“Arip”

Assalamualaikum,

Terima kasih FS kerana menyiarkan kisah aku ni . Tak nak bebel lebih-lebih, kali ni aku nak kongsikan kisah aku lagi pada zaman kanak-kanak.
Kisah ni pun terjadi masa aku sekolah rendah juga. Masa kecil masa aku duduk di Kedah dan ramai kawan sepermainan. Kisah ni terjadi pada bulan puasa. Ya bulan puasa. Siapa cakap hantu setan takde masa bulan mulia. Salah kami juga bermain sorok-sorok di masjid masa orang sedang berterawih.

Biasalah masjid dulu kan, tak besar mana. Depannya mesti kubur. Kawasan kubur di sekeliling berpagar dan macam-macam jenis pokok sama ada ditanam atau tumbuh meliar menutupi pagar dawai. Ada macam bangsal yang menempatkan tempat mandian mayat. Yang macam keranda tu. Kat masjid kampung aku tu, bangsal tu tak jauh dari kolah wuduk. Ada beberapa batang pokok puding, pokok pinang berjajar dan beberapa batang pokok kemboja di antara kolam wuduk dan bangsal tu. Tepi bangsal tu ada macam tembok batu dan bersambung dengan pagar kubur.

Aku dengan kawan-kawan berpakat main sorok-sorok. Kena pula aku yang “jadi”. Apalagi, kena tutup matalah, kira sampai 100.

Bertempiaranlah kawan-kawan aku lari bersembunyi. Kisah ni berkisar pada kawan aku, Arip. Arip ni nakal dia nauzubillah. Macam taiko. Lain-lain ialah Sham, Lan, Din, Ayie, Bri, Art dan ada yang aku dah lupa nama dorang. Masa mata ditutup aku dengar salah sorang kawan aku lari ke arah bangsal tu. Ada dalam 15 orang jugaklah yang bermain.

Bila habis 100, secara tiba-tiba keadaan jadi hening. Imam baca apa pun aku tak dengar. Sunyi semacam. Tapi masa tu sel otak macam tak bersambung. Perkara yang mula-mula hinggap di kepala aku ialah yang berlari ke arah bangsal tu. Sebab dekat, dan mana lagi dia nak menyorok kan. Tak jauh dari situ dah kubur, lagilah tak siapa berani. Aku pun segera ke bangsal. Cari punya cari sampai di belakang bangsal, siapa pun tak ada.

Aku cari tempat lain sampai seberang jalan. Memang tak jumpa siapa pun. Dalam hati aku fikir, cilakak betul budak-budak ni. Skil menyorok tahap gaban. Kalau tak senang je nak jumpa sebab kawasan masjid tak besar. Aku ambik keputusan untuk masuk ke dalam kawasan masjid. Aku terus menuju ke bahagian depan masjid, macam ada naluri memangggil. Kawasan depan masjid dah dekat benar dengan kawasan kubur. Agak nak sampai, aku nampak macam kelibat kawan aku Arip menyorok di belakang rimbunan pokok puding, sebab dia pakai baju putih dan kopiah putih. Aku pun perlahan-lahan pergi konon nak surprisekan Arip. Dekat nak sampai, aku nampak macam sepasang biji mata di celah daun-daun puding. Tapi saiznya besar. Sebesar piring. Sumpah aku dengar suara Arip ketawa mengekek di balik rimbunan pokok puding tu.
Aku memang tak boleh fikir masa tu. Memang dah dekat sangat aku dengan pokok tu, tiba-tiba aku terdengar bunyi orang berlari di belakang aku. Segera aku berpaling. Aku nampak macam Sham berlari macam masuk ke masjid. Aku pun lupakan hasrat nak suprisekan Arip dan lari nak “tangkap” Sham. Bila aku sampai, Sham tiada.

Tertoleh-toleh aku mencari. Keadaan masih hening sunyi. Sakit hati pun ada sebab tak sorang pun aku berjaya tangkap. Tiba-tiba aku dengar macam seseorang tersepak sesuatu di bangsal dan aku nampak sendiri getah paip yang selalunya bergulung tu jatuh. Ah! Mesti ada siapa-siapa yang menyorok dalam bekas mandian mayat tu. Aku segera berlari ke arah bangsal dan di dalamnya aku nampak “Arip” berbaring sambil qiam, tapi mulutnya tersenyum. Berani betul budak ni, aku fikir. Tapi peliknya “Arip” langsung tak bergerak bila aku “hah!” kan dia. Yang peliknya, “Arip” ni panjang. Budak kan, manalah tinggi macam tu. Kepala dan kaki “Arip” muat-muat bekas mandian mayat tu. “Arip” ni keras kaku macam mayat. Aku goncang badan Arip dan cuba capai kopiah dia. Tiba-tiba mata “Arip” terbuka. Guess what? Matanya merah, makin lama makin besar menjegil. Tiba tiba “Arip” muka mulut dia. Ya Allah, makin lama makin besar. Tak semena-mena, tangan kiri “Arip” memegang tangan kiri aku. Kuat gila. Bila genggaman makin kuat, barulah sayup-sayip dengar iman membaca surah.

Aku ketakutan dan meronta sambil menangis ketakutan. “Arip” di pembaringan tu macam bersusah payah nak bangun, tapi seolah-olah badan dia keras. Mata merah dia tak lekang dari merenung aku dan mulutnya (giginya hitam bakhang) terbuka dan tertutup macam mengunyah sesuatu. Aku memang dah rasa macam nak mati dah masa tu. Seluruh badan rasa sejuk, otot rasa lembik, pandangan kabur. Aku menjerit sekuat hati. “Arip” masih lagi tak lepaskan genggamannya. Bau “Arip” ni gila punya busuk. Baju putih dia tadi aku tengok macam dah comot dengan tanah. Macam dah kena tanam. Peralahan-lahan muka “Arip” ni berubah, makin lama makin menyeramkan. “Arip” macam terkekek ketawa. Takutnya ya rabbi aku masa tu.

Aku rasa saat kematian dah dekat sangat. Terbayang muka mak ayah aku. Cikgu, Ustaz, kawan-kawan….Sekonyong-konyong aku rasa ada orang memeluk aku dari belakang. Rupa-rupanya kawan-kawan aku Lan, Din, Bri, Art ada di belakang aku. Perlahan-lahan baru deria aku macam kembali normal. Memang riuh rendahlah bunyi suara kawan-kawan aku memarahi aku kerana nak masuk dalam tempat mandian mayat. “Gila hang! Nak mampoih masuk dalam tu. Awat hang? Berani sangat ka?” Lan memarahi aku. Terkebil-kebil aku pandang kawan-kawan aku. “Aku nampak Arip dok menyorok dalam ni, tu yang aku mai sini” kata aku kebingunan. “Pala otak hang! Aku ngan depa ni dok menyorok balik tembok la” kata Arip. Yang lain serentak mengiakan kata Arip. Dalam bekas mandian mayat tu, memang tak ada apa pun, cuma tinggal macam tanah berketul-ketul dan bau masam yang menyengat. Padahal, kalau tidak dipakai, bekas mandian tu bersih je.

Lepas tu memang kami semua kena marah dengan jemaah terawih. Pedih juga telinga. Ini cerita Din. Katanya, dia dan Sham menyorok kat sebelah hujung masjid, belakang semak. Dia memang nampak aku ke arah kubur dan dia pun nampak rimbunan pokok pudding bergoyang. Tapi bukan “Arip” yang dia nampak. Dia nampak satu makhluk hitam bertanduk, bermata merah dan berekor sedang melambai aku. Mujur Sham berlari masuk ke masjid, kalau tidak, wallahualam…
Sekian kisah aku. Terima kasih kerana sudi membaca.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit.

Ahmad Yusuf
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

38 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.