Pejabat Baru

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih sekiranya tersiar lagi perkongsian saya ini. Sebelum ini saya ada kongsikan pengalaman ibu saya sepertimana yang dikisahkan oleh dia. Kali ini, saya nak berkongsi pengalaman saya sendiri, baru-baru ini berlaku.

Baru-baru ini saya mendapat peluang pekerjaan baru, lebih jauh dari lokasi kerja saya yang lama, tapi tawaran yang diberikan sangat berbaloi untuk dipertimbangkan. Bermula dari bulan Ramadhan yang lalu, saya mula melaporkan diri di tempat kerja baru. Nasib baik waktu kerja yang fleksibel, saya tidak berkejar-kejar sangat pada waktu pagi.

Syarikat ini baru ditubuhkan, jadi banyak perkara yang perlu dilakukan. Pada bulan pertama saya bekerja di sini, dengan tenaga kerja yang sangat terhad, 3 orang pekerja, kami bertungkus-lumus untuk menyediakan persiapan untuk berpindah ke bangunan baru.

Sebelum ini, syarikat saya di Malaysia hanya bertindak sebagai pusat servis pelanggan, tanpa sebarang proses pembuatan. Sekarang pihak syarikat nak memindahkan operasi pembuatannya ke Malaysia, maka kami pun perlulah berpindah dari pejabat gudang ke bangunan yang lebih sesuai.

Kami berpindah sepenuhnya ke bangunan baru selepas Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Kebetulan, ketua operasi kami perlu pulang ke negara asalnya atas sebab-sebab tertentu, tinggallah kami berdua untuk mengemas dan menyiapkan pejabat baru.

Minggu pertama – tiada apa yang aneh berlaku. Kontraktor keluar masuk bangunan ini untuk menyiapkan kerja-kerja. Saya dan rakan sekerja juga agak tidak menang tangan untuk menguruskan persiapan pejabat dan kawasan pembuatan serta melayan dan menyelesaikan komplen dari pelanggan.

Minggu kedua – kontraktor semakin kurang masuk, banyak kerja-kerja yang memerlukan khidmat mereka telah selesai. Kebanyakan masa kami akan tinggal berdua dan melakukan aktiviti masing-masing.

Pada hari Rabu, minggu itu, saya sedang berbincang dengan ketua operasi kami melalui Skype di dalam bilik mesyuarat. Tiba-tiba rakan sekerja saya masuk ke bilik mesyuarat dan saya lihat wajahnya sedikit pucat. Dia tidak berkata apa-apa, hanya duduk dan membuat kerjanya sendiri sementara saya berbincang.

Selesai sesi Skype dengan ketua operasi, saya bertanya kepadanya kenapa tiba-tiba masuk.

“You know what, I saw you at the pantry. I pergilah berbual dengan you, sebab boring duduk seorang. You just senyap je. Penat I cakap. I thought you penat sebab kemas bilik QC tu, so I balik kerusi lepas siap buat air. Tiba-tiba I nampak you dalam meeting room pulak. Itu yang I terus masuk joined you kat dalam.”

Saya tersentak sebentar. Saya lihat muka rakan sekerja saya sudah kelihatan risau, oh ya, dia ni Chinese, lelaki. Kami sama-sama terdiam dan saya pun memindahkan barang saya dari tempat duduk saya di belakang ke sebelah tempat duduk rakan sekerja saya. Rasa cuak pulak nak duduk kat belakang tu, dah la dekat dengan pantry. Hari tu kami balik awal sejam dari biasa. Masing-masing takut nak balik lewat.

Minggu ke tiga – minggu ini saya perlu bertugas seorang. Rakan sekerja saya perlu menghadiri mesyuarat di China selama seminggu. Hari pertama masuk, saya cuba menabahkan hati. Kes rakan sekerja saya berbual dengan saya yang ke dua masih tak dapat saya lupa. Hari Isnin hingga Rabu saya berjaya lalui tanpa apa-apa kejadian aneh.

Hari Khamis, tandas pejabat kami ni kalau ada yang guna memang tiada rahsia. Bunyi kita tutup pintu memang bergema bunyi dia kat pejabat, bunyi orang simbah air pun jelas. Saya memang sangat pasti saya berseorangan di pejabat, tiba-tiba, terdengar bunyi air disimbah, diikuti bunyi flush. Hantu betul, memang kecut perut masa tu. Tiba-tiba bunyi pintu berdentang.

Saya memang tak tunggu lama, terus kemas barang, cabut balik. Alarm pun tak sempat nak hidupkan masa saya keluar tu. Nasib baik pejabat tak kena rompak. Hari tu saya hantarkan notis kepada ketua operasi saya yang esoknya, saya akan bekerja dari rumah. Tak sanggup wooo nak masuk pejabat seorang diri esok tu.

Minggu pertama bulan Ogos – ketua operasi saya dah kembali ke Malaysia. Kami sama-sama setup CCTV di pejabat kami. Dalam kami bertiga sedang teliti live streaming CCTV di monitor, tiba-tiba kami ternampak seseorang di pantry. Kami bertiga semua ada di bilik ketua kami, jadi tiada seorang pun di luar tu. Ketua kami, seorang mat salleh, segera bingkas bangun untuk melihat siapa yang menceroboh masuk pejabat kami. Saya dan rakan sekerja saya hanya membatu, sebab kami macam dah dapat agak siapa.

Ketua operasi kami kembali ke biliknya dengan muka pelik. Dia bertanya banyak kali pada kami untuk memastikan kami turut melihat susuk tubuh itu. Saya dan rakan sekerja saya menafikan. Masa ketua kami keluar, kami telah berbincang untuk tidak membesarkan perkara itu. Kesian juga ketua kami tu kena tipu dengan kami.

MInggu yang sama, hari Jumaat. Saya dan rakan sekerja agak sibuk pada hari itu. Banyak komplen dari pelanggan yang perlu kami uruskan. Saya selalunya akan ke surau sebelum bertolak pulang bagi menunaikan solat Asar, takut tak sempat nak solat di rumah. Surau ni cuma satu je, bilik pun kat ceruk belakang. Untuk ke surau, saya perlu turun ke tingkat bawah dan melalui bilik QC. Bilik QC ni masih agak besar dan mempunyai tingkap kaca yang besar, jadi kita boleh nampak apa yang ada dalam bilik ni.

Semasa melalui bilik ini, saya ternampak lampu bilik dinyalakan dan ketua saya berada di dalam. Saya terdengar suaranya bercakap dengan seseorang, tapi tiada orang lain di situ. Saya beranggapan yang dia sedang berbual di dalam telefon dan terus menuju ke surau tanpa pedulikan dia.

Sedang saya nak tolak pintu surau, tiba-tiba ketua saya menjerit memanggil saya. Terkejut kejap. Dia berlari ke arah saya dan bertanya kenapa saya ada di sini. Saya beritahulah saya nak ke surau. Ketua saya boleh mati-mati cakap saya ada dalam bilik QC tu. Dia baru lepas berbincang dengan saya tentang peralatan yang hendak dibeli dan susunatur bilik itu sebelum dia meninggalkan “saya” untuk ke ruangan pembuatan pula.

Saya pun menafikan dan kami pun naik ke atas untuk lihat di CCTV. Rakan sekerja saya terkejut melihat kami masuk dengan terburu-buru. Kami sama-sama mencari rakaman bagi bilik QC. Dalam rakaman itu, jelas nampak ketua kami tu cakap seorang diri dan paling hampehnya, ada la pulak satu muka huduh menempel kat tingkap tu. Siap jelas lagi nampak saya lalu kat belakang si muka huduh tu. Gila berderau darah, dan kami semua terus memilih untuk balik terus. Hal-hal komplen pelanggan tu nanti la kami selesaikan.

Masa saya tulis cerita ni, ketua kami tu tengah demam. Malam tu, dia bagi mesej dalam Whatsapp group kerja beritahu dia demam, mungkin tak masuk pejabat minggu depannya. Saya dengan rakan sekerja, tetap masuk kerja macam biasa. Rakan saya tu cakap, “Kita tak kacau dia, dia tak kacau kita maa. Kita buat kerja kita sendiri saja la.” Nasib baik minggu depan pekerja-pekerja baru dah mula masuk lapor diri. Ramai sikit manusia kat sini nanti.

Dari pengawal keselamatan yang meronda kawasan perindustrian ni, bangunan kami ni lama tak ada penyewa. Dekat 3 tahun kosong. Tapi diorang tak pernah pula nampak apa-apa yang aneh bila meronda. Bagi saya, tak apalah, hadapkan je la, dah sini tempat kita cari rezeki. Mudah-mudahan bila kami dah beroperasi sepenuhnya, diorang ni pepandailah pindah pergi ke lot bangunan lain yang kosong kat kawasan ni. Operasi kilang kami ni boleh tahan bisingnya, harapnya diorang tak tahan la nanti dengan kebisingan mesin-mesin kami tu nanti.

Sekian saja dari saya untuk kali ni. Kalau ada masa kesempatan serta rezeki, saya sambung untuk kongsikan pengalaman ibu saya.

Sekian,
Makcik Otomen.

Makcik Otomen
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

16 comments

  1. Dia suka kt ko tu nok. manjang berupa muka ko.

    Klu aku yg kena sakat mcm korang maunya terkincit terkucil dan2 tu jgk

    Seram btl aku baca cite ko. seriau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.