7 hari selepas kematian
Salam FS. Saya adalah pembaca setia FS. Setelah sekian lama menjadi pembaca, baru sekarang terdetik untuk berkongsi satu pengalaman yang seram berlaku sekitar tahun 2012. Kejadian ini berlaku selepas kematian ayah mertua saya di sebuah kampung di Papar, Sabah. Majoriti penduduk kampung ini berbangsa Kadazan
Dalam adat masyarakat Kadazan, selepas berlaku kematian, ahli keluarga dan sahabat handai berjaga selama 7 hari selepas hari kematian kerana menurut kepercayaan mereka, dalam masa 7 hari tersebut, roh si mati masih berlegar-legar di sekitar ahli keluarga. Sepanjang 7 hari itu juga, semua bentuk hiburan tidak dibenarkan termasuk TV.
Pada hari ke 7, seluruh ahli keluarga dan sahabat handai akan berkumpul di rumah, memadamkan semua lampu dan berada dalam keadaan senyap selama sejam untuk menunggu tanda-tanda kehadiran si mati. Selepas 7 hari barulah roh si mati dikatakan akan melangkah ke alam seterusnya.
Kejadian ini berlaku pada malam ke 3 selepas kematian ayah mertua saya. Pada masa ini, semua TV telah dipadamkan dan plag TV dicabut bagi mengelakkan TV dipasang oleh anak-anak. Kami bergilir-gilir untuk berjaga. Ada yang berada di ruang tamu, ada yang berada di meja makan
Pada malam pertama dan kedua, tiada apa-apa yang berlaku. Pada malam ke-3 barulah berlaku kejadian yang menyeramkan.
Kejadian pertama berlaku lebih kurang pukul 1 pagi. Pada masa ini, saya sedang berehat di bilik. Bilik saya berhadapan dengan meja makan. Maksudnya buka sahaja pintu bilik akan terus nampak meja makan. Dalam bilik ada TV yang sudah dicabut plag. Anak2 semuanya sedang tidur di hadapan TV di bilik saya. Pada masa ini, yang berada di meja makan adalah makcik saya, ibu mertua saya, dan abang ipar saya. Bagi mengisi masa yang terluang sementara menunggu giliran orang lain, mereka bermain daun terup sambil minum kopi.
Sedang mereka sedang khusyuk bermain daun terup, makcik saya tersentak kerana terpandang sesuatu di luar tingkap dapur. Dalam samar2 lampu di luar, dia ternampak satu susuk tubuh yang gelap sedang memandang ke arah mereka. Makcik saya hanya mendiamkan diri kerana memang sudah akan menjangkan perkara ini akan berlaku. Dia meneruskan permainan bersama ibu mertua dan abang ipar saya. Dia tidak memberitahu mereka berdua kerana risau mereka akan takut.
Kejadian ke-2 berlaku semasa giliran saya yang berjaga. Lebih kurang pukul 3 pagi, makcik dan ibu mertua saya tidur. Saya, isteri dan adik ipar saya mengambil giliran untuk berjaga. Kami duduk di sekeliling meja makan sambil minum kopi. Sambil2 minum kopi, kami bercerita dan bermain daun terup.
Tidak berapa lama kemudian, kami terdengar bunyi statik TV yang dipasang. Kami berpandangan sesama sendiri. Kami berpaling dan menjenguk ke dalam bilik. TV di dalam bilik terpasang dengan statik pada skrin TV tersebut.
Pada mulanya, kami beranggapan kemungkinan ada anak2 yang terbangun dan nak menonton TV. Tapi bila saya periksa dalam bilik, semua anak2 masih tidur. Saya terpegun seketika. TV masih lagi terpasang. Kemudian saya terpandang sesuatu. Plag TV masih tercabut dan tidak bersambung pada soket. Maksudnya, mustahil TV itu akan terpasang sendiri kerana tiada sumber elektrik. Saya cepat-cepat keluar dari bilik dan terus memberitahu isteri dan adik ipar saya apa yang saya nampak.
Tidak lama kemudian TV tersebut tertutup sendiri. Dengan perasaan yang takut, kami berpura-pura tidak nampak apa yang berlaku dan terus berada di meja makan.
Keesokan harinya kami menceritakan apa yang berlaku kepada ahli keluarga yang lain.
Barulah makcik saya memberitahu apa dia nampak di luar dapur. Isteri saya percaya bahawa mendiang bapa mertua saya yang menghidupkan TV di bilik kerana bapa mertua saya hanya pandai menghidupkan TV tetapi tidak pandai menukar saluran TV semasa hidup dan dia sentiasa menyuruh orang lain untuk menukar saluran TV.