KISAH ASPURI – SYAHIRA (BAHAGIAN 2)

“Kau ambil barang aku…” ulang Syahira berkali-kali.

Keesokan harinya, sesi kelas tambahan Ahad berjalan seperti biasa. Memandangkan kelas aku letaknya di aras bawah sekali dan cuma selang beberapa langkah saja untuk ke aspuri, jadi aku sengaja menggunakan kesempatan itu untuk tidak tergesa-gesa ke kelas. Waktu tu dah tingkatan lima, remos besar kepala dah terasa macam sekolah tu macam sekolah yayasan abah aku.

Hal Syahira dan Najihah jadi perbualan hangat. Mana-mana kelas yang bercampur pelajar lelaki terpaksa mengulang semula cerita yang terjadi. Jangan tak tahu, kaum lelaki ni kalau bab bergosip kalah mak jemah tau. Samalah keadaannya dengan kelas aku. Sekolah aku ni, kelas kami diasingkan mengikut jantina cuma adalah beberapa kelas yang terpaksa dicampur atas sebab- sebab tertentu.

Berbalik pada kisah si Syahira ni. Pagi tu dia dan Najihah ditinggalkan di aspuri sambil dipantau warden yang bertugas. Setakat siang tu tak ada apa yang berlaku. Keadaan Najihah pun semakin okay.

Sewaktu sesi pembelajaran sedang berjalan, angin tiba-tiba bertiup kencang. Macam nak ribut. Waktu tu kami tak terfikir apa-apa pun hinggalah salah seorang budak kelas aku bersuara.

“Eh, korang tak risau ke? Entah-entah si Syahira tu kena histeria lagi dekat aspuri tu.”

“Mulut kau ea Daiy. Dia dah okaylah.” Aku membalas. Tak sanggup bila memikirkan kemungkinan kejadian tu akan berulang lagi. Penat tak cukup tidur malam tadi pun belum berganti.

“Aku cakap je.” Fidaiy tersengih.

Tamat kelas tambahan, aktiviti kami bebas. Mana yang nak keluar outing, mana yang nak melepak dekat dewan makan menonton televisyen dan tak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk membayar waktu tidur malam yang tak cukup.

Masuk pukul 6.00 petang, aktiviti musolla di serambi. Petang tu, aku tak pergi menjengah Syahira. Aku memilih untuk duduk di musolla saja. Hanya pelajar tingkatan empat yang mengendalikan Syahira dan Najihah. Tambahan pula, pelajar tingkatan empat dan lima memang tak pernah sebulu. Ada saja yang tidak kena, jadi aku membiarkan mereka mengambil alih tugasan memantau Syahira.

Panas yang disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Syahira sekali lagi dirasuk. Kali ni di dalam bilik air. Ceritanya, salah seorang pelajar tingkatan empat memujuknya untuk membersihkan diri. Berkali-kali dipujuk tetapi dia tetap enggan. Pelbagai helah dia cuba mengelak untuk membersihkan diri.

Macam yang aku kata, Syahira tu uzur. Bahasa pasarnya, dia tengah datang bulan jadi sudah semestinyalah makhluk-makhluk halus ni suka dengan keadaan diri yang kotor dan kosong sebegitu. Setelah dipujuk, akhirnya Syahira menurut. Pelajar tersebut menemani dia hingg ke bilik air. Dorm lapan tu hujung sekali dan bersambung dengan bilik air, jadi pelajar tingkatan empat yang lainnya cuma menunggu di dalam dorm sahaja.

Ceritanya lagi, Syahira memilih untuk masuk ke tandas paling hujung yang terlindung dengan tembok kolah. Hampir 10 minit tak ada sebarang bunyi dari tandas tu. Senyap.

Tok. Tok. Tok.

“Syahira. Syahira! Buat apa tu?” Pelajar tingkatan empat yang menemani Syahira mengetuk pintu tandas.

Masih lagi senyap.

“Syahira! Keluar sekarang!” Pelajar tersebut mengarah.

Tak lama lepas tu pintu tandas dibuka. Syahira keluar dari tandas dan membuang tuala wanitanya ke dalam bakul sampah.

“Mandi dekat sini je,” arah pelajar tingkatan empat itu. Untuk kami, mandi berkemban di kolah tu dah tak jadi perkara janggal. Syahira diam tidak bergerak. Berdiri menghadap kolah air dengan kepala sedikit tertunduk dan rambut mengurai menutup sebahagian muka.

“Syahira… Cepatlah. Dah nak masuk maghrib ni.”

Tidak semena-mena Syahira mengilai. Warden dan pelajar tingkatan empat yang menunggu di dorm lapan terus menerpa ke bilik air. Syahira mulai merangkak mengelilingi ruang bilik air. Pakaian yang masih tersarung di tubuhnya basah. Dia merangkak dan mengilai. Tiba-tiba dia berhenti bergerak, menunduk menekur lantai bilik air. Masih dalam keadaan rambut yang menutupi seluruh mukanya. Tidak lama lepas tu, dia mulai menangis. Mendayu-dayu menangis.

“Tarik dia, bawa masuk dalam dorm. Saya call ustaz Halim.”

Aku yang kebetulan baru saja hendak menuju ke tempat mengambil wudhuk terus menjengah ke dalam dorm lapan.

“Maira! Suruh yang dekat serambi buat bacaan Yaasin. Jangan bagi sesiapa keluar dari serambi. Yang uzur pun suruh masuk serambi sekarang!” Cikgu Hanis memberi arahan. Tanpa berlengah, aku menurut. Keadaan Syahira agak teruk maghrib tu.

Mujur tak ada pelajar lain yang diserang histeria. Najihah kami jaga sebaik mungkin. Mujur juga ustaz Halim tiba dengan cepat dan keadaan Syahira dapat dikawal.

Tapi itulah satu masalah yang aku tak berapa nak faham. Ustaz Halim tu macam anti sangat dengan aku. Ada je dia nak bagi arahan yang pelik-pelik. Tahulah aku pernah baling bola dan hampir terkena kepala isteri dia. Isteri dia kerani dekat sekolah tu. Pucat lesi jugalah aku bila elok je bola tu sipi lagi nak mendarat atas muka isteri dia dan waktu tu juga Ustaz Halim muncul. Suara dia masa tu, Tuhan je yang tahu. Nasib aku tak m**i kejung.

“Maira!” Bersepai lamunan aku bila Ustaz Halim bersuara.

“Ya, ustaz.”

“Esok petang, awak pergi belakang aspuri, bersihkan sampah-sampah dekat belakang tu.”
Kan, aku dah agak dah. Mesti arahan dia bukan-bukan.

“Saya sorang lagi ke ustaz?”

“Tak kisah berapa ramai awak nak bawa. Yang penting, kawasan belakang ampaian tu bersih. Awak semua dah kotorkan tempat dia.”

Ayat lebih kurang je dengan malam sebelum tu. Ufh! Tapi aku tetap mengangguk.

“Ingat! Lepas ni jangan buang sampah merata-rata. Jaga kebersihan. Kalau tak, awak la yang akan bersihkan semuanya, Maira. Faham?”

Aku angguk lagi. Sebal dah hati masa tu. Orang lain buat kotor, aku yang kena bersihkan.

Malam tu, kami dibenarkan masuk ke dorm masing-masing. Dan sekali lagi nasib aku kurang baik bilamana telekung aku tertinggal di serambi. Jam dah pukul sebelas lebih. Lampu dorm dah wajib dipadam. Yang menyala pun cuma di dorm tiga dan dewan makan untuk pelajar yang hendak mengulangkaji pelajaran.

“Put, teman aku turun bawah. Telekung aku tertinggal.”

“Jom, Naz temankan.” Nazira menawar diri. Puteri juga menemani aku. Kami bertiga turun ke serambi. Entah kenapa malam tu aku rasa seperti diperhatikan. Terasa seram semacam. Selalunya, setakat nak pergi serambi lepas waktu lights off, aku berani lagi. Kali ni tak. Lembik lutut aku rasa.

Setibanya di serambi. Aku baru perasan ada sehelai sejadah terbentang mengunjur ke arah kiblat dan sebuah rehal berserta sebuah Al-Quran yang terbuka di atas sejadah tu. Pelik! Dan dengan selambanya aku tutup Quran yang terbuka tu.

“Jangan! Jangan tutup Quran tu.” Nazira bersuara tiba-tiba. Aku yang terkejut terus berlari mendapatkan mereka berdua.

“Kenapa kak Maira tutup Quran tu? Ustaz Zaid yang buat macam tu, dia tak bagi sesiapa kacau.”

“Maira, baik kau pergi buka balik Quran tu. Cepatlah…”

Aku menggeleng. Sungguh, aku memang takut. Sejuk satu badan aku rasa. Rasa diperhatikan dan sedang ditertawakan tu buat aku jadi tak tentu arah. Nazira tak menunggu lama, dia terus masuk semula ke tengah serambi dan membuka kembali Quran yang dah tertutup tu. Tanpa berlengah, kami terus berlari balik ke dorm masing-masing.

Disebabkan insiden dekat serambi tu masih membelenggu aku, makanya malam tu aku dan seluruh ahli dorm aku sepakat untuk tak tidur di katil. Kami tidur berjemaah di atas lantai. Angkut tilam masing-masing dan bentang di tengah-tengah dorm.

Dan malam tu bukanlah malam yang tenang seperti yang kami harapkan. Menurut cerita Puteri, malam tu dia terdengar bunyi ketukan dibesi katil.

Kting. Kting. Kting.

Berulang hingga tiga kali. Mujur setakat itu saja, tak ada sebarang teguran atau hilai tawa yang kedengaran.

Keesokan petang, seperti yang diarahkan Ustaz Halim, aku, Hidayu, Nazira, Puteri dan Sakinah bergerak ke arah belakang tembok ampaian. Kawasan di belakang aspuri tu ditumbuhi lalang tinggi melepasi pinggang. Terdapat juga beberapa rumpun pokok pisang yang tumbuh dengan suburnya, siap berbuah lebat lagi. Dengan berbekalkan plastik sampah, kami mengutip sampah-sampah disepanjang kawasan belakang tembok aspuri tu. Hinggalah kami tiba pada serumpun pokok pisang yang mana buah dan jantungnya sudah memasuki kawasan ampaian.

“Jantung pisang ni la Naz yang aku cakap semalam.”

Aku yang terdengar hanya memerhati Nazira dan Hidayu berbisik. Sesekali Nazira mengangguk kepala sambil memandang rumpun pokok pisang tu.

“Korang cakap pasal apa ni?” Aku menyoal. Tak sabar rasanya nak tahu apa rahsia budak berdua tu.

“Tak.. Ni kak Maira…”

“Maira! Dah siap ke belum. Dah nak dekat pukul 6.00 ni, cepat masuk aspuri balik!” Cikgu Hanis melaung dari arah ampaian.

“Dah cikgu! Kejap!”

Kami mula beredar. Aku sememangnya tak betah berada dekat situ lama-lama. Rumpun pokok pisang yang tumbuh sebelah tembok ampaian tu agak menakutkan dan aku pernah terkena di situ dahulu.

Keadaan Syahira kembali normal. Demam yang dialaminya juga dah berkurang. Cuma dia masih dalam perhatian warden. Setelah ditanya dan didesak, barulah dia buka mulut tentang apa yang diketahuinya. Menurut Syahira, ada sesuatu yang telah diambil oleh penghuni aspuri. Dan ‘mereka’ minta dipulangkan semula ke tempat asalnya.

“Apa benda tu?” Cikgu Hanis menyoal. Kami memandang Syahira, menunggu jawapan.

“Jantung pisang.”

“Jantung pisang?” Cikgu Hanis menyoal lagi.

Syahira mengangguk. “Dia minta kita pulangkan jantung pisang tu.”

“Masalahnya, siapa yang ambil?” Aku pula menyoal. Jantung pisang? Nak buat apa ambil jantung pisang? Dekat dewan makan dah tak cukup makanan ke?

Syahira menjungkit bahu. Katanya, dia tak tahu. Cuma penghuni di sebelah sana minta dipulangkan semula jantung pisang yang dah diambil.

::BERSAMBUNG KE PART 3::

MAIRA HUDA

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

11 thoughts on “KISAH ASPURI – SYAHIRA (BAHAGIAN 2)”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.