Aku, Dia dan Skrip Hitam

Pertama sekali aku nak ucapkan jutaan terima kasih kepada admin FS kerana sudah tiga kali perkongsian cerita dari aku telah dipilih dan dipaparkan. Salah satunya bertajuk Aku, Zira dan Pondok-Pondok.

Minggu lepas aku follow abah aku dan bapak sedara aku dua orang bawak makcik aku pergi berubat dengan seorang ustaz. Makcik aku tu selalu kena kacau dan nampak benda-benda tak elok dan seram. Alhamdulillah lepas seminggu berubat nampak macam dia ok dah.

Lepas berubat tu, dia tidur rumah kami sebab dia kata dia takut nak tidur rumah sewa dia tu buat masa ni. So, pagi tadi, masa tengah sarapan sekali sebelum pergi kerja, aku tanya lah dia apa yang berlaku sebenarnya. Dan dia share lah sebuah cerita apa yang berlaku lima tahun dulu.
Perkongsian kali ini bukanlah daripada pengalaman aku tetapi daripada pengalaman makcik aku yang bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan. Aku suruh dia kongsikan kat page Fiksyen Shasha ni tetapi dia kata dia malas nak mengarang. Dan dia kata dia benci orang nama Shasha. Tapi, Kenapa?

Dia kata kalau nak jugak, biar aku je yang karang dan share. So, this is the story about Aku, Dia dan Skrip Hitam.

….

Aku merupakan seorang pensyarah bahasa ketiga di sebuah universiti tempatan di negara tercinta ini. Minat aku dalam mempelajari pelbagai bahasa telah membawa aku naik berjaya setinggi ini. Setakat hari ini, aku mahir dan lancar bertutur dalam 9 buah bahasa selain Bahasa Melayu.

Kisahnya, kira-kira lima tahun dulu, aku ditugaskan untuk mengajar subjek Bahasa Jepun di sebuah fakulti bukan bidang bahasa di universiti tempat aku mengajar tu. Sesi pengajaran dan pembelajaran antara aku dan pelajar berjalan lancar seperti biasa. Tapi, masa kat sini, aku dapat seorang pelajar yang cukup lembab dan cukup malas. Aku gelarkan dia ni, Hitam, sebab memang kulit dia gelap sikit berbanding rakan pelajarnya yang lain. Lagipun, nama manja panggilan dari kawan-kawan dia pun Hitam jugak. Hitam ni baik budaknya tapi dia ni jenis lembab, susah nak catch up apa yang aku ajar dan tak ada effort untuk fahamkan. Sikap acuh tak acuh dia tu buat aku selalu angin dengan dia ni.

Menjadi kebiasaan setiap semester, para pelajar yang ambil third language ni akan diberi tugasan untuk menghasilkan sebuah filem pendek mengikut kreativiti mereka dan mestilah bertutur dalam bahasa ketiga yang mereka belajar tu. Dan, aku biasanya memang aku suruh pelajar aku hantar skrip mereka terlebih dahulu sebelum mereka mulakan sesi pengambaran.

Nak dijadikan cerita, Hitam dan kumpulannya hantar sedikit lewat. Geram jugak la kan. Dah bagi tempoh lama tapi still hantar lewat. Tapi, aku tak la kejam sangat. Aku terima je.

Malam tu, masa dekat rumah, aku review satu persatu skrip dari kumpulan pelajar dalam kelas aku. Ada 5 kumpulan semuanya. 4 daripada skrip tu ok lah. Boleh tahan la cerita dia. Tapi, skrip dari kumpulan Hitam ni adalah cerita hantu. Aku dah mula bengang. Bukan apa, setiap tahun, setiap kelas aku ajar mesti ada kumpulan yang buat tema hantu ni. Bosan tau tak. Sebabnya biasanya mesti banyak ayat skrip yang diorang pakai ni tak menepati silibus dan banyak yang google translate. Skrip kumpulan Hitam ni pun sama lah.

Next class, bila aku masuk ke kelas. Aku marah kumpulan diorang terutamanya Hitam selaku ketua. Aku cakap skrip mereka sampah. Aku lempar kertas skrip tu atas meja dia dan aku suruh dia buat cerita baru. Aku nampak muka dia kecewa. Tapi, selaku pengajar aku kena tegas.

3 hari kemudian, aku diberitahu bahawa Hitam meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Masa mula-mula aku dapat tau, aku ingatkan dia b***h diri sebab stress aku marahkan dia ke apa. Takut jugak la. Entah macam mana, aku ter rajin pula datang ziarah keluarga dia. Rumah Hitam tak jauh pun dari universiti. So, aku join jugak majlis tahlil malam tu.

Kisah misteri bermula. Aku masuk ke dalam kereta, aku letak handbag atas kerusi sebelah pemandu. Masa nak letak tu, aku ternampak kertas atas seat tu. Aku ambik, aku tekan lampu dalam kereta, aku baca. Terkejut aku. Rupa-rupanya tu skrip Hitam yang aku reject tempoh hari. Aku pandang sekeliling. Gelap. Tak ada pula bayang student aku ke sebab dalam fikiran aku masa tu, budak-budak ni nak permainkan aku, konon-konon aku lah punca semua ni terjadi.

Aku tak endahkan. Aku letak skrip tu dalam dashboard depan. Start kereta dan balik rumah. Sampai kat rumah, aku capai beg. Terperanjat gila aku masa tu. Skrip tu ada lagi bawah handbag aku. Aku buka dashboard, tak ada skrip tu dalam tu. Masa tu aku dah meremang rasa lain macam. Aku biar je skrip tu atas kerusi tu, aku keluar dan kunci kereta. Aku bukak pintu rumah, aku nampak Farah dan Mimie tengah lepak tengok tv. Aku belum kahwin walaupun usia dah nak cecah 30. So, aku menyewa rumah je sekali dengan Farah dan Mimie ni.

Masa aku tengah terhegeh-hegeh buka kasut tiba-tiba kereta aku berbunyi hon macam ada orang hon dari dalam. Menjerit terus aku masa tu. Mimie yang kuat melatah tu pun menjerit sama la bila dah dengar aku menjerit tiba-tiba. Aku cuba tekan button pada remote control kereta tu tapi bunyi hon tu still tak berhenti. Bunyi dia bukan macam bunyi alarm kalau pintu tak rapat tu tapi bunyi hon macam kau tengah marah orang kat depan kau yang p****g line atau masuk tak bagi signal tu. Macam tu la.

Aku berlari dapatkan Farah dan Mimie lepas tu aku terus peluk Farah. Farah tanya la kenapa? Aku cakap la tu hantu si Hitam duk main hon. Diorang berkerut muka tak faham. Hon pun dah berhenti, tak berbunyi lagi dah. Masa tu, aku terus cerita apa yang terjadi. Diorang boleh duk gelak ke aku. Diorang cakap aku berhalusinasi. Dengan beraninya aku ajak diorang pergi dekat kereta dan tengok skrip Hitam yang aku tinggalkan tu. Sekali lagi aku macam nak pecah jantung. Tak payah pergi kat kereta dah, ada ni ha kat bawah handbag aku yang aku letak atas meja depan tv ni. Memang pucat lesi muka aku masa tu. Diorang pun masa mula-mula ketawakan aku, sekarang baru pandai terkedu. Malam tu kitorang tidur sama-sama satu bilik sebab takut.

In the next class, kelas nampak suram. Mungkin masing-masing masih lagi sedih dan terkejut atas pemergian Hitam. Tapi, dalam ramai-ramai tu, ada seorang yang aku nampak lain benar kelakuannya hari ni. Shasha nama dia (Kebetulan pula sama dengan nama admin). Bila aku tanya soalan, dia menggelabah lepas tu tak dapat jawab. Biasanya dialah yang paling cergas dan nak jawab je kerjanya. Dan ada kalanya aku nampak dia macam jeling benci kat aku.

Habis sesi kelas, rakan-rakan kumpulan Hitam datang mintak pendapat apa perlu mereka buat. Sebab mereka m**i idea lepas Hitam tak ada. Aku pun bagi la pendapat aku. Lepas sesi perbincangan tu, aku tanya la diorang sesiapa ada yang nak kenakan aku letak skrip dalam kereta. Masing-masing tak mengaku. Diorang ni nampak macam budak baik so takkan lah kan. Tapi, dalam masa yang sama salah sorang dari mereka cakap, dia kena ganggu. Dia syak Shasha yang hantar benda tak elok kat dia. Elok sahaja dia habiskan ayat dia kena ganggu tu, paap!! Lampu dalam kelas tu terpadam. Sekeliling terus gelap gelita. Kelas malam pula.

Aku suruh semua budak tu relaks. Jangan panic. Aku ambik phone, aku buka torchlight. Ya, Allah! Ujian apa la ni. Tak ada seorang pelajar pun dekat depan aku melainkan ada tiga makhluk bermuka Hitam berdarah-d***h mata bulat tengah pandang aku sengih menyeringai. Dunia aku gelap lepas tu. Bila aku buka mata, aku ada kat depan orang ramai majoritinya keluarga aku dan beberapa orang ustaz.

Ustaz tu cakap tak adanya roh orang m**i tu datang ganggu aku. Tapi, ada orang yang hantar benda tu kat aku. Melalui apa? Dia pun tak pasti. Dia dah suruh orang carikan benda kot-kot ada tertanam kat laman rumah. Takde. Dia pun tak dapat nak cari siapa yang hantar sebab “benda” yang dihantar tu pun tak dijumpai. Masa tu aku langsung tak terfikir skrip Hitam yang aku jumpa dalam kereta. Mungkin tu puncanya. Aku teringat semula pun lepas Farah jumpa skrip Hitam tu dekat tepi tv rumah sewa kitorang. Dia siap baca lagi. Katanya kreatif budak-budak ni buat skrip (ada translate English dalam skrip tu).

Seminggu berlalu, dua minggu berlalu, sebulan berlalu. Tak ada dah gangguan aku kena. Tapi, Farah pula yang asyik meracau kena ganggu. Bila tanya ustaz yang berubat aku dulu tu, dia cakap skrip tu dah kena sihir. Siapa baca dia yang akan jadi mangsa seterusnya. Ustaz tu cuba untuk hapuskan skrip tu. Tapi, skrip tu sentiasa datang balik. Yang kena ganggu, si Farah lah. Kesian dia. Sampaikan, dia pindah rumah.

Lepas lima tahun berlalu, baru ni aku beraya la kampong Farah dekat Kuala Lipis. Lama tak jumpa dia. Dia dah lain sekarang. Murung. Banyak menyendiri. Masa aku datang jumpa dia, dia nangis-nangis peluk aku. Dia cakap dia post skrip tu kat alamat yang dia sendiri tak tahu dekat Penang sana. Dia rasa serba salah. Dia dah tak kena gangguan dah tapi dia sentiasa rasa serba salah.

Dan minggu lepas. Masa aku nak baca surat khabar, tiba-tiba aku ternampak satu kertas warna hitam. Aku ingatkan kertas kotor. Aku renyuk aku buang. Bila aku masuk dalam kereta aku nampak kertas tu atas cermin belakang. Aku turun, aku ambik. Pelik aku tengok kesan renyuk ada pada kertas tu. Aku pandang, aku amati betul-betul, terperanjat aku bila aku nampak perkataan Skrip Hitam pada kertas tu.

….

Aku terlopong dengar cerita makcik aku ni. Macam drama tv dah. Susah nak percaya. Mak cakap makcik aku ni yang psiko. Jadi macam tu sebab putus cinta dengan bekas tunang dia dulu. Pastu suka reka-reka cerita bagi orang sedih dengan dia. Mak cakap, minggu lepas tu pun dia bukannya kena histeria pun. Entah angin gila apa datang kat dia entah.

Aku pun tak tau nak percaya ke tak. Tak kisah lah. Janji cerita dia best dan tak pernah lagi aku dengar cerita macam ni. Skrip yang ditulis oleh orang yang tak disangka m**i lepas tu, kemudian disihirkan oleh orang yang sampai sekarang tak tahu siapa, siapa yang baca aku terkena sihir dan nampak macam-macam yang menyeramkan.

Sebab khusyuk dengar cerita dia masa sarapan pagi tadi, aku sampai terlambat nak pergi kerja. Masa nak start kereta, aku tersedar ada kertas warna kuning macam kertas lama, atas cermin depan kereta myvi aku. Tersepit dengan wiper. Membebel kejap “kertas apa pulak ni!?”. Dalam tak sedar aku baca tajuk dia……

Shared by Nyc

::Hantar kisah anda di fiksyenshasha.com/submit

Nyc

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 11 Average: 4.9]

10 thoughts on “Aku, Dia dan Skrip Hitam”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.