Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

REALITI ATAU FANTASI

Akhmar mengesat peluh di dahi walaupun penghawa dingin pejabat masih setia meniupkan hawa sejuk. Jam di skrin komputer menunjukkan pukul 12:58 pagi. Tinggal dua minit lagi sebelum tarikh akhir projek yang diberikan bosnya, Encik Fauzi, esok pagi. Deadline yang tidak masuk akal, tapi itulah dunia kerja di firma seni bina terkemuka ini.

“Lima halaman lagi,” bisik Akhmar sendiri. Matanya merah. Kopi ketiganya sudah habis. Badan lenguh, tapi fokus masih perlu dijaga.
Dia seorang saja di tingkat 12 bangunan pencakar langit di tengah kota Kuala Lumpur ini. Pekerja lain semua sudah balik sejak pukul 6 petang tadi. Malah pengawal keselamatan pun jarang naik ke tingkat atas sebab lif memerlukan kad akses khas selepas pukul 10 malam. Akhmar benar-benar keseorangan.

Pukul 1:00 pagi.
Tiba-tiba, lampu pejabat berkelip. Sekejap padam, sekejap menyala. Akhmar mendongak, jantungnya berdegup laju. Kemudian lampu kembali normal. Dia menarik nafas lega.
“Lampu nak rosak kot,” gumamnya sambil kembali menaip.

Tapi kemudian dia dengar sesuatu. Bunyi ketukan. Ketukan kecil. Macam orang mengetuk meja. Dari arah ruang tamu pejabat, di luar biliknya.
Akhmar diam. Mendengar. Hening. Mungkin tikus, fikirnya. Bangunan lama ni memang ada masalah tikus.

Dia kembali bekerja. Lima minit berlalu. Kemudian dia dengar lagi. Kali ini bukan ketukan. Tapi bunyi kerusi berputar. Kerusi pejabat yang biasa digunakan staff di ruang tamu. Berputar sendiri. Berputar perlahan-lahan.
Akhmar bangun. Dia mencapai telefon bimbit, siap sedia nak hubungi pengawal keselamatan. Tapi line telefon, tiba-tiba tiada coverage. Peliknya, tadi masih ada.

Dengan hati-hati, dia melangkah ke pintu biliknya. Membukanya perlahan. Ruang tamu pejabat sunyi. Kerusi-kerusi tersusun rapi seperti biasa. Tiada siapa. Tapi satu kerusi, yang paling hampir dengan mesin fotostat, masih berputar perlahan. Berputar walaupun tiada siapa menyentuhnya.

Akhmar memejam mata. Dalam hati, baca doa. Buka mata. Kerusi itu sudah berhenti. Dia menghela nafas.
“Stress ja ni. Stress ja,” pujuknya sendiri.
Dia kembali ke bilik, duduk, sambung bekerja. Tapi matanya tak lepas dari pintu. Dia pasang speaker telefon bimbit dengan suara kuat. Mainkan lagu-lagu zikir. Sekadar menenangkan hati.

Pukul 1:15 pagi.
Skrin komputernya berkelip. Dokumen yang sedang ditaip, tiba-tiba terpadam. Muncul skrin kosong. Dan kemudian, satu persatu huruf mula menaip sendiri.
“H-E-L-L-O”
Akhmar tercegat. Matanya membulat. Tangannya menggigil. Dia tekan Ctrl+Alt+Del, tapi tiada respon. Huruf terus menaip.
“A-K-H-M-A-R”
“K-A-M-I-T-U-N-G-G-U”
Kami tunggu.

Akhmar terus cabut palam komputer. Skrin mati. Gelap. Dia mencapai beg, siap-siap nak balik. Lupakan projek. Lupakan kerja. Dia nak keluar dari sini sekarang juga.
Tapi apabila dia buka pintu bilik, dia terpaku.
Di ruang tamu pejabat, sekarang ada orang. Banyak orang. Duduk di setiap kerusi. Berpakaian staff. Berpakaian macam pekerja biasa. Tapi semua senyap. Tidak bergerak. Menghadap ke arahnya.
Akhmar nak jerit, tapi tiada suara keluar. Kakinya beku, badannya tidak boleh bergerak.

Seorang daripada mereka bangun. Seorang perempuan. Rambut panjang hitam menutup muka. Berjalan ke arah Akhmar. Perlahan. Sangat perlahan. Tapak kakinya tidak berbunyi.
Perempuan itu berhenti betul-betul di depan Akhmar. Kemudian dia angkat muka. Rambutnya tersingkap.
Akhmar lihat wajah itu. Wajah yang dikenali. Wajah yang selama ini dilihat dalam gambar. Wajah yang dikatakan hilang 10 tahun lepas.
“Mak? “
Perempuan itu tersenyum. Tapi senyumannya ganjil. Terlalu lebar. Matanya kosong.
“Akhmar… anak mak… dah lama mak tunggu kau balik… “
“Tapi mak… mak dah meninggal 10 tahun lepas. Mak… mai sini nak apa?”

Perempuan itu mendekat. Tangannya yang sejuk menyentuh pipi Akhmar.
“Mak tak pernah tinggal kau, Akhmar. Mak tunggu kau. Setiap malam. Tapi kau tak pernah datang. Mak tunggu kat sini. Kat pejabat ni. Sebab… sebab… “
Perempuan itu tiba-tiba berubah. Wajahnya berkerut. Matanya merah. Rambutnya kusut masai. Tangannya mencengkam bahu Akhmar kuat-kuat.
“SEBAB KAU YANG BUNUH MAK, AKHMAR! KAU! KAU! KAU! “

Akhmar menjerit. Jeritan yang paling kuat dalam hidupnya. Dia jatuh tersungkur ke lantai. Apabila dia mendongak, pejabat kosong. Tiada siapa. Hanya dia seorang. Lampu pejabat terang benderang. Komputernya masih hidup. Dokumennya masih ada.

Dia termengah-mengah. Peluh membasahi baju. Mimpi ngeri? Atau realiti? Dia tak pasti.
Perlahan-lahan dia bangun. Tangannya menggigil mencapai tetikus. Dia nak tutup komputer dan terus balik.
Tapi sebelum sempat klik, satu email masuk. Dari alamat yang tak dikenali. Tajuk email: “UNTUK AKHMAR”
Dia buka. Email itu kosong. Tapi ada attachment. Satu fail video. Dia buka.
Video itu rakaman CCTV pejabat. Tarikh dan masa: 10 tahun lepas, pukul 1:00 pagi.

Dalam video, kelihatan seorang perempuan, sama dengan ibunya, sedang berjalan di ruang tamu pejabat. Kemudian seorang lelaki muncul dari bilik. Lelaki itu… Akhmar. Tapi Akhmar 10 tahun lepas. Lebih muda. Lebih segar. Dalam video, Akhmar yang muda itu bercakap dengan ibunya. Kemudian mereka bertengkar. Kemudian Akhmar yang muda itu menolak ibunya. Keras. Ibu Akhmar jatuh ke belakang, kepala terhantuk pada bucu meja. Dia jatuh. Tidak bergerak.

Akhmar yang muda itu cemas. Dia melihat kiri kanan. Kemudian dia mengheret mayat ibunya ke bilik stor. Hilang dari kamera. Beberapa minit kemudian, dia keluar semula. Membersihkan darah. Kemudian berjalan tenang ke lif. Keluar dari pejabat.
Video tamat.

Akhmar terkulai di kerusi. Tangannya menggigil hebat. Air matanya mengalir. Semua ingatan yang disekat selama 10 tahun, kini kembali. Dia ingat. Dia ingat malam itu. Dia ingat pertengkaran sebab ibunya mahu dia berhenti kerja dan balik kampung. Dia ingat kemarahannya. Dia ingat tolakan itu. Dia ingat mayat ibunya. Dia ingat bagaimana dia sembunyikan mayat itu di stor lama, kemudian bawa keluar dalam tong samping besar keesokan harinya. Dia ingat bagaimana dia lapor polis ibunya hilang. Dan polis percaya.

Selama 10 tahun, dia hidup dengan rahsia ini. Selama 10 tahun, dia tidak pernah kembali ke pejabat ini waktu malam. Tapi malam ini, projek deadline paksa dia datang. Dan malam ini, 10 tahun kemudian, tarikh yang sama, masa yang sama… ibunya datang kembali.

Akhmar terdengar bunyi pintu stor di hujung pejabat terbuka. Perlahan. Berderit.
Dia menoleh. Dari stor itu, keluar satu bayangan. Bayangan ibunya. Tapi kali ini, bukan seperti tadi. Kali ini, ibunya betul-betul seperti malam itu. Dengan luka di kepala. Darah masih mengalir. Matanya terbuka luas. Merenang tepat padanya.
“Akhmar… dah 10 tahun mak tunggu. Mak tunggu kau minta maaf. Tapi kau tak pernah datang. Kau tak pernah balik. Kau lupa kat mak. “
Akhmar jatuh berlutut. Air mata dan hingus bercampur. “Mak… maafkan Akhmar. Akhmar tak sengaja. Akhmar tak sengaja, mak.

Ibunya mendekat. Tangannya yang sejuk menyentuh kepala Akhmar. Lembut. Seperti dulu waktu dia kecil.
“Mak tahu kau tak sengaja, anak. Tapi mak tunggu 10 tahun. 10 tahun dalam kegelapan. 10 tahun dalam kesejukan. 10 tahun menunggu kau datang. Malam ni… kau dah datang. “
“Mak… Akhmar minta maaf. Sangat-sangat minta maaf.”
Ibunya tersenyum. Senyuman yang penuh kasih. Tapi matanya… matanya kosong. Matanya hitam.
“Tak apa, anak. Mak maafkan kau. Tapi… “

Ibunya tunduk, mendekatkan mulut ke telinga Akhmar. Bisikannya halus, tapi menusuk sampai ke tulang.
“… tapi mak tak boleh tinggal kau seorang. Mak bawak kau sama. Kita balik sama-sama. “
Akhmar nak menjerit, tapi tiba-tiba badannya lumpuh. Ibunya memeluknya. Pelukan yang kuat. Pelukan yang dingin. Pelukan yang menyerap seluruh kehangatan tubuhnya.
Dia rasa dirinya ditarik. Ditarik ke dalam gelap. Ke dalam dingin. Ke dalam tempat yang sama dengan ibunya selama 10 tahun.

Lampu pejabat berkelip-kelip. Kemudian padam. Kemudian menyala semula. Pejabat kosong. Tiada sesiapa. Hanya komputer Akhmar masih hidup, dokumen projeknya masih terbuka.
Tapi di skrin, satu mesej tertera.
“PROJEK TAMAT. TERIMA KASIH.”
________________________________________
Keesokan paginya
Pengawal keselamatan membuat pusingan pagi. Apabila sampai di tingkat 12, dia terkejut. Lif terbuka luas. Semua lampu pejabat menyala. Tapi tiada sesiapa. Di bilik Akhmar, komputer masih hidup. Kopi masih panas. Beg masih ada. Tapi Akhmar hilang. Polis datang. Siasatan dibuat. Tiada tanda-tanda pergelutan. Tiada bukti jenayah. Akhmar lenyap begitu saja.

Seminggu kemudian, seorang staff pembersih jumpa sesuatu di stor lama. Stor yang selama 10 tahun tidak pernah dibuka. Apabila dibuka, dia menjerit.
Di dalam stor itu, ada dua mayat. Satu mayat perempuan, berpakaian baju kurung biru, yang laporannya hilang 10 tahun lepas. Dan satu mayat lelaki, berpakaian kemeja pejabat, yang dilapor hilang seminggu lepas. Kedua-duanya dalam keadaan duduk. Berpegangan tangan. Tersenyum.
Akhmar dan ibunya. Bersama semula. Untuk selama-lamanya.
Di dinding stor, tertulis satu ayat. Darah kering. Tulisan Jawi lama. Satu perkataan
“KEKAL”

zulakhmar
Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram