Assalamualaikum kepada admin dan semua pembaca Fiksyen Shasha. Terlebih dahulu ucapan terima kasih kepada admin sekiranya cerita yang aku kongsikan ini disiarkan. Kisah ini sudah diterbitkan dalam Kompilasi Hutan. Maklumat lanjut mengenai buku ini boleh didapati di page Dj Zambri. Kita teruskan dengan cerita ini ye.
“Alamak, kabus tebal ni! Macam mana, nak teruskan ke?” Kata kawan Botak yang berada di depan sekali. Terhenti langkahnya. “Kita teruskan tapi berhati-hati. Berjalan serapat yang boleh!” Jerit Ketua. Botak berada di kedudukan kelima dari hadapan. Botak memerhatikan keadaan sekelilingnya diselubungi kabus tebal. Pandangan matanya terbatas, hanya keputihan sahaja yang kelihatan di mana-mana. Botak merasa hairan. Kabus tebal ini datang secara tiba-tiba. Sedangkan cuaca kelihatan cerah sebentar tadi. Kami meneruskan pendakian dengan berhati-hati. Teraba-raba tubuh rakan-rakan di hadapan. Memang tidak nampak apa-apa pun. Keadaan tanah pula mulai berubah menjadi lembap dan licin. Jarak penglihatan sangat terhad, hanya mampu melihat dalam jarak setengah depa sahaja.
Permulaan pendakian dalam pukul 11 pagi tadi, semuanya berjalan lancar. Cuaca cantik sekali. Namun, di pertengahan pendakian semuanya berubah serta merta. Hendak berhenti tidak boleh sebab kami telah berada di cerun.
Kami meneruskan pendakian walaupun dengan pergerakan perlahan. Masing-masing memegang bahu atau meraba kawan di depan supaya tidak hilang arah, sesat. Sedang melangkah, tiba-tiba kawan Botak di belakang menepuk bahu. “Botak, aku nampak ada orang sebelah aku,” perlahan nada suaranya. “Kau biar betul, mana ada orang lain tengah cerun ni? Kumpulan kita saja yang ada,” jelas Botak. “Serius aku nampak!” bersungguh katanya. “Siapa?” Botak bertanya. “Orang itu pakai jubah hitam,” yakin katanya. “Bro, kabus tebal ni! Macam mana kau boleh nampak? Kau nak tengok muka aku pun tak jelas,” Botak masih tidak percaya. “Betul Botak, aku nampak,” bersungguh dia menyakinkan Botak “Bro, kau cerita sampai puncak nanti boleh tak?” Botak pandang ke arah kawannya. Walaupun pandangan ke wajahnya tidak jelas. Kawan Botak terdiam, pendakian diteruskan dengan lebih berhati-hati. Kabus tebal masih kekal, tidak menunjuk tanda-tanda akan menipis. Kami teruskan mendaki dalam keadaan tidak nampak apa-apa di hadapan. Bahaya boleh mengundang bila-bila masa sahaja. Kami terpaksa. Perjalanan harus diteruskan.
Keputihan semakin tebal menyelubungi kawasan sekitar kami. Tiba-tiba, suara orang bercakap kedengaran di sebalik kabus tebal. Kami semua mendengar tetapi tidak nampak langsung kelibat orangnya. Jelas sekali pertuturan mereka. “Siapa pula orang asing yang ada di cerun gunung ni?” Bisik hati Botak. Pertuturan yang mereka gunakan seperti bahasa Istana, seperti di dalam cerita Hang Tuah yang pernah disiarkan dalam televisyen. Puas Botak mencari, memandang sekeliling tapi tidak berjaya melihat gerangan empunya yang bersuara. Akhirnya suara-suara itu senyap, lenyap. Botak memandang ke arah langit. Langit kelihatan cerah, cantik. Tetapi di permukaan tanah, kabus tebal masih kekal lagi. Kabus tebal itu seperti mengelilingi kumpulan Botak.
Jam tangan yang Botak pakai tidak berfungsi seolahnya terhenti secara tiba-tiba. Detik waktu kaku pada pukul 1 petang ketika kabus tebal mendatang. “Hai, jam tangan harga RM200-300 pun boleh rosak!” Keluh Botak sambil menepuk-nepuk permukaan jam tangannnya. Cermin jam sudah mula berwap. “Ah, pelik betul ini!” Mengeluh lagi Zam dalam hati.
Pendakian masih diteruskan, berjalan sambil teraba-raba di antara satu sama lain. Kawan Botak di hadapan sekali bersuara. “Semangat geng tak lama lagi, tak jauh dah,” Serentak itu juga, Botak tergamam apabila terdengar suara orang batuk di sebelahnya. Dua tiga kali juga terdengar batukannya. Kawan di belakang Botak perlahan bersuara. “Botak, ini mesti orang yang pakai jubah hitam itu yang batuk,” Botak hanya diam, matanya terus melilau memandang sekeliling. Kawan di belakang Botak berjalan serapat boleh dengan Botak kerana dia orang terakhir dalam barisan itu.
Pendakian masih diteruskan, sememangnya menyeksakan berjalan dalam keadaan begini. Terasa letih yang amat sangat. Merungut dalam hati, Botak tidak tahu sudah berapa kali. Hanya sabar dan bertemankan semangat yang tersisa sahaja. Sedang kami fokus pada kaki yang memijak tanah, telinga kami diganggu. Kali ini diganggu dengan bunyi larian kuda. Seperti sekumpulan kuda sedang berlari di cerun. “Ya Allah! Kuda mana pula yang berlari ini?” Jerkah kawan Botak di depan.
“Syhhh, jangan tegur!” larang ketua.
Semua orang serentak mematikan langkah masing-masing. Berdiri tegak sambil memasang telinga mendengar bunyi larian kuda yang masih kedengaran di sebelah kanan kami. Namun, seekor kelibat kuda pun kami tidak nampak. Sebab kabus tebal masih menghalang penglihatan kami. Tetapi bunyi kuda berlari betul-betul berada di sebelah kanan kami. Seketika kemudian, bunyi larian kuda itu senyap. “Hoi geng, dah sampai puncak!” jerit kawan Botak di hadapan sekali. Seronok kedengaran nada suaranya. Sambil memegang bahu antara sama lain, kami cuba mengatur langkah sedikit pantas. Botak melihat kumpulan kabus tebal tadi mulai menipis. Berarak perlahan pergi ditiup angin. Semakin dekat pada puncak, semakin nipis kabus berarak. Wangi-wangian pula menerjah ke hidung kami. Kami saling berpandangan. Kami menyedari yang kini kami telah memasuki “Rumah Orang”.
Kami dengan sabar meneruskan langkah demi langkah sehingga ke puncak. Kabus tebal itu telah meninggalkan kami. Tidak lagi mengerumuni kami, hilang secara tiba-tiba sahaja. Apabila permukaan tanah rata dipijak, dalam beberapa langkah seterusnya, kami berhenti lalu memandang ke depan. Semuanya tergamam, terkejut dan teruja.
Di depan kami tersergam indah sebuah taman. Pemandangan yang sangat cantik bagaikan sebuah Syurga. Semuanya berdiri tidak terkata apa-apa. Semua memandang sambil menikmati keindahan di depan mata. “Ingat, jangan pegang atau sentuh apa-apa pun! Pandang saja! Ingat! Ini rumah orang,” Ketua mengingatkan semua ahlinya. Ketua mengarahkan kami semua supaya mula bergerak dalam “Baris Jepun”, berjalan dalam barisan yang memanjang. Botak bergerak di kedudukan keempat dalam barisan itu. Kawan Botak yang pertama di hadapan mulai melangkah. Hati kesemua kami berdebar-debar, teruja. Pintu masuk ke taman terpampang jelas di depan mata kami. Botak melihat pintu masuk itu seperti pintu gerbang yang biasa kita lihat. Cuma yang uniknya pintu gerbang ini terhasil dari dahan-dahan dan pokok-pokok yang tumbuh disekitarnya. Bercantum sesama sendiri ibarat seperti disulam dengan cantik dan rapi. Membentuk separuh bulat menujah langit. Kemudian pokok Orkid hutan tumbuh segar dan cantik di celah-celah pokok yang indah tersulam. Memang sangat indah dan cantik. Kumpulan Botak melepasi pintu gerbang. Bersih, segar dan indah keadaan di dalam taman. Bunga-bunga yang tumbuh di situ kelihatan sungguh unik dan luar biasa.
Burung-burung yang beraneka warna berterbangan jinak dan manja. Ada burung yang kecil, ada juga yang besar. Burung-burung ini berterbangan begitu mesra mendekati Botak. Sayapnya menyapa tubuh Botak, terasa berangin. Seekor burung sebesar burung Merpati yang beraneka warna. Mempunyai paruh yang panjang dan agak besar hinggap di bahu kawan Botak. Kawan Botak hanya membiarkan saja, tidak disentuh burung itu. Kini perasan berdebar telah bertukar menjadi seronok. Kami seolah-olah berada di dalam Zoo. Sungguh di dalam taman ini, bunga-bunga dan binatang-binatang yang ada semuanya kelihatan unik, pelik tetapi cantik. Tiba-tiba seekor burung yang agak besar dengan bulu yang mengerbang panjang, yang beraneka warna meluncur terbang di depan Botak. “Burung Cenderawasih ke ini?” bisik Botak teruja.
Burung itu hinggap pada dahan pokok. Dengan lemah gemalai membuka sayapnya seperti menari pada pasangannya. Berbunyi-bunyi riang gembira. Di sebelah kiri pula, Botak terlihat sepasang kuda berwarna putih, seputih kapas. Bermain-main manja dengan pasangannya. Kuda-kuda itu hanya memandang pada kumpulan Botak lalu kemudian berlari di sekitar kami.
Botak tergamam apabila ternampak sepasang tupai putih saling berkejaran. Sebesar kucing dewasa saiz badannya. “Tupai Albino ke?” bisik hati Botak. Hanya kumpulan Botak, manusia yang berada di dalam taman ini. Permukaan tanah di dalam taman ini bagaikan bercahaya dan berkilauan seperti kaca bertaburan di tanah. Akhirnya kumpulan Botak menghampiri hujung taman, sepertinya pintu keluar dari situ. Apabila kumpulan Botak melintasi pintu keluar, berjalan hanya dalam beberapa langkah, kabus tebal muncul kembali secara tiba-tiba. Tidak tahu datang puncanya dari mana dan kabus tebal itu terus menutupi seluruh kawasan taman. Dalam beberapa minit kemudian, kabus itu telah hilang serta merta, sekaligus taman yang indah itu turut hilang dari pandangan. Kami hanya mampu berpandangan semasa sendiri. Satu lagi pengalaman luar biasa telah kami perolehi. Lalu, kami meneruskan perjalanan menuju ke destinasi yang telah ditetapkan untuk kami. Tamat.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.c/submit
Ini betulĀ² punya kejadian ke? Mng rezeki la pd sapa yg mengikuti pendakian tu..