Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada admin dan semua pembaca Fiksyen Shasha. Aku ingin menceritakan kisah yang berlaku kepada diri aku ketika aku tingkatan 1 & 2 (2016-2017). Kisah ini berlaku dekat sekolah lama aku. Masa tu aku sekolah di sesi petang. Aku seorang yang pendiam masa tu. Sepanjang aku di tingkatan 1 & 2, aku adalah jenis yang suka balik lewat, semasa orang lain dah balik, aku masih berada di sekolah kerana masih ramai pelajar berada di pintu pagar sekolah. Jadi, aku balik lewat sehingga sekolah betul-betul sunyi. (kisah ini hanya berlaku di sekolah pada waktu senja).
Tingkatan 1
Kisah ini berlaku apabila waktu balik, aku pergi ke kantin untuk duduk sementara menunggu pelajar lain balik. Masa tu kantin sudah sunyi hanya ditemani angin yang dingin. Di sebalik angin yang dingin, aku terdengar pili paip sinki di tandas lelaki terbuka. Pada awalnya aku abaikan, mungkin ada orang sedang mencuci tangan. Tiga minit kemudian, pili paip masih lagi kedengaran, aku masa tu fikir ada orang tengah bazirkan air. Aku pun pergi ke tandas untuk melihat siapa yang bazirkan air. Tetapi tiada sesiapa di dalam tandas, aku mula rasa tidak sedap hati ditambahkan pula rasa seram sejuk. Aku tidak melengahkan masa, tutup pili paip tu, ambil beg dan keluar dari sekolah. Semasa keluar dari sekolah, pakcik pengawal keselamatan dari tadi memandang aku dengan wajah yang pelik,kenapa dia pandang aku macam tu aku tak nak ambil tahu. Aku cuma tak nak tertinggal van. Aku berlari ke tempat menunggu van yang hantar aku balik ke rumah, aku tidak pasti apa yang berlaku tapi benda tu berlaku depan aku. Sinki terbuka sendiri, tapi tiada seorang pun di dalam tu.
Tempat menunggu van tu lebih kurang 1 kilometer setengah dari sekolah, penat juga lari. Semasa aku berjalan dekat tempat orang bermain bola, aku perasan ada seorang pakcik tua sedang duduk bersama dengan 3 orang di pondok. Tetapi, pakcik tu tidak dilayan oleh 3 orang tu seolah olah pakcik tu tidak wujud. Tanpa berfikir panjang aku pun berjalan dalam keadaan berpeluh ke tempat menunggu van. Ketika aku sudah sampai, van tu hampir meninggalkan aku. Nasib baik sempat masuk, kalau kena tinggal tentu kena marah dengan ibu bapa dekat rumah.
Beberapa hari kemudian, aku masih dengan tabiat aku iaitu tunggu di sekolah sebelum ke tempat menunggu van sementara menunggu pelajar lain balik. Aku melihat pemandangan di bawah di kawasan bilik KHB (sekolah atas bukit). Ketika melihat pemandangan, aku terdengar ada orang sedang bercakap di tingkat dua. Mereka bercakap terlalu kuat sehingga tidak selesa aku dibuatnya. Aku pun melihat ke atas siapa yang sedang bercakap, tetapi tiada siapa pun yang berada di tingkat dua. Kosong pula tingkat tu. Aku pun pergi dari situ. Masa nak balik, tiba-tiba terdengar ada orang berlari dan kejar mengejar. Aku pun jerit lah “siapa tu”. Tiada siapa pun yang menyahut. Tiba-tiba ada hentakan kaki di koridor atas, aku pun lari lah meninggalkan tempat tu. Sampai di tempat menunggu van, nasib baik van belum datang.
Dua bulan tiada benda pelik berlaku sehingga bulan oktober. Mata pelajaran Bahasa Melayu, cikgu membawa kami ke perpustakaan. Laluan di luar perpustakaan memang gelap sebab perpustakaan berada di depan bilik guru, hanya lampu siling yang dapat mencerahkan laluan itu. Sepanjang berada di perpustakaan, aku hanya membaca buku dan bosan. Ketika membaca buku, aku ternampak macam ada seseorang di luar perpustakaan. Aku pun lihat dengan teliti siapa gerangan orang itu. Aku nampak seorang lelaki dengan baju berlumuran darah. Aku takut juga masa tu, memang seram kalau lihat lelaki tu. Aku tutup muka dengan buku dan bila tengok balik benda tu sudah tiada. Kawan aku yang duduk di sebelah melihat aku dengan kehairanan, dia tanya kenapa dengan aku. Aku hanya memberitahu yang aku terkejut mimpi jatuh dari bangunan. Kalau aku beritahu dia tentang apa yang aku nampak tadi, sudah tentu dia tidak percaya.
Peperiksaan akhir tahun pun sudah berakhir, maka ramailah dekat kelas aku yang berbual tentang cuti hujung tahun. Ada yang balik kampung, ada yang bercuti ke tempat menarik, ada yang duduk rumah sahaja. Aku cuma duduk diam di tepi tingkap dan memandang kelas lain. Aku nampak kelas di tingkat atas sekali terbuka dan tertutup, aku perhati pintu itu sama ada angin yang meniup atau memang buka tutup secara sendiri. Sah, memang pintu tu buka tutup sendiri. Aku pun buat-buat tidur sementara menunggu 5 minit lagi nak balik. Selepas kes tu, maka cuti hujung tahun pun tiba. Aku tidak mahu memikirkan perkara itu sepanjang aku bercuti di kampung.
Tingkatan 2
Berlaku pada pertengahan tahun. Cikgu membawa kami ke makmal bahasa untuk belajar, mungkin belajar di makmal bahasa lebih seronok sebab tu cikgu bawa kami untuk belajar di situ. Makmal bahasa berada di tingkat paling atas sekali, dekat situ juga sangat sunyi jika dibandingkan dengan tingkat yang lain. Rasa seram sejuk pula kalau nak belajar dekat makmal bahasa, di luar pula gelap dan sunyi berbanding luar perpustakaan, gelap tapi sentiasa ada orang lalu lalang di situ. Di depan makmal bahasa pula adalah bilik muzik dan sebelah adalah makmal komputer
Sudah habis belajar, kami pun balik ke kelas masing-masing. Ketika nak ke kelas, aku terhenti kerana terdengar suara yang pelik dari bilik muzik. Aku lihat bilik muzik tu lama-lama sampai rakan kelasku memanggil aku dari jauh untuk balik ke kelas. Aku mengambil keputusan untuk melihat bilik tu waktu balik nanti. Waktu balik sudah tiba, macam biasa aku balik lewat untuk pergi ke bilik muzik tu. Aku naik ke atas secara senyap-senyap dan setelah sampai di atas, tingkat ni memang sunyi. Aku melihat bilik muzik dari luar tingkap, gitar yang berdiri teguh tiba-tiba terjatuh. Aku pun terkejut macam mana gitar tu boleh terjatuh. Aku rasa takut. Tiba-tiba aku terdengar orang menjerit minta tolong tetapi suara dia garau sikit, “TOLONG, TOLONG AKU, TOLONG AKU. Aku pun lari lah lintang-pukang ke bawah dan terus ke tempat bas (tingkatan 2 dah naik bas). Siapa lah nak tolong kalau tingkat atas tu memang sunyi.
Selepas cuti hari raya dah habis, kami sekolah seperti biasa. Aku cuma duduk diam di kelas sementara orang lain bercerita tentang hari raya di kampung. Bosan juga lah masa tu hanya mampu menconteng buku sahaja. Ketika waktu balik, aku tutup pintu kelas aku dan kelas yang lain. Dari kelas aku ke kelas sebelah dan kelas seterusnya, lebih kurang enam kelas pintunya aku tutup. Tetapi selepas tutup pintu kelas terakhir, pintu kelas aku terbuka semula sedangkan aku dah tutup rapat. Mustahil angin yang menyebabkan pintu kelas aku terbuka. Aku rasa pelik kemudian aku berlari ke kelas aku dan tutup semula pintu. Tiba-tiba aku ternampak seperti ada seorang lelaki berada di hujung koridor memandang aku dari jauh dan masuk ke kelas terakhir tadi. Aku pun pergi lah ke kelas tu. Tapi bila sudah sampai, tiada sesiapa pula di dalam kelas tu. Bulu roma aku mula meremang, memang aku nampak ada orang masuk ke kelas ini tadi, tapi bila tengok tiada orang pula. Aku pun tutup lah pintu tu dan terus balik.
Beberapa bulan kemudian, Tinggal beberapa hari lagi nak masuk cuti hujung tahun, masa tu aku dengan beberapa pelajar lepak di kantin sementara menunggu pagar sekolah tiada orang baru kami balik. Memandangkan sudah tiada orang cuma kami sahaja di kantin, kami pun balik. Ketika nak balik aku ada merasakan sesuatu seperti ada orang memerhatikan kami. Aku melihat kesana kesini, aku nampak ada seorang perempuan berambut tocang melihat kami dengan tajam di tingkat sekolah paling atas sekali. Aku pun panggil lah mereka sambil tunjuk perempuan itu. Mereka hairan dengan aku, mereka tidak nampak sesiapa pun di tingkat atas tu. Terkejut dengan apa yang mereka katakan, bila aku tengok balik, perempuan tu sudah tiada. Aku pun suruh cepat balik takut ada benda tidak diingini berlaku. Siapa perempuan tu aku tidak tahu, tetapi aku tahu sekolah aku tidak mempunyai apa-apa sejarah yang pelik.
Kisah ini berlaku setiap kali aku balik lewat di sekolah. Kisah ini aku tak pernah cerita dengan sesiapa pun sehingga hari ini termasuk rakan sekelasku. Semasa tingkatan 3, aku cuma sekolah selama sebulan sahaja di sana kemudian aku pun pindah sekolah. Maaf sekiranya cerita aku ini tidak berapa seram dan maaf juga sekiranya penulisan aku tidak berapa baik.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
persoalannye knp suka balik lewat dan tunggu orang lain balik?
Aku rase penulis ni memang “mencari pasal”