Adilla Akhir

“Ehh! Hana mana? Selalunya dia sampai dulu rumah ang lagipun rumah dia lagi dekat dengan rumah ang daripada rumah aku. Kenapa dia tak sampai lagi?.” Aku bertanya kepada Damia sebaik sahaja sampai di rumahnya.

“Itulah, aku ingatkan tadi Hana yang sampai rupa-rupanya ang. Masa ang nak mai tadi ang tak jumpa Hana ke?”. Damia menyoal.

“Kalau aku jumpa tak ada lah aku bertanya kat ang. Ang ni pun.” Aku mencebik.

“Ya tak ya juga.” Damia menyengih.

“Sekejap lagi sampailah tu. Hari ni kita main masak-masak la. Ang pi kutip bunga kat tepi tu. Ambil yang cantik-cantik tau.” Damia mengarah, aku mengangguk dan terus pergi mengutip bunga dipasu bunga milik Mak Damia.

“Damia~ Aishah…. Aishah~ Damia…” Dari kejauhan kelihatan Hana berlari-lari sambil menjerit memanggil nama aku dan Damia. Aku dan Damia berpandangan sesama sendiri dengan pandangan kehairanan dan beralih memandang ke arah Hana.

“Kenapa wei? Ang nampak hantu ke? Mana? Mana?.” Damia bertanya sambil melihat ke arah belakang Hana.

“Tak wei, bukan hantu tapi Adilla. Aku jumpa Adilla, dia tengah tunggu kita kat taman permainan terbiar tu. Aku janji nak bawa ang dengan Aishah untuk jumpa dia. Jom kita pergi.” Hana berkata dengan nafas tercungap-cungap, barangkali penat berlari ke rumah Damia.

“Ishh tak nak lah aku. Kenapa ang lalu kat kawasan tu?”. Damia bertanya kehairanan. Rumah Hana dan Damia berada selepas kawasan taman permainan terbiar itu, jadi agak pelik kenapa Hana melalui kawasan itu.

“Aku risau Aishah takut nak lalu kawasan taman permainan tu jadi aku fikir nak pergi rumah Aishah dan jalan sama-sama datang rumah ang.” Hana menjelaskan situasinya.

“Masa aku pergi tu aku tak nampak Adilla pun kat situ, aku pergi rumah Aishah tapi Mama ang kata ang dah pergi rumah Damia jadi aku cadang terus nak mai sini lah tapi tiba-tiba aku nampak Adilla kat kawasan permainan terbiar tu, dia lambai-lambai kat aku. Muka dia sedih sangat, dia kata dia rindu kita semua walaupun ramai yang tak nak kawan dengan dia tapi dia tetap sayang kita semua.” Hana menyambung ceritanya. Aku dan Damia tekun mendengar.

“Jadi aku janji nak bawa ang dan Aishah jumpa dia. Dia kata dia tunggu kita bertiga kat situ. Jomlah kita pi sana nanti kesian pula Adilla menunggu lama kat situ.” Hana memujuk.

“Mama aku tak bagi lah pergi dekat taman permainan tu nanti kena sorok dengan hantu. Aku takut lah.” Wajah Damia ketakutan.

“Adilla tu macam mana pun kawan kita tau, dulu kita selalu pinggirkan dia, sekarang kita patut berkawan dengan dia.” Aku cuba pula memujuk Damia.

“Betul, aku rasa berdosa sebab selalu tak nak kawan dengan Adilla. Dah lah mak dan ayah dia jahat, kita pun jahat juga pada dia. Kesian dia, tak ada kawan sampai kawan dengan hantu.”Hana menyokong kata-kata aku.

“Baiklah, kita pergi jumpa Adilla. Kita ajak dia berkawan dengan kita.” Damia bersuara dengan nada riang.

“Jom, kita pergi sekarang.” Aku berkata dengan bersemangat.

Ya, aku lah yang paling bersemangat, terbayang dapat bertemu kembali dengan Adilla. Terasa seperti sudah bertahun aku tidak bertemu Adilla.

***************************

“Mana Adilla? Ang kata dia tunggu kat sini.” Damia menyoal sambil matanya melilau mencari kelibat Adilla.

“Eh! Betul, Adilla kata dia nak tunggu kita kat sini. Mungkin dia penat berdiri lepas tu dia pergi duduk kat mana-mana tak?”. Hana menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Haa.. tu Adilla tengah melambai kat kita bertiga. Jom pergi situ.”Damia mula melangkah memasuki taman permainan terbiar.

“Haah lah.. itu pun Adilla.”Hana pula berkata dengan teruja lantas mereka berdua berjalan memasuki kawasan permainan terbiar itu.

Aku terpinga-pinga keseorangan, beberapa kali aku cuba melihat ke arah yang di tunjukkkan oleh Damia dan Hana namun tetap aku tak nampak kelibat Adilla. Situasi yang sama semasa aku berada dengan Cikgu Huda. Hanya Cikgu Huda yang nampak Adilla sedangkan aku tidak nampak apa-apa. Aku cuba menahan Damia dan Hana daripada memasuki kawasan permainan terbiar itu namun tiba-tiba aku terdengar bunyi seperti ranting kayu dipijak dibelakangku. Aku menoleh.

Kelihatan seorang wanita berkebaya lama berdiri dibelakangku dengan senyuman. Dia berjalan menghampiri tubuhku.

“Aishah Humairah?.” Wanita itu menyoal. Bibirnya merah seperti dipakai gincu berwarna merah pekat. Wanita itu masih tersenyum memandangku.

“Ya…” Aku menjawab dengan nada teragak-agak.

“Kakak ni siapa? Kenapa kakak keluar dari semak tu? Kakak buat apa disitu?”. Aku pula menyoal.

“Haa.. kat situ ada rumah kakak. Cantik tau, jom kakak bawa Aishah datang rumah kakak. Mesti Aishah suka. Adilla pun ada kat situ. Aishah datang nak jumpa Adilla kan?.” Wanita itu masih memandangku dengan senyuman. Aku tidak pasti kenapa tetapi aku berasa seram melihat senyumannya.

“Aishah! Damia! Hana! Kamu bertiga buat apa disini? Balik cepat ke rumah. ” Suara Pakcik Jai tiba-tiba kedengaran.

Pakcik Jai berjalan menuju ke arah Damia dan Hana yang sedang bergelak ketawa di bawah pokok lalu menepuk bahu kedua-duanya. Pakcik Jai datang pula ke arahku dengan muka bengis. Aku lihat wajah wanita dihadapanku berubah merah seperti menahan marah. Nafasnya jelas kedengaran ditarik kasar.

Wanita itu tiba-tiba berubah menjadi hodoh, aku tak dapat nak ungkapkan bagaimana wajahnya namun suaranya ketawa mengilai bergema di setiap ruang. Hilang keayuan dan kecantikkannya ketika berpakaian kebaya. Jarinya meruncing dan mempunyai kuku yang panjang. Amat menakutkan.

“Kamu bertiga pulang ke rumah Aishah. Jangan berpisah. Pulang cepat!”. Suara Pakcik Jai yang garau menerjah membuatkan aku, Damia dan Hana berlari lintang pukang pulang ke rumahku sambil menjerit-jerit.

Sampai saja di rumah aku, kelam kabut kami bertiga memanggil Mama. Mama keluar bersama-sama Tok Ketua Radi, Makcik Maimun, Makcik Senah dan Pakcik Jai.

Melihat sahaja muka Pakcik Jai, kami bertiga menjerit ketakutan berulang kali.

**********************

“Alhamdulillah… budak-budak ni tak ada apa-apa, nasib ada yang menolongnya jikalau tidak mungkin ketiga-tiga mereka juga akan hilang seperti Adilla.” Ustaz Firdaus berkata sambil direnung wajah aku, Damia dan Hana satu per satu.

“Golongan mereka ada yang baik dan jahat, sama seperti manusia tetapi sebaik macam mana pun mereka, elakkan untuk berkawan dengan mereka. Cukuplah fitrah kita berkawan dengan manusia, biarkan mereka berkawan dengan golongan mereka sendiri sebab dunia kita dan mereka tidak sama. Ada yang menjelma sebagai Jai, sedarkan budak-budak ni dari terleka dari terus bermain disitu, itu yang apabila jumpa Jai, budak-budak ni menjerit.” Ustaz Firdaus berkata dengan senyuman.

“Ada baiknya kita robohkan saja bekas tapak permainan terbiar itu, bangunkan masjid atau buat tempat penginapan untuk pelajar-pelajar pondok. Jika baik niat untuk kawasan itu, inshaa Allah baik jugalah kesudahan tempat itu. Selagi dibiarkan terbiar, selagi itu menjadi tempat golongan mereka menapak. Itu hanya cadangan daripada pihak saya sahaja, semua berbalik pada Tok untuk buat keputusan.” Ustaz Firdaus berkata dengan nada lembut.

“Saya sokong cadangan Ustaz Firdaus tu, saya boleh carikan dana dan kita juga boleh buat kutipan penduduk kampung sedikit seorang. Hari ni terjadi pada budak bertiga ni, esok lusa saya risau terjadi pada yang lain pula.” Pakcik Jai menyokong. Tok Ketua Radi hanya mengangguk kecil.

“InshaAllah, jika ada rezeki kita akan jumpa Adilla. Jika tidak, kita pasrah, redha dan tawakal. Kita sudah usaha yang terbaik untuk mencari Adilla. Semua yang terjadi dalam kampung ni bukan salah Tok malah bukan salah sesiapa, Allah bukan menguji Adilla dan keluarganya sahaja tetapi Dia nak uji kita yang berada disekelilingnya juga.” Ustaz Firdaus menepuk lembut bahu Tok Ketua Radi, dia tahu apa yang merunsingkan hati Tok sebagai ketua kampung itu.

“Iya lah.. nanti aku pertimbangkan semuanya, aku cuba dapatkan dana untuk kawasan taman permainan terbiar tu.” Tok Ketua Radi berkata dengan senyuman tawar dibibir.

Tok Ketua dan yang lainnya meminta izin untuk pulang. Mak dan ayah Damia dan Hana juga sudah datang dan membawa pulang Damia dan Hana ke rumah masing-masing.

“Aishah ni Allah titipkan ada yang menjaganya tetapi saya sarankan pantau Aishah dengan lebih ketat sebab ada yang berkenan padanya. Dia masih budak-budak tak dapat beza sepenuhnya apa yang baik dan buruk.” Ustaz Firdaus memesan pada Mama dan beransur pulang. Mama hanya mengangguk.

“Mak sudah pesan pada kamu, jangan bagi Aishah berkawan dengan Adilla tu. Sekarang ni kamu tengoklah apa yang jadi?.” Opah (ibu kepada Papa) memarahi Mama.

“Saya tak sangka boleh jadi sampai macam ni sekali mak. Saya kesian pada Adilla tu.” Mama berkata sayu.

“Nak kesiankan orang, kena berpada juga. Tadi Mak dah minta izin Pak kamu nak tidur sini, boleh Mak tolong kamu tengokkan keadaan si Aishah ni.”

“Baik Mak, terima kasih Mak sudi menjaga Aishah.”

“Aishah ni cucu Mak, d***h daging Mak. Susah senang tak kan Mak nak biarkan saja kamu dan cucu Mak menderita. Selagi Mak boleh tolong, Mak akan tolong.” Opah berkata dengan nada tenang. Mama tersenyum.

*******************************

“Aishah! Aishah! Aishah!”. Tiga kali namaku dipanggil.

Aku lihat opah, Mama dan kakak nyenyak tidur. Mataku melihat jam didinding menunjukkan baru pukul 3.30 pagi.

“Aishah! Aku ni.. Adilla. Jom kita main.” Suara itu berkata lagi.

Aku bangun dan membuka tingkap bilik. Kelihatan Adilla bersama Damia dan juga Hana sedang melambai ke arahku.

“Betul ke ang Adilla? Damia dan Hana ada sekali?.” Aku bertanya sambil mata ku kecilkan untuk melihat dengan jelas wajah ketiga-tiga mereka.

“Ya..betul. Jom lah kita main.”

Mereka bertiga menghulurkan tangan dari jauh. Aku mengangguk riang, segera berlari membuka pintu dan menuju ke arah mereka. Aku rasa bahagia sangat ketika itu, kami berempat ketawa riang menuju ke suatu arah.

Sampai sahaja disitu, kakiku terhenti. Aku memandang keadaan sekeliling. Perasaanku menjadi takut.

“Ini kawasan taman permainan terbiar, macam mana aku boleh ada disini?”.

Adilla, Damia dan Hana tiba-tiba datang kepadaku dan terus mencengkam kedua-dua lenganku. Mata mereka berubah menjadi warna kuning lalu mereka ketawa mengilai.

“Lepaskan dia, jangan kau ganggu keturunan anak cucu Adam.” Suara Ustaz Firdaus bergema dan aku rebah tidak sedarkan diri.

***********************

Aku menolong mama memasukan barang-barang yang telah dikemaskan ke dalam kereta. Hati aku sedih sangat ketika itu namun harus aku akur dengan keputusan Papa.

Mama ceritakan kepadaku bahawa Ustaz Firdaus dan kawan-kawan berlawan dengan jin yang berada disitu. Ustaz Firdaus memang dapat menduga pasti ada sesuatu yang bakal terjadi pada hari itu jadi Ustaz Firdaus sudah bersiap sedia bersama kawan-kawannya pada waktu kejadian. Ada seekor ular hitam yang besar datang membantu.

Ustaz Firdaus berkata mujur juga ular hitam itu muncul kerana ilmunya untuk berlawan dengan jin itu tidak cukup. Ular bertemu ular dan dibantu oleh Ustaz Firdaus maka jin itu dapat dikalahkan dan Ustaz Firdaus buat perjanjian supaya mereka keluar dari kawasan itu dan tidak lagi menganggu penduduk kampung. Mereka bersetuju tetapi jawapan untuk kehilangan Adilla masih tidak terjawab.

Sebenarnya aku tidak pasti ustaz berlawan dengan jin ataupun kaum bunian atau adakah kedua-duanya benda yang sama? Entah, aku tiada ilmu mengenai itu.

Ketika ditanya mengenai Adilla. Ketiga-tiga ular itu terus menghilangkan diri.

Aku berpindah ke sekolah baru di sebuah bandar dan berpindah lagi dan lagi, selagi Papa masih ditugaskan untuk bekerja sebagai staff sementara selagi itu aku dan keluarga kena berpindah kecuali kes kali ini, Papa sendiri pulang ke kampung dan menyuruh kami berpindah untuk elakkan sesuatu terjadi padaku lagi. Tentang Cikgu Huda, maafkan aku mungkin kerana aku masih kecil, aku tidak ambil tahu mengenai Cikgu Huda selepas itu. Taman permainan terbiar itu didirikan kawasan masjid yang baru mengantikan masjid lama yang masih menggunakan kayu ketika itu, ditukar dengan batu bata marmar. Kawasan masjid lama pula dijadikan dewan orang kampung. Damia dan Hana sudah lama aku tidak bersua muka dengan mereka, ketika aku datang menziarahi kampung, mereka berdua tiada atas urusan belajar dan kerja.

“Peserta Gopeng Ultra Trail (2019) Mohammad Ashraf Hassan didapati hilang”

Kisah Acap ini membawa aku mengenangkan kembali mengenai kisah Adilla. Polis, ustaz, bomoh, pawang, penduduk kampung, kawan-kawan ramai yang cuba mencari Acap namun sampai sekarang masih tidak ditemui.

Adilla? Dia bukan berasal dari kampung kami. Ayahnya banduan dari penjara dan merupakan penagih dadah, ibunya pula melarikan diri. Siapa waris yang masih mencari Adilla? Tiada.

Maka kes kehilangan Adilla terkubur begitu sahaja. Laporan polis mungkin pernah dibuat semasa mula-mula kehilangan Adilla, aku pun tidak pasti ada atau tidak laporan polis dibuat tetapi yang pasti kerana tiada waris yang menuntut maka kes Adilla dibiarkan sepi. Ketika itu juga tiada teknologi canggih malah telefon bimbit sangat jarang digunakan ketika itu. Tiada lagi kuasa viral ketika zaman aku masih kanak-kanak itu.

Sejujurnya jika kehilangan Acap berjaya dirungkai, aku mahu minta bantuan yang sama untuk mencari Adilla. Aku mahu buka kembali kes kehilangan Adilla. Ya, sampai sekarang Adilla tidak ditemui. Itu pengakhiran untuk cerita Adilla.

Pengajarannya, entah kenapa aku rasa semua ini terjadi kerana sifat kami sebagai penduduk kampung yang tidak pedulikan kisah dan nasib Adilla. Ramai yang tahu mengenai mereka tetapi pertolongan dan bantuan apa yang dihulurkan? Malah aku kira, hanya cacian dan makian yang keluarga Adilla terima. Anak-anak juga di ajar supaya tidak berkawan dengan Adilla. Itu kesilapan untuk permulaannya. Ya, aku akui, kehidupan dikampung mahupun dibandar, zaman dahulu ataupun sekarang, yang miskin masih dicaci, buat salah yang sedikit, dipandang serong seolah kau tidak layak hidup didunia. Mengenai kes Adilla, kanak-kanak sebaya ku dilarang berkawan dengan Adilla kerana dia dari keluarga yang miskin dan tidak terurus. Betullah kata Ustaz Firdaus, kehilangan Adilla bukan sahaja ujian untuk keluarga Adilla tetapi untuk kami semua penduduk kampung itu juga.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Aishah Humairah

9 thoughts on “Adilla Akhir”

  1. Cerita ni memberi kesan yg mendalam pada sesiapa yg membaca, kesian si adilla, hidup x seperti kanak2 yang lain, Allahurobbi

    Reply
  2. Kesian.. sikap masyarakat mmg menyakitkan. Harap xakan Ada lagi kes mcm ni lepas ni. Misteri Dan tak terjangkau dek akal. Anyway, good story. Love it 10/10

    Reply
  3. Kemana hilangnya Adilla …???
    masih hidupkah dia ..??
    rasanya masih hidup …tetapi telah bertukar Dimensi …
    mereka telah penjarakan Adilla didunia mereka,hanya manusia tertentu sahaja yang mampu mengambil dia kembali dan merungkai misteri ini …orang yang diberi oleh Allah swt anugerah Ilmu Kerohanian Tahap Tinggi …seperti kata Arwah ayah aku dulu …dia pun pernah diminta oleh seorang ahli perniagaan untuk mengambil anak perempuannya yang hilang secara misteri …menurut ayah aku dia dikurung oleh Penguasa Wanita dari Alam sebelah sana dan sangat berilmu tinggi …ayah aku tak mampu nak membawa pulang anak perempuan ahli perniagaan dari Selangor tu …sampai la terus tidak dapat diambil …sama seperti kisah Adilla dan Acap di Gopeng tu ….
    berhati-hatilah ..sesungguh Misteri dan kekuatan Makhluk Allah yang tak nampak dimata kasar itu wujud ….
    Semoga Adillah dapat keluar ke Alam nyata …Insha Allah ….

    Reply
  4. Cerita mistik yg tak terjangkau oleh akal manusia normal. Sangat menyentuh perasaan. Kasihan Adilla dgn kehidupan nya yg terbuang. Kadangkala manusia boleh jadi sangat kejam sesama sendiri. Semoga Adilla dapat ditemukan & dapat hidup seperti biasa di alam kita.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.