Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

Perkampungan Bunian

Kampung Bukit Pupok, kampung kelahiran aku. Walaupun tidak dibesarkan di situ, adalah setahun dua aku menetap di situ selepas arwah abah pencen dari tentera British dan sebelum kami berpindah dan menetap di Johor Bahru. Orang Segamat mungkin ramai yang tahu mengenai perkampungan bunian di kampung tersebut. Inilah antara kisah yang aku dengar dan aku saksi arwah abang alami.

Cerita 1
Arwah mak saudara aku pernah disorokkan bunian. Pada suatu hari semasa menoreh getah di kebun getah arwah atuk, tiba-tiba dia hilang. Puas dicari oleh orang-orang kampung tidak jumpa.

Esok paginya dia ditemui tersandar di pokok getah. Selepas dipulihkan dia menceritakan bahawa dia ternampak sebuah perkampungan yang bersih dan cantik. Dia duduk di tangga sebuah rumah dan dihidangi minuman dan kuih muih. Sambil minum dan makan dia menoreh kaki tangga dengan pisau getahnya.
Beberapa hari kemudian semasa menoreh getah dia ternampak sebuah dahan pokok dengan kesan torehan pisau getahnya. Di situkah dia duduk semasa disorokkan bunian.

Cerita 2
Suatu ketika, semasa arwah atuk masih ada dan berniaga kedai runcit di kampung, pernah ada orang singgah dan bertanyakan rumah si polan yang dia jumpa di Mekah, menunaikan haji bersamanya. Atuk aku kata, setahu dia tidak ada nama tersebut di kampung.

Arwah atuk aku bekas ketua kampung di situ, sudah tentulah dia kenal semua orang di kampung. Tambahan pula mereka sekampung ada kaitan keluarga, adik beradik, sepupu dan sebagainya. Orang yang bertanya bertegas bahawa dia sendiri pernah menumpangkan si polan dan menurunkan si polan di jalan masuk ke kampung.

Sekali lagi atuk aku menegaskan, di kampung ni semuanya akan kaitan saudara, sudah tentulah dia kenal semua orang dalam kampung, tambahan pula dia adalah bekas ketua kampung. Orang yang bertanya terdiam dan baru dia teringat semasa menurunkan si polan, dia menoleh sebelum meneruskan perjalanan dan mendapati si polan dah ghaib. Dalam hati dia cuma berkata, lajunya orang tua ni berjalan. Siapa orang tua tu sebenarnya?

Cerita 3
Cerita ketiga menimpa arwah abang dan aku saksinya. Semasa itu aku di tingkatan 1 dan arwah abang di tingkat 3, tidak silap aku. Suatu ketika dia sering jatuh pesan dan tidak sedarkan diri. Selepas sedar dia tidak ingat apa yang berlaku.

Suatu hari dia jatuh pesan di depan aku dan mak, aku tidak ingat samada ada saksi lain ataupun tidak. Dia tiba-tiba bangun dan berdiri dengan gaya seorang pahlawan dan mengenalkan dirinya sebagai wakil penghulu bunian di kampung aku, kampung bukit pupok.

Dia perintahkan oleh penghulu bunian untuk mengambil abang aku untuk dikahwinkan dengan puterinya samada dengan izin mak aku atau secara paksa. Kalau mak aku izinkan, abang aku akan balik ke rumah keluarga setiap hari raya dengan isterinya. Walau bagaimanapun hanya ahli keluarga terdekat sahaja yang akan nampak isteri abang aku, orang lain ta’kan nampak.

Kalau tidak diizinkan, abang aku akan diambil secara paksa dan akan hilang selama-lamanya. Mendengar gertak itu, mak aku menangis dan mengungkit tempuh dia mengandungkan abang aku dan kesakitan dan kesusahan yang dialami semasa tempuh mengandung, melahir dan membesarkan abang aku.

Mendengar itu, wakil penghulu bunian mulai Insaf dan ta ‘jadi merampas abang aku dari keluarga aku. Walau bagaimanapun dia memberi amaran sekiranya dia terjumpa abang aku di jambatan sungai kampung bukit pupok di waktu maghrib, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil abang aku dan akan hilang terus.

Dia juga berpesan supaya jangan menceritakan apa yang berlaku kepada abang aku. Sehingga abang aku meninggal, kami tidak pernah menceritakan apa yang berlaku kepadanya. Kalau dia tahu takut riak, yalah puteri bunian berkenan kat dia. Dekat aku puteri ta’ berkenan pula. Kalau berkenan, mak aku lepaskan kot….

Cerita 4
Beberapa tahun kemudian adik aku dan keluarga balik bercuti ke kampung, semasa tu arwah mak dan abah dah menetap di rumah pusaka atuk. Semasa adik aku dan keluarga masuk ke rumah, mak aku bertanya ‘kenapa ta ‘ajak kawan kau masuk sekali?’ Adik aku tercenggang lalu bertanya ‘kawan yang mana mak?’.

Mak aku perhati ke arah kereta adik aku dan orang tua yang baru turun dari kereta dah ta ‘ada. Mak aku hanya berkata ‘Bukan kau ada tumpangkan orang tadi?’ Adik aku kata ta ‘ada, ‘Mak perasan kot…’ Tapi masing-masing faham siapa orang tua tu sebenarnya.

Rumah pusaka atuk aku pernah ditinggalkan kosong beberapa tahun selepas arwah atuk lelaki dan perempuan pindah ke rumah mak saudara aku untuk dijaga dan meninggal di situ. Semasa rumah tu kosong, bila orang lalu lalang, kerap ternampak budak-budak bermain di laman rumah atau di atas rumah seolah-olah rumah tu masih berpenghuni.

Cerita 5
Anak saudara aku pernah membawa balik boyfriendnya ke rumah semasa hari raya. Semasa tu maknya, iaitu adik aku tinggal dengan mak aku di kampung. Boyfriend dia tiba-tiba nampak seorang nenek bertongkat dengan muka bengis merenungnya, terus dia minta diri untuk balik. Tahu dia takut, ta’ berani dia buat apa-apa kat anak saudara aku.

Cerita 6
Suatu ketika arwah abah pergi sembahyang Jumaat di masjid berdekatan, di Kampung Gemereh. Semasa hendak balik selepas sembahyang ada jiran yang tinggal di rumah di jalan masuk ke kampung, menumpang kereta arwah abah.

Semasa arwah abah menghidupkan enjin kereta dan kereta mula bergerak, dia bertanya ‘Kawan En Deris ta ‘balik sekali ke?’ Abah tercenggang dan bertanya ‘Kawan yang mana?’ Jawab jiran yang menumpang, ‘Tadi masa En Deris keluar dari kampung saya nampak ada orang di sebelah En Deris dalam kereta.’ Abah aku kata, ‘Ta ’ada yang menumpang saya, saya seorang je, awak perasan je kot.’ Masing-masing dah mula faham, siapa yang menumpang dan menutup cerita.

Cerita 7
Pada suatu ketika semasa abang, aku dan adik beradik yang lain bercuti di kampung, kakak ipar aku yang sulung pernah berjalan ke kebun yang agak semak di belakang rumah. Masa tu dah hampir senja. Semasa dia berjalan, tiba-tiba kawasan sekeliling nampak bersih, kemas dan tersusun seperti kawasan kebun yang terjaga tidak sesemak sebelumnya.

Semasa dia menoleh ke belakang, rumah pusaka atuk dah ta ‘nampak, hanya tanah kebun yang lapang. Dia mulai cemas dan mula membaca ayat-ayat yang dia ingat. Ketika tu dia ternampak tali rentang yang arwah abah ikat di tiang-tiang yang dipacak dari belakang rumah ke kebun belakang rumah. Berpandu tali tersebut dia bertawakal, dan berjalan balik ke rumah, walaupun rumah tidak kelihatan.

Hanya apabila azan maghrib berkumandang barulah dia nampak rumah dan suasana sekeliling kembali seperti asal, dengan semak samunnya.

Begitulah beberapa kisah tentang kampung kelahiran aku dengan perkampungan buniannya seperti yang diceritanya kepada aku dan yang pernah aku saksikan sendiri. Sebagai renungan bersama bahawa kita tidak bersendirian di alam ini. Ada kalanya kita akan bertembung dengan alam atau makhluk dari alam yang satu lagi. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Sekian, terima kasih.

Noruddin Haji Idris
Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram