Akibat dengki sihir diberi

Salam kepada semua yang membaca Fiksyen Shasha. Nama saya Megan Yedda tapi orang panggil Megan saja. Kisah yang aku ingin kongsikan ini tidaklah seram mana pun hanya sekadar dijadikan sebagai pengajaran dalam hidup kita semua. Ini kali pertama aku kongsikan kisah ini di Fiksyen Shasha. Tapi kali ini aku hanya ingin menceritakan kisah yang berlaku pada tahun lepas di mana aku hampir kehilangan orang yang aku sangat sayang iaitu ayahku sendiri.

Kisah ini terjadi setelah ayahku balik cuti dari tempat kerjanya. Ayahku sering rasa tidak sedap badan, sakit kepala yang teruk, suhu badannya sering panas tapi dia berasa sangat sejuk walaupun di siang hari dan tiada selera untuk makan. Ibuku menyangka ayahku sakit demam biasa saja dan telah menghantar ayahku ke hospital. Hari demi hari, keadaan ayah semakin teruk dan sering dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi masih lagi tiada perubahan.

Selama sebulan ayahku tidak memakan nasi kerana tiada selera makan. Setiap kali dia makan, dia akan muntahkan semula makanan tersebut dan mengatakan bahawa makanan itu tidak sedap. Badan ayahku kelihatan sangat susut. Malah setiap malam dia selalu bermimpi terjumpa lembaga hitam dan lembaga itu ingin membunuhnya. Itu menyebabkan ayah sering meracau ketika tidur.

Sejak ayah sakit, aku sering mendengar bunyi tapak kaki orang berjalan di hadapan pintu bilikku malah ada org mengetuk pintu bilik ku tapi bila dibuka pintu tiada siapa di luar. Hal ini telah membuatkan aku paranoid. Aku pun memberitahu kepada ibu tentang apa yang terjadi. Ibu mengambil keputusan untuk membawa ayah berjumpa dengan bomoh pawang untuk menyembuhkan ayah kerana ibu tahu bahawa ini bukan penyakit biasa. Ayah telah terkena perbuatan orang.

Ramai saudara aku memberikan alamat tempat bomoh-bomoh tersebut untuk mengubati ayahku. Malah tiada seorang pun dapat menyembuhkan ayahku. Mereka mengatakan bahawa ilmu hitam ini terlalu kuat untuk dilawan. Sihir ini dihantar atas sebab dengki dengan ayahku. Ada salah seorang bomoh ini dapat mengetahui siapa yang menghantar sihir ini. “Ku tahu siapa yang menghantar sihir ini. Orang itu adalah kawan baikmu sendiri. Sihir ini dihantar olehnya melalui baju mu. Baju itu telah kamu pakai dan sihir itu telah melekat ke tubuhmu. Tetapi aku hanya mampu memberikan kamu pendinding untuk tubuh kamu sahaja kerana sihir ini terlalu kuat untuk ku lawan. Ini angkara perbuatan dengki terhadapmu”. Katanya bomoh itu.

Aku dan ibu berasa sangat terkejut mendengar penjelasan dari bomoh itu. Malah orang yang menghantar sihir itu sangatlah aku kenal. Namun aku dan ibu tidak berputus asa untuk menyembuhkan ayahku. Hampir seluruh daerah di negeri Sarawak kami cari orang yang dapat menyembuhkan ayah. Keadaan ayah semakin teruk, malah sering memuntahkan darah. Setelah puas mencari akhirnya kami dapat jumpa dengan bomoh yang dapat menyembuhkan ayah. Tetapi mengambil masa yang sangat lama untuk menyembuhkan ayah ku kerana untuk mematahkan sihir itu sangatlah sukar.

Setelah beberapa bulan berubat, akhirnya ayah ku sembuh sepenuhnya. Selera makannya kembali lagi dan telah membuatkan badan ayahku menjadi sihat semula seperti sediakala. Akan tetapi bomoh itu mencadangkan untuk menghantar kembali sihir itu kepada orang itu tetapi ayahku melarang kerana tidak mahu membesarkan lagi masalah dan memaafkan perbuatan kawan baiknya itu walaupun pernah cuba membunuhnya.

Ayah percaya Tuhan itu adil dan akan membalas perbuatan syiriknya itu di akhirat nanti.
Sampai disini sajalah kisah yang dapat saya kongsikan. Maaf jika ada tersilap bahasa dan tidak seram atau tidak menarik. Sekian terima kasih.

Hantr kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Megan Yedda

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.