KISAH ASPURI – SYAHIRA (BAHAGIAN 3)

“Masalahnya siapa yang ambil?” Aku pula menyoal. Jantung pisang? Nak buat apa ambil jantung pisang? Dekat dewan makan dah tak cukup makanan ke?

Syahira menjungkit bahu. Katanya, dia tak tahu. Cuma penghuni di sebelah sana minta dipulangkan semula jantung pisang yang dah diambil.

“Saya rasa saya tahu, cikgu.” Hidayu tiba-tiba bersuara. Kami serentak memandang Hidayu.

“Siapa?” Cikgu Hanis menyoal.

“Kak Dian.”

“Dian?” Cikgu Hanis menyoal lagi, meminta kepastian. Hidayu mengangguk.

“Pergi panggil Dian. Sekarang!” Hidayu dan Nazira beredar mendapatkan Dian, pelajar tingkatan empat.

Untuk pertama kalinya aku tengok Cikgu Hanis macam tu. Muka ketat sungguh, mood dia sudah semestinyalah tak baik. Selama ni, paling teruk pun dia menjerit marahkan kami bila time prep bising sangat. Selain dari tu, dia pun sejenis dua kali lima je dengan kami. Mungkin sebab beza umur kami tak jauh mana, kalau aku tujuh belas tahun, waktu tu dia baru dua puluh empat. Macam kakak-kakak je la pada aku.

“Cikgu panggil saya?”

“Masuk.”

Selajur Dian melangkah masuk ke dalam bilik warden, aku, Puteri, dan Sakinah terus beredar.

Macam aku katalah sebelum ni, kami tak berapa ngam dengan pelajar tingkatan empat, jadi untuk mengelak sebarang masalah lain timbul, ada baiknya kami tidak turut serta dalam bilik warden tu. Hidayu dan Nazira aku heret sama keluar dari situ. Budak berdua tu memang telinga kuali. Kuat menyibuk pun iya juga.

Tak lama lepas tu aku nampak Dian dan beberapa orang lagi pelajar tingkatan empat keluar dari bilik warden dan terus menuju ke kantin. Malam tu, keadaan kembali normal, tiada sebarang gangguan histeria mahupun yang seangkatan dengannya. Setiap dorm juga diwajibkan untuk mengadakan bacaan Yaasin dan surah Al-Jinn sebelum waktu lights off.

Keesokkan harinya, sesi pembelajaran berjalan seperti biasa. Rutin harian sebagai penghuni aspuri juga seperti biasa. Hinggalah selepas tamat kelas sesi petang. Kelas sesi petang untuk lower form, iaitu tingkatan satu, dua dan tiga akan tamat pada pukul 4.30 petang manakala tingkatan empat dan lima akan tamat pada pukul 5.00 petang.

Petang tu, selepas waktu makan malam dan sebelum aktiviti musolla dimulakan, aku perasan Dian bersama Syahira dan seorang lagi pelajar tingkatan empat keluar dari bilik warden dan terus berjalan menghala ke arah ampaian belakang aspuri. Dengan naluri ingin tahu yang membuak-buak, aku menyusup masuk ke bilik warden.

“Cikgu, kenapa diorang pergi belakang?”

“Saya suruh pulangkan jantung pisang tu.”

“Dahtu, Syahira tu ikut sekali. Tak apa ke?” aku menyoal lagi.

“Dia je yang tahu macam mana cara nak pulangkan jantung pisang tu.”

“Pelik. Syahira ni boleh berhubung dengan benda halus ke?”

“Maira! Sekali lagi awak buka mulut cakap yang bukan-bukan, awak tidur serambi malam ni.” Cikgu Hanis mengugut. Ceit! Mentang-mentanglah dia tahu aku ni penakut, terus diugutnya tidur serambi.

“Cikgu, kalau pulang jantung pisang tu… Confirm ke yang kita semua takkan diganggu lagi?”

“InsyaaAllah tak. Tapi kalau kena lagi, awak sukalah kan? Boleh ponteng kelas malam kan?” Ibu Seri, penyelia asrama mencelah. Aku tayang sengih. Memandai je ibu Seri ni cakap macam tu. Kalaulah ustaz Halim atau ustazah Zanariah dengar, mahu kena ceramah aku ni. Silap-silap ustaz Halim tu keluarkan denda yang pelik-pelik untuk aku.

Berbalik perihal jantung pisang tu. Menurut cerita Cikgu Hanis, Dian mengaku yang dia memang ambil jantung pisang tu dengan niat nak dibuat ulam. Yang aku tak faham tu, sayur yang mak cik dewan makan masak tak nak pula dia makan, jantung pisang tu jugalah yang dia nak.

Dan menurut Cikgu Hanis lagi, Syahira akan membantu Dian untuk memulangkan jantung pisang tersebut. Kata Syahira, hanya dia yang tahu di mana dan bagaimana proses pemulangan jantung pisang tu. Dan syarat orang di sebelah sana, siapa yang mengambil maka orang itulah yang harus memulangkannya.

Dari cerita yang aku dengar lagi, jantung pisang tu harus dilempar ke arah rumpun pokok pisang yang tumbuh berdekatan dengan tembok ampaian. Selepas itu, mereka tidak dibenarkan untuk menoleh ke belakang. Harus terus berjalan masuk ke aspuri semula. Macam drama kan?

Semuanya kembali tenang selepas kejadian tu. Cuma yang tak tenangnya adalah aku. Sejak peristiwa histeria tu, Syahira mula merapatkan diri dengan aku. Ya, hampir setiap waktu senggang dia akan muncul di depan aku. Dan dia hanya akan mendekat bilamana aku berseorangan. Seram aku jadinya. Rimas pun iya.

Satu hari tu, waktu aku tengah duduk berseorangan selepas waktu prep petang, dia muncul, duduk di depan aku.

“Kak Maira, kita nak cerita sikit ni.”

Dengan malas aku memaniskan muka. “Cerita apa? Cerita je.”

“Tapi akak kena janji, jangan cerita pada orang lain.”

Eh, banyak pula cekadak budak ni. “Cerita pasal apa tu?”

“Ayu.”

“Ayu? Kenapa dengan Ayu?” soal aku hairan. Yalah, setahu aku, semua pasal budak Hidayu tu aku tahu. Malah setiap salah laku yang dia lakukan semuanya dalam pengetahuan aku. Jadi, apa yang nak diceritakan Syahira?

“Ni bukan pasal Hidayu tau. Ni pasal Ayu, kawan kita.” Syahira bersuara, semacam dapat membaca apa yang aku fikirkan.

“Ayu yang mana?”

“Kawan dekat kampung kita. Nama dia, Ayu.”
Aku mengangguk. Baru aku faham.

“Kenapa dengan Ayu tu?”

Syahira memulakan ceritanya. Ayu yang dimaksudkan Syahira tu, dikenali semenjak dia sekolah rendah lagi. Menurut apa yang dibayangkan Syahira melalui ceritanya, kawasan rumah keluarga Syahira tidak jauh dengan kawasan perkuburan. Setiap kali hendak ke sekolah, dia akan melalui kawasan perkuburan tersebut. Dan dari situlah dia mula berkenalan dengan Ayu.

Ayu yang digambarkan Syahira, seorang budak perempuan berambut panjang dan cantik. Tetapi mempunyai kisah hidup yang agak menyedihkan.

“Nanti kita lukis gambar dia, kita tunjuk dekat akak.”

“Eh, tak payahlah. Akak dah boleh imagine dah macam mana Ayu tu.” Aku menjawab, mengelak dari terpaksa menatap potret Ayu yang bakal dilukis oleh Syahira. Tak sanggup oi.

“Jangan bayangkan, nanti dia muncul.” Syahira tersengih memandang aku.
Eh, budak ni. Lepuk mulut tu karang. Aku cuma gelak nak menyedapkan hati sendiri.

“Syahira, akak nak kena siapkan homework ni. Nanti kita sembang lagi ea.”

Syahira mengangguk. Dia bangun dari kerusi dan mula untuk beredar.

“Nanti malam, kita datang dorm akak ea?”

Datang lagi? Aku angguk kepala. Nak dihalang, takut dia kecil hati. Bak kata Cikgu Hanis dan Ibu Seri, layankan je dulu. Takut kalau tak dilayan, nanti dia balik pada perangai lama yang suka bersendirian tu. Masalahnya sekarang ni, yang nak kena melayan dia tu, aku!

Selepas kejadian histeria tu. Perhatian terhadap Syahira sememangnya lebih dari sebelumnya. Itu adalah arahan GPK 1, ustazah Zanariah. Alasannya, bila berseorangan, jiwa jadi kosong, bila kosong akan ada yang cuba untuk mengisinya. Waktu tu, aku tak pasti sama ada alasan tu logik atau tidak. Tapi kira relevan jugalah.

Jadi, dengan alasan tu la kami diminta untuk tidak membiarkan Syahira bersendirian.
Satu hal tentang Syahira selepas kejadian histeria tu. Dia macam bukan diri dia yang sebelum ni. Entahlah, mungkin aku je yang rasa macam tu. Yalah, sebelum ni aku jarang bertegur dengan dia. Nak rapat tu jauh sekali. Jadi aku memang tak tahu sangat dia ni sejenis yang macam mana. Dia yang aku nampak, suka berbual, suka ketawa dan suka menyanyi. Ceria. Aku nampak dia seorang yang ceria.

Sebelum ni aku ada bagitahu yang dorm kami tak jauh. Aku di dorm dua dan dia di dorm empat. Dorm tiga di tengah-tengah, yang mana dorm tiga dijadikan tempat untuk para pelajar yang ingin mengulangkaji selepas waktu tutup lampu. Setiap aras hanya dibenarkan untuk menghidupkan satu lampu sahaja. Disebabkan aku sejenis yang terlalu sayangkan waktu tidur aku, jadinya muka aku memang jarang ada dekat dorm tiga tu tengah-tengah malam.

Kedudukan katil aku pula betul-betul bersebelahan dengan pintu yang menghubungkan laluan tengah di antara dorm. Jadinya, dari katil aku, aku boleh nampak jelas sesiapa sahaja yang duduk di dorm tiga. Termasuklah Syahira.

Hampir setiap malam aku nampak dia duduk di dorm tiga tu, study. Yang peliknya, waktu prep malam tak ada pula aku tengok dia sibuk siapkan homework. Bila dah lepas pukul 11.00 malam, mesti dia tercongok dekat situ.

Yang buat aku tak selesa tu, tiap kali aku pandang dia, tiap kali tu jugalah dia tengah pandang aku sambil senyum-senyum. Hinggalah satu hari tu, aku baru terlena, tiba-tiba…

“Kak Maira… Kak Maira…” Terasa lengan aku disentuh, sejuk! Cepat-cepat aku mengiring menghadap Puteri di sebelah kanan. Mujur katil aku dan Puteri bercantum rapat, jadinya dengan tak ada rasa bersalah aku menghimpit Puteri. Sempit ke panas ke, tu tolak tepi. Aku tengah takut! Dan tiba-tiba tu juga kedengaran…

Kting. Kting. Kting..kting..kting…
Kting. Kting. Kting..kring..kting…

Bunyi besi katil diketuk, menghasilkan irama perlahan yang kemudiannya semakin melaju. Berulang hingga tiga kali. Degup jantung aku sememangnya dah hilang rentak. Panas, sejuk terasa badan. Mata aku pejam rapat. Perasaan takut tu sama macam waktu aku diganggu di ampaian berdekatan dengan pokok pisang dan sewaktu aku terdengar bunyi loceng gelang kaki di tengah malam. Cerita tu, kalau ada kelapangan aku akan cerita lain kali.

Selepas tu, senyap. Tak ada sebarang bunyi yang terhasil. Malam tu aku rasa cukup panjang. Terasa lambatnya nak tiba waktu subuh. Aku nak dengar azan subuh! Itu je yang aku harapkan masa tu.

Keesokkan harinya, sewaktu kami berehat selepas pulang dari kelas. Salah seorang junior dorm aku datang mendekat dan bertanya sesuatu.

“Kak Puteri malam tadi tidur mana?”

“Tidur sinilah.” Puteri menjawab sambil menepuk tilamnya.

“Eh, yeke? Kita cuma nampak kak Maira je.” Ahh! Sudah.

“Eh, akak ada je la tidur sini.”

Junior tu sengih sambil menggaru kepala. Dia pandang rakan sebelah katilnya.

“Kak Maira ada pergi tandas tak malam tadi?” soal rakan di sebelah katil junior yang pertama tu.

“Korang nak cakap apa sebenarnya ni? Cuba cerita?” Aku menyoal.

Aku lihat mereka berdua tersengih-sengih, serba salah mungkin untuk memulakan cerita. Tapi setelah didesak, akhirnya mereka bercerita juga.

Menurut kata Aisyah, si junior pertama. Dia tidak nampak Puteri tidur di katilnya. Dia hanya nampak aku. Dan kemudian dia nampak Syahira berbaring di katil aku. Jadi dia menyangka aku yang mempelawa Syahira tidur di dorm kami memandangkan aku sedang rapat dengan Syahira.

Dan selepas itu pula, Amira si junior kedua bercerita. Katanya, dia terjaga dalam pukul 3.00 lebih pagi. Dan dia nampak aku berjalan melepasi pintu yang menghubungkan antara dorm menuju ke bilik air. Dia jadi hairan kerana aku pergi ke tandas seorang diri, tidak berteman. Dan apabila dia membalikkan tubuh, mengiring ke arah katil aku, dia nampak Syahira tidur di situ.

“Korang buat cerita kan?” Puteri berseloroh.
Mereka berdua serentak menggeleng.

“Sumpah, kita tak tipu.”

“Alahh, korang ni. Malam ni kita tidur atas lantai ramai-ramai.” Aku membuat keputusan. Siapa yang tak takut bila dengar cerita begitu?

Malam tu semasa waktu prep malam, aku perhatikan gerak geri Syahira. Kedudukan meja prep kami, pelajar tingkatan lima sememangnya agak strategik. Port turun temurun, asal namanya senior, pasti bahagian hujung kantin berdekatan dengan telefon awam yang terlindung dengan tembok tangga menjadi kawasan rasmi senior. Kuasa veto yang entah dari mana diperolehi, aku pun tak tahu. Dari tempat duduk aku, memang jelas boleh nampak keseluruhan ruang kantin aspuri.

Syahira aku lihat sedang duduk santai. Tidak seperti rakan-rakannya yang lain yang sedang khusyuk mentelaah pelajaran. Dari gayanya, aku nampak seperti sedang melakar sesuatu.

“Aku nak pergi tengok Syahira kejap.” Puteri dan Sakinah turut mengalih pandang ke arah Syahira.

Aku mendekat seraya menarik kerusi duduk disebelahnya.

“Buat apa?”

“Terkejut kita. Tak ada apa-apa.”

“Lukis apa tu?”

“Gambar Ayu. Akak nak tengok?”

Aku mengangguk. Entah dari mana keberanian tu datang. Dia membuka semula buku latihan yang digunakan untuk melukis gambar Ayu lalu disua kepada aku. Gulp!

Gambar yang dilukis Syahira amat jauh beza dengan apa yang aku bayangkan sewaktu dia bercerita tempoh hari. Ayu yang dilukis cukup menakutkan. Berambut panjang, bermata bulat dan anak mata penuh membulat. Dilukis pula mulutnya tersenyum menyeringai. Pakaian Ayu yang dilukis, compang camping dan Ayu yang dilukis Syahira dalam keadaan seperti merangkak atau juga mungkin mengesot.

“Ni Ayu?” Aku soal, berbisik. Syahira mengangguk.

“Tipulah. Syahira saja nak takutkan akak kan?”

Dia menggeleng. “Ni la Ayu. Kita tak tipu.”

“Tapi…”

“Ayu tak boleh berjalan. Dia merangkak.”

“Syahira, dah jangan cerita apa-apa lagi. Homework dah siap?” Cepat-cepat aku menukar topik perbualan. Melihat keterujaan Syahira untuk bercerita soal Ayu membuatkan aku rasa seperti Ayu ada di situ.

“Akak, naik dorm nanti, kita cerita dekat akak pasal Ayu.”

Aku cuma senyum. Malam tu aku nekad, aku nak tidur awal.

Hari berganti hari. Perihal Ayu masih belum luntur dari bibir Syahira. Ada masanya dia akan menunjukkan hasil lukisannya pada aku. Hakikatnya bukanlah sebuah lukisan yang jelas, sekadar contengan kasar tetapi masih boleh difahami, masih punya bentuk dan rupa.
Setelah hampir sebulan lebih kejadian histeria tu berlalu, aspuri sekali lagi digemparkan dengan kejadian kedua. Mangsa pertama kali ini adalah Linda. Pelajar paling junior.

Disebabkan kami sudah tahu siapa yang mudah terkesan dengan kejadian seperti itu, jadi, pelajar-pelajar yang lemah semangat kami asingkan jauh dari Linda.

Keadaan Linda pada malam tu agak teruk. Aku tak pasti dari mana puncanya. Sebelum masuk waktu maghrib, aku lihat Linda okay, aku berselisih dengan dia sewaktu aku keluar dari bilik air. Selepas dia selesai mandi dan masuk ke dormnya, dia dikatakan tidak bercakap dengan sesiapa. Tak lama lepas tu dia mula ketawa sendiri. Dan tiba-tiba sahaja dia menerpa keluar dari dorm, belari menuju ke arah ampaian. Mujur juga petang tu pintu pagar ampaian dikunci awal, Linda meronta-ronta sambil menggoyangkan pagar besi ampaian sambil menangis meraung-raung.

Cikgu Hanis terus menghubungi ustaz Zaid. Nasib baik ustaz Zaid datang berseorangan. Kalaulah dibawanya sekali ustaz Halim, aku sanggup pengsankan diri.

Malam tu, hanya Linda sahaja yang diserang histeria dan selepas dirawat, dia seakan baru tersedar. Terpinga-pinga melihat ramai orang mengelilinginya. Bila ditanya kenapa, dia cuma bagitahu yang dia dengar ada orang panggil namanya berkali-kali dari arah belakang ampaian.

Kejadian yang sama! Aku pernah kena, dulu.

Rutin bacaan Yaasin dan Surah Al-Jinn sebelum waktu tutup lampu masih diteruskan. Sewaktu aku bersiap-siap untuk tidur, Syahira datang, duduk di katil aku dengan rasa tak bersalahnya. Satu kepantangan untuk aku bilamana orang lain rasmikan katil aku sebelum aku. Punyalah aku beriya-iya menarik cadar agar tegang semata-mata nak ambil feel sebelum tidur, suka hati dia je nak duduk.

“Nak apa ni? Pergi tidurlah.”

“Ayu yang kacau Linda tadi, akak.”

Buntang mata aku dengar apa yang dia bagitahu.

“Ish, merepeklah.”

“Ayu ada je dekat dalam hostel ni kalau akak nak tahu.”

Sumpah, aku meluat dah dengan cerita pasal Ayu tu.

“Syahira, akak bukanlah nak marah. Tapi, tolonglah jangan merepek. Akak nak tidur.”
Syahira senyum nipis sambil bangun dari katil aku.

“Okaylah, good night!” Dia terus berlalu. Tapi malam tu aku tak dapat melelapkan mata. Tak tahu kenapa, selepas Syahira muncul di katil aku, terus segar mata.

“Put tak boleh tidur la.” Puteri di sebelah katil bersuara.

“Aku pun.”

“Makan nak?”

“Malas, nanti kena gosok gigi lagi.” Aku membalas.

“Kita nak buat apa ni, Maira?”

Aku berbaring terlentang, merenung besi katil. Katil dua tingkat yang entah berapa lama sudah digunakan. Kami bersembang dari satu topik ke satu topik yang lain. Ketawa sesama sendiri apabila ada yang mencuit hati.

“Bilik air dekat mana?”

Hampir saja aku dan Puteri terjerit. Terkejut dengan pertanyaan yang tiba-tiba itu. Apabila menyedari empunya diri yang bertanya, aku terus menjawab.

“Pusing belakang, jalan terus, belok kiri, naik atas katil.” Aku memberi arahan. Julia dan penyakit jalunya memang tak boleh dipisahkan.

Adakalanya, kalau dia berkeadaan begitu, aku akan melayan. Adakalanya tidak, ikut pada situasi. Bahaya untuk orang yang berjalan dalam tidur jika dibiarkan. Ke bilik air tu bermacam risiko yang ada. Naudzubillah.

Selepas Julia menghilang, berderai tawa kami berdua. Jam menunjukkan hampir pukul 2.00 pagi. Tiba-tiba deretan tingkap yang menghadap ke arah balkoni diketuk bertalu-talu.

Aku dan Puteri berpandangan. Selimut yang menutup separuh badan terus aku tarik menyelubungi badan. Tidak semena-mena juga Puteri menyusup masuk ke dalam selimut aku. Kami berbaring berhimpit.

Kting. Kting. Kting.

Bunyi besi katil. Kali ini bunyi tersebut kedengaran mengelilingi katil kami. Hingga tiba-tiba Puteri menjerit sekuat hati menyebabkan satu dorm terjaga. Salah seorang dari penghuni dorm bangun dan membuka lampu.

“Kak Puteri, Kak Maira, kenapa ni?” Aisyah, si junior pertama menyoal. Selimut kami ditarik.

“A..ada hantu.”

“Syhhh. Jangan sebut Put.” Aku memberi amaran. Masing-masing yang mendengar terus memandang sekeliling.

“Akak, macam ni. Kita ramai-ramai ambil wudhuk, lepastu kita tidur bawah, buka lampu.” Aisyah si junior memberi cadangan. Aku dan Puteri hanya menurut.

Sewaktu kami melintas dorm empat, sempat aku kerling ke arah katil Syahira. Dia lena tidur. Kata-kata Syahira tentang Ayu kembali menerjah benak. Betul ke yang Ayu ada di dalam aspuri? Apa niatnya? Sengaja mahu mengganggu kami? Atau sengaja untuk membuktikan apa yang diceritakan Syahira itu benar?

::BERSAMBUNG KE PART 4::

4 thoughts on “KISAH ASPURI – SYAHIRA (BAHAGIAN 3)”

  1. Asal aku rasa cikgu hanis ni tak bertanggungjawab eh. boleh pulak dia tak teman student dia pulangkan jantung pisang mlm2. Kalau jd apa2 mcm mana. Kau pulak, nama je ketua tapi tak reti nak lead student lain elok2. Ni aisya jugak bagi saranan amik wudhuk la lps tu tidur bawah sama2. Syahirah tu tanggungjawab kau, cikgu suruh jaga dia sebab kau tu ketua. kalau bukan kau, sape lagi? Ketua apa ntah macam ni. bengang pulak aku baca. lucut je la jawatan kau tu.

    Reply
    • Yes betul… Sepatutnya dia lyn kan je syahirah tu….mcm mna la boleh jdi ketua..tk lyk betulll … Kalau asrama aku la kena tgk attidude apa semua … Ni tk tgk perangai pon selfish 🤦‍♀🤦‍♀

      Reply
  2. Mmg la dia kena jaga syahirah , tapi takkan dia nak benarkan syahirah tu ganggu dia , dia Ada keje lain jgk nk buat . Tambahan lagi tahun tu dia exam besar. Kalau aku jadi dia aku pun rimas .

    Reply

Leave a Comment