Saka – tinggalan atok (2)

Assalamualaikum, hai korang. Kali ni aku nak ceritakan moment di mana aku sedar yang aku ada pendamping. Agak lama sebenarnya baru aku tahu tanda-tanda kewujudan pendamping tu. Macam tu la teruknya perangai ignorance aku. Bila berlaku apa-apa kejadian, aku pilih untuk tak fikir dengan dalam, cukup hanya luaran sahaja.

Part-1 boleh baca sini ye.

Dah 5 tahun sejak arwah atok meninggal. Dalam 5 tahun tu, bukanlah tiada kejadian pelik berlaku, cuma aku abaikan semuanya. Antara kejadian yang berlaku, histeria semasa aku kerja partime di sebuah hypermarket sebagai cashier. Cerita yang meniti dari mulut ke mulut, lepas sorang, sorang pekerja mall dirasuk. Tak tau punca dari mana. Sempat supervisor berpesan supaya kami tidak menatap mata orang yang dirasuk. Malam tu, seperti biasa, apabila dah tiba masa closing, sebahagian lampu mall akan dipadamkan. Dalam suasana sedikit gelap, kami, cashier menunggu supervisor datang ke setiap kaunter untuk ‘check out’ sebelum ke bilik kebal untuk mengira duit. Malam tu aku ditugaskan agak jauh dari bilik kebal, giliran aku agak lambat. Ada 40 kaunter semuanya. Semasa menunggu giliran, kelihatan 2 orang security mengiringi seorang pekerja perempuan yang telah dirasuk dengan menggunakan kerusi roda. Pada waktu itu hanya cashier sahaja yang berada di situ. Sebelum mereka lalu di depan aku, aku perasan mata wanita itu berwarna merah dan sedang memandang keliling dengan liarnya. Bulu romaku mula meremang. Saat aku yakin kami akan bertentang mata sebentar lagi, tiba-tiba muncul bayang hitam di depan ku, menghalang pandangan aku dari terus melihat wanita tersebut. Aku masih boleh melihat kaunter-kaunter dan pekerja lain dengan jelas. Cuma pandangan di hadapanku menjadi kabur. Otak ku menjadi kosong. Yang aku nampak selepas itu hanya bahagian belakang badan mereka yang meninggalkan ruang legar di depanku. Kalau orang lain mesti dah persoalkan apa, kenapa, siapa, bagaimana…tapi aku, hanya terkebil-kebil dan teruskan menunggu supervisor ku datang tanpa hiraukan bayang tadi.

Waktu itu aku baru sahaja berkahwin dengan seorang lelaki dari Bumi Kenyalang. Kami pulang ke kampung mertua buat kali pertama (sebelum nikah memang tak kenal mertua) untuk menghadiri kenduri sambut menantu. Hanya aku dan suami (sekarang dah jadi bekas), keluarga ku tak ikut serta sebab kenduri itu adalah perancangan last minit keluarga mertua ku. Dalam tempoh kami di sana pelbagai adat di jalankan bagi tujuan buang sial dan lain-lain. Aku tak faham sangat adat mereka. Aku hanya menurut. Ada satu adat yang aku ingat di mana aku kena gigit puntung rokok dengan paku dan kemudiannya dihanyutkan ke sungai. Prinsip aku hanya satu masa tu, buat la apa pun, asalkan jangan suruh aku makan yang pelik-pelik. Benda yang nak jadi darah daging aku, haruslah benda yang bersih sahaja.

Mesti korang pelik kan, aku tak hairan ke dengan adat mereka tu. Sebenarnya aku dibesarkan di kawasan hutan di kelilingi penempatan orang asli. Setiap kali ayah ku bertugas di tempat baru, persekitarannya lebih kurang sahaja. Ada juga kawasan yang mempunyai tenaga kerja asing seperti Indonesia. Yang pasti, semua rumah tempat ku membesar adalah di kawasan pedalaman, dalam hutan. Ayahku merupakan pegawai di sana. Sejak dari kecil ayah telah belajar silat dan ilmu batin. Walaupun solat ayah tak tinggal, dia juga mempunyai pendamping. Aku tak pasti jenis apa, dan tak pernah tanya. Disebabkan itu, aku telah didedahkan tentang pemujaan, adat-adat pelik dari pelbagai kaum di negara kita ni. Itu pun secara surface sahaja. Aku tak pernah tanya kenapa darah ayam hutan dititiskan atas kemenyan, apa fungsi kain kuning dan buluh runcing…Memang aku tak ambil tahu.

Berbalik pada kisah di rumah mertua, malam sebelum bersanding (bukan malam pertama aku di sana), aku ditinggalkan seorang diri di dalam bilik, di tingkat 2 rumah kayu milik mertuaku. Mertuaku dan 2 orang tua yang lain, masing-masing tinggal di tingkat bawah rumah sahaja. Di tingkat atas ada 3 bilik dan 1 ruang tamu. Pada masa aku ditinggalkan, baru sahaja lepas waktu maghrib dan tiada sesiapa di ruang atas kecuali aku. Mereka memberi arahan supaya aku tidak keluar dari bilik sehingga di panggil. Pada fikiran aku, mungkin mereka nak hias pelamin, tak bagi aku tengok nanti hilang seri dan lain-lain. Ditemani majalah-majalah Wanita dan Ujang yang banyak, aku merehatkan diri sambil menyandar di kepala katil. Membaca memang hobiku dari dulu, tak kan pernah bosan membaca. Apatah lagi untuk rasa mengantuk.

Tapi malam tu, belum masuk jam 8 pun, mata aku tiba-tiba terasa berat. Badanku rasa melayang-layang. Puas aku menahan mata dari pejam. Dalam ku berusaha membuka mata, cahaya dalam bilik bertukar menjadi merah kelam padahal lampu bilik ku tadi berwarna kuning. Kelihatan satu kelibat sedang terapung di sudut bilik. Ku perhati rupa parasnya, dia seolah-olah memakai mantel berwarna ungu gelap yang menutupi dari atas kepala sampai ke kaki.

Kakinya seolah-olah sedang bersila, wajahnya hitam dan sepasang mata merah sedang merenung ku dengan dalam. Aku cuba gerakkan badan ku ke tepi, hanya mampu rebahkan diri daripada duduk menyandar tadi. Ku cuba untuk menjerit, tiada suara yang keluar dari kerongkong ku. Tak tau apa motif makhluk itu, dia merenung tajam, badan ku terasa panas. Tiba-tiba dadaku sesak seolah-olah ada yang menekan sampai ke kerongkong. Ku baca ayat qursi di dalam hati berkali-kali, cuba untuk melepaskan diri. Sehingga satu saat aku rasa sesak nafas yang teramat, mataku hampir pejam, tiba-tiba badan ku seolah-olah terlepas dari siksaan. Peluh ku mengalir laju, pandangan ku sedikit kabur. Kelihatan satu kelibat yang tinggi berkepala bulat muncul membelakangi aku. Dia seolah-olah sedang berbicara dengan makhluk yang memakai mantel itu.

Sesekali kepala nya di kalih ke kiri ke kanan, aku melihat wajahnya yang bermata 5 dan rambut yang jarang dan keras seperti dawai di kepalanya. Dua ekor makhluk itu seolah-olah bertarung seketika sebelum hilang dari pandangan. Keadaan bilik ku kembali seperti biasa. Dadaku masih berdegup kencang. Aku masih belum boleh mengeluarkan suara untuk memanggil sesiapa. Tiba-tiba pintu bilik ku dibuka. Ibu mertua dan suami ku terpacul di muka pintu. Suamiku memapah aku untuk duduk sementara ibunya membaca sesuatu sebelum menyapu muka ku berkali-kali dengan tapak tangannya. Aku dipapah ke bawah, ke ruang makan. Suamiku tidak bertanya dan tidak memberitahu aku apa-apa pun tentang kejadian tadi. Aku pun memilih untuk berdiam diri sahaja.

Keesokan paginya, aku turun ke bawah untuk sarapan. Ada dinding kayu yang memisahkan antara ruang makan dengan tangga. Sewaktu di tangga aku terdengar perbualan antara ibu mertuaku dengan abang ipar yang baru sampai pagi itu.
‘Ku dah coba malam tadi sik dapat. Orang nya kuat agik.’ Kata ibu mertuaku.
‘Mun sik dapat iboh paksa agik. Kelak mudarat dirik.’ Balas abang ipar. Aku berdiri di tangga seketika sehingga mereka menukar ke tajuk lain. Baru la aku faham, malam tadi ibu mertuaku cuba melakukan sesuatu ritual terhadap aku tapi tak berjaya kerana aku ada ‘pelindung’. Berbelas tahun lamanya aku kenal ibu mertuaku, sampai sekarang aku tak pernah tanya ritual apakah itu kerana selepas itu tiada lagi cubaan-cubaan mereka terhadap aku.

Buat pengetahuan korang, ayah dan ibu mertuaku adalah perawat di tempat mereka. Aku pun tau selepas bertemu mereka untuk kali ke2. Makhluk yang memakai mantel itu adalah belaan ibu mertuaku. Dan itu bukan kali terakhir aku terserempak dengan nya. Makhluk belaan ayah mertuaku lain lagi.

Selepas pertemuan pertama aku dengan pendampingku, hijabku tak la terbuka sepenuhnya. Aku boleh rasa kehadiran makhluk-makhluk lain tapi tidak boleh melihat (nasib baik). Nasib ku tak begitu baik selepas aku buang pendamping itu. Semasa proses buang itu la aku tau yang pendamping itu merupakan salah satu dari belaan atok yang sangat sayangkan aku. Nanti aku sambung lagi ye…nak ceritakan macam mana kehidupan aku berubah selepas ku buang sakaku…

~Jib

Leave a Comment