. Ada sahaja alasannya ketika meminjam.

“Mak jangan baik sangat dengan dia. Tah-tah perempuan nak ambil kesempatan kat mak. Mentang-mentang hasil dusun mak banyak. Nak mencuri la tu!” Mata Halim menjegil ke arah Lijah yang sedang berada di dapur.

“Kau jangan tuduh dia bukan-bukan. Dia perempuan baik.”

“Halim tak percaya la mak. Tiba-tiba muncul. Tah-tah dia nak guna-gunakan mak. Nak ambil semua tanah mak.”

“Kalau dia guna-gunakan mak pun takpa. Aku bagi semua tanah aku kat dia pun takpa. Nak harap kau, langsung tak jenguk aku jaga aku. Asal balik ja minta duit. Bukan nak tolong aku kutip hasil dusun tu.”

Halim mengetap gigi. Jari telunjuknya dihalakan ke arah Lijah. Lijah tertunduk takut.

“Hoi perempuan! Kau jaga!”

“Halim! Kau jangan buat tak baik!” Marah Nek Som terhadap anak tunggalnya itu. Dia kenal sangat dengan baran anaknya itu. Halim terus melangkah keluar rumah. Ditamparnya pintu sehingga berdentum kuat tanda protes. Kereta sedannya sengaja dipandu laju bagi menggambarkan kemarahannya yang memuncak.

Lijah pula hanya terdiam di dapur. Terasa kehadiran mereka dua beranak di situ hanya menganggu keharmonian keluarga Nek Som.

Beberapa bulan selepas itu, Lijah mula sakit-sakit badan. Di waktu senja sahaja, kerap dia terlihat lintasan bayangan hitam. Semakin minggu semakin teruk sakitnya.

Bila di bawa di hospital, doktor langsung tak tahu punca sakitnya. Akhirnya Nek Som membawa Lijah berubat dengan imam kampung. Menurut imam, kemungkinan besar Lijah diganggu makhluk ghaib. Dihantar oleh seseorang untuk menganggu Lijah.

Selepas mendapat rawatan imam kampung di situ, Lijah akan berasa sihat sebentar selama seminggu dua. Kemudian sakit itu akan datang kembali. Batuk-batuk, demam dan sakit bahagian belakang badan menjejaskan aktiviti hariannya. Dia juga semakin kerap melihat makhluk hodoh di waktu malam. Namun digagahkan dan ditabahkan hatinya untuk melalui semua ujian itu.

Walaupun imam kampung tak dapat mengetahui siapa perilaku perbuatan terkutuk itu, namun jauh di sudut hati Lijah ianya pasti perbuatan anak Nek Som iaitu Halim. Ini kerana dia pernah terlihat bayangan yang muncul di sudut rumah menyerupai Halim kemudian bertukar menjadi makhluk hodoh.

Halim sendiri juga, jika datang untuk meminta wang daripada Nek Som, pasti dia akan tersenyum sinis memandang Lijah. Tiada lagi kata-kata marah keluar daripada mulutnya. Hanya senyuman sinis tanda puas melihat Lijah yang batuk-batuk dan jalan terbongkok-bongkok.

Kemuncaknya ialah apabila Lijah semakin sakit teruk. Manakala Fitri pula demam dan batuk. Fitri juga merengek menyatakan sakit di bahagian belakangnya. Seakan-akan sakit seperti Lijah. Budak sekecil itu, mana mampu menahan sakit sebegitu.

Nek Som tak dapat lagi menahan sabar apabila anak kecil seperti Fitri yang baru berusia tak sampai empat tahun sudah menanggung kejamnya sihir. Nek Som sendiri sudah seakan tahu yang perbuatan itu pasti daripada anaknya sendiri yang dengki akan Lijah.

Suatu malam, Nek Som memanggil seorang ustaz daripada pekan bersebelahan untuk merawat Lijah dan Fitri. Sebaik melihat mereka dua beranak, ustaz itu hanya menggeleng kepala dan beristighfar panjang.

“Nek Som setuju ka saya keluarkan sihir ni? Sebab menurut apa yang saya scan, si penghantar adalah anak Nek Som sendiri. Dan kemungkinan besar, anak Mek Som akan menanggung akibatnya nanti,” jelas ustaz yang datang merawat.

Menurut ustaz, sihir yang dikenakan itu agak kuat. Dia boleh membuang sihir itu, tapi jin itu kemungkinan akan menyerang kembali si penghantar. Ustaz itu sendiri memaklumkan yang anak Nek Som akan menanggung akibatnya sebagai si penghantar sihir. Sihir itu akan memakan kembali diri si penghantar dengan lebih rakus.

“Aku tak ada anak yang bersekongkol dengan jin. Syirik!” Keras suara Nek Som. Setitis air mata mengalir di pipinya tanda kecewa akan perangai anaknya yang bersubahat dengan syaitan. Ibu mana yang tak kecewa apabila anak sendiri tergamak membuat perkara syirik, melanggar perintah Tuhan.

Setelah dibuang sihir, Fitri kembali cergas seperti biasa. Cuma dia seringkali meracau setiap kali waktu tidur. Dan malam-malam dia selalu beritahu yang dia ternampak momok.

Manakala Lijah pula kembali ke rahmatullah genap 4 hari selepas sihir dibuang. Menurut doktor yang merawat di hospital, hampir kesemua organ dalaman Lijah telah rosak teruk. Ketika jenazah di bawa pulang ke rumah Nek Som, Fitri masih lagi gembira bermain bersama rakan-rakannya sebayanya. Sudah penuh rumah Nek Som dengan orang-orang kampung.

Apabila terlihat ibunya yang terbaring di tengah rumah, Fitri terus menghampiri dan cuba mengejutkan ibunya. Digoyang-goyangkan tubuh ibunya berulang kali.

“Ibu… ibu bangun ibu. Bangun. Fitri nak nenen.”

Ditepuk-tepuk badan ibunya berulangkali kerana ibunya langsung tidak memberi respon.

“Nek… Ibu tidur tak bangun. Nek kejut la ibu. Fitri lapar…”

Nek Som teresak-esak menangis melihat telatah Fitri yang masih belum mengerti bahawa ibunya telah meninggal dunia. Orang-orang kampung yang berada di situ turut tidak mampu menahan tangis melihat seorang anak kecil terpaksa melalui hari mendatang sebagai yatim piatu.

“Mak kau dah m**i!” Jerit satu suara dari arah tingkap. Kelihatan Halim tersenyum puas. Beberapa orang kampung menarik Halim pergi dari kawasan rumah Nek Som. Kenal sangat mereka dengan perangai jahat Halim.

“Ibu… Bangun la. Bangun… ” Fitri memeluk erat ibunya lantas mula menangis. Diusap-usap pipi ibunya. “Ibu jangan m**i. Fitri nanak ibu… IBUUUUUUUUUUUU…..”

Esakan tangis daripada orang-orang kampung menggambarkan sepenuhnya suasana pilu dan hiba yang menyelubungi rumah Nek Som. Para lelaki di luar rumah juga tak dapat menahan sebak. Awan mendung berarak laju, burung-burung berhenti bersiul. Saat itu, seluruh alam menangis melihatkan seorang anak kecil yang telah kehilangan kedua ibu bapanya.

Setelah empat bulan, Nek Som mendapat khabar bahawa Halim meninggal dunia di pekan. Jenazahnya tetap dituntut dan diuruskan oleh Nek Som walaupun perbuatan anaknya terhadap Lijah sukar untuk diterima olehnya. Tubuh Halim kurus kering dan terdapat lebam-lebam di seluruh badannya.

***

Fitri terus tinggal bersama Nek Som sehingga umurnya 14 tahun apabila Nek Som pula kembali menemui Sang Pencipta akibat sakit tua. Tinggallah Fitri seorang diri meneruskan kehidupan mendatangnya yang penuh pancaroba.

Di rumah Nek Som, Fitri tinggal seorang diri. Tapi setiap hari, jiran Nek Som akan datang memastikan makan pakai Fitri terjaga. Mujur Nek Som ada jiran yang mengambil berat.

***

Fitri mengusap nisan-nisan yang berada di depannya yang tertulis nama ibunya dan Nek Som. Diusapnya perlahan lalu dijirus dengan air bunga. Mulutnya bergerak-gerak membaca ummul kitab al-Fatihah.

Sesekali kepalanya pantas diangkat kerana merasakan akan kelibat yang melintas. Sejak dia disihir sewaktu kecil dahulu, hijabnya terbuka sehingga kini.

“Ibu, Nek Som… Terima kasih jaga Fitri selama ini. Fitri janji akan menjadi insan yang baik dan sentiasa sedekahkan al-Fatihah…”

-TAMAT-

Dijemput untuk ‘follow’ Facebook penulis untuk membaca kemaskini kisah seram terbaru. Sila tekan link berikut :-

https://www.facebook.com/deefen.df

Karya merupakan hakcipta penulis.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

DEEFEN DF

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.