TOYOL

Kisah ini terjadi beberapa tahun yang lepas, sewaktu rakyat masih bebas ke sana ke sini, ke sana ke sini.

Saya tinggal di KL. Selang beberapa bulan sekali saya akan pulang ke kampung dalam beberapa hari untuk melepaskan kerinduan pada orang tua dan ahli keluarga sambil menghilangkan stress dan lari dari hiruk pikuk suasana bandar. Tak sangka pula kali ini di kampung saya akan dapat satu pengalaman yang sebelum ini hanya biasa didengar atau dibaca sahaja….

Hari itu, kakak saya, Kak Mah mengajak saya pergi ke rumah kawannya, Kak Eja yang terletak lebih kurang hanya 3km dari rumah kami. Kata Kak Mah ada sesuatu yang Kak Eja ingin tanyakan dan minta tolong kepada saya. Kami pergi pada waktu malam selepas waktu isyak. Rumah Kak Eja tak jauh dari jalan besar, tapi lorong yang menghala ke rumahnya agak gelap tanpa lampu jalan.

Ketibaan kami disambut oleh Kak Eja dan suaminya. Saya pernah jumpa Kak Eja dulu pun waktu saya masih bersekolah, sebab rumah kedua orang tuanya berhampiran dengan rumah orang tua saya, jadi banyak jugalah yang kami bualkan. Sambil minum, kami berbual dan bertanya khabar. Setelah beberapa ketika, Kak Eja membuka bicara tentang tujuannya ingin berjumpa dengan saya.

“Sebenarnya macam ni Zul. Akak ada satu masalah. Duit akak dan suami akak selalu hilang.”

Kak Eja berhenti sejenak sebelum menyambung.

“Perkara ni dah berlarutan sejak 4 tahun yang lepas. Pada mulanya akak ingat mungkin tersalah letak ke atau ada anak-anak terambil ke, tapi masalahnya, duit yang akak simpan dalam laci almari pun boleh hilang, sedangkan akak je yang ada anak kuncinya. Satu lagi, kadang-kadang ia berlaku sekelip mata je, macam satu hari tu, akak baru keluarkan duit dari bank, lepas tu akak terus balik ke rumah, masa tu memang takde orang, anak-anak masih kat sekolah, suami pun masih kat tempat kerja. Sampai je kat rumah, akak duduk kat kusyen ni, beg duit akak letak atas meja kopi ni. Kemudian akak pergi ke tandas, bila keluar tandas, akak tengok duit dalam beg dah takde. Mustahil la orang ambil, sebab takde siapa pun balik masa tu, pintu pun masih tertutup dan berkunci,” panjang lebar Kak Eja bercerita.

Memang pelik cara duitnya hilang.

“Akak syak semua ni toyol punya kerja. Akak dah ikhtiar macam-macam. Hingga sekarang akak dah panggil 3 orang ustaz untuk tengokkan masalah akak, tapi masih sama juga. Kalau berhenti pun sekejap je, lepas tu jadi balik. Ada yang suruh bakar paku di laman rumah untuk halau toyol-toyol tu, pun takde apa-apa kesan. Yang terbaru akak minta tolong Abang Mat yang tinggal seberang jalan sana. Abang Mat ada la sikit-sikit ilmu merawat, tapi Abang Mat pulak dia kacau. Dia sembunyikan cermin mata Abang Mat. Tapi bila Abang Mat dah surrender dan tak sanggup teruskan ikhtiarnya, tiba-tiba cermin matanya dapat balik, elok je terletak atas meja dalam bilik tidur Abang Mat,” tersengih-sengih Kak Eja bila cerita pasal Abang Mat. Saya pun tumpang tersengih sama. Sekarang ni nak beli cermin mata yang elok bukannya murah. Kesian Abang Mat.

“Pernah satu hari, anak akak nampak macam budak kecik dalam bilik, tinggi dalam 2 kaki, tubuhnya kehijauan. Anak akak nampak sekejap je sebab makhluk macam budak kecik tu hilang macam tu je.”

“Kalau begitu, memang toyol punya kerja la kot. Pelik sangat cara duit tu hilang. Lagipun anak akak yang nampak sendiri toyol tu,” saya pula mengulas.

“Jadi itulah tujuan akak nak jumpa Zul ni, sebab Kak Mah cakap Zul ada juga merawat orang, jadi alang-alang Zul dah ada kat kampung ni, mungkin Zul boleh tolong tengok-tengokkan sekali masalah akak dengan si budak toyol ni. Sekarang ni kalau akak keluarkan duit dari bank pun hanya cukup untuk belanja harian, tak berani nak keluarkan lebih.”

“Saya ni takde la merawat orang jugak kak, setakat tolong sikit-sikit sedara mara dan kawan-kawan boleh la kak. InsyaAllah saya cuba ikhtiarkan.”

“Rumah ni ada berapa bilik kak.”

“Ada 4 bilik Zul, yang depan ni satu, sebelah ni satu, dan dua lagi sebelah sana,” Kak Eja menerangkan sambil menunjuk ke arah yang dimaksudkan.

Saya pandang bilik-bilik itu satu persatu. Tanpa kata-kata, hanya di dalam hati, saya sampaikan amaran kepada toyol-toyol, “aku bagi korang tempoh 5 minit je untuk korang keluar dari rumah ni dan jangan ada niat untuk kembali. Selepas 5 minit, yang mana masih ada di sini, aku akan isytiharkan perang.”

Menunggu masa 5 minit habis, sempatlah saya menikmati apa yang terhidang atas meja sambil sambung berbual dengan Kak Eja dan suaminya. Nikmatnya… walaupun cuma biskut tawar cicah air teh. Ye lah, rumah orang memang semua sedap kan? 😊

Selepas habis tempoh 5 minit… dah berpuluh minit pun sebenarnya, saya ketuk-ketukkan jari telunjuk saya di tempat letak tangan kusyen yang saya duduk, dengan niat memusnahkan semua makhluk halus, tak kiralah jin ke toyol ke… jika ada yang masih berdegil dan tak keluar dari rumah Kak Eja.

Saya minta air dengan Kak Eja untuk dibuat air penawar. Dia ambil sebotol air mineral 1.5 liter dan berikan kepada saya. Selesai buat air penawar, saya serahkan kembali kepada Kak Eja dengan manual penggunaannya sekali, tapi manualnya hanya secara lisan je lah. Yang Kak Eja dan suaminya tahu ikhtiar saya melalui air itu je lah, yang ketuk-ketuk jari telunjuk tu mereka tak perasanpun.

Memandangkan malam semakin larut, saya dan Kak Mah meminta diri untuk pulang. Dalam perjalanan pulang, Kak Mah bertanya kepada saya, “Zul, sederet dengan rumah Eja tadi ada beberapa buah rumah, tapi kenapa toyol tu hanya curi duit di rumah Eja je, kenapa rumah-rumah lain toyol tak pergi?”

Saya faham persoalan yang bermain dalam fikiran Kak Mah. Rumah-rumah bersebelahan bersambung pagar dengan rumah Kak Eja, tapi kenapa toyol tidak jadikan jiran-jiran Kak Eja sebagai sasaran mereka? Saya ada teori sendiri, yang pada masa itu saya belum dapat buktikan sebab saya sendiri tak tahu latar belakang keluarga dan keturunan Kak Eja.

Saya cuba mendapatkan maklumat untuk membuktikan teori saya adalah benar… dan perbualan saya dengan emak saya telah membongkar dan memberikan jawapan kepada persoalan Kak Mah berkenaan ‘kenapa hanya rumah Kak Eja yang jadi sasaran toyol?’

———————-

Setelah pulang dari rumah Kak Eja, itulah persoalan yang ditimbulkan oleh Kak Mah. Kenapa hanya rumah Kak Eja yang menjadi sasaran toyol kurang asam tu, sedangkan rumah-rumah berhampiran tidak diusik? Berdasarkan pengalaman saya handle beberapa kes terdahulu, walaupun kes-kes tersebut tidak melibatkan toyol, tapi konsepnya sama bila melibatkan gangguan jin, kerana toyol juga adalah spesis jin. Teori saya ialah, saya pasti keluarga Kak Eja, mungkin peringkat ibu bapa, mungkin juga peringkat tok nenek moyang Kak Eja ada sejarah gangguan makhluk halus, atau dengan kata lain, Kak Eja ada mewarisi saka dari generasi terdahulu. Jin saka akan membuka laluan untuk gangguan yang lain datang, termasuklah si toyol yang selalu mencuri duit Kak Eja itu.

Walaupun rumah arwah ibu bapa Kak Eja berjiran dengan rumah ibu bapa saya, malah arwah bapa saya adalah kawan baik dengan arwah bapa Kak Eja, tapi tak banyak yang saya tahu tentang arwah bapa Kak Eja. Ye lah, kalau betul pun, siapa pulak yang saja-saja nak hebohkan kepada orang kampung yang dia ada saka? Memandangkan tak banyak yang saya tahu tentang latarbelakang keturunan Kak Eja, teori saya kekal sebagai teori, sehinggalah berlakunya satu insiden…

……………….

Selepas beberapa hari di kampung, saya pulang semula ke KL. Lebih sebulan kemudian, melalui whatsapp, Kak Eja beritahu kepada saya bahawa sejak saya pergi ke rumahnya tempoh hari, sudah tiada kelibat si toyol, dan duitnya pun dah tak hilang. Tapi katanya ada satu gerai makan tak jauh dari rumahnya selalu berlaku kehilangan duit. Peniaga kedai tu namanya Budin. Kes yang berlaku pada Budin lebih agresif dari kes Kak Eja. Duit hasil jualan yang Budin simpan dalam laci meja di kedai tak payah cakaplah, asyik lesap aje, tapi yang paling aneh, duit yang diletak dalam sampul dan diletak sekejap pun boleh hilang, walaupun sampul itu masih dalam pandangan Budin. Kak Eja minta izin untuk berikan nombor telefon saya kepada Budin, tapi sampai sekarang Budin tak pernah hubungi saya. Mungkin Kak Eja lupa nak bagi atau Budin dah ada minta tolong mana-mana perawat. Apa-apa pun semoga masalah Budin selesai. Kesian dia, duit penat lelah berniaga seharian hilang macam tu aje.

Lebih kurang dua bulan selepas itu, toyol kembali beraksi. Masa itu Kak Eja pergi ke rumah kakaknya iaitu Kak Nor dan rumah adiknya Adi yang terletak di negeri yang sama tapi daerah yang berlainan. Sepulangnya Kak Eja ke rumahnya, kedua-dua rumah iaitu rumah Kak Nor dan rumah Adi berlaku kehilangan duit. Pada mulanya Kak Nor risau nak bagitau Kak Eja yang duitnya hilang, sebab takut nanti Kak Eja ingat Kak Nor tuduh dia pulak yang curi. Tapi sewaktu dalam perjalanan pulang, duit Kak Eja sendiri pun hilang walaupun duit tu diletak di dalam poket. Jadi Kak Eja tergerak hati untuk bertanya kepada Kak Nor dan Adi sama ada mereka pun ada kehilangan duit. Dari situlah Kak Eja pasti… ni mesti kerja si toyol. Nasib baik Kak Nor dan Adi percaya dan memahami apa yang sedang berlaku.

Kebetulan pula dalam beberapa hari lagi saya akan pulang ke kampung, jadi Kak Nor pula menjemput saya pergi ke rumahnya kerana risau kejadian duit hilang tu berulang. Mana lah tahu kot-kot toyol tu dah berpindah ke rumahnya pulak.

Sampai masanya saya pulang ke kampung, saya penuhi jemputan Kak Nor. Suami Kak Nor peramah orangnya. Kak Nor ada beberapa orang anak, tak ingat pulak saya berapa orang, tapi sewaktu saya pergi ke rumahnya, ada seorang anak perempuannya yang dipanggil Angah duduk sekali dalam perbualan kami. Angah baru je habis periksa SPM dan sedang menunggu tawaran ke kolej.

“Kak Eja ada ceritakan pasal rumahnya dimasuki toyol. Zul rasa kat rumah akak ni toyol punya kerja jugak ke?” Kak Nor menyuarakan kerisauannya.

“Sebelum ni pernah ke berlaku macam ni kak?”

“Tak pernah pulak.”

“Mmm… mungkin toyol tu ikut Kak Eja datang sini agaknya.”

“Zul boleh tolong ikhtiarkan ke? Risaulah akak.”

“InsyaAllah kak. Tapi kalau sebelum ni tak pernah berlaku kejadian macam ni, saya rasa lepas ni insyaAllah tak akan berlaku lagi. Apa-apa pun saya akan tengokkan nanti ya.” Saya memujuk hati Kak Nor dan keluarganya. Angah menadah telinga, mendengar dengan penuh minat.

“Pakcik Zul, boleh saya tanya sesuatu?” Angah pula bersuara.

“Apa dia Ngah?”

“Macam ni, ni tentang abang saya, Along. Dia ni kalau pergi mana-mana je boleh nampak hantu. Kenapa jadi macam tu ya?”

Masa tu Along tiada di rumah kerana bekerja. Umur Along sekitar tengah 20-an.

“Tu tanda jelas adanya gangguan jin pada Along.”

“Oh, ye ke. Kalau macam tu kena berubat la ya?”

“Ya Angah. Kalau tak berubat, nanti jin tu turun pulak ke anak cucu. Dalam keluarga ni, Along sorang je ke yang selalu nampak hantu tu?”

“Ye pakcik, dalam adik beradik kami Along sorang je. Tapi sepupu kami, anak pakcik Adi pun ada yang boleh nampak.”

Semakin jelas kepada saya. Anak Kak Nor ada seorang yang hijab terbuka. Anak Adi pun ada yang hijab terbuka, dan Kak Eja sendiri pernah bagitau yang salah seorang anak dia ada nampak toyol di rumahnya, bermakna anak Kak Eja pun ada yang hijab terbuka. Hijab terbuka adalah tanda jelas wujudnya gangguan jin, dan dalam kes Kak Eja dan adik beradiknya, gangguan yang ada pada mereka adalah jenis saka warisan.

Dengan Kak Nor, Angah dan suaminya, saya tak sebutpun tentang saka tu, kerana saya tahu tak semua orang boleh terima yang keluarga mereka mempunyai saka.

“Kalau macam tu, saya cadangkan Kak Nor bawak Along pergi berubat dengan mana-mana ustaz. Kalau boleh bagitau Adi supaya bawak anak dia yang terbuka hijab tu untuk berubat sama. Saya risau perkara macam ni kalau dibiarkan lama-lama akan mendatangkan lagi banyak mudarat kepada mereka.”

“Baiklah Zul, insyaAllah nanti akak akan usahakan. Nanti kalau apa-apa akak boleh tanya Zul kan?”

“Boleh kak.”

……………….

Masih di kampung, petang itu saya berborak santai sambil makan pisang goreng dan teh O dengan emak di tangga rumah. Melalui Kak Mah, emak saya juga tahu dan mengikuti apa yang berlaku pada Kak Eja dan keluarganya.

“Macamana keadaan Eja sekarang Zul?” Emak bertanya.

“Hari tu berlaku lagi mak. Dengan Kak Nor dan Adi sekali kena.”

“Kenapa susah nak hilang gangguan toyol tu ya? Dah ramai ustaz yang Eja panggil. Dia sendiri pun ada banyak kali buat solat hajat, tapi macam tu je jugak, kalau hilang gangguan tu pun sekejap je, lepas tu jadi balik.”

“Keluarga mereka ada saka mak. Hari tu saya pergi rumah Kak Nor, barulah saya tahu rupanya anak-anak Kak Nor, Kak Eja dan Adi semuanya ada yang hijab terbuka. Jadi mereka semua dah ada laluan makhluk halus, sebab tu apa saja gangguan senang nak jadi, termasuklah kes toyol tu. Tak tau lah saka mereka tu turun dari sebelah mana. Arwah Pak Din, ayah mereka tu dulu tok bilal surau, guru Quran pulak tu, susah juga nak percaya kalau dia ada saka. Tak tau lah kalau benda tu turun melalui arwah Mak Aji.” Arwah Mak Aji adalah mak kepada Kak Eja, Kak Nor dan Adi.

“Baru mak teringat. Dulu, Esah menantu arwah Mak Aji selalu datang rumah kita berbual dengan mak. Dia pernah cerita kat mak, ada sekali tu pada waktu tengah malam, Esah keluar dari bilik nak ke dapur sebab dahaga. Lepas minum, waktu nak masuk semula ke bilik tidurnya, dia terserempak dengan Mak Aji yang baru keluar dari biliknya. Esah terkejut tengok Mak Aji, sebab masa tu Mak Aji nampak muda dan cantik sangat, langsung berbeza dengan rupa Mak Aji yang dah tua dan kulit berkedut di sana sini.”

Saya diam mendengarkan cerita mak. Akhirnya saya faham, dan betullah seperti apa yang saya fikirkan.

“Jika betul arwah Mak Aji ada mengamalkan apa-apa ilmu yang tak selari dengan syariat, kita doakanlah agar Allah ampuni dosa-dosanya.”

“Eloknya macam tu lah Zul, kita pun tak tau lagi apa nasib kita di sana nanti.”

……………….

Dah beberapa tahun peristiwa itu berlaku. Dari Kak Mah saya tahu, rumah Kak Nor dan rumah Adi tiada kejadian hilang duit berulang lagi. Sementara itu, selepas beberapa bulan tiada kes toyol mencuri duit di rumah Kak Eja, kejadian itu berulang kembali. Toyol kembali mengganas. Kak Eja pun dah lama tak hubungi saya. Saya pernah berpesan kepadanya dulu, kalau berlaku lagi beritahu lah kepada saya untuk saya ikhtiarkan. Bergantung kepada kes, tapi kebiasaannya untuk kes gangguan yang dah lama berlarutan memang akan mengambil masa untuk ianya betul-betul berhenti atau pulih. Bila ikhtiar dilakukan untuk kali pertama dan ada perkembangan positif, sepatutnya bila berlaku lagi, ianya perlu segera ditangani untuk mengelakkan ia kembali bertapak. Lama-lama insyaAllah gangguan tu akan makin jarang dan akhirnya akan pulih.

Mungkin Kak Eja lupa pesan saya. Mungkin juga dia segan nak minta tolong lagi. Apa-apapun doa saya agar Kak Eja sentiasa dalam perlindungan-Nya dan masalah gangguan toyol yang berlaku dapat dipulihkan.

Wallahua’lam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Dzul Fiqar

1 thought on “TOYOL”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.