Terima kasih kepada admin FS yang sudi memuatnaik cerpen saya yang tak seberapa baik, dan juga jutaan terima kasih kepada pembaca-pembaca yang budiman baik melontar kritikan, memberi pandangan dan meluah nasihat.
Apa yang boleh saya perbaiki akan saya usahakan, sekiranya tidak maafkanlah hamba yang bermain bahasa. Maka tanpa berbunga-bunga:
“Huh..kemaskan sikit ruas siku tu, jangan terlalu dekat dengan lubang ketiak, pelipat kejapkan lagi” suara ayah mengaum bagai singa mengajar anak memburu. Malam Jumaat ialah malam yang mencabar bagiku. Malam menurun ilmu. Malam bermandi limpahan cahaya rembulan.
Setiap langkah harus disusun cermat, setiap lenggok bagai cupak hanyut, sembunyi bayang, sembunyi kuku. Pesan ayah padaku, melentur bagai rotan, patah tidak sekali. “Cukuplah malam ini Amin, ayah ada kerja dengan Pak Long dan Tok Penghulu Bahaman, hang siap-siaplah kalau nak ikut,” ayah menepuk bahuku dari belakang.
Kesemua jamung dan panjut aku padamkan berhati-hati. Kepulan sulang jelaga menyelubungi susuk tubuhku. Dari pintu dapur, emak bercekak pinggang melihat aku terhenjut-henjut ke bilik air.
Betis kananku benjol. Namun sudah perkara biasa dan silapku juga bertembung dengan betis kiri ayah. Itupun ketika ayah dalam kuda-kuda bertahan, belum lagi ketika dia menyerang. Pernah dulu aku demam tak kebah, apabila dihinggapi libas angin nandung ketika aku curi-curi memukul ayah dari arah belakang. Marah betul emak pada ayah siang –malam membebel. Mujurlah arwah atok cepat menawar.
“Nah, ini hang lilit dipinggang, jangan tanggalkan sampai balik,” ayah memberikan aku selendang hitam milik emak. Malam itu aku bersama ayah membonceng motorsikal ke darat menuju rumah Tok Penghulu Bahaman.
Aku dapat mengagak apa tujuan sebenar pertemuan ayah, Pak Long dan Tok Penghulu lewat malam sebegini. Kemungkinan besar ialah masalah orang kampung diganggu bajang. Tidak tahu bagaimana masalah ini muncul menjadi ribut, asal sahaja ada yang hendak bersalin mulalah tumpah darah dan berkejar ke hospital.
Pada mulanya aku tidaklah percaya sangat cakap-cakap orang yang lebih kuar daripada sudu. Namun, sewaktu menemani nenek menziarahi menantu Wan Timah yang balik hospital akibat tumpah darah, aku sedikit-sebanyak mulai percaya. Mujurlah menantu dan cucu sulungnya selamat, kalau bertangguh tidak tahulah nasib mereka. Namun bagiku soal hidup mati semuanya atas kehendak Allah SWT.
“Malam ini kita tengok sahaja, jangan terburu-buru mengambil tindakan, nanti kerja menjala angin,” pinta ayah kepada Tok Penghuluu. “Assalamualakum Tok Penghulu,” tiba-tiba suara Pak Long menerjah bersama Komeng Bukit Tembaga. Pak Long melemparkan senyuman padaku. Sudah sebulan aku tidak menjenguk Pak Long kerana kengkangan mengulangkaji dirumah.
Maklumlah, selepas guru ilmu hisab mengadu kepada emak bahawa aku kurang cekap berbanding pelajar lain dikelas.Hahaha. “Semua dah sedia kah? Sireh bertemu urat ambil seorang sehelai, ruas tepus selit baik-baik, jaga langkah seiring,” pesan Pak Long dengan jelas agar tiada yang terleka. “Marilah kita bergerak ke hilir dan mulakan dengan Bismillah,” Pak Long melangkah dengan ruas tepus diheret ke dada tanah.
Sejam jugalah kami meredah pinggir hutan, berjurai keringat di leher, terdengkot-dengkot aku mengejar langkah Pak Long. Sehinggalah kami di sempadan kampung seberang, hanya dipisahkan hutan lintang. Tak betah aku dengan desingan nyamuk hutan bermain ditelinga. “Kita ikut anak sungai, aku jangka rumahnya dipesisir beting,” Pak Long mengarahkan kami dengan segera sementara langkah disuluh cahaya bulan.
Betul sekali telahan Pak Long, terdapat pondok berlantai buluh tidak jauh dari beting pasir. Pucuk atapnya daripada daun nipah dianyam kemudian disusun rapat. Dibawah lantai pondok dikelilingi batang nibong sebesar pemeluk setinggi pinggang.
Di bawah pohon Ara sungai berjuntai akar, Pak Long mengingatkan kami agar berjalan seiring, letakkan sireh bertemu urat dibawah pangkal tapak kaki. Jalan berjinjit memijak sireh sehinggalah sampai ke laman pondok. Satu perkara yang sukar untuk aku lakukan dengan betisku yang benjol sebesar telur puyuh. “Shhhhh..,” Pak Long menyuruh kami mematikan langkah tepat di kaki tangga perdu buluh. Muka Komeng sudah pucat lesi tidak berdarah. Tok Penghulu sudah gelisah. Ayah pula memegang pinggangku rapat.
Pekerjaan ini betul-betul mencebak sarang tebuan tanah mencari nahas. Terdengar bunyi tempayan berlaga sama sendiri di bawah lantai buluh. Pak Long menghimpit batang nibong yang mengelilingi bawah pondok sementara kami duduk mencangkung tidak bergerak. Perasaan gemuruh bermain dalam diriku. “Mari dan lihat,” Pak Long memberi isyarat. Perlahan-lahan, berhati-hati kami menghimpit batang nibung yang tersusun.
Bauan masam seperti cuka getah menerjah hidungku serta-merta. MasyaAllah..MasyaAllah..hampir mataku tersembul dari sarang mata melihat satu susuk entah jantan entah betina didalam tempayan sebesar pemeluk dari celahan batang nibung. Manakala kepala dan wajahnya yang berada dimulut tempayan mengeletek seakan-akan sedang berpisah jasad.
Aku tidak dapat lihat dengan jelas kerana tempayan membelakangi pandanganku, kecuali Pak Long yang kedudukannya tepat penjuru pagar nibung. Pak Long menggelengkan kepala lalu memberI isyarat meminta kami berundur dengan arah yang sama. “Kita balik dan berkumpul di rumah aku, ikut jalan biasa,” Pak Long memberi arahan di bawah pohon ara.
Setibanya diberanda rumah nenek, gembiranya hati aku, sudah terhidang roti benggali buat cecah kopi o jantan di atas dulang. Nenek bagai sudah menjangkakan kepulangan kami. Ayah berdiri dikaki tangga bongsu memerhati Komen Bukit Tembaga bagai terperasan sesuatu yang janggal dan aneh padanya. “Huh, hang dah terkena jerat ni Komeng, turun sini cepat,” suara ayah meninggi.
Pak Long dan Tok Penghulu terpingga-pingga kehairanan melihat Komeng Bukit Tembaga tiba-tiba sahaja menggeletar bagai dihinggap sawan. Mulutnya berbuih-buih, anak matanya berlari-lari. Pak Long dan Tok Penghulu Bahaman memapahnya dan dibaringkan di atas tanah.
Mulut ayah terkumat-kamit lalu memicit ibu jari kaki dan menusuk lubang ketiak Komeng Bukit Tembaga.Terjuih mulutnya menahan kesakitan. Bertali air liurnya tumpah diatas tanah bagaikan getah pohon ara. Seketika, barulah Komeng dapat menarik nafas dalam-dalam, melurut-lurut dada yang tadinya berombak.
“Aku lihat mukanya, bibirnya tidak beralur, matanya merenung mata aku, isi perutnya berjuntai, mati aku, matilah aku,” Komeng Bukit Tembaga menggoncang bahu ayah. “Sepatutnya jangan dipandang buat kali kedua, tapi aku terlupa mengingatkannya, memang silap aku” Pak Long mendengus kecewa. Mujurlah aku tidak melihatnya buat kali kedua keluh hati kecilku.
Kesilapan kecil yang mengundang geruh. “Perkara ini mesti diselesaikan segera, dan hang Komeng bersiap-siaplah kerana rahsianya sudah hang hidu,” jelas ayah menghirup kopi yang dingin. Pak Long dan Tok Penghulu Bahaman mengangguk faham.
Ilmu bajang ini sudah lama bersarang dalam masyarakat Melayu dahulu, terikat dengan banyak pantang dan larang namun masih diamalkan. “Amin esok ikut Pak Long ke hutan ya,” Pak Long menghadiahkan aku sekuntum senyuman.
Suasana di dalam hutan betul-betul asing. Cahaya fajar menyinsing dari celahan dedaun pohon Tualang, menerbitkan rasa kagumku kepada Yang Maha pencipta. Bunyian unggas hutan menemani aku bersama Pak Long menyelongkar perut hutan lintang.
Hah, sudah berjumpa, berhenti Amin, ujar Pak Long. Mulutnya terkumat-kamit memerhati ruas ubi sarek bercorak batik hijau lumut. Hang cabut dengan sekali rentap sahaja, jangan diulangi sekiranya gagal, faham?, Pak Long memerintahkan aku.
Aku memulakan dengan lafaz Bismillah, dengan kaki kanan kejap mencengkam tanah, Haaahhhhhh.Alhamdulillah usaha aku berhasil. Terburai akar serabut ubi sarek setinggi bahuku tak bertahan.
Huh, sememangnya hang boleh aku harapkan Amin, senyum Pak Long.
Apa gunanya ruas ubi sarek ni Pak Long?, soalku pada Pak Long.
Emmm..ramalan aku, kemungkinan ini sumpahnya, pendek jawapan Pak Long menguci pertanyaan yang daripada tadi berlegar-legar dibenakku. Ayuh kita pulang Amin, ada yang mengekori, Pak Long memimpin tanganku. Hatiku berdebar-debar. Langkah Pak Long semakin kencang meredah lantai hutan. Apa aral dihadapan sehingga Pak Long cemas sebegini?
Berhenti!, Pak Long mematikan langkah. Aku mahu tunjukkan hang sesuatu Amin, tapi janganlah hang gentar atau khuatir, Pak Long merenung mataku.
Hampiri rusuk kananku dan pejamkan mata seketika dan lihatlah diatas dahan sana, arahan Pak Long sebutir-sebutir dengan jelas. Perasaan aku dicemari rasa gemuruh. Satu susuk hitam seakan keluang di perdu Tualang, matanya meliar, melompat-lompat diantara perdu. Sudah, ayuh Amin, biarkan dia, seketika arahan Pak Long melenyapkan pandangan aku.
Berbirat lenganku terkena ranjau rotan, pedih ngilunya sewaktu mengambil wudhuk. Pak Long dan Tok Penghulu sedang rancak berbual di kaki serambi surau. Malahan, ayah juga turut serta tanpa menghiraukan aku melipat sejadah dipenjuru. Entah apa yang dibualkan aku tidak peduli. Apa yang sedikit aku ketahui, susuk keluang dan pondok di beting sungai ada perkaitan.
Mari balik Amin, ayah menegurku.
Jemputlah minumnya Tok Penghulu, kopi bujang ngan biskut kering saja,nenek menyapa menyantuni tetamu lewat malam.
Tidakkah pekerjaan ini sia-sia?, Tok Penghulu memulakan buah perbualan. Pak Long terdiam sambil merenung jauh diluar serambi.
Apakata kita halau saja dari kampung ini, tak mungkin sampai menunggu korban baru nak bertindak, Komeng Bukit Tembaga mencelah.
Kalau Ilmu Raja Kelelawar aku kira, dipakainya 44 darah perempuan bunting sulung, bermandikan darah mencukupkan ilmunya, Ayah berdiri menutup muka pintu rumah yang terkuak. Apa yang kita lihat semalam, tempayan itu berisi getah ara mengubati jasadnya yang berubah,ujar ayah membetulkan pelipatnya.
Ilmu ini, ilmu lama, ilmu seberang, ketika darurat melindungi keluarga dan harta, dan hanya sedikit pengamalnya kerana ujiannya amat sukar, Pak Long mencelah. Marilah kita bertawakkal agar pekerjaan kita malam ini membuahkan hasil, ujar Pak Long berdiri mencapai ruas ubi sarek diatas alang rumah.
Ayah, Pak Long dan Tok Penghulu menaiki motorkar manakala aku dan Komeng hanya membonceng. Komeng Bukit Tembaga memberitahuku, bahawa pondok semalam itu didiami oleh seorang pengambil upah menoreh getah dari seberang. Baru 6 bulan datang ke Tanah Semenanjung sewaktu pembukaan tanah baru untuk peneroka. Orangnya diam dan rajin, namun tidak pernah sesekali penduduk melihatnya luar dari kebun getah.
Tapi Mat Amin, pernah sekali aku terserempak dia waktu malam, tengah panjat pokok pinang, gerutu Komeng Bukit Tembaga.
Biasalah tu abang Komeng, ujarku.
Huh..kalau dah lompat dari pucuk pinang ke pokok pinang yang lain apa yang biasanya, gerutu Komeng Bukit Tembaga. Aku hanya mampu ketawa tercuit hati dengan gelagatnya. Komeng Bukit Tembaga ini kawan rapat Sudin Komando yang merupakan anak didik arwah atok. Badannya kekar, kening hitam lebat, kalau bercakap semuanya menang bagai ayam berkokok ekor bemain tahi. Kami tiba di laluan tanah merah selang beberapa rantai dari pondok buluh semalam. Terdengar bunyi deruan anak sungai dibelakang pondok. Sunyi, ditemani bunyi cengkerik hutan. Ayah, Pak Long dan Tok Penghulu tercegat menunggu kami.
Burrrrburrrrburrrr
Bunyi ribuan kelawar mengeluarkan bunyi aneh memecah sunyi malam. Berhamburan entah dari mana. Aku dan Komeng mulai cemas kerana jarak kami dengan ayah, Pak Long dan Tok Penghulu agak jauh. Lintang-pukang, tak cukup tanah jadinya aku dan Komeng mendapatkan ayah.
Huh..dia sudah terhidu hang Komeng,patut hang jangan ikut, ayah merungut melihat Komeng berselindung di belakang Pak Long.
Tuuu..apa tu, Tok Penghulu menuding jari atas rabung pondok. Seakan-akan satu susuk tubuh mengepak sayap. Penglihatan agak terbatas ketika itu kerana dilindungi perdu pinang yang tersusun.
Mari cepat, jangan bertangguh, jangan biarkan dia bersalin jasad, Ayah memulakan langkah. Hang tunggu sini, jangan campuri, bentak ayah. Tetapi darah muda, perasaan ingin tahu memuncak, selangkah-demi selangkah aku menghampiri lantai nibung yang tersusun.
MasyaAllah..masyaAllah..ak
Aku tahu sumpah hang, jadi tanah pulang tanah, dari seberang pulang ke ganggang, betah ayah menghunus ruas ubi sarek ke dada makhluk berwajah keluang. Selagi mana ruas itu dihunus di dadanya , selagi itu makhlus itu menahan azab pedih, seolah-olah terlalu berbisa. Berjurai-jurai air liurnya yang kekuningan tumpah diatas lantai buluh. Meloyakan, seakan-akan bau bangkai tikus.
Wa ing kuntum fī raibim mimmā nazzalnā ‘alā ‘abdinā fa`tụ bisụratim mim miṡlihī wad’ụ syuhadā`akum min dụnillāhi ing kuntum ṣādiqīn, ayat 23, Surat Al-Baqarah. Pak Long membacakan sepotong ayat suci Al- Quran. Seolah-olah alunan ayat suci itu menolak makhluk itu ke luar pondok. Terhumbam ditengah laman.
Ini lah sumpah hang bukan, disumpah tanah, tidak berpijak selagi amalan hang belum selesai, bentak ayah melompat turun. Ayah menempik lalu dihentaknya ruas ubi sarek didada makhluk Keluang. Muntah darah tak bertahan, bagai dipalu kayu beluti. Berhempas-pulas menyelamatkan dirinya namun tidak berdaya. Komeng Bukit Tembaga aku lihat hanya mampu berdiri memimpin Tok Penghulu Bahaman. Hilang jantan, hilang taring apabila berdepan. Tadi diatas motorsikal, bercakap bagai langit hendak runtuh.
A-‘Amintum-Man FisSamâ-‘I ‘An-Yakh-Sifa Bi-Kumul-‘ArđaFa-‘Iżâ HiyaTamur .Am-‘Amintum-ManFis-Samâ’I
Allahuakhbar..Allahuakhbar
Amin, bangun nak, bangun, ayah mengusap pipiku lembut.
Ayah..maaf aku pening tadi, ujarku memegang genggaman ayah erat.
Tak ada apa pun, nuu..Komeng pun sama, siap muntah lagi, ayah memimpin tanganku menuju motorkar Tok Penghulu Bahaman. Perlahan-lahan aku berjalan melintasi debu-debu belerang. Kesan abu masih lagi tinggal berbekas ditanah, namun aku tidak peduli. Kepala aku masih berdenyut-denyut apabila Pak Long membacakan ayat suci, seakan kepalaku dihempap batu besar.
-TAMAT-
Best..
Best..tapi Bajang tu apa….skali baca mcm penanggal.tapi..jantan bunyinya
Memang Di Semenanjung, bajang nama penanggal jantan.
Ada sambungan LG x? Seronok membacanya sampai x sedar… Cerita dah habis… Huhuhu
Ini penulisan Mat Tepus. Dah banyak kali submit pengalaman beliau ke Fiksyen Shasha.
wpon fiksyenshasa utk yg fiksyen2 tapi sy prefer real story..
btw keep on story kay..
dasyat
“Sudah sebulan aku tidak menjenguk Pak Long kerana kengkangan mengulangkaji dirumah.”
ejaan kekangan uols. hehe.. biasalah typo, jgn ckp meols nk jd cikgu BM pulak kat FS.
“Maklumlah, selepas guru ilmu hisab mengadu kepada emak bahawa aku kurang cekap berbanding pelajar lain dikelas.Hahaha”
chuols lahir zaman sblm iols. sb zaman iols dulu xde ilmu hisab..
jln dn cite yg menarik. .kalu ad lg jgn lmbt sgt nk smbung yea bro. .t.t. .
aku x suka sebab bahasa dia heavy. Aku lah.
cerita2 dari mat tepos memang best. saya suka
Klu kisah ni adalah pengalaman sebenar penulis, alangkah bestnya…
Best jalan cerita ni. Mat tepos mmg tak.pernah mengecewakan. Pandai digarap ceritA dengan perkataan org lama
Cite best tpi tu lah heavy gile bm dia 🤣🤣🤣🤣 terase bodoh lak🤔
best..dh jarang jumpa cerita mcm ni sekarang..can’t wait utk sambungan seterusnya👍🏻
Bagi 5 bintang kpd penulis. Apa nama fb. Add sy taib mohd hassan
Woi!
Nampak sangat cerita ini rekaan, cerita bohong, cerita kelentong, cerita dongeng — Si Penulis “Ilmu bajang” ni memang nak kena tepuk satu kali dahi dia — tulis cerita karut — nak nampak macam real.
Awal-awal perenggan atau di akhir perenggan jujurlah tulis: “Kisah ini hanyalah rekaan.” supaya pembaca tidak tertanya-tanya atau membiarkan pembaca terpusing-pusing dengan 1,001 soalan/pertanyaan.
Ilmu bajang takde woi dalam dunia!
Setahu aku, Hantu Bajang ada dan, wujud di alam Melayu! Di alam Arab, di alam Yahudi aku tak tahulah tapi, di alam Melayu memang ada — memang wujud Hantu Bajang.
Hantu Bajang ini kukunya panjang dan, makhluk ini suka mengganggu perempuan yang sedang mengandung.
Hantu Bajang juga suka mengganggu kanak-kanak — ada kes kanak-kanak sampai demam panas kerana, diganggu oleh Hantu Bajang yang bertenggek di tembok rumah.
Makhluk ni wujud..sbb aku sendiri pernah tgk lalu ats kepala..berkepala dan api di belakang..ngeri..
gagang ✔
ganggang ❌
dipimpin ✔
memimpin ❌
Ni bukan cerita raja kalelawar yang pernah post dulu ke?
Best. Teruskan menulis ya bro.