Aktiviti Sewaktu Di Matrikulasi

Cerita ini berdasarkan pengalaman aku ketika mengikuti satu aktiviti sewaktu belajar di Matrikulasi. Kisah ini tidaklah seram seperti kisah – kisah yang lain tapi aku mahu berkongsi kisah ini. Bermula di mana aktiviti itu dijalankan di sebuah kem BTN (Biro Tatanegara) dari hari Jumaat petang sehingga Ahad pagi. Dalam pukul 3 petang selepas solat Jumaat, bas bertolak dari matrikulasi dan kami semua tiba ke kem tersebut dalam masa satu jam. Setibanya di kem tersebut, kami diminta berkumpul di dewan dan sedikit taklimat sebelum kami diarah untuk isi satu borang penempatan peserta. Aku dan 4 orang rakan sama satu bilik. Bilik kami agak hujung dan sunyi berbanding dengan bilik di blok lain.

Aku dan seorang rakanku, namanya Nurul pergi ke bilik tersebut terlebih dahulu untuk meletakkan barang. Kami membuka pintu dan memberi salam sebelum melangkah masuk ke bilik itu. Di dalam bilik tersebut ada 10 katil bertingkat dan kami diarahkan untuk menggunakan katil ditingkat bawah sahaja. Aku mengambil katil paling hujung bersebelahan almari. Aku kibas katil sambil berselawat serta membaca surah 3 Qul, disusuli memasang cadar katil dan bantal yang disediakan oleh pihak kem tersebut.

Tidak lama selepas itu, aku mendengar bunyi seperti orang menyusun tray stainless steel tapi dewan makan jauh dari blok kami dan bunyi itu sangat kuat dan seakan datang dari bilik sebelah. Aku diam dan tidak bertanya sama ada Nurul dengar atau tidak apa yang aku dengar. Kemudian Nurul bertanya dalam fon aku ada mp3 ayat-ayat al-Quran tak, aku angguk dan dia suruh mainkan surah al-Baqarah. Aku pasang dan biarkan fon aku dalam bilik itu dan bunyi orang menyusun tray itu masih kedengaran sewaktu kami ingin beredar dari bilik itu dan menuju ke dewan makan.

Sejurus tiba di dewan makan, Nurul bertanya aku dengar tak bunyi bising masa dalam bilik itu. Aku terus menjawab “ya”. Nurul kata dia rasa ada benda tinggal kat bilik sebelah bilik kami tapi as long as benda tu tak ganggu kami dia boleh tolerate dengan bunyi – bunyi macam itu. Alhamdulillah, pada malam pertama tiada apa berlaku pada aku dan 4 orang rakanku.

Masuk hari kedua, bila aku dan Nurul sahaja berdua dalam bilik itu macam-macam bunyi kami dengar datang dari bilik sebelah. Kami tidak menegur bunyi itu dan terus berbual seperti tiada dengar apa – apa bunyi. Aktiviti di malam itu berakhir agak lewat hampir pukul 1 pagi. Kami membersihkan diri dan menunaikan solat Isya’ selepas selesai makan. Aku mengibas tempat tidur terlebih dahulu sebelum baring.

Entah kenapa aku berasa agak gelisah dan tidak senang untuk tidur pada malam itu. Lampu bilik dipadam dan hanya lampu koridor menerangi bilik kami. Aku menoleh ke kiri melihat Nurul dan tiga lagi rakanku bermain telefon dan masih belum ada tanda mahu tidur. Disebelah kanan ada almari yang memisahkan bilik kami dan bilik sebelah. Kami boleh menjengah bilik sebelah sekiranya kami berada di katil tingkat atas.

Saat aku menoleh ke sebelah kanan, aku terkejut kerana ada kepala tergantung di atas almari itu. Benda itu seakan akan memerhati bilik kami. Aku menutup mata aku, terus berzikir dan membaca surah – surah pelindung diri di dalam hati. Aku menahan diri dari menjerit kerana tidak mahu benda itu menganggu rakan – rakan yang lain. Aku tidak sedar saat bila aku mula tertidur dan hanya sedar bila siren menandakan masuk waktu subuh berbunyi.

Aktiviti pagi itu berakhir dengan lancar. Kami menaiki bas menuju pulang ke matrikulasi. Masa dalam bas, saat semua orang tidur, Nurul bertanya pada aku, kenapa aku tidur tak bergerak. Aku diam pada mulanya tidak mahu menjawab, nurul bersuara lagi, “Kau nampak benda tu kan? Sebab tu kau tak bergerak terus lepas kau kalih ke kanan, betul tak?”. Aku angguk dan berkata, “Ha’ah, aku nampak benda tu malam tadi atas almari. Aku tak nak menjerit sebab tu aku diam tak bergerak”. Nurul kata dia dah agak aku nampak benda tu sebab dia rasa macam ada benda tengah perhati kami semua tapi dia tak nampak benda tu dekat mana.

Hanya Allah sahaja tahu betapa takutnya aku kerana rupa benda itu sangat menakutkan tidak dapat dibayangkan hodohnya kerana rupa dia lagi hodoh dan menakutkan daripada hantu – hantu di dalam filem. Berakhirlah kisahku. Maaf sebab tak seram kerana hajatku sekadar ingin berkongsi pengalaman aku nampak benda hanya berkepala dan tergantung atas almari.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Anne
Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 4.7]

3 thoughts on “Aktiviti Sewaktu Di Matrikulasi”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.