Assalamualaikum dan selamat malam admin FS serta para pembaca sekalian. First time aku nak hantar kisah kat sini. Mohon admin siarkan cerita aku ni, dan kalau boleh tolong rahsiakan nama aku ya. Panggil saja aku Rizal (bukan nama sebenar). Cerita yang aku nak kongsikan ni bukanlah cerita rekaan atau dongeng, tapi peristiwa ni betul-betul terjadi kat aku dengan kawan-kawan aku masa kami menyewa sebuah rumah separuh papan dekat area Perak, masa zaman belajar kat sebuah kolej komuniti dulu.
Kisah dia bermula macam ni. Memandangkan hostel kolej penuh, aku dengan tiga orang lagi kawan aku, nama mereka Amir, Fiq, dan Shah, terpaksa cari rumah sewa kat luar. Pusing punya pusing, akhirnya kami jumpa sebuah rumah kampung yang agak besar. Sewa dia? Murah sangat korang, memang mesra poket student lah katakan. Tapi tulah, kedudukan rumah tu agak tersorok, belakang dia memang hutan dan ladang kelapa sawit.
Masa mula-mula kami datang tengok rumah tu dengan ejen, hati aku dah rasa semacam. Suasana dia sunyi sepi, dengan bau daun-daun reput yang kuat. Tapi memandangkan dah kesuntukan masa nak start sem baru, kami pejamkan mata je lah. Hadapi jela orang kata.
Rumah tu ada tiga bilik. Amir dengan Fiq kongsi bilik utama, Shah ambik bilik kedua, dan aku… entah macam mana, terpilihlah untuk duduk kat bilik paling hujung, dekat benar dengan bahagian dapur yang menghadap ke arah kebun sawit tu. Kunci pintu bilik aku tu rosak sikit, jadi kalau malam-malam, aku terpaksa sendal dengan kerusi dari dalam supaya tak terbuka sendiri.
Minggu pertama duduk sana, semuanya okay je. Tak ada apa-apa yang pelik. Masuk minggu kedua, gangguan mula datang.
Benda pertama yang kena ialah Shah. Shah ni sejenis yang suka study sampai lewat malam, pukul 2, 3 pagi tu perkara biasa bagi dia. Satu malam tu, dalam pukul 3.30 pagi, dia tengah khusyuk buat assignment kat ruang tamu. Tiba-tiba, dia dengar bunyi macam ada orang tengah basuh pinggan kat dapur. Kuat bunyi dia, berdentang-denting cawan dengan pinggang berlaga. Shah ingat aku yang lapar pergi buat maggi ke apa kan, jadi dia pun bangun pergi jenguk.
Sekali bila dia sampai kat dapur… gelap gelita korang! Bunyi tu terus hilang serta-merta. Shah yang mula meremang bulu roma terus tak jadi nak minum air, dia pecut masuk bilik, selubung dalam selimut sampai ke subuh. Esoknya dia cerita kat kami, tapi Amir dengan Fiq buat lawak kata tu tikus saiz Godzilla kot. Kami pun gelak-gelak jela nak sedapkan hati memasing.
Tapi, kemuncak gangguan ni terkena kat aku sendiri, betul-betul masa minggu study week sebelum exam.
Malam tu hujan lebat, sejuk dia sampai ke tulang. Amir, Fiq dengan Shah semua dah selamat tidur kat bilik memasing sebab mengantuk sangat lepas pulun study petang tadi. Tinggallah aku sorang-sorang kat bilik hujung tengah hafal nota. Jam kat dinding bilik aku dah tunjuk pukul 2.45 pagi.
Tengah aku fokus membaca, tiba-tiba telinga aku menangkap bunyi pelik dari luar tingkap bilik. Tingkap bilik aku tu jenis tingkap nako lama, yang menghadap terus ke pokok-pokok sawit. Bunyinya macam ada benda tengah menggeser cakar kat jaring nyamuk tingkap tu. Sreett… sreett… srett… Aku terus terdiam. Jantung aku dah start dup-dap-dup-dap laju gila. Aku cuba abaikan, fikir mungkin tu ranting pokok sawit kena tiup angin hujan. Aku sambung baca nota balik. Tapi tak sampai dua minit, bunyi tu datang balik, kali ni berselang-seli dengan bunyi mendengus kasar, macam bunyi orang tengah marah sangat kat luar tu!
“Astaghfirullahaladzim…” aku berbisik sendiri.
Aku cuba nak bangun pergi kejutkan Shah kat bilik sebelah, tapi entah kenapa, badan aku rasa berat sangat macam kena tindih. Nak gerakkan kaki pun tak boleh. Dalam samar-samar cahaya lampu kalimantang bilik aku yang tiba-tiba berkelip-kelip tu, aku nampak satu kelibat bayang hitam yang besar perlahan-lahan lalu kat luar tingkap.
Benda tu berhenti betul-betul kat depan tingkap aku. Dan apa yang buat aku nak luruh jantung, tingkap nako yang berkunci rapat tu tiba-tiba terbuka sendiri satu persatu dengan perlahan!
Dari celah bukaan tingkap tu, muncul sepasang tangan yang kurus kering, berkuku panjang dan hitam, cuba mencengkap besi grill tingkap. Perlahan-lahan, ‘benda’ tu menjengukkan kepalanya dari luar.
Ya Allah… rambut dia panjang kusut-masai, mukanya hancur kehitaman macam kena bakar, dan mata dia… mata dia merah menyala merenung tepat ke arah aku! Makhluk tu menyeringai pandang aku, menampakkan barisan gigi yang tajam. Bau busuk bangkai yang amat kuat terus menerpa masuk memenuhi segenap ruang bilik aku sampai aku rasa nak muntah.
Aku dah menggigil satu badan, air mata aku dah start keluar sebab takut sangat. Dalam keadaan separuh kaku tu, aku pejam mata rapat-rapat dan start baca ayat Kursi dalam hati secara sangkut-sangkut sebab terlampau panik. Aku baca dan terus baca sambil berserah pada Allah.
“Benda” tu bila dengar aku baca ayat suci, dia mula mengeluarkan bunyi mengilai yang sangat nyaring berselang dengan bunyi cakaran yang makin kuat kat grill tingkap, seolah-olah dia tengah marah dan sakit.
Lepas beberapa ketika yang dirasakan macam bertahun lamanya, tiba-tiba bunyi mengilai tu hilang. Suasana terus jadi sunyi sepi balik, cuma kedengaran bunyi deruan angin hujan kat luar.
Perlahan-lahan aku buka mata. Kelibat makhluk tu dah tak ada. Tingkap nako aku masih terbuka, dan kerusi yang aku guna untuk sendal pintu bilik tadi dah tumbang ke lantai. Dengan baki tenaga yang ada, aku terus melompat dari katil, berlari macam pelari pecut pelepah sawit keluar dari bilik tu dan terus rempuh masuk bilik Shah. Aku tidur picit-picit celah antara Shah dengan dinding malam tu, lantaklah dia nak marah ke apa, yang penting aku tak nak duduk bilik tu lagi.
Esoknya, aku demam panas seminggu korang. Bila kami panggil tuan rumah datang sebab nak cerita hal tu, rupa-rupanya baru tuan rumah tu buka cerita. Katanya, tanah kawasan belakang rumah tu dulu memang tempat ‘belaan’ orang lama yang dah tak bertuan. Benda tu selalu meliar cari makan kalau waktu malam-malam buta.
Mendengar je cerita tu, apa lagi, minggu depan tu jugak kami pakat packing barang dan cari rumah sewa lain kat tengah pekan, biarlah mahal sikit janji tidur kami aman tak kena kacau.
Itulah saja kisah pengalaman seram aku yang tak seberapa ni. Maaf kalau gaya penulisan aku ni agak tunggang-langgang atau tak berapa seram bagi korang. Pengajaran dia, kalau korang nak sewa rumah, selidiklah dulu latar belakang tempat tu ye.
Terima kasih admin kerana sudi siarkan cerita aku. Tata!