Kongsi Alam

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua. Memandangkan bulan 12 ni dah tak banyak keja aku nak kena hadap, jadi aku ada banyak masa lapang untuk menulis. Harap peminat FS tak bosan nak baca cerita-cerita aku ni yer. So saat ni aku nak berkongsi tentang kisah seseorang yang aku rasa ‘istimewa’. Aku gelarkan dia Kapten Sol. Kenapa aku kata dia special? Jom ikuti kisah aku dekat bawah ni tapi cerita ni tak seram pun tau. Just share pengalaman saja.

Tahun 2012, waktu tu aku baru je dapat sambung ijazah dekat salah satu IPT di Perak. Aku ni jenis suka aktiviti outdoor especially kem motivasi/ teambuilding. Kalau ada aktiviti macam ni diiklankan di info board universiti, confirm aku dengan sorang kawan aku ni, Cik L mesti akan jadi orang terawal daftar nama dekat p.i.c. Tahun kedua belajar, aku dengan Cik L ada join satu teambuilding yang dijalankan di salah satu kem di tebing Sungai Perak. Teambuilding ni melibatkan beberapa institusi dan tempoh teambuilding agak lama iaitu sekitar 10 hari kerana aktiviti yang dijalankan sangat mencabar dan perlukan tempoh yang lama untuk diselesaikan.

Nak dipendekkan cerita, aktiviti yang tinggalkan kenangan kat aku ialah Survival Trek dimana kami perlu berjalan merentas hutan dengan hanya berbekalkan sebuah kompas, sebuah khemah, sehelai kanvas dan sepersalinan pakaian. Segala barang peribadi lain/ alat komunikasi perlu ditinggalkan di base camp. Untuk makanan, kami hanya dibenarkan membawa sebuku roti l, 2 botol besar air mineral manakala peralatan lain adalah sebilah pisau dan 5 batang mancis bersama kotaknya. Aktiviti ini perlu kami jalankan selama 2 hari 1 malam dimana kami perlu bermalam di hutan selama 1 malam dan kami perlu ikhtiar sendiri bersama ahli kumpulan untuk mencari makanan tambahan sendiri sepanjang di dalam hutan tersebut. Dari segi keselamatan, aktiviti ni di kawal selia oleh beberapa komandan yang arif dengan kawasan hutan dan termasuklah Kapten Sol.

Memandang aku dan L dah selalu terlibat dengan aktiviti begini, jadi tidak terlalu sukar bagi kami menerima tugasan tersebut berbanding dengan beberapa peserta perempuan lain. Ada yang nak mengalah (tak mahu ikut serta) tapi faham-faham je lah kalau dah duduk bawa kem komandan yang macam singa ni, memang bertuah lah kalau dapat pengecualian kan. Jadi mahu atau tak, terpaksa lah awek-awek tadi ikut jugak. Aku dengan cik L senyum je tengok gelagat diorang mengomel tak puas hati masa tu. Kemudian kami teruskan je perjalanan dengan ahli kumpulan kami yang waktu tu seramai 10 orang. Kebetulan kumpulan aku waktu tu duduk dibawah seliaan Kapten Sol dan seorang lagi komandan, Kapten Jo. Jadi kami sebanyak 2 kumpulan bergerak serentak mengikut ketua-ketua kami tadi. Di sepanjang perjalanan, aku dan Cik L berbual sesama sendiri sambil menikmati udara segar di sekeliling kami.

Sesekali Kapten Sol akan mengarahkan kami berhenti untuk memastikan perjalanan kami sentiasa mengikut koordinat dan arah yang betul. Sampai di satu lokasi berhampiran dengan sebatang pokok besar, tiba-tiba Kapten Sol memberi isyarat kepada kami supaya berhenti berjalan. Kapten Sol seperti berbisik pada Kapten Jo dan kemudian kapten Jo mencapai sebatang dahan sebesar lengan kemudian dia mengetuk banir pokok besar tersebut sebanyak 3 kali. Kemudian Kapten Sol mengarahkan kami untuk berehat seketika di bawah pokok tersebut. Sekitar 20 minit kemudian tiba-tiba muncul 2 ekor anjing yang tak tahu dari mana datangnya. Salah seekor anjing tadi pergi ke belakang kumpulan kami manakala seekor lagi berdiri di hadapan. Kapten Sol dan Kapten Jo berbisik sesama sendiri lalu sahabatnya itu terus mengusap kepala anjing tersebut sambil berkata sesuatu kepada anjing tersebut.

Kemudian aku melihat Kapten Jo berbisik semula kepada Kapten Sol dan mereka terus mengarahkan kami untuk menyambung semula perjalanan tetapi kami perlu menyimpan kompas dan ikut sahaja pergerakan anjing tersebut. Kami pada mulanya agak sedikit keliru kerana pada awalnya Ketua Komandan berpesan hanya arahan yang diterima dari beliau sahaja perlu diikuti dan arahannya adalah supaya kami bergantung pada kompas kerana setiap koordinat telah ditetapkan di check point tertentu dan sekiranya kami tidak menggunakan kompas, maka kami tidak akan jumpa lokasi koordinat seterusnya. Kapten Sol seakan dapat membaca hati kami yang ragu-ragu dengan arahannya dan terus dia berkata “Kalau kamu semua nak selamat, ikut arahan saya!” Terus dia dan Kapten Jo berjalan meninggalkan kami di belakang diikuti anjing yang bersama mereka tadi. Kami kemudian terus berlari mengikuti mereka termasuklah anjing yang duduk di bahagian paling belakang tadi.

Hari semakin gelap dan kami terus berjalan sehinggalah tiba di tepi sebuah anak sungai. Tapi kami perasan sepanjang kami jalan tadi tiada satu pohon pun yang bertanda koordinat yang sepatutnya jadi panduan laluan kami. Ahli kumpulan lain semakin gelisah dan meragui tindakan Kapten Sol dan Kapten Jo yang mengarahkan kami untuk berjalan mengikut anjing dan bukannya ikut arah kompas.

Tiba-tiba ada seorang pelajar lelaki bersuara seakan tidak berpuas hati dengan kapten sol dan kata beliau ‘Kapten, mak saya kata dalam hutan-hutan macam ni tak boleh nak ikut ‘orang’ sebarangan. Boleh sesat nanti. Sekarang ni pun kami dah rasa sesat. Satu tanda pun kami tak nampak” Kapten Sol membalas dengan hanya senyuman sinis sahaja. Tiba-tiba Kapten Jo bersuara mengarahkan “Ada sesiapa di kalangan kamu ini yang ada mata ke enam?”. Tiada seorang pun yang mengangkat tangan waktu itu. Keadaan pun sunyi sepi mungkin sebab peserta tak selesa bila mendengar soalan tersebut. Kemudian kapten Jo sambung lagi “Kalau ada di antara kamu yang ada mata ke enam, tolong jelaskan pada kawan-kawan kamu yer “ Semua membatu sambil pandang sesama sendiri. Akhirnya kapten Jo mengarahkan kami supaya membuat tapak khemah di situ berikutan hari sudah senja dan mereka tidak mahu mengambil risiko untuk bergerak pada waktu malam dengan membawa peserta yang ramai. Setelah selesai mendirikan khemah dan segala macam, ada diantara peserta yang meminta kebenaran untuk ke kawasan anak sungai untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu untuk bersolat tetapi di larang keras oleh Kapten Sol. Dia menyuruh kami menggunakan air mineral yang dibawa untuk berwudhu. Sekali lagi ahli kumpulan aku kelihatan bengang dengan tindakan Kapten Sol. Dah la nak mandi susah. Takkan nak solat pun tak boleh. Badan kami dah lekit-lekit ni. Itu antara respon ahli kumpulan aku ketika itu. Aku dan Cik L semakin ligat memikir tentang apa yang terjadi. Kami tahu ada sesuatu yang berlaku di luar pengetahuan kami.

Anjing-anjing yang mengikut kami tadi masih lagi berada berdekatan dengan tapak khemah kami. Mereka seoalah-olah dalam keadaan berjaga-jaga memerhati sekeliling. Sesekali aku perasan Kapten Jo akan pergi ke anjing tersebut dan berkata-kata sesuatu. Malam tu selepas makan malam, kapten sol mengarahkan yang lelaki tidur di atas kanvas manakala yang perempuan tidur di dalam khemah. Kanvas yang telah tersedia dibentang tadi kerana kami menggunakan kanvas tersebut untuk solat berjemaah terus dipenuhi oleh peserta lelaki yang kepenatan setelah seharian berjalan. Manakala pelajar perempuan hampir kesemuanya telah lena dibuai mimpi. Aku dengan cik L yang masih belum mengantuk keluar dari khemah dan menuju ke arah Kapten Sol dan Kapten Jo yang sedang berbual sambil minum di tepi kanvas. Memang menjadi kebiasaan kami untuk mendapatkan cerita-cerita pengalaman dan nasihat daripada ketua-ketua yang arif tentang hutan. Bukan apa sekadar untuk menambah koleksi ilmu kami sebagai bekalan untuk melakukan aktiviti sebegini pada masa akan datang. Sangkaan kami Kapten Sol akan memarahi kami kerana tak tidur lagi tapi sebaliknya mereka berdua mengajak kami untuk mengikut mereka ke tepi anak sungai. Kapten Sol tahu kami sangsi dengan setiap arahannya jadi dia ingin menjelaskan kepada kami kenapa dia suruh mengikut anjing dan kami tidak dibenarkan mendekati sungai.

Kami berempat mengambil tempat di tepi sebatang pokok dan kami duduk menghadap ke seberang anak sungai. Kapten Sol meminta kami memejamkan mata dan tanamkan niat dalam hati untuk mintak petunjuk dari Allah serta mohon sentiasa berada dalam lindungannya. Beberapa saat kemudian Kapten Sol menyuruh kami untuk membuka mata dan mendengar apa yang ada di seberang anak sungai. Rasa nak tercabut jantung bila kami terdengar bunyi seperti ngauman harimau yang sayup-sayup kemudian diikuti dengan suara orang lelaki tengah mengaji. Aku jadi gerun bila aku dengar bunyi tapi aku tak nampak apa-apa. Yang ada depan kami cuma hutan belantara serta pokok-pokok. Aku pandang cik L, dia pun muka dah pucat lesi. Kemudian aku tengok Kapten Sol terkumat kamit membaca sesuatu dan dia suruh kami tutup mata semula. Tiba-tiba bunyi tadi beransur hilang dan akhirnya cuma kedengaran bunyi air mengalir dan cengkerik.

Selepas kami bertenang, Kapten ajak kami balik ke kawasan khemah semula dan dia terangkan kenapa dia bagi arahan pelik-pelik siang tadi. Katanya sewaktu kami memulakan perjalanan, dia perasan ada kelibat sesuatu di kiri dan kanan kumpulan kami. Kelibat tu seolah-olah mengekori kami ke mana kami melangkah. Kata kapten sol juga, waktu dia nampak kelibat tu, hutan semakin sunyi sepi dan makin lama tiada bunyi unggas didengari. Kami pada masa itu sibuk berbual sampai tidak prihatin dengan perubahan yang berlaku. Kapten Sol tahu ada yang cuba ‘mengenakan’ kami.

Memandangkan lokasi kami masih tidak jauh dari base camp, terus dia minta kapten jo untuk memberitahu rakan-rakan komandan mereka untuk melepaskan dua ekor anjing mereka yang terlatih dengan keadaan hutan. Sebab tu Kapten Jo ketuk banir pokok tu 3 kali untuk tujuan nak bagi isyarat pada rakan komandan yang lain bahawa ada kumpulan yang perlukan bantuan. Waktu tu baru aku tahu kegunaan banir pokok ni dalam hutan. Rupanya kalau kita ketuk, bunyi dia lantang jauh. Tapi tak boleh la sebarang ketuk je banir ni. Kena ada isyarat 3 kali je ketuk kemudian tunggu beberapa saat baru ketuk balik. Pasal kehadiran anjing-anjing itu memang kami tak tahu sebab pihak komandan menyimpan anjing tersebut di lokasi lain bagi tujuan “standby”. Kapten Sol kata lagi kami bernasib baik kerana anjing-anjing itu sempat tiba sebelum “sempadan” yang dibina oleh kelibat-kelibat tadi menutup penglihatan mereka. Dan sebab tu la kapten Sol suruh kami berjalan mengikut anjing tersebut kerana anjing antara haiwan yang mempunyai mata ke enam. Mereka tahu akan kehadiran makhluk-makhluk yang tidak sepatutnya dan mereka akan mula memberi tindakan supaya kita tidak meneruskan perjalanan.

Sekiranya anjing berhenti dan menyalak tiba-tiba itu bermakna ada sesuatu di hadapan kami. Selalunya yang dilihat oleh anjing adalah laluan “makhluk-makhluk” tersebut dan sebab tu kita banyak dengar kes orang tiba-tiba hilang dalam hutan kerana secara tidak sengaja kita termasuk dalam lingkungan laluan mereka. Dan yang paling menakutkan kami ialah sepanjang perjalanan tadi kami telah terlindung dari dunia luar sebenarnya. Sebab tu kami tak nampak sebarang klu koordinat di batang-batang pokok di sepanjang laluan tadi. Mujurlah ada dua ekor penyelamat kecil yang membantu kami mengesan lokasi anak sungai serta menjadi pengawal kami sepanjang lalu di situ.

Manakala alasan untuk tidak dibenarkan ke sungai adalah kerana, Kapten Jo terlebih dahulu telah diperlihatkan kepadanya sebuah “perkampungan”gah yang terletak di seberang anak sungai tersebut. Di hadapan kampung tersebut terdapat beberapa ekor “harimau” yang menjadi pengawal. Dan sebab tu kami mendengar bunyi ngauman harimau tadi kerana “harimau-harimau” tersebut seperti mengesan kehadiran kami berdekatan mereka. Sewaktu mendengar penjelasan dari Kapten Sol ni, aku terasa bulu roma aku memang terpacak tegak taknak turun langsung. Mana tidaknya, berjiran dengan penempatan “makhluk” serta hampir sesat dalam hutan, macam-macam bayangan buruk yang kami fikirkan selepas itu.

Keesokan harinya kami meneruskan lagi perjalanan dan akhirnya kami berjaya pulang ke base camp kami dengan selamat. Tiba saja di base camp, rakan-rakan lain yang melihat kami dan terus berlari sambil bertanya pelbagai soalan kepada kami. Kata mereka kami sudah 3 hari terlewat tiba di base camp. Seperti yang aku jangka, ahli kumpulan aku ni akan tercengang kerana sangkaan mereka cuma terlewat satu malam tetapi bagi aku, cik L, Kapten Sol dan Kapten Jo sudah faham dengan apa yang terjadi.

Itu saja lah yang aku nak cerita kali ni. Ingatan pada kawan-kawan yang suka masuk hutan tu, berhati-hati lah yer. Mulut kena jaga, mata jangan buta serta telinga perlu peka. Sekian..

7 thoughts on “Kongsi Alam”

Leave a Comment