Abang Long

Assalamualaikum semua. Terima kasih Admin sudi terima cerita ni.

Nama aku Nana. Nama sebenar Nur Hanna binti Hazlan. Aku anak manja ayah. Ayah garang, tapi kalau nak dibandingkan ayah dengan mak, aku lebih rasa seram bila mak marah.
Ayah aku sejak lama dulu, dia merawat orang. Ayah aku muda lagi. Umur 40 an. Mak aku pun muda lagi. Mak muda 2 tahun dari ayah. Mak suri rumah je. Tapi dia ada buat bisnes jual tudung kecil-kecil dari rumah.

Aku anak nombor 2. Anak bongsu. Aku ada abang. Nama dia Eman. Aku panggil dia, Abang Long. Abang Long, handsome. Tinggi, kulit dia sawo matang. Badan dia sasa. Hidung dia mancung. Rambut dia panjang. Tegas orangnya. Pendiam tapi kelakar.

“Siti…Siti…Sini kejap. Tolong abang.” Masa aku berumur 6 tahun. Suatu malam, ayah aku terjerit-jerit dari belakang rumah.
Masa tu aku tengah tengok TV dengan mak aku. Mak bergegas ke pintu belakang.
Aku off TV dan berdiri terpacak tepi pintu ke ruang dapur. Tengok gelagat mak dan ayah yang kalut semacam. Aku rasa pelik.
Ayah masuk sambil memapah seorang lelaki yang cedera teruk. Muka, perut, bahu, kepala, semuanya berdarah. Lelaki tu mengerang kesakitan. Muka dia berkerut tahan sakit.

“Allah…Allah…Allah…” Dia ulang-ulang sebut kalimah Allah. Tangan dia menekup perut yang terluka. Ada darah pekat yang keluar di celah-celah jari dia. Aku ternganga. Siapa dia ni? Aku tak kenal.

“Ya Allah…Abang…Ya Allah…siapa ni, bang?” Mak aku menjerit. Terpekik terlolong sebab terkejut. Muka mak pucat. Tubuh dia menggigil.

“Siti…Perlahankan sikit suara tu. Tolong abang papah budak ni ke bilik.” Susah payah ayah papah lelaki tu masuk. Sebab lelaki tu dah tak boleh berjalan dengan elok. Terhuyung hayang.

Bila masuk je selangkah ke dalam rumah, badan lelaki tu terus melurut jatuh ke lantai. Pegangan Ayah terlepas. Lelaki tu terbaring di lantai.
“Ya Allah…Abang kata tolong pegang ni…” Ayah tunduk. Mengangkat bahagian kepala lelaki tu. Mak pulak angkat bahagian kaki. Susah payah dorang angkat lelaki tu.

Aku masih berdiri. Tengok setiap babak yang berlaku. Bila kepala aku mula rasa pening. Aku duduk di lantai. Aku memang tak boleh tengok darah. Nanti aku pitam. Tapi darah lelaki tu tak berbau. Cuma darah dia pekat. Merah. Likat. Sebab tu aku pening. Tapi, aku gagahkan diri. Walaupun lutut aku menggigil, walaupun aku dah mula berpeluh dingin, aku bangun dan berjalan ke arah bilik. Aku tertanya-tanya, siapa lelaki yang ayah bawak balik tu? Pelik.

“Siti, ambilkan besen. Letak air. Bawak sekali kotak fisrt aid tu. Teruk jugak luka budak ni. Macam mana ni? Bukan boleh nak bawak dia pergi hospital.” Susah payah Ayah baringkan lelaki tu kat tilam. Lelaki tu dah tak sedarkan diri. Mata dia terpejam rapat. Muka dia pucat lesi.
Lepas beberapa minit, mak datang dengan besen kecil dan kotak first aid.

“Bismillahirahmanirahim…Ardhibla’ ii maaa ‘aki wa yaa samaa ‘u aqli ‘i.” Ayah letak tangan di setiap luka lelaki tu dan ayah baca Surah HUD ayat 44 untuk tahan darah yang masih mengalir.

Ayah koyak baju lelaki tu sampai rabak. Ayah tarik baju dia, dan letak di lantai. Tinggal seluar yang lelaki tu pakai. Seluar hitam tapi dah kotor dengan tanah. Ayah capai tuala bersih kat rak sebelah katil, dia celup tuala dalam air. Lepas tu ayah lap badan lelaki tu. Lepas bersihkan darah. Ayah ambik kapas dan pencuci luka. Ayah sapu kat luka sambil ayah ulang-ulang baca ayat tadi. Aku tengok, darah yang membuak, dah berhenti.

“Abang. Kat mana abang jumpa budak ni? Ya Allah…abang. Kenapa abang bawak balik dia?” Mak duduk di birai katil. Mak capai tuala tadi. Mak lap muka lelaki tu. Baru jelas sikit muka dia.

“Mak…Nana pening…” aku terduduk di pintu bilik. Picit-picit kepala. Aku langut tengok lampu. Nampak cahaya pecah-pecah. Aku tunduk pandang lantai. Lantai beralun macam air laut. Aku pejam mata.

“Esok saya cerita. Awak pergi bawak budak tu tidur. Saya nak rawat budak ni kejap.” Ayah berpeluh-peluh. Begitulah ayah. Setiap kali ada orang sakit datang. Dia akan tolong sedaya upaya.

“Hati-hati, abang. Kita tak tau usul asal dia. Elok-elok, bang.” Mak meletakkan tuala tu ke dalam besen. Dan berjalan ke arah aku. Mak cempung aku masuk ke bilik.
Malam tu, walaupun aku pening sebab mabuk darah, aku tak boleh lelap. Sebab aku dengar suara lelaki tu mengerang sakit di bilik sebelah. Ayah aku pulak, meruqyah lelaki tu sampai ke lewat malam.
Aku tidur sorang-sorang. Dan macam-macam aku dengar. Aku dengar macam ayah aku bersilat dan berlawan dengan sesuatu. Aku dengar kepakkan sayap yang kuat atas bumbung rumah. Aku dengar macam bunyi pedang berlaga. Macam-macam. Tau-tau dah azan subuh. Dan lepas azan suasana sepi. Aku bangun, ambil wuduk dan solat berjemaah dengan mak. Ayah ke surau. Lepas solat subuh, mak ke dapur siapkan sarapan. Aku pulak mengantuk gila. Aku masuk ke bilik balik. Baring di katil. Aku tidur.


Pukul 8, mak masuk bilik aku. Dia kejut aku. Panggil aku sarapan. Ayah dah siap-siap tunggu kat meja makan.

“Kejap lagi bubur tu masak, bawak bubur tu ke bilik Eman. Dia dah sedar tu. Lapar agaknya. Abang ada hal sikit.” Ayah mengunyah cucur keria yang mak buat. Muka dia berkerut-kerut bila gula sira yang masih panas terkena bibir.

“Abang…Janganlah tinggal kami dengan budak tu. Saya takut. Kalau dia orang jahat ke apa? Macam mana? Kami ni perempuan abang.” Mak cakap bisik-bisik. Tapi aku dengar sebab aku duduk sebelah ayah.

“Saya ke rumah Haji Leman tu depan tu je. Allah…awak ni. Tak payah takutlah. Budak tu baik orangnya.” Ayah geleng-geleng kepala.

“Kalau ada apa-apa, saya jerit kuat-kuat. Abang jangan ralit sangat bersembang. Telinga tu pasang elok-elok.” Mak mencapai mangkuk bubur. Dia ceduk bubur nasi dari periuk.

“Letak situ. Bagi sejuk sikit.” Ayah capai cucur keria yang ke 4. Dia gigit dan kunyah-kunyah. Air kopi dihirup perlahan.

“Ayah. Abang tu sakit apa?” Aku dari tadi belek-belek cucur keria yang mak buat tu. Rasa tak selera nak makan. Aku tak suka sangat kalau manis-manis ni.

“Abang tu cedera. Kena serang ngan musuh. Nana panggil dia Abang Long eh. Mulai harini, dia akan tinggal dengan kita. Dia tu abang Nana. Nana kena hormat dia. Paham?” Kepala aku ayah gosok-gosok. Ayah memang suka manjakan aku. Sebab tu akau sayang ayah lebih.

“Abang. Takkan dia nak tinggal sini?” Mak duduk di kerusi bertentangan dengan ayah.

“Ye…” ayah hirup lagi air kopi.

“Tak apa ke?” Mak berpaling, tengok muka aku. Mak nampak risau.

“Kita kena tolong dia, Siti. Keluarga dia, sedara mara dia dah tak ada. Setengah mati dia tolong abang. Abang tak tergamak nak suruh dia keluar dari rumah ni,” Ayah mulakan cerita.

Mak menongkat dagu. Menanti cerita ayah yang selebihnya.

Aku melompat turun dari kerusi. Aku capai mangkuk bubur dan aku bawak ke bilik abang long. Aku tengok abang long tengah baring kat katil. Mata dia masih terpejam. Dada dia beralun perlahan. Aku pergi dekat dia. Aku berdiri sebelah katil. Aku tengok luka di perut dia. Dah terkatup. Tapi masih lagi merah. Lebam-lebam di badan dia masih ada. Luka di kepala dia, dah okey.

“Cepatnya lega?” masa tu, aku terfikir yang abang long salah sorang dari keluarga Superman. Sebab mustahil luka yang teruk boleh okey dalam masa beberapa jam. Aku sentuh luka kat perut abang long. Sejuk. Kulit abang long sejuk macam ais.

“Mati ke?” jantung aku berdetak laju. Takut.

“Uhuk…Uhuk…” Abang long tekup dada dia. Mata dia terbuka. Aku terkejut. Mangkuk bubur terlepas dari tangan. Abang long sambut mangkuk tu. Cepat gila. Sekelip mata je, mangkuk bubur tu ada kat tangan abang long. Aku tersenyum. Aku lompat naik ke atas katil. Aku bersila mengadap abang long.

“Abang…” punyalah seronok boleh panggil abang. Selama ni kan duduk sorang-sorang tengok TV. Main masak-masak pun sorang-sorang je. Tiba-tiba hari ni aku ada abang.

“Assalamualaikum, wahai si kecil. Siapa nama kamu?” Mangkuk bubur yang dipegang, diletakkan di atas meja di sebelah katil. Mata abang long yang berwarna kelabu, memandang tepat ke muka aku. Dia tersenyum. Manis. Dia angkat tangan, letak atas kepala aku. Dia gosok-gosok rambut aku.

“Walaikumusalam. Nama saya Nana. Abang long dah tak sakit ke? Kenapa abang long berdarah-darah semalam? Kenapa abang long ikut ayah balik? Ayah kata abang long ni abang Nana. Betul ke? Selama ni abang kat mana?” Aku tak jemu-jemu tengok muka abang long. Muka dia memang lain sikit dari lelaki yang pernah aku jumpa. Boleh dikatakan abang long, lelaki yang paling handsome yang pernah aku tengok.
Abang long tunduk. Tangan dia mencekak dahi. Raba-raba luka dia yang kat dahi. Lepas tu dia tengok ke sekeliling. Dia langut jugak pandang siling. Last sekali dia pandang muka aku. Dia senyum kelat.

“Saya…” sepatah perkataan keluar dari mulut abang long. Muka dia nampak keliru.

“Abang long. Bukan saya…” aku capai tangan abang long. Aku kira jari dia. Satu, dua, tiga, empat, lima. Okey. Aku percaya abang long ni, manusia. Walaupun tangan dia besar. Lebih besar dari tangan lelaki biasa. Jari dia panjang-panjang. Aku yakin dia manusia sebab dia paham je apa yang aku cakap.

“Ye, abang.” Dia tergelak. “Awak tak takut dengan abang?” abang long tersengih. Gigi dia putih melepak.

Aku menggeleng. “Kenapa nak takut? Abang bukan orang jahat kan? Ayah kata abang orang baik-baik. Nana tak takut.” Aku makin rasa seronok. Macam ni rupanya ada abang. Best gila.

“Abang…”

“Ye…”

“Abang lapar tak?”

Abang long diam sekejap lepas tu dia angguk. “Lapar.”

“Abang ambik mangkuk bubur tu. Nana suapkan abang makan ye. Abang long kena rehat. Ayah kata abang long cedera teruk. Tapi…” tiba-tiba aku tertanya-tanya, macam mana luka abang long boleh lega cepat?

“Tapi apa?”

“Kenapa luka abang cepat sangat lega? Semalam Nana tengok luka abang long teruk gila…”

Abang long pandang muka aku. “Dengan izin Allah. Tak ada yang mustahil, Nana.” Sekali lagi tangan besar abang long hinggap atas kepala aku. Rambut aku digosok. Lepas tu, abang long ambik mangkuk bubur. Dia bagi aku mangkuk tu. “Suap abang.” Dia membetulkan duduk.

Aku ceduk bubur. Suapkan abang long makan sampai habis.
Dan sejak detik tu, aku percaya yang aku telah ada seorang abang yang amat baik. Seorang abang yang sangat-sangat sayangkan aku. Aku dah ada seorang lelaki yang boleh temankan aku pergi mana-mana yang aku suka. Mak pun tak risau dah. Ayah pun tak adalah mengongkong aku.


Abang long, dia tak kerja. Yang aku nampak, abang long hanya tolong ayah merawat orang. Setiap kali ada pesakit datang, abang long akan sama-sama meruqyah pesakit.

“Assalamualaikum, Hazlan. Lama betul tak jumpa.” Malam tu, beberapa orang lelaki datang jumpa ayah. Sorang lelaki tua dan dua orang lelaki muda.

“Waalaikumusalam. Sihat pak cik? Yelah, saya pun sibuk. Tak sempat nak ziarah.” Ayah tersenyum sambal menyambut salam tiga orang lelaki tu.

Aku pulak, berdiri kat tepi dinding. Mengintai. Aku suka tengok ayah ubatkan orang. Macam-macam ragam ada. Bila kena ruqyah, ada yang menggelupur, ada yang merangkak, ada yang lari keluar. Ada yang melompot-lompat, ada yang berlari ke depan rumah dan bersilat sorang-sorang. Ada yang terus berdialog. Macam-macam.
Dari rasa takut, seram, seriau, terus aku jadi minat. Jadi mangli. Jadi tak heran dah.

“Nana, pergi masuk bilik. Bahaya.” Lepas solat Isyak kat bilik, bang long keluar ke ruang tamu. Sempat dia pesan kat aku masa dia lalu sebelah aku.

Aku berdegil. Aku berdiri je kat situ. Terus mengintai.

“Boleh saya tau, macam mana sakit yang awak rasa?” selalunya sebelum sesi rawatan, ayah akan tanya beberapa soalan kat pesakit. Dan ada jugak, masa sesi soal jawab ni pun dah menjerit. Menangis-nangis.

“Saya muntah darah. Tak boleh tidur malam. Saya selalu mimpi ular. Belit-belit saya. Ada yang patuk saya. Saya rasa takut. Nak buat apa pun saya rasa tak senang. Macam ada orang tengah tengok saya. Uhuk uhuk uhuk.” Lelaki tu, lebih kurang sama baya dengan abang long. Tapi dia tak kacak macam abang long. Hidung dia penyek.

“Oh, macam tu…” Ayah angguk-angguk. “Kamu sorang je ke rasa, atau ada lagi yang sakit? Family kamu?” Ayah mula membaca bismillah. Ayah angkat tangan dan hala ke arah lelaki tu. Aku nampak lelaki tu mula gelisah.
Abang long capai tasbih. Dia membaca istiqfar beberapa kali. Lepas tu dia baca Laillahaillallah. Berulang-ulang kali.

“Kau sapa nak tau pasal aku?” Tiba-tiba lelaki tadi menjerit di depan ayah. Dia meronta. Dua orang lelaki yang datang dengan dia, pegang lengan dia kuat-kuat. “Kau belum kenal siapa aku. Kalau kau kenal aku siapa, kau takkan duduk depan aku.” Dengan angkuhnya, lelaki yang sakit tu bersuara. Suara dia besar. Garau. Tak macam tadi. Mata dia terjegil luas. Air liur dia bersembur-sembur.
Aku tengok je lelaki tu. Aku rasa, aku nampak muka dia berubah. Tadi memang muka manusia, tapi sekarang ni, aku nampak muka dia berbulu. Macam monyet.

Lepas tu aku dengar abang long baca surah-surah lazim. Al Fatihah, 3 Kul dan Ayat Kursi. Lepas tu abang long halakan tangan dia ke arah lelaki tadi.
Aku nampak ada benda yang melompat keluar dari badan lelaki tu. Abang long bingkas bangun. Mengejar benda tadi yang berkepul macam asap, keluar ikut pintu.
Ayah mula merawat lelaki tu. Ayah baca rukyah. Ayah duduk di belakang dia.

Tak ada apa yang menarik kat sini. Aku dah jemu tengok ayah merawat orang. Balik-balik benda yang sama je. Klise. Habis power pun, ayah akan pegang orang yang sakit tu lepas tu ayah kena tendang sampai terpelanting ke dinding. Ataupun, orang yang sakit tu sendiri yang akan terpelanting. Bosan.

Aku berlari ke bilik. Dekat tingkap bilik aku ni, dah jadi macam pawagam. Kat sinilah abang long selalu berlawan dengan benda-benda yang keluar dari badan pesakit. Aksi abang long berlawan, best. Tak bosan. Abang long ada dua bilah pedang besar. Di kiri dan kanan tangan dia. Abang long kalau berlawan memang habis-habisan.

“Kau sudah lama buat onar dalam badan manusia. Bertaubatlah.” Suara garau abang long bergema.
Aku bukak tingkap. Bukak sikit je, sebab takut abang long nampak. Aku intai.

“Kau bukan tandingan aku.” Makhluk pelik yang berdiri di depan abang long tu, muka dia macam monyet. Muka dia berbulu. Tergaru-garu. Terlompat-lompat. Ada ekor. Ada dua ekor. Panjang. Tangan dengan kaki pun panjang. Kalau benda tu berdiri, dia lebih tinggi dari abang long.

“Ni bukan soal siapa lebih kuat. Kita ni makhluk Allah. Kita tak ada daya upaya tanpa izin Allah. Dan malam ni, kalau kau berdegil, aku akan mohon izin Allah untuk hapuskan kau.” Abang long berdiri tegak. Tak ada sikit pun rasa takut. Kedua tangan dia silang dekat dada.

“Hahaha… Kau siapa nak masuk campur urusan aku? Aku setia pada tuan aku. Aku akan bunuh lelaki tu. Kau jangan campur.” Makhluk yang macam monyet tu, melibas-libas kedua-dua ekor dia.

“Bertaubatlah. Untuk apa kau hidup hanya untuk buat aniaya kepada manusia? Kau tak takut dengan azab Allah?” abang long masih selamba. Tenang.

“Arrgh… kau juga akan aku bunuh.” Monyet tu melompat. Menerkam ke arah abang long.
Abang long tangkap tubuh monyet tu, dia angkat tinggi dan dia hempas tubuh monyet tu ke tanah.
Berdebu. Aku nampak macam ada asap yang berkepul naik ke udara.

“Nana, kamu buat apa tu?”
Kelam kabut aku tutup tingkap. Aku tarik langsir. Aku panjat katil.

“Nana nak tutup tingkap ni. Nyamuk. Nana nak tidur.” Menipu. Mak merengus. Mungkin dia tau aku menipu.

Aku rasa tak puas hati. Ikutkan aku, memang aku nak bukak tingkap balik, nak tengok abang long berlawan. Tapi aku tau, kejap lagi mak mesti akan masuk balik. Jadi, sebelum kena pukul dengan mak, baik aku paksa diri untuk tidur. Dari luar tangkap, aku dengar bunyi abang long berlawan dengan monyet besar tu. Dan, laungan Allahuakhbar, kedengaran kuat. Aku tau, abang long mesti menang.


Subuh tu, abang long tak berjemaah dengan kami. Bilik abang long gelap je. Lepas solat, ayah dengan mak melayan ceramah kat TV, aku pelan-pelan melangkah masuk ke dalam bilik abang long.

Aku ambik kerusi, aku panjat. Suis lampu aku on. Aku nampak abang long terbaring kat katil dia. Macam tulah abang long, setiap kali dia berlawan dengan benda-benda pelik tu. Ada sekali tu, aku ingat lagi. Ada sorang mak cik datang berubat nak buang saka. Saka dia kuat gila. Abang long berlawan dengan benda yang orang panggil saka tu. Sampai abang long cedera teruk. Abang long luka-luka. Muntah darah.

Pernah jugak abang long berlawan dengan makhluk macam nenek tua. Yang tu abang long kena teruk. Aku tengok abang long tak sedar diri berhari-hari. Abang long terbaring je dekat katil dia. Malam-malam ayah akan ubatkan abang long. Aku pernah menangis sebab aku ingat abang long dah mati. Kadang-kadang, aku marahkan ayah. Aku tertanya-tanya, kenapa setiap kali ayah ubatkan orang, abang long yang kena lawan dengan benda-benda jahat tu?

“Ayah, kalau suruh abang long berhenti berlawan boleh tak?” Jujur. Aku dah tak tahan tengok penderitaan abang long. Kesihan dia.

“Nana. Ayah tak pernah minta abang long kamu berlawan dengan benda-benda tu. Tapi, dia jugak perawat. Itulah cara dia merawat. Kami sama-sama merawat. Dia gunakan cara dia. Ayah gunakan cara ayah. Kamu jangan fikir pasal benda ni. Kamu kecik lagi.” Ayah gosok-gosok kepala aku.

Aku terdiam setiap kali ayah cakap macam tu. Hati aku akan rasa sedikit lega. Tapi rasa kesian kata bang long tetap menebal. Aku sayang abang long.

“Abang long…” aku hinggut-hinggut lengan abang long. Kat lengan dia ada beberapa kesan calar. Masih merah. Di dada abang long pun ada luka. Di pipi abang long. Di dahi abang long ada kesan lebam. “Abang long…bangunlah. Abang jangan tinggalkan Nana. Siapa nak teman Nana pergi sekolah? Siapa nak tolong Nana galas beg sekolah yang berat tu? Abang long, bukaklah mata.” Air mata aku meleleh kat pipi. Sebak gila bila tengok abang long dalam keadaan lemah macam tu.
Aku dakap abang long. Kuat-kuat.

“Nana…” abang long angkat tangan dia, letak atas kepala aku. Dia gosok-gosok kepala aku. Aku berdiri tegak. Sapu air mata. Aku rasa lega sebab abang long masih hidup.

“Abang long. Sudahlah tu. Abang long janganlah berlawan dengan benda-benda pelik tu lagi. Nana tak suka. Nana tak nak abang long mati. Kalau abang long mati, Nana tak ada siapa-siapa dah. Nana ada abang sorang ni je.” Aku sentuh luka kat perut abang long. Banyaknya parut-parut luka yang lain. Tubuh abang long ni dah macam pokok getah. Penuh bekas toreh. Bukan setakat tu. Badan abang long penuh bekas tikam, bekas cakar, bekas sebat.
Abang long seka air mata aku.

“Abang buat semua ni kerana Allah Nana. Abang ikhlas. Jadi perawat ni bukan mudah. Suatu hari Nana akan paham. Nana…”

Aku sapu air mata dengan belakang tangan. “Ye…”

“Nana tolong ambikkan abang air. Abang dahaga ni. Dah subuh ke?” abang long gagahkan diri untuk bangun. “Abang nak solat.”

Aku tolong dia bersandar kat kepala katil. Aku langut tengok muka abang long. “Nana sayangkan abang long. Abang long jangan mati tau.” Aku menangis lagi.

“Mati kan aturan Allah. Cepatlah ambik air. Tekak abang sakit ni.”
Aku nampak ada darah meleleh dari celah bibir abang long. Dia terbatuk-batuk. Aku tau abang long cedera teruk. Aku tau…


Kisah hitam dalam hidup aku bermula bila ayah merawat sorang mak cik tu. Nama dia Mak Cik Has. Mak cik ni memang pelik. Kalau tengok muka dia pun dah seram. Apatah lagi kalau sembang dengan dia.

“Kau pun boleh nampak yang aku punya?” ada satu malam, Mak Cik Has datang sambung berubat. Ayah keluar ke rumah sebelah pergi ambik daun limau purut. Aku pulak melilau kat ruang tamu, cari buku nota sains. Sekali, Mak Cik Has tegur aku.
Mata dia bulat. Merah. Tercegil ke arah aku.

“Eh, jangan kacau budak tu, Has…” suami Mak Cik Has, pegang lengan dia. Cuba tenangkan dia. Aku berdiri depan Mak Cik Has. Geram pulak aku dengan Mak Cik Has ni. Entahlah kenapa. Bila tengok dia, aku tak rasa takut, aku rasa geram.

“Bismillahirahmanirahim…” Aku baca ayat 1000 dinar. Kuat-kuat.

“Budak tak guna…Arghhh Arghhh…” Mak Cik Has menjerit sekuat hati. Bergema satu rumah. Aku berjalan selamba masuk bilik, sambung buat kerja sekolah. Mak yang tengah buat air kat dapur, berlari keluar. Kebetulan ayah dah balik masa tu. Ayah sambung merawat.


Aku bukak tingkap. Sepi. Sejak abang long pergi sambung belajar, hidup aku memang sunyi. Ayah kata, abang long pergi belajar agama. Setahun dah dia tak ada kat rumah ni. Setiap hari aku tunggu dia balik. Tapi…
Malam tu, aku tidur lewat sebab buat nota sains. Sejak dari pukul 12 malam lagi, aku dah rasa lain macam. Entahlah, rasa dia susah aku nak cerita. Dan setiap kali aku rasa macam ni, aku tak pernah cakap kat ayah atau mak. Aku pendam. Aku hadap je sorang-sorang.

“Allah bagi kita kelebihan, mesti ada sebab. Terima, syukur. Guna untuk buat benda baik.” Pesan abang long aku masih ingat lagi. Aku pegang kata-kata dia tu.

Pukul 3 pagi. Badan aku rasa berbahang. Sampai berpeluh-peluh. Aku tinggalkan nota, aku pergi mandi. Masa mandi pun bahang tu masih terasa. Aku biarkan. Aku baca surah-surah pendinding. Telinga aku mula dengar macam-macam. Salah satunya, aku dengar suara Mak Cik Has tengah ketawa. Tengah berbisik-bisik.

Aku siap-siap dan aku naik ke katil. Tak ada mood nak sambung study. Aku baca doa tidur, aku baca 3kul, ulang 3 kali, sapu dari kepala sampai kaki, macam Nabi ajar. Baca ayat kursi. Aku mengiring, tindih rusuk kanan.

Masa aku baru nak lelap, aku nampak ada bayang-bayang yang melintas depan aku. Aku bukak mata, aku baring telentang. Tiba-tiba tubuh aku jadi kaku. Mata masih terbuka, tapi tubuh aku macam lumpuh. Otak aku masih berfungsi, tapi aku tak boleh nak kawal badan aku. Dari jauh, aku nampak sorang lelaki. Hitam. Badan dia besar. Tinggi. Lengan dan kaki dia berbulu. Rambut dia kerinting. Mata dia dua-dua buta. Soket mata dia lohong. Berlubang. Mulut dia terkoyak sampai ke telinga. Dan, dia berbogel.

Aku sebut dalam hati, “Allah…Allah…Allah…” aku serah diri kepada Allah. Allahlah sebaik-baik penjaga. Masa tu aku dengar suara Mak Cik Has ketawa. Berdekah-dekah.
Aku tau, benda tu belaan dia.
Lelaki hitam tu mundar-mandir kat hujung katil aku. Tapi dia tak boleh dekat. Sebab aku dah pagar keliling katil sebelum tidur tadi. Mujur.
Badan aku yang keras kejung, macam kena tarik. Tubuh aku berguling jatuh ke lantai. Masa ni, makhluk huduh yang berbogel tu terkam aku. Tapi, aku tak boleh nak jerit. Suara aku tersekat kat tekak.
Tingkap tiba-tiba terbuka. Ada seseorang terbang masuk.

Zap!

Aku dengar. Bunyi macam benda kena lapah. Aku masih kaku. Tak boleh nak bergerak. Badan rasa tak berfungsi. Kejung.
Makhluk tadi hilang.
Dan, aku nampak ada seseorang terbang keluar dari tingkap. Kejar benda jahat tu.
Aku bangun bila badan aku rasa dan okey. Aku berdiri dan tubuh masih menggigil. Bagi sorang anak dara, tak ada benda yang paling menakutkan selain ‘Rogol’. Tadi, aku rasa masa depan aku memang dah gelap. Makhluk besar yang berbogel tu, memang nak musnahkan masa depan aku. Mungkin, Mak Cik Has berdendam dengan aku.

“Nana…awak okay?”
Aku tekan suis. Lampu kedua dalam bilik aku terpasang. Bilik lebih cerah.

“Abang long?” muka aku berkerut. Aku mengundur ke belakang. Nafas aku deras. Ketakutan mula menyerang. Aku menggigil. “Abang long…tadi, abang long…” suara aku tersekat-sekat.

“Abang minta maaf…” Abang long tunduk.

“Kenapa abang long minta maaf.” Aku menggeletar. Sebab aku pasti, orang yang terbang keluar dari tingkap tadi adalah abang long.
Abang long pakai baju serba putih. Seluar kain kapas warna putih, baju warna putih. Aku pasti, abang long yang terbang tadi.

“Abang…siapa abang ni sebenarnya?” aku terduduk di lantai. Badan aku jadi lemah. Tak mampu berdiri.
Abang long melutut di sebelah aku. Dia tarik aku ke dalam dakapan dia.

“Nana…”

“Jangan! Jangan abang long.” Aku tolak tubuh abang long. Aku menangis.

Abang long bersila di lantai. Terkebil-kebil mata dia. Mungkin dia pun mati akal. Tak tau nak pujuk aku macam mana. “Nana…abang long…”

“Jangan panggil nama Nana. Eman. Awak Eman. Bukan abang long lagi. Jangan panggil saya Nana. Keluar! Keluar.” Aku meraung. Aku menjerit. Memekek sekuat hati. Sepuas hati.

“Nana…Nana…” Mak dan ayah bukak pintu. Dorang berlari masuk. Kelam kabut. “Kenapa ni Nana? Kenapa?” ayah peluk aku. Kuat-kuat. Sambil baca ayat-ayat suci Al-Quran.
Mak menutup tingkap. “Nana suka tidur bukak tingkap kan? Bahaya tau tak?” sempat mak membebel.
Ayah masih memeluk aku.
Eman, masih di situ. Tapi, aku hairan. Kenapa mak dan ayah tak nampak dia?

“Sekarang ni, awak je yang nampak saya.” Eman bersuara perlahan.
Sejak malam tu, aku minta nak tinggal kat asrama. Sejak malam tu jugak aku rasa aku manusia paling bodoh. Kenapalah selama ni aku terlalu lurus. Percaya yang Eman adalah abang aku. Walaupun aku tau dia tak sama macam lelaki lain. Tapi aku tetap yakin yang dia abang long aku. Tapi, malam tu, semua kepercayaan aku kat dia, musnah. Hancur. Lebur.


Lepas SPM, aku masuk matrikulasi, masa ni ayah dah teruk. Ayah selalu muntah darah. Tubuh ayah kurus. Mak pun sakit. Aku tertekan. Belajar pun tak boleh nak tumpu.

“Kalau ayah mati. Nana jaga diri. Jaga kelebihan yang ada pada Nana.” Setiap kali balik ke kampung bercuti, ayah selalu pesan macam tu.

“Nana, aku akan jaga kau. Kau jangan risau. Aku akan cuba iktiar ubatkan ayah kau. Ubatkan mak kau. InsyaAllah dorang akan sembuh.” Masa tu aku kat asrama. Eman ada datang.

“Kau keluar sekarang! Aku tak nak berkawan dengan kau, Eman. Kau jin. Kau penipu. Kau tak payah susah payah nak tolong mak ayah aku. Mak ayah aku sakit sebab kaulah. Sebab benda-benda jahat yang kau lawan tu. Benda-benda tulah yang serang ayah. Kau pulak hilangkan diri. Kau jahat, Eman. Jahat.” Aku bertempek sorang-sorang macam orang gila. Sampai roommate aku lapor kat cikgu kaunseling dan aku kena panggil. Ye, biasalah, orang yang tak pernah hadap benda ni. Dorang akan kata aku gila.

Seminggu lepas tu, aku dapat panggilan dari pak cik aku. Ayah aku dah meninggal. Lima hari lepas tu, mak aku pulak menyusul. Aku redha. Pemergian mak dan ayah, beri aku satu cabaran untuk hidup berdikari. Sekarang, hidup aku tanpa ayah, tanpa mak.


Hari ni, aku tengok, mak ayah orang lain bukan main happy lagi hantar anak-anak ke universiti. Aku? Aku datang dengan bas je. Angkut beg sorang-sorang. Daftar sorang-sorang. Aku dah jadi seorang Nana yang sangat-sangat berdikari. Bukan lagi seorang Nana yang manja macam dulu. Tapi, luaran aku ni memang nampak kuat, nampak tabah. Tapi saban malam, aku menangis kerana terlalu tertekan.

Aku tabahkan hati. Aku rindukan ayah, rindukan mak, juga aku rindukan abang long. Sungguh. Aku rindu abang long yang selalu letakkan tangan dia kat atas kepala aku dan usap-usap rambut aku. Aku rindu abang long yang selalu sanggup buat apa saja untuk aku. Tapi abang long yang dulu dah tak ada. Yang ada sekarang ni cuma…
Tiba-tiba kepala aku rasa berat. Aku dongak. Aku tengok Eman berdiri di sebelah aku. Dia letakkan tangan dia atas kepala aku. Dia usap rambut aku. Mata Eman berkaca-kaca. Lepas tu air mata bergolek di pipi dia. Dia tenung aku.

“Allah temukan kita pasti bersebab.” Satu ayat itu buat hati aku sayu. Apa salah dia? Kenapa aku marah dia? Dia tak pernah pun buat benda jahat kat aku. Hanya kerana dia bukan manusia. Hanya kerana dia bukan abang kandung aku. Aku terus buang dia setelah segitu banyak kasih sayang dia limpahkan buat aku.
“Jangan menangis. Allah bagi ujian sebab nak kita makin dekat dengan Dia.” Memang. Dalam saat aku membenci Eman. Dia pulak tak pernah jemu bagi aku semangat.

“Abang long…” aku teresak-esak. Siapa lagi yang ada di sisi aku, kalau bukan dia? Sekarang ni aku hanya ada abang long.

TAMAT

Terima Kasih sudi baca.
Ijam Kachak.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Ijam Kachak
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

37 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.