KISAH UYAD

“Woi Uyad!!, mak kau cari. Dia pesan kalau kau tak balik sekarang dia libas kau dengan akar kayu pokok sebelah surau ni ha”

Suara sengau Mamat dari jauh aku dengar, kelibatnya aku tak nampak. Aku yang tengah syok main bola tersentak dengar laporan Mamat. Puas aku perati mana si Mamat. rupa-rupanya dia jerit dari tingkat atas surau. Surau kawasan kampung aku ni ada dua tingkat. Tingkat bawah selalunya jadi tempat untuk kelas fardu ain waktu petang. Kelas fardu ain ni disediakan secara percuma kepada anak-anak penduduk kampung ni. Tingkat atas pulak jadi tempat solat dan tempat mengaji waktu malam. Belakang surau ni pula ada padang bola dan pokok Ara yang besarnya boleh tahan jugak.

Mamat tersengih macam kerang busuk dicelah cermin nako, bertambah hodoh bila aku nampak susunan gigi dia yang rongak kehitaman macam kena mamah dengan anai-anai. Telan air liur dua tiga kali aku memikirkan akar kayu pokok Ara ni kalau kena belikat aku. Pedih woi, dah pernah rasa.

“Weh Mat, dah nak maghrib ke? Soal aku pelik bila tengok dia dah siap bersongkok. Aku rasa tadi aku nampak dia tengah main kahwin-kahwin dengan si Ain Tebuan, bila masa pulak dia balik mandi dan tukar baju. Atau aku yang leka sangat sampai tak perasan.

“kau buta ke apa Uyad? Tak nampak hari dah nak gelap. Masak la kau kena libas balik nanti. Anak tekak aku ni dah putus panggil kau tadi. Aku balik la jalan kaki sorang-sorang”

Haram jadah betul Mamat, sampai hati dia balik tak bagitahu aku. Aku dengan Mamat ni berjiran, kalau petang lepas habis kami berjimba dekat padang belakang surau ni aku balik dengan mamat naik basikal sama-sama. Aku kayuh Mamat duduk belakang. Walaupun badan aku agak kecik kalau nak dibandingkan dengan Mamat, aku yang kena kayuh sebab Mamat tak pandai kayuh basikal. Lepas bersihkan diri, nak dekat maghrib kami pergi mengaji dekat surau tu jugak.

Mamat muncungkan bibir buat-buat muka merajuk toya. Tahu la merajuk sebab tak boleh main bola. Mamat ni badan je tinggi agak sado la kalau nak di bandingkan dengan budak lelaki lain. Tapi sayang seribu kali sayang lembut dia bukan main. Kadang-kadang kesian jugak tengok Mamat sebab kena pulau macam tu. Bila aku main bola dia akan main kahwin-kahwin atau masak-masak dengan budak perempuan. Dah tu je yang di mampu. Bukan dia nak lembut macam tu, ya dak?

“Balik nanti kau balik jalan kaki” jerit aku sambil berlari ambil basikal aku. Dalam kepala aku ni terbayang wajah bengis mak aku. Mak aku ni, dia dengan singa tu macam adik beradik. Time dia marah, kau akan dengar bebelan yang tanpa henti. Menari-nari taik lalat tepi hidung belah kanan ikut rentak bebelan mulut dia. Dia susah nak naik tangan, tapi sekali dia naik bukan tangan saja dah.

“Ala Uyad, jangan gitu, aku takut balik jalan kaki” jerit Mamat dari jauh. Ah kisah pulak aku. Sepatutnya kau fikir dalam-dalam sebelum kau balik mandi tinggalkan aku.

Aku kayuh basikal merah aku dalam kelajuan selaju yang boleh. Krek krek bunyi pedal kaki mintak nyawa. Rasa menyesal pulak bawak basikal merah ni hari ni sebab slow sikit, body dia berat. Basikal favourite aku pulak kurang angin, tak sempat nak pam. Nak cepat punya pasal aku sauk basikal merah ni. Aku ni banyak basikal. Bukan sebab kaya. Ayah aku suka baiki basikal. Dia selalu ambik atau beli basikal yang orang dah nak buang. Selalunya orang akan bagi free sebab dah rosak kan. Basikal yang ayah bawak balik kadang-kadang rosak sikit je. Modified dan sembur cat sikit dah cun macam baru. Lepas tu ayah akan bagi free dekat budak-budak kampung yang tak mampu beli basikal. Aku pernah tanya ayah aku kenapa bagi free macam tu, rugi la sebab makan kos jugak baiki basikal tu semua. Alasan ayah aku dia kata kesian tengok budak-budak yang tak mampu. Aku pun malas nak bertanya panjang dengan ayah aku.

Setelah lima minit aku kayuh akhirnya aku sampai depan rumah. Sedang elok bunyi azan maghrib dekat TV rumah aku. Rumah aku dengan surau tak jauh pun. Ada dua jalan, sama ada kau cilok celah rumah orang atau kau ikut jalan besar. Kalau ikut celah rumah orang jaraknya dekat tapi makan masa sebab kau kena tolak je basikal tak boleh naik. Kawasan kampung aku ni rumah dia macam satu deret satu deret. Jarak antara sederet rumah tu sangat kecik sampai kau tak boleh kayuh basikal antara laluan tu. Jalan kedua ikut jalan besar, jalan dia jauh tapi akan jadi singkat kalau kau pecut. Memang layan perasaan kalau ikut jalan besar tu. Orang kampung banyak kali report pada ayah aku kata aku bawak basikal laju. Apa ada speed trap ke untuk basikal?.

Aku lempar basikal. Tak sempat dah nak tongkat bagai. Tengok line clear, tak nampak pemangsa. Aku terus pecut ke bilik air. Mandi dalam dua tiga cebok je. Lepas je bersiap sepantas kilat aku berlari ke depan rumah. Alang-alang pemangsa hilang dari radar baik aku gerak cepat.

“Haa!! tau jalan balik rupanya, ingatkan nak tidur dekat padang tu malam ni. Balik nanti siap. Mak libas tapak kaki kau” mak aku muncul secara tiba-tiba depan pintu rumah. Berderu d***h aku dengar suara mak. Aku sengih je la. Dalam hati berdoa supaya mak aku hilang ingatan masa aku balik mengaji nanti. Kalau tak dia membebel bingit woi.

Dari jauh aku nampak jiran aku Auntie Amu tersengih tengok sesi bebelan mak aku. Kawasan rumah aku ni agak terpencil dari kawasan rumah orang lain. Kawasan rumah aku hanya ada rumah aku, rumah mamat dengan rumah Auntie Amu ni. Rumah Mamat dengan rumah aku bersebelahan. Sebelah rumah aku ni ada anak sungai kecik, seberang anak sungai tu rumah Auntie Amu. Aku selalu jugak main-main di rumah Auntie Amu ni. Kari ayam dia kalah mamak hujung kampung ni. Memang pior. Dia suka jamu aku dengan Mamat.

Belakang Auntie Amu macam ada lelaki berdiri tegak. Statik je. Setahu aku Auntie Amu ni takde anak lelaki. Semua anak perenpuan. Suami dia pun dah meninggal. Siapa pulak lelaki tu. Auntie Amu pulak macam tak ambil peduli dengan lelaki tu, leka tengah angkat kain masa tu. Aku malas nak ambik peduli, lagi lama aku tercongok depan rumah layan bebelan mak ni sampai isyak tak habis.

“Ma, adik pergi dulu nanti ustazah dah start” dalam fikiran aku, aku kena cepat, kalau aku cepat siap mengaji aku boleh balik awal senyap-senyap tinggalkan Mamat. Berdendam jugak masa tu.

Plan asal nak tinggal Mamat lepas mengaji tak kesampaian sebab bila aku sampai surau dah penuh. Maknanya aku memang kena tunggu solat isyak di surau. Mamat tersengih tengok plan aku nak tinggalkan dia hancur berkecai. Ciss, kau tunggu hari pembalasan Mat.

Lepas siap mengaji dan solat isyak budak-budak lain berlari keluar surau. Sejak kejadian bulan lepas, habis je solat isyak budak-budak mengaji akan tergesa-gesa balik dah takde sesi hilai tawa riang ria bermain luar surau. Bulan lepas kecoh budak pengsan bawah pokok Ara belakang surau ni. Katanya nampak Pontianak duduk atas pokok main gocong pokok tu. Aku tak tahu detail sebab aku ikut ayah aku ke Kelantan masa tu. Mamat tahu. Nanti aku cerita kisah tu lepas aku korek dari Mamat.

Dah macam rutin aku naik je basikal Mamat pun duduk dekat belakang sambil pegang kain aku. Aku akan pakai dua lapis, dalam seluar sukan, luar kain baju kurung. Sampai surau sarung kain, keluar surau tanggal kain. Tak selesa aku berkain bagai.

Masuk je laluan rumah kami aku rasa macam ada angin menerpa. Bukan angin sejuk tapi panas. Aku agak pelik sebab malam-malam macam ni tak logik angin panas. Walau hari siang sekalipun angin akan rasa sejuk bila ko layan naik basikal. Angin ni lain macam panas dia. Panas macam bahang api. Aku perhati kiri kanan mana lau tau ada api dekat mana-mana. Takde.

“Uyad, apesal bahang semacam, basikal kau terbakar ke apa?” soal Mamat yang masih setia pegang kain baju kurung aku. Soalan Mamat aku biarkan tak berjawab sebab aku leka tengok rumah Auntie Amu. Semakin dekat semakin aku pasti apa yang aku nampak. Sampai je rumah aku terus masuk bilik aku. Niat nak pastikan apa yang aku nampak.

Bila aku buka cermin bilik aku ni aku boleh nampak jelas rumah Auntie Amu. Aku nampak lelaki berdiri dekat ampaian kain Auntie Amu. Kedudukan dan cara dia berdiri sebijik macam aku tengok masa nak pergi mengaji tadi. Aku musykil. Patung ke orang? Tak mungkin dia tak bergerak langsung. Dan takkan lah Auntie Amu tak jemput lelaki tu masuk rumah. Rumah dia pun gelap hanya lampu laman menyala. Ruang tamu pun gelap. Auntie Amu macam tiada di rumah. Penyamun ke? Kalau penyamun takkan Auntie Amu buat bodo je angkat kain petang tadi sambil lelaki tu jelas berdiri belakang dia. Saudara Auntie Amu mungkin. Rupanya aku tak nampak jelas sebab petang tadi pun agak gelap ditambah pulak aku yang rabun ni.

Lampu depan rumah Auntie Amu agak membantu aku tengok figura lelaki tu. Wajah lelaki tu masih aku tak nampak. Puas aku amati tapi gagal. Tapi aku pasti lelaki sebab potongan rambut yang pendek dan susuk tubuh yang kasar tetapi kecil.

Secara tiba-tiba ada cahaya menerpa susuk lelaki tu. Masa tu aku harap aku dapat putarkan masa supaya aku tak nampak apa yang aku nampak sekarang ni. Aku menyumpah dalam hati sebab aku pasti apa yang aku nampak ni akan melekat dalam minda aku selama beberapa hari. Cahaya tu membuatkan aku nampak jelas wajah dan tubuh lelaki tu.

Pada awalnya aku fikirkan potongan rambut di paras telinga dari bentuk yang aku nampak tapi aku salah. Lelaki tu tiada rambut. Hanya kulit kepala seperti hangus terkopak bergantungan bersama sisa rambut masih terbakar. Terkopak dia macam kau kopak kulit pisang masa nak makan tu. macam tu la kulit kepala dia. Nampak jelas tengkorak dengan sisa isi merah.

Aku nampak ada api kecil yang masih membakar perlahan kulit kepala lelaki tu. sekali gus mencairkan kulit sekitar muka lelaki tu. lelaki tu boleh senyum pada aku. Ah sudah, ni bukan orang dah ini benda lain. Kalau orang takdanya kau tercongok senyum macam tu kalau api tengah baham kau. Aku kena api lilin sikit dah melalak ini kan pula baham satu badan.

Kulit badan lelaki tu kehitaman hitaman merekah di sini sana sehingga menampakkan merah jambu isi badan yang telah masak. Lelaki itu memakai baju kemeja berpetak biru dan berseluar jeans hitam

Masa aku nampak baju yang lelaki tu pakai aku tersentak terundur belakang. Aku teringat, aku pernah tengok gambar lelaki yang memakai baju sebijik macam lelaki yang tengah terbakar aku tengok sekarang ni. Aku pernah tengok lelaki ni di rumah Auntie Amu. Dalam gambar yang digantung dalam rumah. Aku pasti lelaki tu. Aku duduk sekejap nak proses benda yang aku nampak. Takut dia bukan main. Sampai bunyi kereta ayah aku pun aku tak dengar. Rupa-rupanya lampu yang tiba-tiba ada tadi lampu kereta ayah aku. Dengar je ayah aku bagi salam aku terus lari keluar bilik peluk ayah aku. Terpinga-pinga mak aku tengok aku macam tu. Sambil sedut hingus aku report apa yang aku nampak . Ayah aku tak cakap banyak dia terus keluar seberang sungai ke rumah Auntie Amu. Apa yang terjadi malam tu sebenarnya permulaan untuk aku…..

Kalau aku keep on going tulis ni jenuh korang nak baca. Aku test market dulu. Kalau feedback memberangsangkan aku sambung. Nanti kata syok sendiri ye dak?. Bye-bye semua- Uyad

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

UYAD

12 thoughts on “KISAH UYAD”

  1. nicee boss…. Dh la tgah mkn pishang smbil lyn cita awk, tiberr “kepala dia kopak macam kulit pishang” 😂🙃🤔(T_T)

    Reply
  2. Cerita sekerat² ni mmg p****g stim la.. dah la esei hg pnjg bjela.. ending lak spoil.. mohon tayah sambung klu camni.. letih baca. Aku dah baca dgn penuh kesabaran tp sakit ati pulok

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.