Gangguan Kasar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, aku Nazurah. Aku ni peminat tegar kisah-kisah seram dari Fiksyen Shasha. Disini, aku nak share sedikit kisah yang pernah aku alami sepanjang aku bernafas dimuka bumi ini. Dari aku kanak kanak sehingga meningkat remaja. Lagipun ini kisah pertama aku. Terima kasih sekali lagi jika kisah ini disiarkan.

Waktu ini, aku berumur 4 tahun rasanya lah, aku tak ingat sangat. Masa tu, mak aku hanya ada dua orang anak saja, aku dengan adik aku. Ayah aku tak ada dekat rumah sebab ada kerja malam.

Aku terjaga dari lena, kalau dah nama pun budak, payah dahla nak sambung tidur balik. Aku berjalan keluar dari bilik, mata melilau cari ayah aku (sebab aku masa kecik rapat dengan ayah, itu yang tak boleh kalau tak ada depan mata). Cari punya cari, terjumpa benda lain.

Elok je dia duduk dekat sofa rumah aku. Miss Pon ni datang nak melawat kawasan gamaknya. Dia ingat ada orang nak layan dia. Aku kecik lagikan masa tu, jadi tak adalah aku kisah sangat.

Masa kecik memang aku tinggal dekat rumah tetap aku di Sarawak ni, area mana tak boleh bagitau la. Bila aku tinggal sini balik, kawan kawan aku cakap memang tempat ni agak keras.

Rumah aku ni memang betul betul menghadap hutan. Kalau dah hutan, apa je yang tak tinggal dalam tu. Habis cerita masa aku umur 4 tahun.

Sekarang aku nak cerita masa umur aku dah boleh dikatakan budak budak hingusan. Selekeh lagi waktu nak pergi sekolah.

Aku dan keluarga berpindah ke Kuala Lumpur sewaktu aku darjah 3. Aku pindah kerana ayah dipostingkan. Jadi, apakah daya untuk aku menghalangnya.

Gangguan menjadi semakin teruk apabila aku semakin besar. Kadang kadang apabila aku bersendirian di rumah, telinga aku akan menjadi ‘pekak’ sebentar. Aku rasakan bingit di telinga. Ianya sering berlaku, sampaikan pada suatu tahap aku tidak lagi boleh bertahan. Aku memukul kepala dengan sesuatu yang keras sehingga bunyi bingit itu hilang.

Pada sebelah malam pula, aku pasti akan berasa takut, seperti waktu malam itu musuh utama aku. Situasi ini yang paling aku benci sekali. Apabila aku tutup sahaja kelopak mataku, wajah wanita hodoh, makhluk makhluk menakutkan akan muncul di dalam kepalaku. Ini membuatkan aku menjadi seorang yang susah untuk tidur malam.

Aku akan tunggu sehingga kepala dan otak ini melupakan makhluk menakutkan itu, barulah mata aku akan berasa kuyu dan akhirnya aku akan tidur dengan sendirinya.

Apabila makhluk menakutkan itu tidak muncul semasa aku menutupkan mata. Mereka akan menggangu aku sewaktu aku sedang tidur. Mereka akan kejutkan aku dengan bunyi-bunyi ketukan, cakaran. Apa yang aku boleh lakukan pada waktu itu, hanyalah hadapi sahaja.

Jika mahu lebih ekstrem, aku pernah ‘ditindih’ oleh makhluk halus itu. Aku sedar bahawa aku telah pun terjaga dari tidur, tapi mengapa aku tidak dapat gerakkan tubuh badanku? Aku berusaha untuk menjerit, tapi suara aku seperti disekat oleh sesuatu.

Apabila aku sudah kepenatan dan berputus asa makhluk itu pergi, membuatkan tubuh badanku boleh bergerak seperti sediakala. Itu ialah pengalaman yang paling aku takut dan tidak mahu alaminya lagi.

Tapi, ianya tidak berhenti disitu sahaja. Selepas 5 tahun mereka ini tidak menggangu aku. Aku ingatkan mereka sudahpun menginsafi agar tidak mengacau aku lagi. Tapi tekaan aku meleset. Mereka tidak pernah serik mengacau dan menghasut fikiran anak Adam.

Pada malam Ahad, selepas 5 tahun mereka mendiamkan diri, kini mula memunculkan diri. Maksud memunculkan diri disini ialah mengacau ye, bukan dia tunjuk muka dia yang cantik tu.

Masa ni aku tengah menonton tv diruang tamu. Rumah aku masa tu rumah flat, rumah yang aku duduki itu di tingkat 6. Nak dijadikan cerita, malam malam aku memang suka lepak dekat balkoni rumah, ambik angin malam.

Kedudukan ruang tamu aku macam ni, sliding door di sebelah kiri, tv dekat sebelah dinding sliding door, aku melepak dekat ruang antara sliding door dengan ruang tamu. Jadi boleh la layan tv sambil layan sekali angin malam.

Sedang lepak lepak tu, anjing sedap je menyalak nyalak kat bawah. Aku memang dah tahu apa petandanya kalau anjing menyalak. Cepat cepatla aku ni masuk rumah tarik sliding door, kunci and then tutup langsir.

Aku jenis malam Sabtu Ahad memang selalunya akan tidur luar di ruang tamu. Tapi malam itu, aku tak tahu kenapa hati tergerak nak baring baring sekejap dekat sofa. Baring punya baring tertidur.

Masalahnya kalau tidur bangun balik dekat tempat yang sama tak apa juga ini, yang menjadi masalahnya adalah aku bangun pada keesokannya.

Bila bangun pagi esoknya aku dibilik tidur adik lelaki aku, dia pun sama jenis macam aku, malam minggu suka tidur luar. Pagi itu aku tanya ayah aku ada ke dia angkat aku masa tidur, lepastu kau nak tau tak dia cakap apa, dia kata tak ada. Yelakan umur dah besar panjang nak suruh ayah angkat masa tidur lagi. Itu yang menjadi tanda tanya pada aku. Bila aku tanya lagi, tv ada tutup ke tak, ayah aku kata memang masa dia bangun nak pergi masjid solat Subuh tu tv memang tertutup.

Bagus juga makhluk ni, dahla angkat aku yang tak berapa nak kurus ni, lepastu tolong tutupkan tv pula. Dia pun tak suka membazir. Itu sajalah daripada aku.

Maaf kalau cerita aku tidak seseram yang korang inginkan. Aku rasa sampai sini jelah cerita aku. Kalau FS ada siarkan cerita aku ni, aku akan tulis lagi cerita menarik berkenaan semasa aku disekolah menengah.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment