Akibat Teringin Ke Tasik Kenyir

Assalamualaikum semua warga fiksyen shasha. Nama aku Dianne. Aku nak cerita pengalaman sebenar aku baru-baru ini semasa ke Terengganu.

Baru-baru ini aku pergi ke Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan serumah di Besut. Aku pergi berdua bersama rakan serumah ku juga yang aku kenalikan dengan nama kak Nurul. Sepatutnya kami pergi berempat ke sana tetapi lagi dua rakan ku tidak dapat sertai kerana ada urusan kerja. Untuk pengetahuan kamu semua kami berdua tidak pernah ke Terengganu sendirian tanpa “guided”. Jadi kami ke sana menggunakan aplikasi Waze.

Majlis perkahwinan berlangsung pada hari Sabtu. Selesai sahaja majlis perkahwinan kami bergegas untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana keesokkan harinya Kak Nurul bekerja. Sebelum pulang kami singgah di Pantai Penarik kerana sudah alang-alang di sana kami mengambil kesempatan mencuci mata.

Selepas itu,kami ingin pulang ke Kuala Lumpur. Kak Nurul memasang aplikasi Waze ke Kuala Lipis kerana ingin menyinggah ke kampungnya. Waze mula menunjukkan arah perjalanan. Semasa dalam perjalanan kami berbual-bual.

“Banyak-banyak tempat kat Terengganu ni,akak tak pernah pergi Tasik Kenyir” kata kak Nurul.
“Saya pun sama walaupun dulu sekolah selalu buat lawatan ke sana” sambungku.

Jalan yang kami lalui itu mengalami kesesakan sebab ada pembaikpulih jalanraya. Waktu itu jam sudah menunjukkan 5 petang. Kak Nurul memberi peringatan untuk berhenti di masjid bagi menunaikan solat Asar memandangkan jauh lagi perjalanan kami.

Selepas jumpa masjid,kami memulakan perjalanan menggunakan aplikasi tersebut. Aku memandu berdasarkan arah yang dinyatakan. Sampai di simpang untuk masuk ke jalan,aku terlepas pandang untuk membelok.

“Dianne,kita dah terlepas jalan yang nak kena masuk tu” kata kak Nurul.
“Alamak nak kena patah balik ke?” kataku
“Takpelah kita patah balik,akak ingat simpang nak masuk tu” katanya.
Aku pun memandu ke arah yang rakanku tunjukkan tapi aplikasi tersebut masih dibuka. Apabila memasuki simpang tersebut tiba-tiba waze menukarkan arah untuk patah balik.

“Adoi waze ni gila dah! Dah pukul 6 petang ni nanti malam sangat” kak Nurul mula nak marah.
“Pakai google maps je la, kadang waze kalau takde line dia jadi gitu” aku memberikan cadangan.
Kami lega google maps memberikan arah yang ingin kami lalui tadi. Tidak berapa perjalanan terdapat satu pokok yang tumbang yang sedang di alihkan oleh orang kampung. Tetapi kami tetap melalui jalan tersebut walaupun baru sedikit bahagian pokok tumbang yang dialihkan.

Aku meneruskan pemanduan sehingga masuk ke satu perkampungan dan aku baca papan tanda tulis tasik kenyir. Kami gembira kerana baru sahaja sebut hendak ke tasik kenyir kami akan melalui tasik tersebut,teringin nak tengok tasik itu. Tiba-tiba ada seekor kucing hitam melintas sewaktu aku memandu laju dan aku menekan brek secara mengejut kerana terkejut. Aku tunggu sehingga kucing itu pergi. Selepas itu rakanku menanyakan sama ada aku melanggar kucing itu atau tidak kerana dia tidak nampak kucing hitam tersebut setelah aku berhenti mengejut. Setahu aku, aku tidak melanggar kucing tersebut.

“Awak tak langgar kan kucing tu?” kata kak Nurul berulang kali.
“Mana ada kak,kalau langgar rasa la macam langgar sesuatu,takde pun” kataku.
“Kucing hitam tu, orang tua kata petanda tak baik” katanya.
“Eh tak de apalah, kucing tu lari laju dah sebab takut nak kena langgar” aku cuba menyedapkan hati.

Kami mula memasuki kawasan tasik dan aku sudah nampak papan tanda tasik kenyir. Aku kata “akhirnya sampai juga ke tasik kenyir kan ?”. Tetapi rakanku hanya mengiakan sahaja. Untuk melalui jalan tersebut kira-kira 60km sebelum jumpa jalan utama. Rupanya baru aku tersedar jalan yang kami lalui itu adalah jalan yang orang sangat sangat sangat jarang lalui,hanya jumpa kereta ke satu kereta mengambil masa 5-10minit juga. Kiri kanan jalan cuma kawasan bukit bukau dan hutan. Jalan pula bengkang bengkok seperti ular kena palu dan banyak lubang,yang pasti jalan tidak elok! Mungkin jalan rosak disebabkan lori-lori besar melalui jalan ini.

Tiba di suatu kawasan tinggi ini, terdapat kabus yang sangat tebal yang kami perlu lalui. Aku cuba membuka lampu tinggi tetapi tidak boleh dan aku mula rasa gelisah. Nasib aku bawa perlahan kerana semasa itu pun hujan turun renyai-renyai. Aku sudah rasa tidak sedap hati. Aku tahu rakanku pun merasakan hal yang sama kerana kami hanya diam seribu bahasa, dengan siaran radio yang rosak-rosak tak dapat frequensi. Dalam melalui kabus tu aku berdoa dalam hati supaya dilindungi. Aku lega tiba-tiba ada cahaya lampu dari sebuah treler yang menyuluhku. Aku lihat jalan di hadapan sangat teruk dan berlubang sana sini sebelah kiri kami seperti gaung. Kabus itu mula menghilang sedikit demi sedikit,aku rasa seram sebenarnya waktu itu sebab aku fikir kalau aku pandu laju tadi apa jadi kan. Terasa amat lama melalui jalan itu.

Rakanku mula bersuara menyatakan isi hatinya yang tidak sedap itu.“ Dianne,sebenarnya akak tak suka lalu jalan macam ni. Dahlah takde kereta lalu,kalau bole kita kena keluar dari jalan ni sebelum maghrib “.
Aduhai perempuan ni pergi tegur dah kenapa la. Aku cakap dalam hati.
“Awak line apa? Akak takde line ni,digi. Kenapa awak punya ada line? “ katanya lagi.
“Saya digi jugak kak. Kan benda “kuning” tu selalu ikut ke mana kita pergi” kata saya sambil tersenyum. Korang ingat kan iklan digi dulu-dulu tu,aku cuba melawak tapi dia diam takut pulak.Aduhai~
“Kalau saya ada line share la location kat siapa-siapa” arahku.
“Location apa pulak?’’ aduhai dia ni tak faham pulak. Aku suruh dia kongsi “live location” di whatsApp.
“Hmm,takde apa la. In shaa allah keluar la nanti awal” kataku lagi nak sedapkan hati je.
Akhirnya kami dapat juga keluar dari jalan tersebut sebelum maghrib, pukul 7.10malam tidak silap. Keluar sahaja dari simpang menuju jalan utama azan berkumandang di radio. Ya Allah kami berdua sangat lega tak berada dalam kawasan itu sampai waktu malam. Kalau malam lagi gelap gelita, entah apa lagi nak kena hadap. Kami bersyukur sangat.

Kesimpulannya, jangan berkata sesuatu ikut sedap mulut di tempat orang. Akhirnya kami dapat juga ke tasik kenyir itu tetapi dalam keadaan tidak rela. Sekian.

DIANNE IRAH
Akibat Teringin Ke Tasik Kenyir
6.4 (64.39%) 41 votes

10 comments

  1. kucing melintas, pokok tumbang, terlepas simpang, takde line tu semua biasa je laaa… baru mule hidup ke dik….

  2. Boleh dikatakan setiap bulan ulang alik Terengganu-Kelantan lalu jalan tasik kenyir ni. Situ memang line phone x kuat. Kalau boleh elak waktu malam sebab jalan penuh lubang je. Alhamdulillah xde apa2 buruk pernah berlaku.

  3. jalan dari kuala berang kalau nak g Lipis memang lalu jalan aring tu, jalan tu memang banyak lubang. Malam orang jarang lalu hanya lori balak je yang lalu.

  4. First time baca cerita yang hambar gila. Mana seram nya pun tak tahu. Buang masa je baca panjang2. Stop menulis k. Mungkin anda seorang pembaca yg baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.