Salam semuanya.
Terima kasih FS kerana publish kisah aku. Ini adalah kisah seram aku sewaktu zaman remaja dulu.
Selamat membaca!
=====================================================
Aaaaaarrrhhh!! Jerit Maryati yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari masjid.
Dengan telekung yang masih berbungkus dibadan, tidak sedikit pun menghalang langkahnya untuk mencicit lari tidak cukup tanah. Lariannya yang semakin deras membelah angin tampak berirama seperti tarian zapin.
Sebelah seliparnya terbang ke dalam semak dan sebelah lagi masih kekal dikakinya. Kalau ada acara larian sukaneka bahagian daerah ini, pasti dia juaranya.
=====================================================
Jalan Kado, Tahun 2008.
PAGI itu, heboh satu perumahan flat tentang Maryati atau lebih dikenali dengan nama Mak Yati Janda tidak berhias kampung sebelah, diganggu setan ketika pulang berjalan kaki berdekatan simpang Jalan Kado semalam.
Budak-budak flat mulai bimbang dan takut kerana jalan itu merupakan jalan pintas yang mereka gunakan untuk ke pekan dan tempat kerja. Balik shift malam, memang akan lalu jalan itu. Bagi yang berkereta, tidak menjadi masalah kerana mereka menggunakan jalan utama yang sedikit jauh.
Kejadian yang menimpa Mak Yati itu menular sampai ke perumahan flat kami. Ada yang mengatakan ianya balan-balan kerana ada yang pernah terlihat kepala dan tali perut terurai-urai itu terbang di atas tangki flat.
Namun sejauh manakah kebenarannya?
“Kamu percaya ka tu hantu wujud?” tanya Beso pada aku, Ejat dan Dalo ketika kami berempat lepak di pangkin depan rumah.
Masing-masing saling berpandangan.
“Aku percaya makhluk ghaib ni wujud tapi kalau hantu-hantu ni, no komen” kataku.
“Iya aku pun. Dengar dari mulut orang ja, belum pernah lagi nampak,” sampuk adikku Ejat.
Pangkin depan rumah ni bapak aku yang buat sebab pokok bunga kertas mak aku tumbuh subur meninggi dan melingkar. Seakan-akan gerbang kayangan yang memayungi Taman Astakona. Memang cantik, mengalahkan singgahsana Ayah Pin.
Secara tidak langsung menjadi markas tempat kami melepak, bersantai dan bermain gitar.
“Mana ada hantu oi.. Jin setan ada la!” jawab Dalo.
“Kalau ada pun, kau la hantunya. Perangai sama dua kali lapan,” usik Ejat.
Muka Beso terus berubah. Muka malas layan. Dia tinggal sebelah pintu rumah aku ja. Sebaris.
Pasal Jalan Kado, Kalau malam memang gelap, sunyi dan keras. Kami jalan pun selalu berempat kadang berlima dengan seorang lagi adik perempuan aku, Ira. Kalau berseorangan mungkin akan ada gangguan.. mungkin.
Gangguan paling extreme kami pernah kena dulu cuma terhidu bau bangkai dan terdengar suara pocong ketika melalui jalan itu tengah malam. Bau itu teramatlah busuk dan hanyir.
Aku hampir termuntah di situ. Meloyakan! Masing-masing menutup hidung dan mulut, semua cuak! Pocong pula, orang cakap suara dia seakan bunyi katak. Tapi entahlah, mujur tiada apa-apa penampakan.
Berbekalkan flashlight dari smartphone pintar model lama yang tidak seberapa terang, kami menyuluh kawasan sekeliling mencari punca bau. Namun tidak kelihatan satu pun bangkai binatang mahupun sampah sarap.
===
Seketika itu, di hujung flat aku ternampak kelibat Wak Deris berjalan laju sambil mengendong mesin rumputnya menuju ke Jalan Kado. Nampak kelam-kabut macam ada hal mustahak yang mahu disegerakan.
Setahu aku, Selain ayam dan kucing, rumput juga termasuk dalam kamus hidupnya. Maka, tiada apa lagi yang lebih mustahak selain daripada tiga benda itu.
Wak Deris ni duda anak dua. Anak pertamanya sudah berkahwin dan menetap bersama suami di daerah lain. Anak kedua pula tinggal bersamanya. Rumah Wak pun aras bawah(groundfloor), flat kedua belakang flat aku dan satu flat dengan kawanku Dalo.
Kerjanya 24 jam merumput. Belakang rumah saja, sudah semacam padang golf. Rumput tumbuh seinci pun dimesinnya juga sehingga botak permukaan tanah. Bukan setakat kawasan rumah, di mana-mana ada rumput, di situlah habis diratahnya hatta depan rumah orang.
“Waaak oo wak..Waaak.. Siniii..sini jap,” pekikku yang masih duduk di pangkin.
Wak terkejut seraya melihat sekeliling. Terkebil-kebil dia aku tengok. Haha! Lalu dia mendekat.
“Haa kamu kenapa teriak-teriak? Wak mau cepat ni, mau kasi habis rumput, semak samun dan belukar sana Jalan kado tu.”Omel Wak.
“Alaa Wak.. jap la.. Wak, mau tanya ba sikit, betul ka semalam Mak Yati kena kacau hantu di Jalan Kado? Apa cerita wak? Soalku.
“Haa pasal hal ni lah wak mau pigi sana!” bentak Wak sambil menghentak tangannya ke pangkin.
Mak aih! Terperanjat kami dibuatnya! Over betul orang tua ni.
Wak Deris pun mula bercerita…
‘Aku’ di sini ialah Wak Deris.
Mak Yati mengadu sama aku yang selipar dia hilang semalam. Ada seekor setan menggangunya dibalik belukar dekat simpang Jalan Kado. Masa tu dia baru balik dari masjid. Berbekalkan lampu suluh lama cap kuda terbang, dia pun berjalan ditemani kegelapan malam.
Berhampiran simpang jalan, tiba-tiba dia terdengar bunyi semacam desiran, bunyi yang halus seperti bunyi hujung siulan. Disusuli pula bau bangkai dan bau darah yang hanyir. Dia pun menyuluh kiri kanan depan belakang jalan. Disangkanya ular atau biawak.
Suluh punya suluh, tiba-tiba pergerakan tanganya terhenti di belukar sebelah kiri jalan. Suluhan terakhir menampakkan sesuatu yang tidak pernah diduga. Waktu itu dirasakan masa dan detik bagai terhenti umpama jam yang kehabisan bateri.
Peluhnya mula merembes seluruh badan. Ada apa dengan suluhan terakhir? Matanya masih tertancap ke arah belukar itu. Dia diam tidak berkutik seakan tidak percaya dengan apa yang dilihat, berkali-kali digosok kelopak matanya. Kakinya bagai terpaku di tanah merah.
Dalam kesamaran, di hadapannya kurang dari 10 meter..
Berdiri satu sosok bertaring panjang, lidah terjelir, wajahnya pucat bak mayat dan berkuku runcing.
.
.
LANGSUIR!
.
.
Dengan bacaan ayat suci yang tunggang langgang dia berusaha sedaya upaya untuk menggerakkan kakinya. Seperti gaya tipikal seseorang yang ternampak hantu, diam sekejap dengan mulut ternganga. Beberapa saat kemudiannya, kakinya yang tadi kaku kini berjaya digerakkan.
Dia terus membuka langkah seribu meninggalkan segala apa yang ada di belakang termasuklah sebelah seliparnya. Setibanya di rumah, anaknya tersentak bila melihat keadaannya yang berpeluh-peluh pucat dengan telekung yang kotor bertanah.
Begitulah kisahnya.
Kami yang mendengar, semua tercengang!
Habis bercerita, Wak terus pergi meninggalkan kami menuju ke Jalan Kado.
Jalan Kado adalah satu-satunya jalan pintas kami untuk ke pekan. Ada pun jalan utama jauh. Naik kereta memang dekat tapi kalau jalan kaki, lencun juga. Nama Kado diambil daripada nama kawan aku merangkap jiran sebelah flat.
Kado seorang budak yang peramah dan amat mengormati orang tua. Ke mana saja dia pergi, pasti disapanya semua orang. Baik penduduk flat mahupun orang luar yang tidak dikenalinya.
Kadang-kadang haiwan pun dia ajak berborak. Penduduk sangat menyenanginya sehingga mengangkatnya sebagai ikon belia dan remaja di perumahan flat kami.
Tidak mustahil namanya diangkat sebagai nama jalan. Bukan biasa-biasa.
Jalan Kado cuma berturap dibahagian simpang masuk saja, selebihnya tanah merah. Kanan dan kiri jalan penuh belukar dan hutan paya bakau. Bahagian yang berturap itu tertera namanya iaitu KADO dengan semburan cat berwarna biru.
Dia sendiri yang menyemburnya.
===
Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Seminggu selepas kejadian yang menimpa Mak Yati janda tidak berhias, ia berulang kembali. Mangsa kali ini bukan dia tetapi kami. Iya kami.
Hari sabtu malam ahad,
Makhluk ghaib ni kalau dia muncul, bukan hari jumaat saja macam dalam movie. Hari-hari lain pun boleh. Ikut suka dia. Petang sabtu itu aku, Ejat, Dalo dan Beso lepak gerai makanan mak aku di pekan. Mak aku tutup gerai jam 10 malam, jadi kami bercadang malam nanti jam 8 akan ke cyber cafe berhampiran.
Bolehlah layan barang sejam dua game komputer. Semestinya Counter Strike dan DOTA. Dulu game ni memang top, siap ada event kecil-kecilan lagi dalam daerah.
Jam 8 malam, kami pun pergi ke cyber café. Setibanya di sana, masing-masing sudah siap mengambil tempat. Bunyi tembakan pelbagai senjata dan dentuman bom merancakkan lagi pertempuran di medan perang.
Go..go..go! Sector Clear!
Enemy spotted!
Prrrap pap pap pap pap! Pap pap pap! Boooomm!
Diantara kami berempat, Beso yang paling hebat dalam permainan perang. Dengan muka yang ketat ala-ala komando, bibir muncung ke depan, matanya meliar laju pada skrin komputer mencari musuh. Duduknya yang tadi bersandar, kini menegak.
Kepalanya semakin lama semakin mendekat pada skrin. Badannya tergerak sedikit ke kiri dan kanan, mungkin mengelak asakan musuh.
Beso melepaskan berdas-das tembakan. Serangan bertubi-tubi yang jitu itu bagaikan jentera pemusnah yang menghancurkan seluruh kawasan kem musuh.
Kecekapannya membaling bom dan menukar magazin kurang daripada tiga saat itu membuatkan musuhnya gerun.
Ditambah pula dengan bunyi speaker yang full volume. Sungguh mengujakan!
Bila aku toleh kearah skrinnya, tiada seorang pun musuh yang berada di hadapan.
Dia cuma menembak angin.
Tiba-tiba skrinnya bertukar putih akibat terkena bom asap yang datangnya entah dari mana.
“Kuat betul aura game ni,” gumamku sendiri sambil menggeleng kepala.
“Baaang.. PC 20 tambah seringgit bang,” laung Beso ke kaunter dari mejanya yang jauh di hujung sana.
Kami yang mendengar, terus menambah tanpa menghiraukan masa yang sudah lewat. Terlalu asyik bermain, waktu telah menginjak ke pukul 11.30 malam, kami terus berhenti dan keluar dari cyber café.
Pukul 10 tadi gerai mak aku sudah tutup. Kalau tidak, boleh ikut sekali balik naik van. Bukan apa, malas jalan kaki lagi-lagi bila teringat kes Mak Yati janda tidak berhias disakat Cik Lang di persimpangan Jalan Kado. Jalan yang akan kami lalui malam ini. Aduh!
Sebelum balik, kami singgah sekejap di gerai ikan bakar paling sedap di pekan.
Gerai Odah Emas Sekilo.
“Buk, tapau ba ikan bakar dengan sayap ayam rm10,” pintaku.
Lalu Ejat dan Dalo mengeluarkan duit masing-masing.
“Eh nda payah, malam ni aku belanja. Simpan duit kamu untuk bisuk malam dan malam-malam seterusnya. Kita akan beli lagi.” Tambahku.
Beso tersengih melihat mereka berdua.
“Kamu semua ni kenapa balik lambat?” tanya babuk Odah yang memang mengenali kami.
“Lain kali balik awal ikut mak kamu , bahaya jalan malam-malam gini” ujarnya.
Kami semua mengiyakan saja.
“Hati-hati di Jalan Kado tu.” Tambahnya lagi.
Babuk Odah seolah-olah menyembunyikan sesuatu yang sememangnya kami sudah tahu.
Selesai membayar, kami pun meneruskan perjalanan balik ke rumah. Lauk yang tadi masih panas, kami buka dan terus makan sambil berjalan kaki. Ini belum sempat sampai rumah, licin ni. Main game sampai lupa makan, kebulur semua. Padan muka.
Kami semakin menghampiri persimpangan masuk Jalan Kado. Lebihan lauk yang masih ada, kami ikat. Sampai rumah, sambung makan.
Masuk saja Jalan Kado, masing-masing mengeluarkan smartphone lalu menghidupkan flashlight. Kecuali Beso. Kawasan Jalan Kado nampak luas, rumput dan semak samun sudah dibersihkan oleh Wak Deris.
Dipertengahan jalan, tiba-tiba lauk yang dibawa oleh Ejat direntap kuat dari belakang. Dia melompat terkejut lalu mendekatkan dirinya pada kami. Eh dia ni kenapa?? Tiba-tiba kedengaran satu tempikan suara..
.
.
KEUNGGULAN CINTA DARI SINAR MATAAA…YANG BERGELOOORRAAA..
HATI DI TAMAN BERBUNGA… SATU IMPIAAAN SATU HARAPAAAN..
.
Suara Dalo yang lunak dan kuat seperti radio rosak itu memecahkan keheningan malam yang kelam. Aku menganggapnya sebagai satu isyarat bahawa ada sesuatu yang sedang memerhati kami di jalan itu.
Perasaan takut akan menyebabkan seseorang itu melakukan sesuatu hal yang aneh tanpa sedar dan di luar kawalan. Sukar dimengertikan mengapa lagu itu juga yang didendangkan.
Aku mula perasan yang Beso sedang menaikkan seluar panjangnya ke paras betis. Begitu juga dengan Ejat. Mereka sepertinya sudah membuat persedian awal. Selipar mereka diselitkan dilengan masing-masing.
“Woii.. Astaga.. Lek ba bukan ada apa-apa,” jelasku yang buat-buat berani.
Mereka bertiga kalau bab lari, memang berdesup kencang terutama Beso. Aku paling belakang.
“ya ba..lek la.. ramai kita ni, selalu pun limpas sini,” sahut Beso yang paling awal ready. Celaka.
“Tapi tadi kena tarik ni lauk ui.. Cepat sikit kita jalan,” arah Ejat.
Sekarang posisi kami berjalan mula rapat, tidak berjarak macam tadi. Masing-masing takut tapi buat-buat cool. Lelaki kan mesti berani. Semangat!
Langkah kami semakin laju.
Aku perasan yang mereka bertiga semakin ke depan. Semua mahu cepat sampai rumah. Dengan keadaan yang sunyi dan gelap, tiba-tiba muncul babuk Odah di belakang kami. Kalau ada sakit jantung, rasanya boleh meninggal kami di situ.
Kami berhentikan langkah.
“Astaga buk!! Bikin tekejut ba! ingatkan siapa, tiba-tiba ada sini, ” tegurku.
“Bukan tadi babuk di gerai ka?.. laju juga sampai sini,” tanya Dalo yang kebingungan.
Beso dan Ejat terdiam. Mereka masih terkejut melihat babuk Odah di belakang.
Babuk Odah hanya berdiam dan tersenyum. Pertanyaan kami pun dibuatnya angin.
Apa kena dengan orang tua ni.
Babuk Odah masih berdiri di belakang kami. Matanya tertumpu pada lauk yang dipegang oleh Ejat. Dia merenung tanpa berkedip. Mustahil lapar.
Mungkin babuk ni sudah habis berniaga. Ah biarlah. Ada juga kawan kami di jalan, bisikku dalam hati.
Beberapa detik kemudian, tiba-tiba bau bangkai menerjah rongga hidung. Bau yang teramat busuk mengalahkan bangkai tikus. Apabila aku menoleh ke belakang, alangkah terperanjatnya aku bila babuk Odah yang tadi ada bersama kami, HILANG!
GHAIB!
Belum sempat aku menarik nafas dalam, mereka bertiga sudah pun memecut laju tinggalkan aku terpinga-pinga di belakang. Jahanam!
“Woiii! Tunggu akuuuuuu woiii!” jeritku yang marah dan sememangnya takut.
Kurang asam punya budak-budak!
Aku pun apa lagi, terus buka langkah seribu tanpa menoleh ke belakang. Jalan di depan, tanah merah berlopak, kayu, batu semuanya rata olehku. Apa yang aku pasti, kelajuanku tidak dapat menandingi kelajuan Mak Yati janda tidak berhias.
Setibanya di depan flat, aku nampak mereka bertiga duduk termengah-mengah di pangkin depan rumah aku. Bertuah punya budak-budak! Pergi berempat, balik bertiga. Haram juadah betul!
Lalu aku pun duduk berhadapan mereka. Kami mengambil nafas dan berehat sebelum masuk ke rumah masing-masing. Semuanya saling memandang dengan muka yang pucat. Tiada yang berani bersuara pasal hal tadi. Masing-masing masih terkejut.
Terpancar sekejap sinar-sinar keinsafan dimuka kami.
Persoalannya, ‘babuk Odah’ itu siapa? atau apa?
Sampai sekarang kami tidak menemui jawapan. Iyanya masih kekal misteri.
Salam
Misery Mic
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Bes la jln citer dan gaya bhs… Buleh tulis novel ni…. 5 bintang ai bagi…
Mau basung ka?mesan kau cerita kau beli ikan bakar
sa pon ikut baca tune sabah ba ni , kelakar jugak , seram jugak ..
😂😂👍👍