Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

Malam Terakhir Di Hutan Simpan

Aku Ikmal. Kisah ini bukan pengalaman aku sendiri, tapi pengakuan abang aku, Akmal, seorang anggota tentera yang sudah lebih sepuluh tahun berkhidmat. Selama ini dia simpan sorang-sorang, tidak diceritakan pun kepada mak ayah kami, apatah lagi kepada jiran-jiran yang suka bertanya pasal kerja tentera. Aku yang mendesaknya bercerita, sebab aku tahu setiap kali balik dari latihan hutan, mata abang aku akan berubah. Bukan takut, tapi seperti menyimpan sesuatu yang berat di dada. Malam itu, selepas kami makan bersama, barulah dia mula bercerita, dengan nada suara yang perlahan seolah dia sendiri masih tidak percaya benda itu pernah terjadi padanya.

Tahun 2016, unit abang aku ditugaskan menjalani latihan bertahan hidup di dalam hutan simpan yang letaknya jauh dari mana-mana kampung. Kata abang aku, hutan itu tebal, pokok-pokoknya tinggi menjulang sampai cahaya matahari pun payah nak menembusi bumi. Bunyi unggas dan cengkerik memang biasa, tapi katanya, ada satu jenis sunyi yang tidak boleh dijelaskan dengan kata-kata sunyi yang membuatkan bulu roma berdiri walaupun tiada apa yang berlaku.

Petang itu, seperti biasa, semua anggota bersiap mendirikan khemah. Abang aku bersama beberapa rakan diarah mengumpul ranting dan kayu kering untuk unggun api malam itu. Kerja itu bukan senang, sebab kena berjalan agak jauh masuk ke dalam untuk mencari kayu yang tidak lembap. Menjelang malam, apabila semua sudah siap, unggun api dinyalakan dan anggota-anggota mula berkumpul, ada yang berehat, ada yang bersembang, ada yang sudah tidur kelelahan.

Abang aku pula duduk di luar khemahnya bersama dua orang rakan rapat, Husaini dan Felix. Felix ini berasal dari Sabah, orangnya besar tapi peramah, suka gelak kuat sampai boleh kejut orang tidur. Malam itu mereka bertiga bersembang panjang, cerita pasal kampung masing-masing, cerita pasal latihan dulu-dulu, sampailah cerita hantu pun keluar sikit-sikit biasalah, di dalam hutan, cerita begitu memang jadi santapan wajib.

“Korang tahu tak,” kata Husaini sambil menyodok bara api dengan ranting, “dulu ada anggota kata dia nampak kelibat perempuan berbaju putih dekat kem lama. Tapi lepas tu dia kata dia sendiri tak pasti, mungkin dia yang mengantuk sangat.”

Felix ketawa besar. “Kalau aku nampak, aku terus lari. Tak payah tunggu confirm dulu.”

Abang aku hanya tersengih mendengar, sambil menahan gelak. Sedang mereka bersembang, tiba-tiba abang aku rasa perutnya bergolak, macam kencing yang tertahan sejak petang tadi. Dia bangun dan memberitahu Husaini dan Felix yang dia hendak ke belakang sekejap. Tidak jauh dari khemah ada beberapa batang pokok besar, agak gelap kerana jauh dari cahaya unggun api, tapi cukuplah untuk seorang lelaki menunaikan hajat kecil.

Sampai di situ, abang aku terus buka seluar dan kencing di pangkal salah satu pokok. Dalam gelap itu, matanya terarah lurus ke hadapan, tanpa sengaja, dan di situlah dia nampak sesuatu yang membuatkan jantungnya berdegup seketika lebih laju.

Kata abang aku, jauh sedikit dari situ, di celah dua batang pokok besar, berdiri seorang perempuan. Rambutnya panjang, terurai sampai ke pinggang, memakai baju yang nampak lusuh dan kotor seperti sudah lama tidak diganti. Perempuan itu membelakanginya, pegun tidak bergerak, seolah sedang memerhati sesuatu di hadapannya yang tidak kelihatan oleh abang aku.

“Aku terus tahu, itu bukan manusia,” kata abang aku semasa bercerita padaku. “Tak dak sesiapa pun anggota perempuan dalam misi tu. Tak dak jalan pun perempuan boleh masuk sejauh tu tengah malam buta, sorang-sorang, tak bawak apa-apa.”

Tapi anehnya, kata abang aku, dia tidak lari. Tidak juga menjerit. Dia siapkan seluarnya perlahan-lahan, macam biasa, matanya masih memandang bayang perempuan itu dari hujung mata. Perempuan itu tidak bergerak langsung, hanya berdiri, seperti patung yang diletakkan orang di tengah hutan. Abang aku berkata, dia sudah terlalu biasa dengan cerita-cerita begini daripada anggota senior yang sudah lama berkhidmat. Kata mereka, kalau berjumpa perkara pelik di dalam hutan semasa latihan, jangan tunjuk takut, jangan buat perkara yang menarik perhatiannya, teruskan sahaja apa yang sedang dibuat.

Maka abang aku berjalan balik ke unggun api dengan langkah biasa, seolah tiada apa yang berlaku. Sampai di situ, Husaini dan Felix masih lagi bersembang, tidak sedar pun abang aku sudah nampak sesuatu yang menggerunkan. Abang aku terus duduk semula, menyambung cerita yang tergantung tadi, ketawa bersama seperti biasa walaupun dalam hatinya, degupan jantungnya masih tidak stabil.

Esoknya, barulah abang aku bercerita kepada Husaini dan Felix apa yang dilihatnya malam tadi. Kedua-dua mereka terkejut besar, sampai Felix menepuk bahu abang aku berkali-kali.

“Hang gila ke apa, Akmal? Nampak macam tu, hang buleh je sambung cerita balik? Kalau aku confirm dah lari masuk khemah!” kata Felix, matanya terbeliak tidak percaya.

Husaini pula hanya menggeleng-geleng kepala. “Berani betul hang. Aku ingat lagi malam tu hang cakap biasa je, tak dak tanda-tanda apa-apa.”

Abang aku hanya tersenyum sahaja mendengar kata-kata mereka. Katanya, bukan dia berani sangat, cuma dia sudah masak dengan gangguan begitu sudah banyak kali dia mendengar bunyi-bunyi ganjil, sudah banyak kali dia terpandang bayang-bayang yang tidak sepatutnya ada di dalam hutan sepanjang tugasnya. Lama-kelamaan, dia belajar untuk berdiam diri dan tidak melayan.

Itulah kisah yang diceritakan abang aku padaku malam itu, dan sampai sekarang aku masih teringat wajahnya semasa bercerita tenang, tapi ada sesuatu di sebalik matanya yang tidak dapat aku terangkan. Ada banyak lagi kisah abang aku semasa dalam tugas yang belum diceritakannya penuh padaku. Mungkin kelak, apabila dia bersedia, aku akan kongsikan lagi.

Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram