Aku Dan Kawan

Kisah Duit Hantu
Hidup zaman remajaku bersama rakan-rakan begitu indah sekitar tahun 80an. Aktiviti yang paling kami suka ialah mengejar hantu. Kadang-kadang hantu yang mengejar kami. Walaupun kami bertempiaran lari namun terasa akan keseronokkannya. Kini ramai di kalangan rakan-rakanku telah di jemput ilahi namun kenangan bersama mereka masih sebati dalam ingatan ini. Di sini aku ceritakan 2 kisah

Kisah Duit Hantu
Ketika kami berkumpul sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa di bawah pokok ciku, salah seorang dari rakanku bersuara.
“ Malam ni mau tak kita try main duit hantu.” Rosman memecahkan perbualan kami. Masing-masing terdiam.
“ Nak main macam mana. Sapa tau.” Aku pula bersuara
“ Ala kita hentam sudah la. Macam kita tengok dalam tv cara-cara main.” Rosman memberi pendapat
“ Malam ni tepat pukul 12 tengah malam, kita main bawah pokok ciku ni.” Kataku dan rakan-rakan lain hanya bersetuju.

Jam 10 masing-masing sudah berada di bawah poko ciku. Kami hampar tikar berbual menanti detik 12 malam.
“ Macam mana cara nak main hantu duit.” Tanya Harun
“ Alaa…Kita hentam sudah la. Sampai masa nanti kita pikiaq.” Jawab Rosman. Kami terus berbual. Ada yang membalut rokok daun dan ada yang tertidur.
“ Jommm dan pukul 12 malam.” Aku bersuara. Rosman mengeluarkan duit 50 sen. Di lukisnya anak panah di duit 50sen.
“ Hang terror Man. Macam pernah dok main.” Aku bersuara
“ Aku belajaq dalam filem dan drama la.” Jawab Rosman ketawa kecil. Kami letakkan papan plywood nipis. Kami taburkan bedak talkum macam nak main carrom dan meletakkan duit 50 sen.

Masing-masing terdiam bagaimana nak bermula. Akhirnya Rosman memulakan permainan.
“ Duit…duit memusinglah.” Spontan kami semua ketawa dan ada yang terguling-guling sebab ayat yang di seru amat lucu.
“ Rosman…Buatlah ayat elok sikit.Hang nak suruh dia memusing pasai apa” Aku bersuara. Rosman terdiam dan memikirkan sesuatu.
“ Ok aku dapat.” Rosman memetik jarinya.
“ Wahai duit hantu. Pusinglah….” Masih tiada tindak balas.
“ Wahai duit hantu. Tunjuklah kuasamu jika kau berada di sini.” Rosman bersuara lagi dan kali ini kami semua terkejut bila duit 50 sen memusing
“ Woii….Dia bergerak.” Kami berlari ke belakang. Berani-berani si Rosman pun, dia yang berlari lagi jauh dari kami.

“ Alaa…Baru bergerak sikit dah cabut semua. Kata nak main.” Aku bersuara padahal aku pun cabut sama. Bukan takut tapi terkejut hehe. Kami berkumpul kembali.
“ Baik kali ni kalau dia bergerak, sapa pun jangan lari.” Kataku. Rosman meletakkan duit 50 di tengah-tengah papan plywood.
“ Wahai duit hantu. Tunjuklah kuasamu jika kau berada di sini.” Duit 50sen bergerak lagi. Kami dapat mengawal perasan.
“ Rosman…Tanya lagi…” Kata Harun
“ Wahai duit hantu. Kau tau tak siapa yang bercakap di antara kami.” Tiba-tiba duit 50 bergerak dan anak panah menunjuk ke arah Rosman.
“ Woii…Dajai. Dia tau aku yang bercakap.” Tertawa kami semua. Semakin menarik permainan hantu duit.
“ Wahai duit hantu. Di mana rumah aku.” Aku bersuara. Duit 50sen berpusing menunjuk ke arah rumah aku. Kami ketawa.
“ Haha. Habih la Diman. Dia tau mana rumah hang. Dekat pulak tu.” Usik Harun. Aku hanya tersengih. Kecut pun ada jugak. Betul ke dia tau rumah aku atau dia main tembak saja.

“ Wahai duit hantu. Dalam kami semua yang ada ni, sapa yang akan kahwin dulu.” Harun bertanya. Teruja kami nak tahu siapa di antara kami yang akan kahwin dulu. Tiba-tiba duit 50sen berpusing dan berhenti di depan Dali. Kami semua ketawa
“ Haha. Betoi ka hang akan kahwin dulu. Tak pernah bercinta tup-tup nak kahwin. Duit hantu ni dok pekena kita, kita pun percaya.” Aku bersuara. Tiba-tiba sebiji buah ciku jatuh di atas kepala Rosman.
“ Woii…Dajai sapa baling buah ciku atas kepala aku. Nampak buah dia bergetah lagi ni dan bukan buah lama” Kami berhenti lalu melihat andaikata ada sesiapa yang berada di atas pokok ciku dan bergurau namun tiada siapa di atas. Jam menunjuk pukul 1pagi. Kami masih lagi enjoy dengan game ini.
“ Macam mana. Jam dah pukoi 1 pagi ni. Nak terus ka main.” Rosman bertanya
“ Alang-alang seronok biaq seronok terus.” Kata Harun.

“ Wahai duit hantu. Sapa di antara kami yang kau paling suka.” Aku bertanya. Duit 50sen menunjuk ke arah Harun. Harun ketawa gelihati.
“ Apa yang dia tertarik dekat hang tah la. Buta mata ni duit hantu.” Gurau Rosman. Harun ketawa lagi
“ Wahai duit hantu. Sapa yang kau paling benci sekali.” Duit 50sen tiba-tiba menunjuk ke arah Rosman. Kami semua ketawa.
“ Habih la hang Rosman. Tak balik rumah la malam ni..Haha.” Usik Harun. Kami ketawa beramai-ramai. Rosman hanya diam sambil menundukkan wajahnya kebawah
“ Ala Rosman. Jangan la serius sangat. Kami bergurau takkan yang tu pun nak ambik hati.” Aku bersuara. Rosman diam. Kami semua dah rasa semacam. Ada yang tak kena dengan Rosman ni.

Tiba-tiba Harun mengambil duit 50sen. Rosman terus mendengus. Matanya terus memandang dengan tajam ke arah kami semua.
“ Jom kita stop. Lain kali pula kita main. Kata Harun. Rosman masih mendiamkan diri.
“ Hangpa dah panggil aku lepas tu hangpa nak berhenti. Aku tak nak berhenti.” Jawab Rosman. Kami memandang sesama sendiri.
“ Woii…Ni pelik. Awat Rosman tiba-tiba berubah.” Aku bersuara. Tiba-tiba Rosman berdiri sambil bercekak pinggang lalu mengeliat-ngeliat badannya. Badannya terlentuk-lentuk seperti orang sedang menari. Lembut sungguh pinggang Rosman.
“ Hehe. Aku nak mandi. Aku panas” Tiba-tiba Rosman bersuara.Begitu dalam suaranya tapi yang pasti itu bukan suara Rosman. Kami tercengang bila Rosman mengatakan yang dia nak mandi. Takkan jam 2.30 pagi dia kepanasan.
Rosman terus berlari ke hujung kampung. Kami semua mengejarnya. Agak riuh suara kami memanggilnya. Dari jauh kami terdengar seperti ada seseorang terjun ke dalam telaga. Rupanya Rosman yang telah terjun ke dalam telaga. Itulah telaga di mana adikku Hermantika m**i lemas. Bila kami tiba, kelihatan Rosman sedang terkapai-kapai seperti ada sesuatu yang menariknya ke dalam. Sepakat kami semua terjun ke dalam telaga. Itulah kelebihan kami bila kerap terjun di dalam sungai yang dalam airnya. Bermain acilut dan menyorok di celah-celah akar di dalam sungai. Kami menarik Rosman yang tersangkut di celah akar pokok rambutan gading. Harun berlari untuk memanggil Pak Yusuf. Rosman meronta-ronta dan marah kerana kami telah menariknya keluar.
“ Kenapa kamu tarik aku keluar. Ini rumah aku.” Mendengus suara Rosman. Datang Pak Yusuf.
“ Hang mau apa lagi. Tak cukup ka hang dah bawa sebelum ni.” Tempik Pak Yusuf
“ Biaq pi dekat aku. Depa yang panggil aku.” Jawab Rosman marah.

“ Hangpa main apa Budiman.” Tanya Pak Yusuf kepadaku. Aku dah mula tergagap-gagap nak jawab. Aku memandang muka Harun. Harun pula memandang si Dali.
“ Kami main panggil hantu.” Jawab aku
“ Hangpa tak ada kerja lain ka. Banyak benda boleh main. Yang pi panggil hantu buat apa. Sebab tu dia tak mau balik. Marah pak Yusuf. Kami hanya mendiamkan diri.
“ Hang balik la ke tempat hang. Dah depa tak mau main dah.” Kata Pak Yusuf kepada Rosman.
“ Ingat senang aku nak lepas. Dah panggil aku, lepas tu tak mau main lagi. Aku nak main lagi. Hehe.” Jawab Rosman. Ketawa perlinya amat menggerunkan
“ Mana duit yang hangpa main.” Tanya Pak Yusuf lalu Harun menghulurkan kepada Pak Yusuf.

Pak Yusuf membaca sesuatu di duit siling lalu di lontarnya duit ke dalam telaga.
“ Tempat hang di sini. Balik lah. Depa tak mau main dah.” Kata Pak Yusuf. Kami terdengar sesuatu terjun ke dalam telaga tapi tidak nampak apa yang terjun.
“ Woiii..Awat aku ada dalam telaga. Aku sejukkk.” Kata Rosman. Kami menarik Rosman ke atas dan bawanya ke tempat yang kami main di bawah pokok ciku.Pak Yusuf membacuh air kopi untuk kami. Sambil membalut rokok daun, Pak Yusuf bercerita tentang alam remajanya.
“ Pokok ciku ni ada ceritanya. Dulu pakcik bertugas sebagai pegawai sukat tanah. Kadang-kadang pakcik pulang lewat. Kampung kita pula di kelilingi bendang. Suatu hari dalam jam 3 pagi pakcik sedang berehat di bawah pokok sambil menghisap rokok daun sebelum masuk ke dalam rumah. Tiba-tiba terdengar seperti sesuatu jatuh dari pokok ciku.” Kami semua memandang atas pokok ciku bila mendengarnya.

“ Tiba-tiba di depan pakcik, ada seperti mayat yang di bungkus dengan kain kapan. Tiba-tiba mayat tu bergerak dan sambil berguling-guling. Terbuka kain kapannya yang berwarna putih seperti menghampar tanah. Nampak putih saja. Mayat tu berhenti di depan pakcik.” Pak Yusuf berhenti berbual sambil menghisap rokok daun. Nampak begitu nikmat pak Yusuf menghisap.
“ Lepas tu apa jadi Pak Yusuf.” Aku sudah tidak sabar. Harun menampar kepalaku
“ Sabaq la dulu. Bagi la Pak Yusuf ambik angin dulu.” Gurau Harun. Aku tersengih bila kepalaku di tampar.
“ Mayat tu berada betul-betul depan kaki pakcik.” Pak Yusuf bangun dan menggayakan keadaan mayat yang berada dekat dengan kakinya.
“ Pakcik terus tendang mayat tu hingga bergulung ke tempat asal. Pakcik kata kalau dia datang lagi pakcik akan cincang dia. Pakcik saja kata sebab dekat pakcik bukan ada apa pun. Terus dia hilang.” Kami amat respek dekat Pak Yusuf. Badannya amat kurus tapi dia amat berani. Dia pernah di rugaskan menjaga pondok durian kepunyaan seorang datuk di atas pokok dan setiap malam ada saja gangguan seperti pintu di ketuk, dinding di cakar dan kelbat seorang wanita di atas tangga pondok. Pak Yusuf kini sudah di mamah usia. Mungkin dia sudah lupa akan kisah-kisah silamnya.

Kisah Husin Jepun
Aku memandang sepi kubu jepun yang kini usang di mamah usia. Dulu ianya berada jauh di hujung bendang. Kini ia di kelilingi rumah-rumah teres dan apartment. Dulu kubu inilah tempat aku dan rakan-rakan menumpang teduh dari panas mentari dan hujan lebat. Kubu ini di kelilingi lalang yang begitu tinggi. Bila hujan lebat kami akan ke bendang mengejar burung. Ketika ini burung hanya dapat terbang rendah sebab sayapnya basah, jadi kami menggunakan kayu lalu membaling ke arah burung yang terbang. Kalau beruntung akan terkena burung lalu jatuh. Aku akan bawakan burung kepada Pak Long untuk di sembelih.Kegemaranku ialah burung masak kunyit.

Yang paling best ialah bila time menanam padi. Dari jauh kelihatan padi begitu menguning. Burung-burung pula akan mengambil kesempatan menenggek di atas batang padi lalu mematuk padi di pokok. Ayah telah menugaskan aku menghalau burung. Aku hanya mampu membuat bising sambil membaling kayu atau batu ke arah burung. Burung akan terbang lalu hinggap di tempat lain.Itu saja yang dapat aku lakukan. Apa yang aku perhatikan ialah ketika menjelang maghrib, burung-burung akan terbang ke arah kubu jepun di kawasan lalang yang mengelilingi kubu.Burung-burung akan bertenggek di batang pokok untuk tidur. Terus aku mendapat idea.

Aku mencari husin dan Yasin. Mereka berdua juga merupakan rakan yang suka mengejar burung.
“ Sin…Petang ni kita tangkap burung. Aku dah kenai pasti pot dia.” Kataku kepada Husin. Kebetulan Yasin datang lalu kami terus kesana jam 5 petang. Kami terus memasang pukat di sekeliling pokok lalang yang tinggi sebelum burung datang. Bila dah siap pasang, kami masuk bersembunyi di dalam kubu jepun. Agak gerun juga suasana dalam kubu. Ada pelantar cukup untuk 2 orang dan lubang untuk meletakkan mesingan. Dari lubang itulah kami melihat burung-burung yang mula hinggap di lalang.
“ Nanti hang dengan Yasin bunyi suara kuat dan aku akan baling batu kearah burung.” Aku memberi arahan kepada Husin dan Yasin. Langit sudah mula kemerahan. Kedengaran suara burung sedang berebut-rebut tempat untuk bertenggek.
“ Ok Husin, Yasin….Huwaaaa……..” Mereka mula bertempik dan burung yang terkejut pun terbang. Aku membaling batu ke atas burung lalu burung menjunam diri untuk mengelak dari batu tapi junaman burung menuju kearah pukat.

Kami menjerit kesukaan bila banyak burung yang melekat di pukat. Cepat-cepat kami membawa pulang burung dan di letakkan ke dalam sangkar burung. Keesokkan harinya, aku meminta Paklong menyembelih lalu emak pun memasakkan burung dengan masakan kunyit. Ketika enak kami makan, sempat lagi kami berbincang, petang nanti akan menangkap burung lagi.
“ Sudah la Budiman. Lain kali pula. Ikutlah ayah ke masjid.” Tegur emak tapi aku hanya merayu mengatakan ini yang terakhir. Emak hanya diamkan diri saja. Itu sebagai tanda aku mendapat keizinan. Seperti biasa jam 5 petang kami berjalan-jalan di atas batas bendang menuju ke hujung kampung tempat burung bertenggek. Ketika sibuk memasang pukat, hujan turun dengan lebatnya. Kami berteduh di dalam kubu jepun. Tentu emak aku risau memandangkan kilat berdentum dentam di langit.

Ketika menanti hujan reda, aku seperti dapat mendengar sesuatu
“ Husin…Yasin…Hangpa dengaq tak. Seperti orang sedang kawad la.” Aku bersuara
“ Betoi la. Jangan-jangan askar jepun yang kawad.” Kata Husin. Ketawa kami kelucuan sebab kami sedang berada di dalam kubu jepun tapi terfikir juga aku akan kebenarannya.Husin terus keluar dari kubu. Hujan semakin reda. Yasin keluar mencari Husin.
“ Diman…Mana Husin.” Tanya Yasin
“ Aikk..Tadi dia keluar. Takkan tak ada.” Aku juga tidak dapat melihat kemana Husin hilang dengan begitu cepat. Tiba-tiba kami melihat dari jauh Husin sedang berkawad seorang diri. Ketawa kami berdua melihat gelagat Husin. Husin datang kearah kami dengan berkawad. Dia bertutur dalam bahasa jepun yang tidak kami fahami. Dia seperti mengarahkan sesuatu.
“ Diman…Jom balik lah. Aku rasa tak sedap hati la tengok Husin ni. Tak pernah dia macam ni.” Aku setuju. Aku mengajak pulang dan bercakap seperti loghat jepun. Ketawa Yasin tapi Husin begitu marah kepadaku. Dia mengikut kami sambil berkawad dengan mulutnya tak habis-habis bercakap bahasa jepun.

“ Dah la Sin. Cakap melayu. Hang tak lenguh ka dok berkawad.” Aku bergurau. Yasin hanya tau ketawa saja. Husin tetap serius. Entah apa yang dimarahnya kami berdua dalam bahasa jepun. Aku terus masuk kedalam rumah. Aku biarkan Yasin dan Husin berjalan pulang. Rumah kami hanya bersebelahan saja. Seusai solat maghrib, aku terdengar riuh rendah di rumah Pak Yusuf. Dari jauh aku melihat Husin masih lagi berkawad keliling pokok ciku. Ahhh sudahhh….Aku pergi mendapatkan mereka.
“ Apa kena dengan Husin Pak Yusuf.” Tanya aku.
“ Dari tadi riuh budak Husin ni berkawad keliling pokok ciku sambil bercakap jepun. Bila panggil dia, kita yang di jerkahnya dalam bahasa jepun. Jangan-jangan Husin ni kena sampuk dengan hantu jepun.” Kata Pak Yusuf
“ Diman…Boleh cari limau tak. Kena bagi mandi budak ni.” Aku terus ke kedai runcit membeli buah limau. Pak Yusuf menegkuarjan pisau lalu memotong limau. Husin mengggelupur. Dia terus bingkas lalu bercekak pinggang dan menunjuk-nunjuk kearah kami sambil bertutur dalah bahasa jepun.

“ Pergi balik ke kubu.” Pak Yusuf terus mencurah air limau kearah Husin. Seperti terkena sesuatu yang berat, Husin tersandar di akar pokok ciku. Akhirnya dia sedar dan kehairanan apa yang berlaku terhadapnya. Apa yang dia ingat ialah, dia di bawa pergi oleh askar jepun semasa berada di luar kubu jepun. Bila mendengar cerita Husin akhirnya hilang terus minat kami menjerat burung di kubu jepun. Bermula saat itulah Husin mendapat gelaran Husin Jepun dan dia ternyata gembira dengan nama itu.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Ariff Budiman

5 thoughts on “Aku Dan Kawan”

  1. Penulisan seperti gaya penulisan almarhum Tok Awang Ngah. Ini berlaku di sekitar utara Perak atau Kedah ke?
    Tahniah, berjaya menggamit memori silam melalui perkongsian pengalaman.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.