Kisah Saiful
Assalamualaikum dan salam Sejahtera. Aku Maisara.
Antara cerita yang aku pernah kongsi sebelum ini…
1. Orang Terakhir di Pejabat
2. Rumah Mak Mentua
3. Homestay
4. Bilik 307
5. Pemandu Grab
6. Penumpang
7. Media Sosial
8. Pakcik Di Koridor
9. Panggilan Telefon
10. Maria
11. Cerita Dari Atok
12. Meja Nombor 17
13. Cerita Dari Paklong di Hillview
14. Jiran Bernama Razak
15. Kampung Sebelah
16. Lelaki Itu
17. Karaoke
18. Aina Dah Balik
19. Jangan Tidur Serentak
Ini cerita yang seterusnya pula.
“Dia bukan tak nampak isterinya berubah. Dia bukan tak dengar amaran orang sekeliling. Dia cuma sudah terlalu tunduk, sampai perkara yang paling pelik di depan matanya pun dia sanggup nafikan asalkan isterinya tak marah.”
Aku nak ceritakan satu kisah yang pernah diceritakan oleh ayah aku tentang salah seorang pekerjanya. Nama lelaki itu Saiful. Kisah ini bukan aku alami sendiri, tetapi berdasarkan cerita ayah aku dan apa yang Saiful sendiri pernah ceritakan kepadanya selepas rumah tangganya musnah.
Cerita ni sangat panjang ya. Aku dah cuba ringkaskan, tapi tetap panjang. Dan, tak ada unsur seram sangat, lebih kepada cerita biasa sahaja.
Pada mulanya, aku ingat kisah ini cuma kisah rumah tangga biasa. Suami terlalu sayangkan isteri, isteri kuat cemburu, kemudian berlaku pergaduhan dan akhirnya bercerai.
Tetapi semakin jauh ayah aku bercerita, semakin aku faham kenapa dia masih ingat kisah lelaki itu sampai sekarang.
Bukan sebab Saiful kehilangan isterinya. Bukan juga sebab dia bercerai selepas bertahun-tahun berkahwin. Tetapi sebab Saiful pernah menjadi seorang lelaki yang langsung tidak mampu berfikir dengan waras apabila berhadapan dengan isterinya sendiri.
Kalau orang lain menegur, dia marah. Kalau kawan menasihati, dia menjauhkan diri. Kalau bos bertanya, dia terasa hati. Kalau anak sendiri mengadu, dia menuduh anak itu mereka-reka cerita. Tetapi kalau isterinya menangis sedikit sahaja, Saiful akan terus mengalah.
Isterinya bernama Ika. Dan menurut Saiful, segala-galanya mula berubah selepas satu seminar kerja yang dihadirinya bersama beberapa orang pekerja daripada syarikat lain. Sebuah seminar yang memperkenalkannya kepada seorang perempuan bernama Hanis.
Dia langsung tidak menyangka bahawa selepas seminar itu, semangkuk nasi akan menjadi perkara paling mengerikan yang pernah disaksikannya sendiri.
———
Seminar lima hari yang menjadi punca
Menurut ayah aku, Saiful sudah bekerja di syarikat mereka selama hampir enam tahun ketika kejadian itu bermula.
Umurnya sekitar tiga puluh empat tahun. Dia sudah berkahwin dengan Ika dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun bernama Laila.
Sebelum kejadian itu, Saiful seorang pekerja yang boleh diharapkan. Dia rajin, peramah dan mudah bekerjasama. Penampilannya sentiasa kemas dan segak, dengan air muka yang manis. Jika ada masalah di pejabat, dialah antara orang pertama yang tampil menghulurkan bantuan. Waktu rehat pula, suaranyalah yang paling riuh di meja makan.
Ayah aku pernah berkata bahawa Saiful jenis pekerja yang tidak perlu disuruh dua kali.
Kalau diberikan kerja, dia siapkan. Kalau ada mesyuarat, dia bersedia. Kalau ada orang memerlukan bantuan, dia akan cuba membantu. Sebab itulah syarikat memilihnya untuk menghadiri seminar pengurusan projek selama lima hari di sebuah hotel di luar bandar.
Seminar tersebut disertai wakil daripada beberapa syarikat lain. Peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil untuk berbincang, menyiapkan tugasan dan membentangkan hasil kerja.
Dalam kumpulan Saiful, terdapat seorang perempuan bernama Hanis. Hanis cantik orangnya. Dia bergaya, berpakaian kemas dan pandai membawa diri. Cara percakapannya juga membuatkan orang mudah mesra dengannya.
Saiful sendiri mengakui bahawa Hanis memang menarik perhatian dari segi penampilan. Tetapi setakat itu sahaja. Mereka hanya berbual tentang tugasan seminar. Mereka duduk bersama peserta lain, berbincang dalam kumpulan dan bertukar pendapat ketika menyiapkan pembentangan.
Tiada hubungan sulit. Tiada janji temu berdua. Tiada mesej menggoda. Malah, Saiful tidak pernah meminta nombor Hanis untuk tujuan peribadi. Kalau mereka berhubung pun, semuanya berkaitan tugasan seminar.
Namun, sebelum Saiful berangkat, Ika sudah mula menunjukkan perangainya.
“Seminar tu lelaki perempuan sekali ke?” tanya Ika ketika Saiful sedang mengemas pakaian.
“Yalah. Ramai orang daripada syarikat lain pun datang.”
“Perempuan cantik ada?”
Saiful ketawa kecil.
“Entahlah. Abang pergi seminar, bukan pergi cari perempuan.”
Ika tidak ketawa. Dia hanya memandang suaminya.
“Abang jangan lupa abang dah ada isteri.”
Saiful berhenti melipat baju. “Kenapa pula cakap macam tu? Abang bukannya nak buat apa-apa.”
“Ika cuma ingatkan. Abang tu dah lah handsome.”
Saiful menganggap perkara itu remeh. Dia mencium dahi isterinya, kemudian berjanji akan menelefon apabila tiba di hotel.
Ika terus tersenyum.
“Abang janji jangan layan perempuan lain.”
“Yalah, sayang.”
“Janji betul-betul.”
“Ya, Ika. Abang janji.”
Aku rasa, kalau orang lain melihat situasi itu, mereka mungkin menganggap Saiful cuma seorang suami yang mahu menenangkan isterinya. Tetapi itulah permulaan perangai Saiful yang kemudian menjadi semakin melampau.
Ika bertanya, Saiful menjawab. Ika merajuk, Saiful memujuk. Ika menangis, Saiful meminta maaf. Dan yang paling pelik, semakin kerap Ika menunjukkan kecemburuan, semakin Saiful merasakan bahawa dialah yang bersalah.
———
Hanis yang langsung tidak bersalah
Saiful pulang selepas lima hari menghadiri seminar.
Pada malam pertama, semuanya kelihatan biasa. Ika menyediakan makan malam, Laila berlari mendapatkan ayahnya, dan Saiful menghabiskan masa bersama keluarga.
Selepas makan, Ika mula bertanya tentang seminar.
“Siapa satu kumpulan dengan abang?”
“Empat orang lagi.”
“Semua lelaki?”
“Tak. Ada lelaki, ada perempuan.”
“Nama perempuan tu siapa?”
Saiful menjawab sambil menonton televisyen. “Hanis. Kenapa?”
Ika terus memandangnya. “Hanis?”
“Ha. Kenapa?”
“Cantik?”
Saiful mengeluh. “Ika, abang baru balik. Tak boleh ke kita berbual benda lain?”
Wajah Ika terus berubah. “Kenapa? Ika tanya sahaja.”
“Abang tak cakap apa-apa pun.”
“Kalau dia tak cantik, kenapa abang macam susah sangat nak jawab?”
Saiful memandang isterinya, kemudian mengalah.
“Cantiklah kot. Tapi abang bukan pergi sana nak tengok perempuan.”
Ika bangun lalu masuk ke bilik. Saiful mengikutnya.
“Sayang, janganlah macam ni.”
Ika menangis sambil duduk di hujung katil.
“Ika tahu abang mesti suka perempuan macam dia. Cantik, bergaya, pandai bercakap. Ika ni apa ada?”
Saiful terus duduk di sebelahnya.
“Abang tak suka dia. Abang cuma jawab soalan sayang.”
“Tapi abang kata dia cantik.”
“Kalau abang kata dia tak cantik, nanti sayang kata abang menipu pula.”
Ika diam seketika. Kemudian dia menangis lebih kuat. Saiful terus panik.
“Dah, dah. Abang minta maaf.”
“Abang tak faham perasaan Ika.”
“Abang faham.”
“Tak! Kalau abang faham, abang takkan puji perempuan lain.”
Akhirnya, Saiful berjanji tidak akan menghubungi Hanis lagi kecuali jika benar-benar perlu untuk urusan kerja.
Malam itu, mereka tidur seperti biasa. Ika memeluknya sebelum tidur.
“Abang sayang Ika seorang sahaja, kan?”
“Ya, sayang.”
“Kalau ada perempuan lain cuba ambil abang?”
“Abang tak layan.”
“Kalau perempuan tu lebih cantik?”
Saiful mengeluh kecil, tetapi tetap menjawab. “Abang tetap pilih Ika.”
Ika tersenyum puas.
Malam itu, selepas Saiful tidur, Ika mengambil telefon suaminya yang sedang dicas di sebelah katil.
Dia tidak menjumpai apa-apa yang mencurigakan. Tiada mesej mesra, tiada gambar perempuan, tiada perbualan yang menunjukkan Saiful menjalinkan hubungan dengan sesiapa. Tetapi dia teringat nama yang disebut suaminya. Hanis.
Keesokkan harinya, Ika mencari nama company tempat Saiful menghadiri seminar melalui media sosial. Dia menemui satu hantaran berkaitan seminar tersebut. Ada gambar berkumpulan yang dimuat naik oleh penganjur.
Ika membesarkan gambar itu, mencari wajah Saiful di celah-celah peserta seminar yang lain. Matanya kemudian tertancap pada seorang perempuan yang berdiri tidak jauh daripada suaminya.
Hanis.
Memang cantik orangnya. Wajah yang manis, penampilan kemas dan bergaya. Entah kenapa, melihat perempuan itu berdiri berdekatan dengan Saiful membuatkan hati Ika terasa kurang senang. Ada sesuatu yang mencuit rasa cemburunya, meskipun dia sendiri tidak tahu mengapa.
Dalam gambar itu, mereka tidak bersentuhan mahupun berdiri terlalu rapat. Masing-masing sekadar tersenyum ke arah kamera bersama peserta seminar yang lain. Tiada apa-apa yang mencurigakan, apatah lagi yang boleh dijadikan bukti bahawa mereka mempunyai hubungan istimewa.
Namun, bagi Ika, gambar itu sudah cukup untuk menimbulkan pelbagai persoalan dalam fikirannya. Dia menyimpan gambar tersebut.
———
Apabila Saiful mula menjadi bodoh
Dua minggu selepas seminar, ayah aku mula menyedari perubahan pada Saiful. Pada mulanya, perubahan itu kecil. Saiful mula datang lewat. Kerjanya semakin lambat disiapkan. Dia kerap memandang telefon ketika mesyuarat dan akan terus menjawab setiap kali Ika menelefon.
Pernah sekali, ayah aku sedang membincangkan satu projek penting apabila telefon Saiful berbunyi. Saiful terus bangun.
“Maaf, bos. Isteri saya telefon.”
Ayah aku mengangguk.
Lima minit berlalu. Sepuluh minit berlalu. Hampir dua puluh minit kemudian, Saiful kembali.
Ayah aku bertanya, “Ada masalah?”
Saiful menggeleng. “Tak ada, bos. Ika tanya saya dekat mana.”
Ayah aku mengerutkan dahi.
“Dia tak tahu awak sedang mesyuarat?”
“Tahu.”
“Habis, kenapa telefon?”
Saiful menjawab dengan selamba. “Dia risau.”
Ayah aku tidak mahu memanjangkan perkara itu. Tetapi kejadian yang sama berulang hampir setiap hari.
Kalau Saiful keluar makan dengan rakan sekerja, Ika akan menelefon untuk bertanya siapa yang ada bersama. Kalau dia pulang lewat lima belas minit, Ika akan bertanya kenapa. Kalau ada pekerja perempuan menghantar e-mel tentang kerja, Ika akan meminta Saiful menunjukkan kandungannya. Dan yang paling tidak masuk akal, Saiful menurut semuanya.
Kamal, rakan sekerjanya, pernah menegur.
“Pul, kau ni dah kenapa? Isteri kau telefon, kau terus lari macam orang kena panggil polis.”
Saiful ketawa. “Kau tak faham. Ika risau dekat aku.”
“Risau tu satu hal. Tapi kau tengah mesyuarat.”
“Tak apalah. Benda kecil.”
Kamal menggeleng. “Kalau benda kecil, kenapa kau sampai kena keluar setiap kali dia telefon?”
Wajah Saiful terus berubah. “Kau jangan sibuk rumah tangga aku.”
Kamal terdiam.
Beberapa hari kemudian, Saiful menolak tugasan yang memerlukan dia berurusan dengan seorang pegawai wanita daripada syarikat pelanggan. Ayah aku memanggilnya ke bilik.
“Saiful, apa masalah awak dengan tugasan ni?”
“Tak ada masalah, bos.”
“Habis, kenapa awak tak mahu uruskan?”
Saiful menunduk. “Isteri saya tak suka saya selalu berurusan dengan perempuan.”
Ayah aku menghela nafas.
“Saiful, ini kerja. Awak tak buat salah.”
“Saya faham, bos.”
“Kalau faham, buatlah kerja awak.”
Saiful mengangguk. Tetapi keesokan harinya, dia masih enggan menjalankan tugasan tersebut.
Ayah aku akhirnya bertanya terus.
“Awak sebenarnya takut kepada isteri awak?”
Saiful terus tersinggung. “Taklah, bos. Saya hormat isteri saya.”
Ayah aku memandangnya. “Hormat isteri tak sama dengan menyerahkan semua keputusan hidup awak kepada dia.”
Saiful tidak menjawab. Dia keluar dari bilik dengan wajah masam.
Petang itu, dia menghantar mesej kepada Ika dan menceritakan bahawa bosnya menegur tentang hal rumah tangga.
Tidak sampai sepuluh minit kemudian, Ika menelefon.
“Abang, bos abang tu siapa nak masuk campur rumah tangga kita?”
Saiful yang sedang duduk di dalam kereta terus menjawab, “Entahlah, sayang.”
“Dia tak suka Ika ke?”
“Bukan macam tu.”
“Dia nak abang rapat dengan perempuan lain, kan?”
Saiful diam. Ika mula menangis.
“Abang, kalau abang lebih percayakan bos abang daripada isteri sendiri, cakap sajalah.”
Saiful terus panik. “Tak, sayang. Abang percaya sayang.”
“Betul?”
“Betul.”
“Jadi jangan ikut apa dia cakap.”
“Yalah.”
Dan begitulah Saiful.
Di pejabat, dia boleh berbincang tentang projek bernilai ratusan ribu ringgit. Dia boleh menyelesaikan masalah yang orang lain tidak mampu selesaikan. Tetapi apabila Ika menangis melalui telefon, semua pertimbangan itu hilang.
Kalau Ika kata jangan, dia tak buat. Kalau Ika kata seseorang itu jahat, Saiful percaya. Kalau Ika kata dia sedang dipermainkan orang, Saiful akan mencari siapa yang patut dipersalahkan.
Ayah aku pernah memberitahu aku:
“Bukan Saiful tak pandai. Dia sebenarnya bijak dalam kerja. Tapi bila bab isteri dia, otak dia macam tutup. Kau boleh bentang bukti depan mata dia pun, kalau isteri dia menangis, dia akan kata bukti tu salah.”
Waktu itu, ayah aku belum tahu apa yang sebenarnya berlaku di rumah Saiful.
———
Laila ternampak sesuatu di dapur
Bahagian ini Saiful sendiri ceritakan kepada ayah aku selepas segala-galanya terbongkar.
Pada suatu malam, Saiful pulang lewat daripada kerja. Laila sedang duduk di ruang tamu, manakala Ika berada di dapur.
Selepas menukar pakaian, Saiful duduk di sebelah anaknya.
“Laila dah makan?”
“Dah.”
“Mama masak apa?”
Laila tidak menjawab. Dia hanya memandang ke arah dapur.
“Ayah.”
“Ya, sayang?”
“Ayah jangan makan nasi mama masak malam ni.”
Saiful ketawa kecil. “Kenapa pula? Mama masak sedap.”
Laila menggeleng. “Nasi mama kotor.”
Saiful berhenti tersenyum. “Apa maksud Laila?”
Laila mendekatkan diri lalu berbisik. “Laila nampak mama buat benda pelik dekat nasi.”
Saiful mengerutkan dahi. “Benda apa?”
“Mama letak nasi dalam mangkuk. Lepas tu mama buat benda pelik. Mama tak bagi Laila tengok.”
“Benda pelik macam mana?”
Laila teragak-agak. “Mama buka kain dia dekat nasi tu.”
Saiful terus terdiam. Kemudian dia berkata, “Laila jangan merepek.”
“Tapi Laila nampak!”
“Mana boleh cakap macam tu dekat mama!”
Laila mula menangis. “Mama suruh Laila jangan bagitahu ayah.”
Saiful berasa tidak senang, tetapi sebelum dia sempat bertanya lebih lanjut, Ika muncul dari dapur.
“Kenapa ni?”
Saiful terus memandang isterinya.
“Laila kata dia nampak sayang buat benda pelik dekat nasi.”
Wajah Ika berubah seketika. Kemudian dia ketawa kecil.
“Ya Allah, abang. Budak-budak ni kadang-kadang suka berimaginasi.”
“Tapi dia kata sayang buka kain dekat nasi.”
Ika terus berubah sedih. “Abang percaya anak kita daripada isteri sendiri?”
Saiful terkedu. Ika mengesat air mata.
“Sejak abang pergi seminar tu, abang asyik syak Ika. Sekarang abang nak percaya cerita budak-budak pula?”
Saiful segera mengalah. “Bukan macam tu, sayang.”
“Jadi abang percaya Ika?”
“Percayalah.”
Ika berpaling dan menangis. Saiful terus memujuknya.
“Dah, jangan menangis. Abang tak tuduh apa-apa.”
Dia kemudian menoleh kepada Laila.
“Pergi tidur. Jangan cakap benda bukan-bukan lagi.”
Laila memandang ayahnya dengan mata berkaca. Dia tidak menjawab. Dia hanya bangun dan masuk ke bilik.
Malam itu, Saiful makan nasi yang dihidangkan Ika. Malah, dia memuji masakan isterinya.
“Sedap nasi ni.”
Ika tersenyum. “Betul, abang?”
“Betul.”
Dan di situlah aku rasa bahagian paling menyedihkan dalam cerita ini. Bukan semata-mata kerana Saiful tidak mempercayai anaknya. Tetapi kerana dia terlalu takut isterinya marah sehingga sanggup membuat anaknya sendiri berasa bahawa suaranya tidak penting.
Laila tidak pernah menarik balik kata-katanya.
Selepas malam itu, setiap kali Ika menghidangkan nasi, Laila akan memandang pinggan ayahnya dengan wajah bimbang.
Kadangkala dia bertanya, “Ayah dah makan?”
Kalau Saiful menjawab ya, Laila akan diam.
Seolah-olah dia sedang menunggu sesuatu yang tidak difahaminya.
———
Saiful semakin teruk di tempat kerja
Bulan demi bulan berlalu. Perangai Saiful semakin sukar difahami. Dia mula menjauhkan diri daripada rakan sekerja. Dia tidak lagi menyertai makan tengah hari bersama mereka. Kalau ada majlis pejabat, dia akan pulang awal. Pulang dengan tergesa-gesa.
Paling ketara, dia mula mempertahankan Ika walaupun tiada sesiapa menyerang isterinya.
Pernah suatu pagi, Kamal bertanya secara biasa:
“Pul, kau jadi ikut kita makan tengah hari?”
Saiful menjawab, “Tengoklah.”
Kamal ketawa. “Jangan-jangan bini kau tak bagi.”
Saiful terus bangun. “Kenapa kau asyik sebut pasal isteri aku haa?”
Kamal terkejut. “Aku bergurau sahaja.”
“Kalau kau tak suka aku, cakap terus.”
“Pul, aku tak ada masalah dengan kau.”
“Jadi jangan sibuk rumah tangga aku!”
Saiful menjerit pada Kamal sambil baling file atas meja dia. Beberapa orang pekerja lain berpaling memandang mereka.
Ayah aku yang kebetulan lalu segera membawa Saiful ke tepi.
“Saiful, apa kena dengan awak?”
Saiful diam.
“Awak tak boleh marah orang setiap kali mereka bertanya.”
“Mereka semua tak hormat isteri saya, bos.”
“Siapa yang tak hormat?”
Saiful tidak menjawab.
Ayah aku menyambung, “Awak kena fikir. Takkan semua orang dekat pejabat ni berniat buruk terhadap awak?”
Saiful memandang lantai. Kemudian dia berkata sesuatu yang membuatkan ayah aku terdiam.
“Ika kata orang yang cuba pisahkan suami isteri memang ramai, bos.”
Ayah aku menghela nafas. “Dan awak percaya semua yang dia kata?”
Saiful terus mengangguk. “Ya.”
Ayah aku tidak tahu hendak berkata apa lagi. Dia hanya melihat seorang lelaki yang dahulu sangat yakin dengan dirinya sendiri, kini tidak mampu membuat keputusan tanpa memikirkan apa yang mungkin dikatakan isterinya.
Dan apabila Ika menelefon, perubahan itu menjadi lebih ketara.
Saiful sedang berbincang tentang perkara penting. Tetapi sebaik sahaja telefon berbunyi, dia akan segera menjawab.
“Ya, sayang?” Suara Saiful terus berubah lembut.
“Tak, abang dekat pejabat.”
“Dah makan?”
“Belum.”
“Kenapa belum makan?”
“Kerja banyak sikit.”
“Abang janji nak makan ikut waktu.”
“Ya, sayang. Nanti abang makan.”
Kalau Ika marah, dia akan terus meminta maaf. Kalau Ika mengatakan dia tidak cukup mengambil berat, dia akan meninggalkan kerjanya untuk memujuk. Kalau Ika menyuruhnya pulang, dia akan mencari alasan untuk keluar awal.
Pernah sekali, ayah aku bertanya:
“Saiful, kalau isteri awak suruh awak berhenti kerja esok, awak buat?”
Saiful terdiam. Kemudian dia menjawab, “Kalau itu yang buat dia bahagia, mungkin saya pertimbangkan.”
Ayah aku memandangnya lama.
“Awak ada anak, Saiful. Awak ada tanggungjawab.”
Saiful mengangguk.
Tetapi aku rasa, pada masa itu, anggukan Saiful tidak membawa apa-apa makna. Dia sudah sampai ke tahap di mana dia tidak lagi menilai sama ada sesuatu perkara itu betul atau salah. Dia hanya mahu memastikan Ika berpuas hati.
———
Keluarga Saiful mula mengesyaki sesuatu
Pada suatu hujung minggu, ibu dan adik-beradik Saiful datang menziarah. Mereka kebetulan mempunyai urusan di kawasan berhampiran rumah Saiful, jadi mereka singgah untuk makan tengah hari.
Ika menyambut mereka dengan baik. Dia menyediakan minuman, menghidangkan kuih dan berbual dengan ibu mentuanya seperti biasa.
Tetapi sebaik sahaja ibu Saiful melihat anaknya, wajahnya berubah. Saiful kelihatan kurus. Matanya cengkung dan wajahnya tidak bermaya.
“Pul, kau sakit ke?”
“Tak, mak.”
“Kenapa muka kau macam ni?”
“Tak cukup tidur.”
Ibu Saiful memegang tangan anaknya.
“Kau makan cukup tak?”
“Cukup.”
Ika yang berada berdekatan terus menyampuk.
“Mak jangan risau. Abang Saiful banyak kerja sekarang.”
Ibu Saiful mengangguk, tetapi matanya tetap memerhatikan anaknya.
Ketika Ika masuk ke dapur, ibu Saiful membawa Saiful keluar ke halaman.
“Pul, mak nak tanya satu benda.”
“Apa dia, mak?”
“Kau bahagia tak?”
Saiful terus menjawab, “Bahagialah.”
Terlalu cepat. Ibu Saiful memandangnya.
“Kenapa setiap kali mak tanya sesuatu, kau jawab macam orang takut?”
Saiful menggeleng. “Tak ada apa-apa.”
“Mak kenal kau sejak kau kecil. Kau tak pernah jadi macam ni.”
Saiful memandang ke arah pintu dapur. Ibu Saiful perasan.
“Pul, kau takut dengan Ika?”
“Taklah!”
“Kalau tak, kenapa kau tengok dia setiap kali mak tanya soalan?”
Saiful terdiam. Ibunya mula menangis.
“Kalau ada masalah, cakap dengan mak. Kau anak mak.”
Saiful kelihatan seperti mahu berkata sesuatu. Tetapi selepas beberapa saat, dia menggeleng.
“Tak ada apa-apa, mak. Ika baik.”
Ibu Saiful tahu ada sesuatu yang tidak kena.
Selepas pulang, dia berbincang dengan ahli keluarga yang lain. Mereka bersetuju untuk membawa Saiful mendapatkan bantuan dan berbual dengan seseorang yang boleh membantu mereka memahami keadaan lelaki itu.
Mereka tidak memberitahu Ika. Mereka takut Saiful akan mengubah fikiran jika isterinya mengetahui rancangan tersebut.
———
Pertemuan yang membuka mata Saiful
Pada hujung minggu berikutnya, abang Saiful menelefonnya. Dia memberitahu bahawa mereka mahu keluar makan bersama dan singgah di rumah seorang saudara. Saiful bersetuju.
Sebelum keluar, Ika berpesan berkali-kali.
“Jangan lama sangat.”
“Kalau dah sampai, telefon Ika.”
“Jangan makan sembarangan.”
Saiful mengangguk untuk setiap pesanan.
“Ya, sayang.”
“Abang janji balik awal?”
“Janji.”
“Abang jangan buat Ika risau.”
“Taklah.”
Apabila mereka tiba di rumah saudara itu, Saiful mendapati keluarganya sudah menunggu. Seorang lelaki berusia yang dikenali keluarga mereka turut berada di situ.
Lelaki itu tidak terus bercakap tentang perkara ghaib atau menuduh sesiapa melakukan sesuatu kepadanya.
Dia bertanya tentang tidur Saiful, tekanan kerja, hubungannya dengan keluarga dan perubahan yang dirasakannya sendiri.
Pada mulanya, Saiful menjawab ringkas. “Saya okey.”
Tetapi apabila ditanya sama ada dia masih bebas membuat keputusan sendiri, Saiful terdiam. Dia tidak mampu menjawab dengan segera.
Akhirnya dia berkata, “Saya cuma tak nak isteri saya sedih.”
Lelaki itu mengangguk.
“Sayang kepada isteri bukan kesalahan. Tetapi kalau kamu sampai tak boleh berfikir tanpa takut dia marah, kamu perlu lihat semula apa yang sedang berlaku.”
Kata-kata itu membuatkan Saiful terdiam lama.
Dia mula bercerita tentang seminar, Hanis, kecemburuan Ika dan bagaimana dia semakin menjauhkan diri daripada semua orang.
Kemudian dia menceritakan tentang Laila. Tentang nasi yang dikatakan kotor. Tentang anaknya yang mendakwa melihat ibunya melakukan sesuatu yang pelik di dapur. Dan tentang bagaimana dia sendiri memarahi anak itu.
Ketika menceritakan bahagian tersebut, Saiful mula menangis.
“Budak tu dah bagitahu saya, bang. Dia dah bagitahu dari awal. Tapi saya tak percaya.”
Ibunya memegang bahunya. “Sudahlah, Pul.”
Saiful menutup muka. “Saya marah anak saya sendiri sebab saya percaya Ika.”
Pada hari itu, keluarganya membantu Saiful mendapatkan sokongan dan menilai keadaan yang dialaminya. Mereka tidak membuat kesimpulan bahawa semua perubahan itu berpunca daripada ilmu pengasih atau kuasa ritual.
Namun, pertemuan itu membuka ruang untuk Saiful mula mempersoalkan perkara yang selama ini diterimanya tanpa berfikir.
Ketika dalam perjalanan pulang, dia teringat kata-kata Ika melalui telefon.
“Asalkan dia dah makan, aku tak kisah. Pasal nasi tu, aku tahu apa yang aku buat.”
Buat pertama kalinya, Saiful mula mengesyaki bahawa perkataan nasi yang disebut isterinya mungkin mempunyai maksud yang lebih gelap. Dan dia membuat keputusan untuk memerhatikan sendiri apa yang berlaku di rumah.
———
Saiful mula berpura-pura
Saiful tidak terus menuduh Ika. Dia tahu isterinya mudah menangis apabila disoal. Dia juga tahu bagaimana setiap pertengkaran sebelum ini berakhir.
Ika akan menangis. Saiful akan rasa bersalah. Kemudian dia akan meminta maaf walaupun tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Kali ini, Saiful mahu memastikan dirinya tidak mengulangi perkara yang sama. Dia pulang dan berkelakuan seperti biasa.
“Abang dah balik?” tanya Ika.
“Dah, sayang.”
“Seronok keluar dengan keluarga?”
“Seronok.”
Ika memandangnya seketika. “Abang ada cerita apa-apa dekat mak?”
“Tak ada. Borak biasa.”
“Abang jumpa sesiapa?”
“Tak.”
Ika tersenyum lalu mengambil beg kerjanya. Saiful membiarkan isterinya berbuat demikian. Dia masih menjawab panggilan Ika. Dia masih makan bersama keluarga. Dia masih memanggilnya dengan panggilan sayang.
Tetapi kali ini, dia tidak lagi menganggap setiap kata-kata Ika sebagai kebenaran.
Dia mula perasan bahawa Ika sangat mengambil berat tentang nasi yang dimakannya. Kalau dia pulang selepas makan di pejabat, Ika akan bertanya berkali-kali. Kalau dia mengatakan tidak lapar, Ika akan kelihatan kecewa. Kalau nasi yang disediakan sudah sejuk, Ika tetap akan memujuknya supaya makan.
“Abang makanlah sikit.”
“Tak lapar, sayang.”
“Ika dah masak.”
“Abang dah makan dekat pejabat.”
Ika meletakkan pinggan di hadapannya.
“Makanlah. Sikit sahaja.”
Saiful memandang isterinya. Kemudian dia mengambil sudu. “Yalah, sayang.”
Ika tersenyum semula.
Dan pada saat itu, Saiful sedar bahawa perangainya yang selalu mengalah itulah yang membuatkan Ika begitu mudah mengawal keadaan.
Namun, dia belum mempunyai bukti tentang ritual tersebut. Sehinggalah malam Khamis itu.
———
Malam ketika Saiful melihat sendiri
Malam itu, Saiful pulang sekitar pukul 11 malam selepas satu urusan kerja yang selesai lebih awal daripada jangkaan. Dia tidak menelefon Ika.
Rumah sunyi ketika dia masuk. Laila sudah tidur dan ruang tamu gelap. Tetapi lampu dapur masih menyala.
Saiful terdengar bunyi sudu berlaga dengan mangkuk.
Tik… tik… tik…
Dia meletakkan beg di atas sofa lalu berjalan perlahan ke arah dapur. Dari celah dinding, dia ternampak Ika berdiri di hadapan meja.
Di atas meja terdapat sebuah mangkuk nasi putih. Wap masih naik daripada periuk nasi di sebelahnya. Ika beberapa kali menoleh ke arah pintu, memastikan tiada sesiapa datang. Kemudian dia membawa mangkuk itu ke satu sudut dapur.
Saiful berhenti di sebalik dinding. Dia tidak tahu apa yang hendak dilakukan isterinya, tetapi cara Ika menyembunyikan perbuatannya membuatkan dia tidak mahu terus masuk.
Ika kemudian membetulkan pakaiannya dan merendahkan tubuh berhampiran mangkuk tersebut.
Pada mulanya, Saiful tidak memahami apa yang dilihatnya. Tetapi beberapa saat kemudian, dia menyedari bahawa Ika sedang melakukan perbuatan yang selama ini dikaitkan dengan ritual nasi kangkang. Dia terkaku.
Ika sengaja mencemarkan nasi itu sebagai sebahagian daripada ritual yang dipercayainya boleh mengikat kasih suaminya.
Lebih menjijikkan bagi Saiful, isterinya sedang datang bulan malam itu. Dia melihat kesan darah pada kain yang dipakainya dan menyedari keadaan tersebut ketika Ika membetulkan pakaiannya.
Saiful terus menekup mulut. Dia berasa loya.
Bau nasi panas bercampur bau hapak yang sejak tadi dihidu terasa semakin kuat. Dia tidak tahu sama ada bau itu datang daripada nasi, keadaan dapur atau perasaan jijik yang tiba-tiba menguasai dirinya. Yang dia tahu, dia tidak sanggup lagi melihat.
Tetapi dia tetap berdiri di situ. Dia mahu memastikan bahawa apa yang dilihatnya benar-benar berlaku.
Ika membetulkan pakaiannya, mengambil mangkuk tersebut dan memandang nasi di dalamnya.
Kemudian mulutnya terkumat kamit seperti membaca sesuatu tetapi Saiful tak dapat dengar dengan jelas. Dan selepas itu, dia berbisik perlahan:
“Abang akan tetap sayang Ika. Abang takkan tinggalkan Ika.”
Saiful terasa seluruh badannya menggigil. Tiba-tiba dia teringat Laila.
“Ayah, jangan makan nasi mama masak. Laila nampak mama buat benda pelik.”
Suara anaknya seolah-olah bergema semula di dalam kepalanya. Dia teringat bagaimana dia memarahi Laila. Bagaimana dia menyuruh anaknya berhenti mereka cerita. Bagaimana dia makan nasi yang dihidangkan Ika sambil memuji masakannya. Dan malam itu, dia melihat sendiri perkara yang selama ini dinafikannya.
Saiful melangkah keluar dari sebalik dinding.
“Ika.”
Ika tersentak. Mangkuk di tangannya hampir terlepas.
“Abang?”
Saiful memandang mangkuk itu. Kemudian dia memandang isterinya.
“Apa yang kau buat?”
Ika segera menutup mangkuk tersebut. “Tak ada apa-apa, abang.”
Saiful ketawa kecil. Ketawa yang kedengaran begitu asing sehingga Ika sendiri terdiam.
“Tak ada apa-apa?”
Dia melangkah mendekati meja. “Aku nampak semuanya.”
Wajah Ika terus pucat. “Abang, dengar dulu.”
“Dengar apa?”
“Ika boleh jelaskan.”
Saiful menunjuk ke arah mangkuk itu. “Jelaskan apa? Aku nampak kau buat benda tu!”
Ika mula menangis. “Abang, jangan salah faham…”
“Jangan salah faham?” Suara Saiful meninggi. “Aku berdiri dekat situ! Kau ingat aku buta?”
Ika cuba memegang tangannya. Saiful terus berundur.
“Jangan sentuh aku.”
“Abang…”
“Selama ni kau bagi aku makan benda macam ni?”
Ika menangis semakin kuat. Saiful berpaling ke arah sinki dan muntah. Perutnya terasa memulas, bukan semata-mata kerana keadaan nasi itu, tetapi kerana semua kenangan tentang rumah tangganya tiba-tiba datang serentak.
Dia teringat setiap kali Ika memujuknya makan. Setiap kali Ika menangis apabila dia bertanya. Setiap kali dia mempertahankan isterinya di hadapan rakan sekerja. Dan setiap kali dia mengatakan bahawa Ika tidak mungkin melakukan sesuatu yang buruk. Kini semuanya kelihatan berbeza.
“Kenapa, Ika?” tanyanya dengan suara bergetar. “Kenapa kau buat aku macam ni?”
Ika mengesat air mata. “Sebab Ika takut kehilangan abang.”
Saiful memandangnya dengan wajah tidak percaya.
“Aku tak pernah curang dengan kau! Hanis tu rakan sekerja aku! Aku dah beritahu kau beratus kali!”
“Tapi Ika takut…”
“Jadi kau pilih buat benda ni?”
Ika tidak menjawab. Saiful menggeleng berkali-kali.
“Ya Allah, Ika…”
Pada saat itu, terdengar suara kecil dari muka pintu. “Ayah?”
Saiful berpaling. Laila berdiri di situ dengan mata yang mula berkaca. Dia memandang mangkuk di atas meja, kemudian memandang ibunya.
“Itulah yang Laila nampak dulu, ayah…”
Saiful terasa seluruh kekuatannya hilang. Laila mula menangis.
“Laila dah bagitahu ayah. Tapi ayah marah Laila.”
Saiful terus melutut lalu memeluk anaknya. “Ayah minta maaf, sayang. Ayah minta maaf…”
Laila menangis di dadanya. “Ayah, Laila takut.”
Saiful memeluknya semakin erat. “Ayah ada. Ayah ada dekat sini.”
Di belakang mereka, Ika masih menangis dan merayu supaya Saiful mendengarnya. Tetapi malam itu, Saiful tidak lagi bangun untuk memujuk isterinya. Dia tidak lagi meminta maaf. Dia tidak lagi menganggap dirinya bersalah hanya kerana Ika menangis. Buat pertama kalinya selepas sekian lama, dia membiarkan isterinya menangis tanpa cuba menyelamatkan keadaan.
Kerana malam itu, dia akhirnya sedar bahawa selama ini dia bukan sekadar mempertahankan isterinya. Dia juga telah membiarkan anaknya hidup dalam ketakutan.
———
Pengakuan Ika
Malam itu, Saiful membawa Laila ke bilik tetamu. Ika beberapa kali mengetuk pintu.
“Abang, tolonglah. Kita bincang elok-elok.”
Saiful tidak menjawab.
“Abang, Ika minta maaf.”
Sunyi.
Kemudian Ika berkata, “Ika buat sebab Ika sayang abang!”
Saiful akhirnya membuka pintu. “Kalau kau sayang aku, kau takkan buat macam ni.”
Ika menangis. “Ika takut abang tinggalkan Ika.”
“Kenapa? Sebab Hanis?”
Ika mengangguk. Saiful ketawa hambar.
“Hanis tu tak pernah ada hubungan apa-apa dengan aku. Aku tak pernah curang. Aku pergi seminar sebab kerja!”
“Tapi Ika takut abang pilih dia.”
“Jadi kau buat semua ni supaya aku tak boleh pergi?”
Ika tidak menjawab. Saiful memegang kepalanya.
“Selama ni aku ikut semua yang kau nak. Aku gaduh dengan kawan aku sebab kau. Aku marah bos aku sebab kau. Aku abaikan kerja aku sebab kau. Aku sampai tak percaya anak aku sendiri sebab kau!”
Suaranya semakin kuat.
“APA LAGI YANG KAU NAK?!!”
Ika menutup muka. Dia akhirnya mengaku bahawa dia terlalu cemburu selepas mengetahui tentang Hanis. Dia membandingkan dirinya dengan perempuan itu dan mula membayangkan Saiful akan meninggalkannya, walaupun tiada bukti bahawa suaminya mempunyai perasaan terhadap Hanis.
Apabila dia mendengar cerita tentang nasi kangkang daripada seseorang yang dikenalinya, dia mula percaya bahawa ritual tersebut boleh membuatkan suaminya terus menyayanginya dan menurut kata-katanya.
Dia mahu memastikan Saiful tidak berubah hati. Dia mahu Saiful sentiasa memilihnya. Dan dia mahu menghilangkan ketakutan yang selama ini menguasai dirinya.
Tetapi dalam usahanya mengawal suami, dia telah melanggar kepercayaan yang paling asas dalam rumah tangga mereka.
Saiful mendengar pengakuan itu tanpa mencelah.
Selepas Ika selesai, dia hanya berkata:
“Aku tak tahu siapa yang ajar kau benda ni. Aku tak tahu apa yang kau percaya. Tapi aku dah tak kenal siapa kau.”
Dia menutup pintu. Dan malam itu, Saiful tidak lagi membenarkan Ika memujuknya kembali seperti biasa.
———
Saiful mula sedar betapa bodohnya dirinya
Keesokan harinya, Saiful menghubungi ibunya dan meminta keluarganya datang mengambil Laila buat sementara waktu. Dia tidak mahu anaknya terus berada dalam suasana yang membuatkannya takut.
Apabila ibunya tiba, Saiful menceritakan apa yang dilihatnya di dapur. Ibunya terdiam lama.
“Betul kau nampak sendiri, Pul?”
Saiful mengangguk. “Ya, mak.”
“Ya Allah…”
Saiful duduk sambil menekup wajah. “Mak, selama ni saya pertahankan dia. Saya marah semua orang yang cuba nasihatkan saya.”
Ibunya memegang bahunya.
“Pul, sekarang kau dah tahu apa yang berlaku. Kau kena fikir apa yang terbaik untuk kau dan Laila.”
Saiful menangis. “Saya rasa macam orang paling bodoh dalam dunia.”
Ibunya menggeleng. “Kau dah lalui perkara yang berat. Tapi sekarang kau kena bangun semula.”
Selepas keluarganya pergi, Saiful menghubungi ayah aku.
“Bos, saya nak minta maaf.”
Ayah aku bertanya, “Kenapa, Saiful?”
“Sebab selama ni bos cuba nasihatkan saya, tapi saya marah bos. Saya fikir semua orang nak rosakkan rumah tangga saya.”
Ayah aku diam seketika. Kemudian Saiful menceritakan apa yang berlaku malam sebelumnya.
Dia bercerita tentang mangkuk nasi itu. Tentang apa yang dilihatnya. Tentang keadaan Ika. Tentang Laila yang akhirnya mengesahkan bahawa dia pernah melihat perkara yang sama.
Ayah aku mendengar semuanya.
Apabila Saiful selesai, ayah aku berkata:
“Saiful, saya tak boleh tentukan apa yang awak patut buat dengan rumah tangga awak. Tapi awak berhak rasa selamat dalam rumah sendiri. Awak kena jaga diri dan anak awak.”
Saiful mengangguk. “Ya, bos.”
Buat pertama kalinya, dia menerima nasihat itu tanpa cuba mempertahankan Ika.
Dan menurut ayah aku, itulah perubahan pertama yang benar-benar menunjukkan bahawa Saiful mula kembali berfikir untuk dirinya sendiri.
———
Perceraian
Selepas kejadian malam itu, Ika berulang kali meminta maaf. Dia menghantar mesej panjang. Dia menelefon Saiful. Dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
Kadangkala dia menangis. Kadangkala dia marah kerana Saiful tidak mahu pulang.
“Abang nak hancurkan rumah tangga kita sebab satu kesilapan?”
Tetapi bagi Saiful, perkara itu bukan satu kesilapan kecil.
Dia teringat bagaimana Ika mengawalnya selama berbulan-bulan. Bagaimana dia memarahi kawan-kawan. Bagaimana dia mengabaikan kerja. Dan bagaimana dia menolak kata-kata anaknya sendiri.
Paling menyakitkan, dia tidak dapat melupakan malam ketika dia melihat sendiri perbuatan isterinya di dapur. Sangat menjijikkan. Isterinya juga dah menyekutukan Allah sebab percaya ilmu hitam.
Dia tidak lagi mampu mempercayai Ika seperti dahulu.
Selepas berbincang dengan keluarga dan mendapatkan nasihat yang sewajarnya, Saiful memutuskan untuk menamatkan perkahwinan mereka.
Ika pada mulanya enggan menerima keputusan itu.
“Abang dah tak sayang Ika?”
Saiful menarik nafas panjang. “Aku tak tahu apa yang aku rasa sekarang.”
“Abang, kita dah ada anak.”
“Sebab kita ada anaklah aku kena fikir betul-betul.”
Ika menangis. “Abang tak boleh tinggalkan Ika macam ni.”
Saiful memandangnya lama.
“Aku pernah percaya kau lebih daripada aku percaya diri aku sendiri. Bila anak aku bagitahu sesuatu, aku pilih untuk percaya kau. Bila bos aku tegur, aku marah dia. Bila kawan aku nasihat, aku kata dia dengki.”
Dia berhenti seketika.
“Tapi malam tu, aku nampak sendiri apa yang kau buat. Aku dah tak boleh tipu diri aku lagi.”
Akhirnya, mereka melalui proses perceraian mengikut saluran yang sepatutnya. Saiful tidak meraikan perceraian itu. Dia tidak tersenyum atau berasa menang. Dia cuma berasa letih. Dia kehilangan rumah tangganya, tetapi dia berharap dapat membina semula kehidupannya dan memastikan Laila membesar dalam keadaan yang lebih baik.
———
Cerita yang Saiful sampaikan kepada ayah aku
Beberapa bulan selepas perceraian, Saiful datang ke pejabat ayah aku.
Wajahnya kelihatan lebih sihat. Dia sudah kembali bekerja seperti biasa dan mula berbual dengan rakan sekerjanya.
Ketika berbual, ayah aku bertanya sama ada dia semakin pulih. Saiful mengangguk.
“Alhamdulillah, bos. Dah okey sikit.”
Kemudian dia terdiam.
“Bos, sampai sekarang saya masih teringat muka Laila malam tu.”
Ayah aku meletakkan pen. “Kenapa?”
“Sebab saya tak percaya dia. Dia dah bagitahu dari awal, tapi saya marah dia. Saya kata dia mereka cerita.”
Saiful menggosok wajahnya. “Saya ni memang bodoh, bos. Bukan sebab saya tak pandai. Saya tahu apa yang betul dan salah. Tapi bila dengan Ika, saya macam hilang semua pertimbangan.”
Ayah aku tidak menyampuk.
Saiful menyambung. “Kalau dia marah, saya takut. Kalau dia menangis, saya mengalah. Kalau dia kata orang lain jahat, saya percaya. Saya sampai sanggup bergaduh dengan orang yang sebenarnya nak tolong saya.”
Dia menarik nafas panjang.
“Saya tak tahu sama ada nasi kangkang tu betul-betul ada kuasa macam orang cerita. Saya tak boleh buktikan benda tu. Tapi saya tahu apa yang saya nampak malam tu. Saya tahu apa yang Ika buat.”
Saiful memandang ayah aku.
“Dan saya tahu saya dah terlalu lama menutup mata.”
Ayah aku bertanya, “Apa yang paling awak kesalkan?”
Saiful menjawab tanpa berfikir panjang. “Saya tak percaya anak saya sendiri.”
Dia terdiam lama.
“Kalau saya tak balik awal malam tu, mungkin saya masih percaya Ika sampai sekarang. Mungkin saya masih makan apa yang dia hidangkan. Mungkin saya masih marah orang yang cuba nasihatkan saya.”
Kemudian dia berkata sesuatu yang ayah aku ingat sampai sekarang.
“Bos, bagi saya, benda paling seram bukanlah hantu. Bukan bunyi pelik tengah malam. Bukan bayang-bayang dekat dapur.”
Dia menunduk.
“Benda paling seram ialah bila kita terlalu percaya seseorang sampai kita sanggup menafikan apa yang mata kita sendiri nampak.”
———
Penutup — Semangkuk nasi yang menghancurkan segalanya
Menurut ayah aku, Saiful mengambil masa yang lama untuk kembali menjadi dirinya sendiri.
Dia masih bekerja di syarikat yang sama. Dia kembali menjalankan tugas, mula bergaul dengan rakan sekerja dan meminta maaf kepada orang yang pernah dimarahinya.
Hubungannya dengan Laila juga perlahan-lahan pulih. Namun, ada satu perkara yang tidak pernah hilang daripada ingatannya.
Pada suatu malam, selepas Laila pulang dari rumah ibunya, anak kecil itu pernah bertanya:
“Ayah, mama dah tak buat benda dekat nasi tu lagi ke?”
Saiful terdiam. “Kenapa Laila tanya?”
Laila memandangnya. “Sebab dulu mama selalu buat bila ayah tak ada.”
Saiful terasa dadanya berat. “Laila pernah nampak banyak kali?”
Anaknya mengangguk.
“Mama suruh Laila jangan tengok. Mama kata jangan bagitahu ayah.”
Saiful memeluk anaknya. “Ayah minta maaf, sayang.”
Laila membalas pelukan itu. Kemudian dia bertanya:
“Kalau Laila tak bagitahu ayah, ayah akan makan nasi tu sampai bila-bila ke?”
Saiful tidak mampu menjawab. Dia cuma memeluk anaknya dengan lebih erat.
Menurut ayah aku, itulah perkara yang paling menghantui Saiful selepas semuanya berakhir. Bukan kerana dia yakin nasi kangkang mempunyai kuasa ghaib. Tetapi kerana dia tahu betapa mudahnya dia mengabaikan amaran orang yang benar-benar menyayanginya.
Dia pernah menjadi seorang lelaki yang bijak di tempat kerja, tetapi terlalu bodoh apabila berhadapan dengan isterinya sendiri.
Dia pernah mempertahankan Ika sehingga sanggup memarahi anaknya yang berusia tujuh tahun.
Dia pernah menganggap semua orang sebagai musuh hanya kerana mereka cuba menyedarkannya.
Dan akhirnya, dia sendiri melihat perkara yang selama ini cuba dinafikannya.
Semuanya bermula dengan sebuah seminar. Seorang perempuan bernama Hanis yang langsung tidak mempunyai hubungan sulit dengannya. Seorang isteri bernama Ika yang terlalu takut kehilangan suaminya. Seorang anak kecil yang cuba memberitahu kebenaran. Dan sebuah mangkuk nasi yang menjadi lambang kepada rahsia paling gelap dalam rumah tangganya.
Bagi Saiful, malam dia melihat Ika di dapur menjadi titik terbongkarnya segala-galanya. Namun, kehancuran rumah tangganya bermula apabila dia memilih untuk memarahi anak sendiri daripada mendengar kebenaran.
Penyesalan terbesar Saiful ialah kerana terlalu mempercayai isterinya hingga mengabaikan naluri sendiri. Kini, kepercayaan yang musnah itu tidak mungkin kembali seperti dahulu.
Maaf kalau kisah kali ini tak menyeramkan. Anggaplah ia sekadar satu kisah untuk renungan bersama.