Aku Seru

Ku seru dirimu,
Hadir di depanku,
Tunduk menyembahku,
Darahku santapanmu,
Kau hambaku.

Sunyi bilik yang ditemani cahaya dari nyala lilin. Ruang tamu hanya dipenuhi asap kemenyan yang dibakar. Di depannya ada satu piring kecil. Penuh dengan titis-titis darah. Dia menarik nafas dalam-dalam. Menunggu sebarang tanda.

Dahinya mula berpeluh. Kipas di syiling berpusing perlahan. Bunyi gerakan jarum jam di dinding menguasai ruang kecil. Dia ingin cuba sekali lagi. Membaca serapah yang diajarkan oleh Tok Anjang.

Ku seru dirimu,
Hadir di depanku,
Tunduk menyembahku,
Darahku santapanmu,
Kau hambaku.

Dihiriskan sedikit hujung ibu jari tangan kiri. Ditekan kuat-kuat. Darah menitik ke atas piring yang sama. Semakin banyak darah merah yang bertakung. Mungkin hidangan yang tadi tidak cukup banyak. Tak cukup meransang nafsu untuk “benda” itu keluar menjamah. Limau dihiris, diperah atas kemenyan. Berkepul-kepul asap naik. Matanya liar memerhati sekeliling. Menanti kemunculan “benda” itu.

Mengikut pesan Tok Anjang. Mantera hanya boleh dibaca 3 kali. Jangan kurang dan jangan terlebih. Harus banyak bersabar. Dia patuh arahan Tok Anjang. Matanya tajam melihat sekeliling. Sudah lama dia pinta untuk dapatkan “benda” itu. Untuk dia jadikan khadam. Untuk digunakan membalas dendam pada musuh-musuh yang sudah lama dia dendam.

Ku seru dirimu,
Hadir di depanku,
Tunduk menyembahku,
Darahku santapanmu,
Kau hambaku.

Untuk kali ketiga, dia membaca mantera. Darah sekali lagi dititis dan ditambah di atas piring sembahan. Menunggu untuk jadi santapan.

Celakalah Tok Anjang. Dia sudah turuti segala syarat. Berpuasa setiap Jumaat. Jangan solat selama sebulan. Dan jangan juga mandi hadas. Pagi tadi, dia sudah mandi bunga yang air diambil dari mata air di kaki bukit. Dia juga berpakaian serba kuning malam itu. Antara syarat utama Tok Anjang.

Macam rasa ditipu. Sudah lah jari pedih dikelar. Bau kemenyan yang menusuk-nusuk hidung. Dia bangun dan terus menendang piring yang berisi darah, terkena juga bekas kemenyan. Bersepah, berterabur di atas lantai.

Tiba-tiba, dirasakan ada satu hembusan di telinga kiri. Lembut. Ada bau kasturi. Wangi. Ada rasa berdebar dihati. Bulu romanya tegak. Dia pasti. “Benda” itu sudah muncul.
Aku hambamu,
Sujud mengikutmu,
Cuma satu pintaku,
Darahmu makananku.

Dia mencari-cari piring yang ditendang tadi. Dalam samar cahaya lilin dan bilik yang penuh asap kemenyan. Tiada apa yang dia boleh nampak sekarang. “Benda” itu seolah-olah menjilat telinganya. Dirasakan ada sesuatu yang memegang tengkuknya.

Kau seru aku,
Kau tipu janjimu,
Aku tuntut syaratku,
Darahmu makananku.

Dia rasakan tengkuknya seperti dicucuk. Ada rasa dingin dan sejuk. Badannya menjadi semakin lemah. Tubuhnya menjadi pucat dan akhirnya kering. Malam itu, dia menjadi hidangan “benda” itu.

##############################################

Tok Anjang hanya ketawa. Belaannya sudah mendapat habuan. Tidak perlu untuk diberi makan. Cukup ada manusia yang ingat dia lebih hebat dari Tuhan.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit.

muhammad asri
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

27 comments

  1. Cerita yang ringkas dan menusuk kalbu . Pengajaran untuk orang yang suka mintak pertolongan dari benda lain selain Allah

  2. Pendek tp sarat puitis & makna tersirat…
    Ku lihat bait-baitmu
    dihadam dalam benak ku
    terlerai maksud difahamkan
    luruskan kini jalan kehidupan

    1. Cerita simple aje. Tok anjang bkn nk bg khadam kt org yg baca mantera. Tapi tok anjang jadikan org tu sbg habuan khadam tok anjang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.