DOKUMEN TERAKHIR SEBELUM PULANG
DOKUMEN TERAKHIR SEBELUM PULANG
Episod Kedua : Kisah Ira
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Nama aku Ira.
Sebelum ini, aku pernah menceritakan satu kisah seram yang berlaku kepada aku ketika menjalani latihan industri di sebuah syarikat.
Ini kisah yang pernah aku cerita:
1.Diganggu di tempat intern
Kali ini, aku nak ceritakan pula satu lagi kejadian pelik yang berlaku di tempat yang sama. Kejadian ini berlaku kira-kira dua bulan selepas aku mula menjalani latihan industri di situ. Semuanya bermula pada suatu petang ketika aku sedang menyiapkan tugasan seperti biasa.
Pada hari tersebut, aku ditugaskan untuk menyemak beberapa dokumen penghantaran yang perlu diselesaikan sebelum waktu pejabat tamat.
Seperti biasa, aku duduk di hadapan komputer sambil menyusun dokumen yang diberikan oleh staf. Keadaan pejabat agak tenang kerana kebanyakan pekerja sedang sibuk dengan tugasan masing-masing.
Ketika sedang menyemak dokumen, aku ternampak satu fail berwarna coklat diletakkan di hujung meja.
Aku agak pelik kerana sebelum ini aku tidak pernah melihat fail tersebut.
Aku pun mengambilnya dan membuka satu per satu helaian di dalamnya. Tetapi, apa yang membuatkan aku tertanya-tanya ialah terdapat beberapa keping dokumen yang langsung tidak mempunyai maklumat lengkap.
Pada bahagian tarikh, semuanya menunjukkan tarikh yang sama.
17 November 2026.
Aku mengerutkan dahi.
“Eh, siapa pula yang letak fail ni dekat sini?”
Aku bertanya kepada staf yang duduk tidak jauh dari meja aku.
“Akak, fail ni siapa punya?”
Staf tersebut memandang fail yang aku pegang.
“Fail apa? Cuba tengok betul-betul. Itu bukan fail kerja kita ke?”
Aku menggeleng.
“Saya pun tak tahu. Tiba-tiba ada dekat meja.”
Akak itu menyuruh aku meletakkan fail tersebut di tepi dahulu kerana dia mahu menyemaknya kemudian.
Aku pun menyambung kerja.
Tidak lama selepas itu, aku terdengar bunyi kerusi ditarik dari bahagian belakang pejabat.
Kreeeek…
Aku menoleh ke arah bunyi tersebut.
Tiada sesiapa.
Aku menyangka mungkin ada pekerja yang baru sahaja keluar dari bilik sebelah. Jadi, aku kembali menghadap komputer.
Beberapa minit kemudian, telefon pejabat tiba-tiba berbunyi.
Aku melihat ke arah staf lain, tetapi mereka semua sedang sibuk.
Akhirnya, aku menjawab panggilan tersebut.
“Helo, assalamualaikum.”
Tiada jawapan.
“Helo?”
Beberapa saat kemudian, kedengaran suara seorang lelaki bertanya dengan perlahan.
“Ira ada?”
Aku terdiam seketika.
“Ya, saya Ira. Siapa ni?”
Namun, panggilan itu terus terputus.
Aku meletakkan semula telefon dan memandang ke arah staf yang berada berhampiran.
“Akak, tadi ada orang telefon cari saya.”
“Siapa?”
“Saya tak tahu. Dia cuma tanya Ira ada ke tak.”
Akak itu kelihatan sedikit pelik.
“Tak apalah, nanti kalau telefon lagi, bagi akak jawab.”
Aku mengangguk dan meneruskan kerja.
Menjelang pukul 5.00 petang, aku mula mengemas meja kerana tugasan pada hari itu hampir selesai.
Sebelum menutup komputer, aku teringat tentang fail coklat yang dijumpai tadi.
Aku mengambil fail tersebut dan membukanya sekali lagi.
Kali ini, aku ternampak satu helaian kertas yang sebelum ini aku tidak perasan.
Pada bahagian atas kertas itu tertulis satu ayat:
“JANGAN TINGGALKAN SAYA DI SINI.”
Aku terus berhenti membaca.
Aku melihat sekeliling pejabat untuk memastikan tiada sesiapa yang sedang bergurau dengan aku.
Kemudian, aku membawa kertas tersebut kepada akak yang berada di meja hadapan.
“Akak, cuba tengok ni.”
Dia mengambil kertas itu lalu membacanya.
Wajahnya terus berubah.
“Ira, awak jumpa kertas ni dekat mana?”
“Dalam fail coklat tadi.”
Akak itu terus meminta aku menunjukkan fail tersebut.
Tetapi apabila kami kembali ke meja aku, fail itu sudah tiada.
Aku dan akak tersebut saling berpandangan.
“Eh, tadi saya letak sini.”
Akak itu memandang ke arah kawasan belakang pejabat sebelum berkata,
“Sudahlah, Ira. Awak balik dulu. Esok kita tengok semula.”
Aku tidak banyak bertanya. Aku terus mengambil beg dan bersiap untuk pulang.
Sebelum keluar dari pejabat, aku sempat menoleh ke arah meja tempat aku bekerja.
Pada masa itu, aku terdengar satu suara perlahan dari arah belakang.
“Ira…”
Aku terus berpaling.
Tetapi tiada sesiapa di situ.
Aku mempercepatkan langkah menuju ke pintu keluar.
Keesokan paginya, aku datang bekerja seperti biasa. Perkara pertama yang aku lakukan ialah bertanya kepada akak semalam tentang fail coklat tersebut.
Namun, jawapannya membuatkan aku semakin pelik.
“Ira, semalam saya dah tanya staf lain. Tak ada siapa pun tahu tentang fail tu.”
Aku bertanya lagi,
“Jadi, fail tu siapa punya sebenarnya?”
Akak itu menggeleng.
“Entahlah. Tapi ada satu perkara yang saya nak beritahu awak.”
Aku terus memandangnya.
“Fail coklat yang awak maksudkan tu sebenarnya sama macam fail lama yang pernah disimpan di pejabat ni. Tapi fail tu dah lama tak digunakan.”
Aku terdiam.
Aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan.
Sehingga hari ini, aku masih tidak tahu siapa yang meletakkan fail tersebut di atas meja aku, siapa lelaki yang menelefon pejabat dan siapa yang memanggil nama aku sebelum aku pulang.
Apa yang pasti, kejadian itu membuatkan aku lebih berhati-hati setiap kali berada di pejabat ketika suasana sudah mula sunyi.
Aku datang ke syarikat itu untuk menjalani latihan industri dan menimba pengalaman dalam bidang logistik.
Tetapi nampaknya, selain pengalaman bekerja, ada satu lagi pengalaman yang aku tidak pernah minta untuk lalui.
Dan itulah satu lagi kejadian pelik yang berlaku kepada aku sepanjang menjalani latihan industri di syarikat tersebut.