Asalamualaikum dan salam sejahtera. Aku nak kongsikan kisah keteguran di sebuah stesen minyak “warna hijau” di Gua Musang.
Kisah ini terjadi pada tahun 2019. Terjadi kepada anak aku yang masih bayi. Usia dia dalam 6 bulan pada masa tu. Ketika itu aku, isteri dan anak dalam perjalanan pulang dari Cameron Highland.
Dalam pukul 6 petang kami singgah di stesen minyak itu untuk jamak takhir solat Zohor dan Asar, buang hajat apa yang patut dan berehat sebentar. Anak aku yang sebelum itu galak ketawa, menyusu dan bermain dengan isteri aku terus menangis secara tiba-tiba sebaik sahaja isteri aku bawa dia duduk di sebuah wakaf yang disediakan berhampiran dengan tandas. Aku pula ketika itu sedang menunaikan solat di surau.
Tangisan anak aku memang betul-betul kuat. Sampai ke surau boleh dengar. Sejak dilahirkan tak pernah lagi dia menangis macam tu. Merah menyala muka dia yang putih tu kerana menangis.
Isteri aku cuba susukan dia pun dia tak nak. Aku buka baju dan seluar dia, nak periksa kalau ada serangga yang menggigit tapi tak ada apa pun. Aku cuba tepuk perut dia dan sapu minyak Yuyi Cap Limau sebab takut kembung, tapi bunyi perut dia normal je. Mati akal dah aku.
Selepas selesai isteri aku bersolat dan ke tandas, kami cepat-cepat hidupkan kereta untuk tinggalkan stesen minyak itu. Pada mulanya aku yang memandu tapi anak aku tetap menangis tak henti-henti. Isteri aku pun dah mula menangis sama. Kemudian, aku ajak dia bertukar tempat. Aku pula yang meriba anak dan isteri aku pula memandu.
Dalam keadaan tertekan macam tu, tiba-tiba terdengar halus yang sebijik sama seperti suara tokwan aku. Suara tu pesan supaya aku membaca surah Al-Fatehah, 3 Qul, dan selawat 7 kali, lalu ambil ibu jari kanan, letak di lelangit, kemudiannya calitkan air liur dari lelangit aku tu ke kedua alis kening anak aku. Dengan penuh yakin dan tawakal aku pun cuba buat. Ajaibnya selepas aku buat macam tu, serta-merta anak aku berhenti menangis dan tertidur.
Serius waktu tu aku bukan sahaja seram dengan apa yang terjadi kepada anak aku, dengan diri sendiri pun aku dah mula rasa seram jugak. Isteri aku yang sedang memandu pun terkejut. Dia tanya apa aku dah buat tapi aku sendiri pun tak mampu bagi jawapan yang tepat.
Sepanjang perjalanan selepas itu memang anak aku dah tak meragam lagi. Elok je dia macam biasa seolah-olah tak ada apa pun yang berlaku, padahal tadi dia menangis macam dah nak sawan dah.
Alhamdulillah kami selamat sampai di rumah kami di Terengganu. Aku terus menelefon tokwan aku di Kedah dan ceritakan semua yang terjadi. Tokwan aku cakap mungkin anak aku tu ternampak jin jahat yang buruk rupa di stesen minyak tu. Kemudian jin itu terus ikut kami. Bayi kan mudah nampak apa yang orang dewasa tak nampak. Berkenaan suara dia yang aku dengar tu pula, dia kata dia memang ada rasa tak sedap hati. Terasa anak cucu dia dalam masalah. Jadi dia cubalah buat apa yang patut dari jauh. Apa yang dia buat tu aku tak pasti la pulak. Malas tanya lebih-lebih. Takut kena marah.
Apa-apa pun itulah secebis pengalaman seram aku sepanjang aku bergelar suami dan bapa. Semoga Fiksyen Shasha sudi terbitkan kisah aku untuk bacaan umum. Di lain masa Insyalkah aku akan kongsikan kisah lain pula.
Al-Fatehah buat tokwan aku yang telah meninggal pada tahun 2023.