Anak Kecil Di Karak

Assalamualaikum pembaca Fiksyen Shasha. Sebenarnya dah bertahun aku derafkan pengalaman ini untuk dikongsikan namun setiap kali nak menaip seolah-olah ada benda yang menghalang. Dada umpama dihempas batu menjadi sesak. Jari jemari umpama dibekukan menjadi kaku tidak bergerak. Tapi ilusi yang diextradisi menjadi suatu cerita yang benar terjadi.

Kisah ini berlaku pada tahun 2014 dalam bulan berapa dan tarikh yang sebenar memang dah tidak mampu untuk diingati namun situasi yang berlaku sampai sekArang masih tergambar dan melekat utuh di kotak fikiran. Pada hari kejadian, aku terpaksa pergi ke Kuantan atas urusan kecemasan maka selepas habis tamat waktu bekerja jam 5.00 petang dan selepas aku dan suami jemput anak kami yang berusia lebih kurang 2 tahun ketika itu dari rumah “baby sitter”, kami mulakan perjalanan ke kuantan. Memandangkan kami dari kuala lumpur maka kami menggunakan laluan Highway Karak untuk ke Kuantan. Sepanjang perjalanan ke Kuantan alhamdulillah tiada halangan dan kami sampai di Kuantan lebih kurang jam hampir 10.00 malam sebab memandangkan kami membawa bersama anak kecil, maka waktu perjalanan memang agak panjang.

Selepas selesai urusan kami di Kuantan, Jam menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Aku cadangkan untuk bermalam di Kuantan dan keesokan paginya baru bertolak balik ke Kuala Lumpur namun memandangkan suami aku bekerja keesokan harinya, kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan balik ke Kuala Lumpur malam itu jugak. Semasa aku berhenti di hentian Gambang, hati ni rasa berat dan tidak sedap. Kaki ni berat nak teruskan perjalanan balik malam tu jugak memandangkan sudah lewat malam dan dengan anak kecil lagi tapi kami tiada pilihan dan tawakal pada Allah semoga dipermudahkan dan selamat perjalanan kami.

Memandangkan pada ketika itu bukan musim cuti dan merupakan hari bekerja, kereta di Highway tidak banyak dan sesekali hanya Lori-Lori yang menyaingi membelah kegelapan malam menuju ke ibu kota. Waktu tu aku memang ambil kedudukan sebagai co-pilot sajalah sebab waktu tu aku belum pandai memandu. Suami aku seorang sajalah pada ketika itu bersengkang mata memandu dan anak kecil kami kami letakkan di “seat” penumpang dibelakang lagipun dia seorang sahaja jadi kami letakkan dibelakang supaya dia boleh tidur dengan selesa. Hati yang tak rawan tu tak terhenti dan tertinggal di Hentian Gambang saja malah sepanjang perjalanan aku memang tidak tidur dan hati ni memang tak sedap. Macam nak menjerit nak meluahkan bimbangnya hati tapi aku “tunekan” pemikiran yang pujuk hati “semuanya akan ok!!!”

Bila kami melalui Karak Highway yang berdekatan dengan genting sempah sebelum RNR Genting Sempah tersebut, aku terhidu bau air kencing yang sangat kuat dalam kereta. “Eh!! Pampers Anak bocorkah?” ku tanyakan pada suami. Ku pandang belakang dan periksa pampers anak masih lagi ringan dan tidak bocor namun semasa aku pandang belakang, hati ni macam tersentak tapi di pandangan mata tiada yang pelik terlihat. Bau itu makin kuat dan dicampuri dengan bau hamis kotor umpama bau pakaian yang sangat kotor.

Ku tanyakan pada suami jika dia ada hidu bau yang sama. Tiba-tiba suami gelisah dan dia hanya kata ” diam sayang, jangan tegur apa-apa nanti abang cerita”. Kelibat mata dia tidak lepas memandang belakang dengan ekor matanya seolah ada sesuatu di situ. Dalam jam 5.00 pagi kami berhenti di RNR gombak untuk rehat dan makan. Suami diam seribu bahasa. Sesampai kami di rumah, suami aku terus memberitahu aku pada saat aku terhidu bau hamis kotor dan air kencing, ketika itulah terlihat seorang anak kecil muncul duduk di dalam kereta kami di bahagian penumpang pada posisi anak kecil itu di belakang aku iaitu sebelah anak kecil aku yang lena tidurnya. Anak kecil itu menundukkan mukanya diam tidak bersuara, kaku tidak bergerak, kusut rambut panjangnya menutupi penuh mukanya supaya tidak terlihat dan pakaiannya kotor terkoyak. Lama anak kecil itu menumpang sehinggalah kami berhenti di RNR Gombak, anak kecil itu lenyap hilang tak terkesan. Aku rasa tapi tidak terlihat. Nasib baik Allah pelihara anak kecil kami. Tidak terkesan dengan apa yang berlaku, kalau tiba-tiba dia jaga dan nampak, haru kami suami isteri.

Dek kerana kerana ada penumpang kecil tambahanlah membuatkan aku trauma kalau di ajak melalui Highway Karak tersebut.Setiap apa yang Allah takdirkan berlaku ke atas kita, pasti ada hikmahnya untuk kita. Tiada mustahil bagi Allah untuk lakukan apa yang diluar kotak fikiran kita. Suami ajak bercuti ke Teluk Cempedak pun beribu kali fikir kalau kena melalui jalan yang sama.Andai mampu ku terbang, terbang aku tanpa melalui jalan yang angker itu..hehehe… Sekian Terima Kasih.

Hanatrkisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Hanim Ghazali
FOLLOW FB KAMI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.