RUMAH SEWA PUAKA
Bahagian 1: Rumah Baru
Nama aku Faris. Kalau ikut perangai, aku bukanlah jenis takut sangat dengan benda bukan-bukan, tapi aku tetap percaya setiap tempat ada cerita dia sendiri. Masa kami semua dapat sambung belajar di politeknik, kami sepakat menyewa sebuah rumah flat di Blok G, Tingkat 3, nombor 8.
Rumah itu dekat sangat dengan kampus. Jalan kaki lima minit pun dah sampai.
Ahli rumah kami lapan orang. Aku, Risky, Fitri, Afzal, Amir, Irfan, Fahrin dan Shahirul.
Masing-masing perangai lain macam. Risky memang banyak pengalaman pasal benda mistik.
Fitri pula lembut dan paling penakut. Afzal badan besar, berani dan kuat. Amir pula jenis suka mencarut, mulut memang laser walaupun hati baik. Irfan seorang atlet, berani ikut keadaan. Fahrin memang kepala paling berani dalam geng kami. Shahirul pula rileks, jenis cool dan tak mudah panik.
Hari pertama kami masuk rumah, semuanya nampak biasa. Cat rumah dah lusuh, lantai mozek banyak rekah dan bau rumah macam dah lama tak berpenghuni. Masa angkut barang, Amir sempat berseloroh.
“Wei, kalau ada hantu pun, suruh dia tolong angkat peti ais. Berat gila ni.”
Kami semua gelak. Cuma Risky diam memandang ke arah bilik paling hujung. Dia cakap perlahan, “Aku rasa rumah ni pelik.”Aku tepuk bahu dia. “Hang jangan mula dah.”
Malam pertama berlalu tenang. Kami sembang sampai lewat malam, makan mi segera dan gelak sakan. Namun sekitar jam dua pagi, aku terjaga sebab bunyi kerusi diseret dari ruang tamu. Aku ingat Amir tengah cari makanan. Bila aku keluar, ruang tamu kosong. Kerusi semuanya tersusun elok. Masa nak masuk bilik semula, aku nampak pintu stor terbuka sendiri perlahan-lahan.
Esoknya aku tanya yang lain. Semua kata tak keluar bilik malam tadi. Risky terus berubah muka. “Aku dah cakap semalam. Rumah ni ada benda.” Petang itu kami mengemas stor. Stor penuh dengan habuk dan barang lama. Di sudut paling
belakang ada sebuah kotak kayu yang berkunci. Afzal pecahkan mangga dengan tukul.
Dalam kotak itu ada gambar lama sebuah keluarga, beberapa batang lilin hitam dan
sekeping papan kayu yang penuh huruf. Fitri terus bersuara perlahan. “Weh… ni macam papan Ouija…”
Amir ketawa. “Fuh… syok ni. Malam karang kita try.”
Risky terus merampas papan itu. “Jangan. Benda ni bukan main-main.”
Fahrin hanya tersenyum sinis. “Ala… kalau betul ada hantu, mai la. Aku nak tengok sangat.”
Entah kenapa, sejak papan itu dibuka, rumah terasa semakin sejuk walaupun kipas belum dipasang. Dari tingkap dapur, aku rasa macam ada seseorang sedang memerhati kami dari blok bertentangan.
Bila aku pandang betul-betul… tiada sesiapa. Malam itu, tanpa kami sedar, sesuatu sudah mula menunggu.
Bahagian 2: Jangan Main
Malam itu hujan turun renyai. Angin dari tingkap ruang tamu membuatkan langsir bergerak perlahan. Kami berlapan duduk melingkar di atas lantai. Di tengah-tengah, papan Ouija yang kami jumpa siang tadi diletakkan bersama sebatang lilin.
“Aku cakap awal-awal, jangan main,” kata Risky dengan wajah serius.
Amir menjeling. “Alah, hang ni. Cuba sekali ja.”
Fahrin terus duduk paling depan. “Kalau takut, jangan sentuh.”
Aku sebenarnya berani, tetapi entah kenapa dada terasa berat. Fitri pula sudah beberapa kali mengajak kami berhenti. “Faris… aku rasa tak sedap hati.”
Aku mengangguk perlahan, namun rasa ingin tahu mengatasi segala-galanya.
Kami meletakkan jari di atas penunjuk papan itu. “Kalau ada sesiapa di sini… tunjukkan diri.”
Beberapa saat berlalu. Tiada apa-apa. Amir tergelak besar. “Tengok… hampeh ja.”
Belum sempat dia habis bercakap, penunjuk itu bergerak sendiri. Perlahan. Sangat perlahan. Semua tangan masih menyentuhnya.
Fitri terus menarik tangan. “Wallahi… aku tak tolak!”
Risky terus bangun. “Jangan berhenti separuh jalan! Siapa yang mula, kena tamatkan betul-betul.”
Belum sempat dia menerangkan, semua lampu rumah terpadam serentak. Gelap. Hanya cahaya lilin menyala di tengah ruang tamu. Kemudian kedengaran bunyi ketukan dari bilik hujung. Tok… Tok… Tok…
Afzal mencapai batang penyapu. “Siapa dalam bilik tu?”
Tiada jawapan. Aku, Afzal dan Fahrin berjalan ke arah pintu. Semakin hampir, bunyi
ketukan semakin kuat sehingga bertukar seperti orang menghentak kepala pada dinding.
Pintu dibuka. Kosong. Tetapi dinding bilik dipenuhi kesan tapak tangan hitam yang basah. Saat kami berpaling semula ke ruang tamu, Fitri menjerit sekuat hati. Di belakang Amir berdiri seorang wanita berambut panjang, wajahnya terlindung, pakaiannya lusuh dan basah.
Amir tidak sedar apa-apa. Aku menjerit menyuruhnya lari. Sebaik Amir berpusing… Kelibat itu hilang. Seluruh rumah kembali sunyi.
Risky memandang kami seorang demi seorang. “Aku dah agak. Kita dah panggil benda yang tak patut.” Tiada siapa bersuara lagi malam itu. Tepat jam 3.08 pagi, telefon kami semua berbunyi serentak. Skrin hanya memaparkan satu
ayat:
‘AKU DAH BALIK RUMAH.’
Bahagian 3: Penunggu Rumah
Sejak malam permainan Ouija itu, rumah sewa kami langsung tidak pernah sunyi. Setiap malam pasti ada bunyi orang berjalan di koridor, sedangkan apabila pintu dibuka, koridor kosong. Fitri semakin pucat. Dia tidur berlampu setiap malam.
Keesokan harinya, Risky mengajak aku dan Fahrin berjumpa seorang pak cik yang menjaga surau berhampiran flat. Selepas mendengar cerita kami, pak cik itu hanya menggeleng. “Rumah nombor lapan tu dah lama kosong. Dulu pernah berlaku pembunuhan. Seorang wanita dibunuh oleh suaminya sendiri. Mayatnya disorok dalam stor sebelum suami itu membunuh diri.”
Darah aku terasa berderau. Stor… tempat kami jumpa papan Ouija. Malam itu, Amir masih cuba berlagak berani. “Ala, cerita orang lama ja.” Belum sempat dia menghabiskan ayat, televisyen hidup sendiri. Skrinnya dipenuhi gangguan sebelum memaparkan wajah seorang wanita yang sedang menangis. Tangisannya kedengaran jelas walaupun kabel televisyen sudah lama dicabut.
“F**k… apa benda ni?” Amir terus melatah.
Lampu berkelip-kelip. Bau hanyir memenuhi ruang tamu. Dari dapur pula kedengaran
bunyi orang mengasah pisau. Afzal mencapai batang besi lalu menuju ke dapur. Kami mengikut dari belakang. Kosong. Tetapi di atas lantai, muncul kesan tapak kaki basah menuju ke stor.
Pintu stor terbuka perlahan. Di dalam gelap itu, kami nampak seorang wanita berdiri
membelakangi kami. Rambutnya panjang hingga mencecah lantai. Fahrin melangkah ke depan. “Siapa hang?”
Wanita itu memusingkan kepalanya perlahan-lahan. Lehernya berbunyi seolah-olah tulang
sedang patah satu demi satu. Wajahnya hancur, kedua-dua matanya hitam pekat.
Fitri menjerit lalu pengsan.
Afzal cuba menarik Fahrin, tetapi makhluk itu menghilang sebelum muncul betul-betul di
belakang Amir.
Jeritan Amir bergema memenuhi rumah. Apabila kami berpaling, tubuh Amir dihempas
kuat ke dinding tanpa disentuh sesiapa. Darah mengalir dari hidungnya. Dia masih hidup,
namun hanya mampu menyebut satu ayat.
“Dia kata… kita semua tak boleh keluar…”
Saat itu kami sedar. Bukan rumah itu yang kami sewa. Tetapi rumah itu yang sudah
memiliki kami.
Bahagian 4: Dia Muncul
Malam itu, seluruh rumah kembali sunyi. Terlalu sunyi sehingga bunyi nafas sendiri
kedengaran seperti orang sedang berdiri betul-betul di belakang. Aku memandang seorang demi
seorang. Wajah mereka pucat, mata merah kerana tidak tidur. Amir yang cedera hanya
bersandar di dinding sambil menggigil. Risky pula menggenggam erat papan Ouija yang sudah
retak.
“Aku rasa… benda ni belum habis,” katanya perlahan.
Belum sempat aku membalas, semua pintu rumah tertutup sendiri dengan dentuman yang
kuat. Lampu terpadam. Dalam kegelapan itu, kedengaran suara wanita ketawa perlahan, seolah-
olah berada di setiap sudut rumah.
Kemudian, telefon kami berbunyi serentak. Satu demi satu skrin menyala.
MESEJ TELEFON:
“JANGAN KELUAR.”
Afzal terus menerjah pintu utama. Dia menarik tombol sekuat hati, tetapi pintu itu langsung
tidak berganjak. Fahrin membantu menendang berkali-kali sehingga kayu pintu retak, namun
di sebalik rekahan itu bukan lagi koridor flat.
Yang kelihatan hanyalah lorong panjang yang gelap, dipenuhi pintu-pintu lama yang tidak
berpenghuni.
“Habis… kita dekat mana ni?” bisik Fitri dengan suara yang hampir hilang.
Saat itulah kami terdengar bunyi tapak kaki menghampiri dari hujung lorong. Perlahan.
Berat. Seolah-olah seseorang sedang mengheret sesuatu di atas lantai.
Risky menoleh ke arah kami sambil menelan air liur. “Jangan pandang belakang…”
Aku sempat mengerutkan dahi sebelum terasa hembusan nafas yang sejuk menyentuh
tengkuk. Suara wanita itu berbisik tepat di telinga aku.
“Sekarang… giliran hang pula.”
BERSAMBUNG… :-