ATEREK

“Satu-satu, saya sayang awak,”
“Dua-dua, saya sayang awak,”
“Tiga-tiga saya sayang awak,”
“Satu dua tiga, saya sayang awak…”
“… Rul?”
“Kamarul!” Jerit Yana kepada kekasihnya, Kamarul yang termenung seketika, ketika dia sedang memandu.

Kamarul yang tersedar dari lamunannya terus menegur Yana, “awak dah kenapa, jerit-jerit dekat saya ni? Kan saya dekat sebelah awak jer?”

Mendengar teguran Kamarul, Yana terus membalas, “yalah, saya panggil awak, awak termenung saja. Bahaya tau memandu sambil tak fokus pada jalan!”

Kamarul terus tersengih. Dia kemudiannya memegang erat tangan kekasihnya itu. “Saya bukan apa, saya masih tak sangka yang saya dapat beli kereta baru! Murah pula tu! Nasib baiklah ada member yang rekemen saya untuk beli kereta ni.”

Yana mengangguk, “itulah. Saya pun hairan. Ada juga orang yang jual kereta mewah ni pada harga yang murah! Kalau nak harapkan gaji awak tu, memang takkan lah dapat beli kereta mewah”. Ujar Yana.

Kamarul terasa kecil hati dengan kenyataan Yana itu. “Hm, gaji kecik pun, dengan duit tu lah saya akan gunakan untuk meminang awak nanti, tahu tak?”. Balas Kamarul pula. Dia kemudiannya terus memandu ke destinasi mereka, Terengganu. Sememangnya niat Kamarul untuk meminang Yana, namun dia perlu membuktikan kepada semua orang bahawa dia mampu menyara keluarga dia nanti, dengan bermula membeli kereta. Nasibnya agak baik selepas rakannya memberitahu dia bahawa ada orang yang mahu menjual kereta dengan harga yang murah.

“Secondhand pon secondhand la. Janji semua okay”. Kata hatinya.

6 jam selepas memandu, hujan mula turun dengan lebatnya. Dek kerana bosan dengan lagu-lagu yang dimainkan di stesen radio kegemarannya, Kamarul menukar ke stesen yang lain. Sambil itu, dia menoleh kearah kekasihnya yang sedang tidur itu. Memang comel wajahnya ketika itu.

“Sabar Kamarul, sabar… sabar… dah nak kahwin dah pun,” getus hati Kamarul. Pada waktu itu, stesen radio itu menyiarkan beberapa berita.

“Sekarang ini, pihak polis sedang membuat pencarian besar-besaran di hutan itu, bagi mencari krew dokumentari, bersama seorang juruterbang helikopter yang hilang dua minggu yang lalu…”

“Berita terkini, berlaku kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur, membabitkan tiga buah lori dan enam buah kenderaan lain. Jurucakap stesen Lebuh-Raya Pantai Timur, Razali Ahmad mengesahkan bahawa semua laluan ke Terengganu terpaksa ditutup.”

Mendengar berita itu, terus terkejut Kamarul dibuatnya. Dia sudah hampir ke destinasi, namun berlaku kemalangan sebegitu. “Aduh! Waktu ni la ada kemalangan la, apa lah!” Marah Kamarul, menyebabkan Yana terjaga dari tidurnya.

“Kenapa awak bising-bising ni?” Soal Yana, yang masih ada air liur pada wajahnya. Kamarul tidak membalas soalannya, sebaliknya menyuruh Yana untuk membuka Waze dengan telefon pintarnya.

“Awak cuba cari jalan lain ke Terengganu,” kata Kamarul.

“Eh, awak tak tahu jalan lain ke rumah mak ayah awak?” Hairan Yana. Ya, rumah ibubapa Kamarul berada di Terengganu dan mereka berdua dalam perjalanan ke rumah ibubapa Kamarul.

“Yelah, saya kan sebelum ni balik dengan kakak saya je. Dalam kereta dia pun saya tidur. Mana nak tahu jalan lain ke rumah mak ayah saya”. Balas Kamarul termalu-malu.

Beberapa ketika kemudian, applikasi itu memberitahu mereka bahawa jalan alternatif berada beberapa meter dari arah mereka.

“Awak, lepas nampak simpang kiri, awak masuk tau!” Ujar Yana.

Ya, Kamarul melihat jalan tersebut dan dia memasuki jalan itu. Kamarul sudah tahu, bahawa kebiasaannya jalan alternatif agak senyap dan tiada lampu jalan. Hatinya agak berdebar melalui jalan itu.

“Aishh…waktu ni la tak ada kenderaan lain. Diaorang semua tak tahu ke depan sana dah ditutup?” Soal hatinya.

Pada waktu itu, keretanya rosak secara tiba-tiba. Dia cuba menekan pedal minyak, namun keretanya semakin perlahan. Kamarul akhirnya meletakkan keretanya di sisi jalan.

“Kenapa dengan kereta ni, awak?” soal Yana.

“Kereta saya ni nak berehat kejap…. dah tahu kereta ni tiba-tiba tak boleh bergerak, maksudnya rosaklah kereta ni!” Balas Kamarul, menyindir. Dia memang pantang jika ada orang bertanya soalan bodoh terhadapnya. Dia pada waktu itu agak kepelikan; enjin keretanya kedengaran masih elok, seolah-olah tiada kerosakan. Dia kemudiannya cuba membuka pintu, namun tidak boleh. Itu menambah lagi keresahan dalam hatinya.

“Aishh, jangan main-mainlah…” marah Kamarul. Dia sedaya upaya cuba membuka pintu itu, namun tetap tidak berjaya.

Yana juga cuba membuka pintu disebelahnya, namun sama saja seperti Kamarul. “Aduh, apa yang berlaku dengan kereta awak ni?! Saya dah pesan, jangan beli kereta second-hand!”

Kamarul kemudiannya cuba membuka pintu dibelakang. “Pelik, kat belakang pun tak boleh buka! Apa masalah dengan kereta ni?!” Kamarul sudah hilang sabar ketika itu. Pada waktu itu, cermin pintu yang Kamarul turunkan untuk buka pintu dari luar ternaik sendiri. Setiap kali Kamarul menekan butang untuk turunkan tingkap, perkara yang sama terjadi lagi. Semuanya. Kamarul dan Yana sudah ketakutan. Kamarul memeriksa barang-barang yang ada dalam begnya, untuk memecahkan cermin keretanya.

“Arghh!!! Semuanya tak berguna!” Tengking Kamarul apabila semua barang yang dia bawa tidak dapat membuka pintu, atau memecahkan cermin keretanya.

“Ke tepi!” Arah Kamarul kepada Yana. Dia kemudiannya cuba menendang cermin kereta itu, berharap bahawa cermin itu dapat dipecahkan. Walau bagaimanapun, cermin itu seperti cermin kalis peluru, amat sukar untuk dipecahkan.

“Apa kita nak buat ni?” Yana keresahan.

Kamarul cuba bertenang ketika itu, sebelum dia dapatkan idea untuk mencari bantuan. “Kejap, kakak saya pun nak balik kampung. Saya akan call kakak saya, minta bantuan dari dia,” kata Kamarul, seraya mencari nombor kakaknya dalam telefon.

Setelah mendapatkannya, Kamarul terus menelefon kakaknya itu.
“Assalamualaikum, Kakak dekat mana sekarang ni?” Kamarul ketika itu sudah bertenang sedikit.

“Waalaikumsalam. Huh, Kamarul, Kakak on the way ni. Dah sampai ke?”

“Belum lagi… belum lagi…” ujar Kamarul perlahan. Daripada suaranya, kakaknya dapat mengesan sesuatu yang tidak kena.

“Kau ni dah kenapa? Lain macam jer suara kau…” soal kakaknya.

“Tak adalah. Kamarul cuma nak beritahu yang jalan dah tutup. Kakak kena ikut jalan lain…”

“Huh? Apa yang kau merepek ni?! Mana ada! Kakak dah dekat sampai kampung dah ni.”

Pada waktu itu, hanya tuhan saja yang tahu betapa terkejutnya Kamarul. Dia kemudiannya memberitahu kakaknya bahawa dia terdengar berita itu daripada stesen radio. Namun kakaknya tetap menafikan. Sememangnya tiada kemalangan yang berlaku.

“K-Kalau macam tu… boleh tak Kakak ambil Kamarul dengan Yana? Kereta rosak… Ya, Kamarul akan bagitahu lokasi kitorang. Kakak cepat sikit, ya? Tolong…” ujar Kamarul sebelum menamatkan panggilan telefonnya.

Peluh mula membasahi wajahnya. “Apa yang berlaku sebenarnya?” Soal Kamarul dalam hati.

***

Sejam selepas itu, mereka masih di situ. Tiada sesiapa pun yang melalui jalan tersebut. Harapan mereka untuk meminta pertolongan kian pudar.

“Awak, saya rasa… rasa panas… tak boleh bernafas…” ujar Yana perlahan.

Kamarul tidak mampu membalasnya. Dia juga sedang kepanasan. Walaupun hujan lebat ketika itu, namun ia tidak dapat memberi kesejukan kepada mereka. Tidak lama selepas itu, harapan mereka meninggi semula, setelah terlihat kelibat sebuah kereta.

“Y-Yana, ada kereta!” Ujar Kamarul kepada Yana. Pemandu kereta itu juga memberhentikan kereta selepas terlihat kereta Kamarul. Pemandu kereta itu, iaitu seorang lelaki Melayu pantas menghampiri mereka.

“Hei! Korang tak apa-apa ke?” Soalnya sebaik saja tiba di situ.

“Tolong bang… kereta kami rosak… kami pun tak boleh keluar dari kereta. Tak tahu apa yang jadi dengan kereta ni. Abang boleh tolong tak?” Kamarul meminta pertolongan daripada lelaki itu. Walaupun terpancar wajah ‘ketidakpercayaan’ padanya, namun lelaki itu cuba membantu Kamarul.

“K-Kejap ya! Saya akan ambil peralatan,” ujar lelaki itu, sebelum kembali ke keretanya.

“Awak… kita akan selamat, kan? Soal Yana. Kamarul mengangguk perlahan. Pada masa yang sama, radio itu terpasang sendiri, memainkan satu lagu yang menakutkan,

“SATU-SATU, SAYA SAYANG AWAK…”
“DUA-DUA, SAYA SAYANG AWAK…”
“TIGA-TIGA. SAYA BENCI AWAK…”
“SATU DUA TIGA, SAYA B***H AWAK!!!!”

Pada masa itu, lelaki itu menghampiri mereka berdua seraya membawa sebuah beg. Dia kemudiannya mengeluarkan sebatang besi untuk mengopak pintu kereta itu.

“Sebentar!” Ujar lelaki itu. Lelaki itu cuba menolong mereka dan ketika pintu itu berjaya dibuka sedikit, pintu itu tertutup dengan kuat sekali, menyebabkan tangan lelaki itu tersepit.

“Arghhh!!!!” Jerit lelaki itu kesakitan!
Kamarul cuba membuka pintu itu, namun pintu itu seolah-olah ‘ditarik’ oleh sesuatu.

“Tolong aku!” Jerit lelaki tadi.

“Kejap!” Balas Kamarul yang masih cuba membantunya. Pintu itu semakin lama, semakin kuat! Ketika itu, tangan lelaki itu terputus! Pintu itu tertutup rapat kembali, namun d***h lelaki itu sempat terpecik ke arah Kamarul dan Yana. Lelaki itu terbaring atas tanah, kesakitan.

“Arghhh! T-tolong aku… tolong…” kata lelaki itu lemah. Secara tiba-tiba, tubuh lelaki itu dilambung ke atas. Begitu tinggi sekali! Kamarul dan Yana hanya mampu melihat lelaki itu terhempas ke tanah semula. Perutnya habis terburai. Darahnya terpecik ke merata tempat.
Suasana menjadi senyap sekali lagi.

Kamarul dan Yana hilang kata-kata. Tubuh mereka begitu terketar sekali. Bukan kerana kesejukan, namun menyaksikan seorang lelaki d*****h oleh SESUATU.

“A-Awak… apa yang berlaku? Apa yang berlaku?” Soal Yana perlahan.

“Saya tak tahu…” balas Kamarul, juga dengan perlahan. Hujan semakin lebat, memburukkan lagi suasana.

Sejam kemudian, Yana terlelap dalam kereta itu, sementara Kamarul berjaga, masih menunggu kehadiran kakaknya. Dia juga cuba memikirkan kebenaran disebalik kejadian yang berlaku sebelum ini. Baginya, memang mustahil untuk perkara itu berlaku. Entiti apakah yang m******h lelaki itu? Entiti apakah yang mengacau mereka berdua? Semua itu masih lagi misteri. “Tapi… suara yang nyanyi lagu tadi tu… macam aku ingat… tapi siapa? Siapa yang cuba mengacau aku?” Fikirnya, sebelum dia diganggu oleh Yana yang mengaduh kesakitan.

“Awak… perut saya… sakit…” ujar Yana perlahan, seraya memegang perutnya.

“Awak makan benda pelik-pelik kot… tahanlah sikit. Saya rasa kakak saya pun dah dekat sampai,” ujar Kamarul bersikap acuh tidak acuh dengan keadaan kekasihnya itu.

“Tak! Saya… Blurpp!!!” Belum sempat Yana menghabiskan ayatnya, dia muntah secara tiba-tiba. Bukan muntah biasa, tetapi muntah d***h!
Kamarul terus terpaku melihat perkara itu.

“Ya Allah, awak kenapa ni?!” Ujar Kamarul keresahan.

“Saya tak tahu… saya tak tahu… Blruppp!!!” Yana termuntah sekali lagi. Pada masa itu, radio terbuka lagi.

“Tahniah! Perempuan kesayangan awak mengandung! Tahniah! TAHNIAH! HAHAHA!” Kata suara dalam radio misteri itu. Kamarul terkejut sekali mendengarnya.

Yana, kekasihnya mengandung?

“Aku tak mengandunglah, bodoh!” Tengking Yana sambil menadah d***h yang mengalir dari mulutnya. Kamarul pula mengambil baju dan mengelap d***h itu. Ketika itu, perut Yana mula membesar.

“C-Cukuplah! Aku tak kenal kau! Kenapa kau buat kami macam ni?!” Tengking Kamarul. Dia sudah penat; melihat kematian ngeri di hadapan matanya, kekasihnya kesakitan dan mereka terperangkap entah di mana.

“KAU TAK INGAT AKU? KAU TAK INGAT AKU? WANITA YANG KAU ABAIKAN SEBELUM INI. M**I KESEORANGAN. KAU TAK INGAT AKU?!!” Balas suara dalam radio tersebut.

Mendengar kata-katanya, Kamarul terus teringat akan seseorang. Ya, seorang wanita bernama Intan.

“Ta-Tak mungkin… kau… Intan?” Ujar Kamarul perlahan. Dia mula berdebar dan ketakutan. Mindanya mula beralih ke kejadia empat tahun yang lepas. Ketika dia masih seorang pelajar kolej vokasional…

***

“Awak sayang saya tak?” Soal Intan kepada kekasihnya Kamarul. Ketika itu, mereka sedang bersama-sama di dalam kereta mewah milik Intan.

“Mestilah. Awak satu-satunya wanita yang saya sayang… maksud saya, mak saya pun perempuan. Jadi, err…”

“Ya, saya faham. Anak yang baik,” p****g Intan dari kata-kata Kamarul. Kamarul tersenyum. Intan pun tersenyum. Mereka berdua menatap wajah masing-masing. Ketika mereka sedang berduaan, muncul ‘orang’ ketiga. Ya, syaitan menghasut mereka untuk berbuat ‘sesuatu’. Dan akhirnya, disebabkan perbuatan itu, Intan mendapat tahu dirinya sedang mengandung.

***

“Aku tak nak anak tu! Entah-entah kau dah buat dengan jantan lain!” Marah Kamarul sebaik saja mendapat tahu bahawa kekasihnya itu mengandung.

“Awak, saya mana ada keluar dengan lelaki lain! Sumpah!” Balas Intan sambil menangis.

Walaubagaimanapun, Kamarul tetap berdegil, atau takut untuk bertanggungjawab. Dia kemudiannya memutuskan hubungan dengan Intan. Tiga hari kemudiannya, dia mendengar berita bahawa Intan ditemui m**i di dalam keretanya.

***

“kejap… kereta?” Detik hati Kamarul. Dia kemudiannya memeriksa tempat duduknya dan terjumpa tanda ‘hati’ di kerusi itu.

“Jangan… jangan cakap… kereta ni…” sebelum sempat Kamarul menghabiskan ayatnya, kabus muncul secara tiba-tiba, menyelubungi kawasan tersebut.

“Kamarul? Apa yang berlaku ni?” Soal Yana yang masih lagi kesakitan. Ketika itu, radio kereta itu sekali lagi memainkan lagu yang sama,

“SATU-SATU, SAYA SAYANG AWAK”
“DUA-DUA, SAYA BENCI AWAK”
“TIGA-TIGA, SAYA B***H AWAK”
“SATU DUA TIGA…”
“BAM!!!!!”

Muncul satu lembaga dihadapan kereta mereka! Lembaga seorang wanita dengan lehernya hampir terputus yang menghempas bumper kereta mereka!

“SAYA B***H AWAK!” Laung lembaga itu. Kamarul dan Yana terus bergerak ke belakang. Dia cuba memecahkan cermin belakang, tetapi masih gagal.

“Arghh! Pecahlah, cermin bodoh! Sial!” Tengking Kamarul. Ketika itu, dia terlihat tangan milik lelaki yang cuba membantu mereka tadi yang masih menggenggam besi yang digunakan olehnya sebelum ini.

“Kenapa aku tak nampak sebelum ini?” Getus hatinya. Dia kemudiannya mencapai besi itu, sebelum memecahkan cermin kereta.

“Cepat!!!” Jerit Kamarul kepada Yana. Walaubagaimanapun, perut Yana semakin membesar dan membesar, membuatkan dia tidak dapat bergerak.

“Awak… sakit! SAKIT!” Yana menjerit kesakitan. Kamarul tidak dapat berbuat apa-apa, selain menyaksikan perut kekasihnya meletup! Habis d***h terpecik ke merata tempat. Lebih banyak daripada sebelum ini. Seumpama darahnya habis keluar dari tubuhnya.

“YANA!!!” Laung Kamarul. Tiada pilihan lain, Kamarul terpaksa meninggalkan Yana, dan terus keluar dari kereta itu. Setelah mendapat kekuatannya semula, Kamarul terus berdiri semula dan menyaksikan kereta tersebut.

“CELAKA KAU INTAN! DAH M**I TU BUAT CARA M**I! JANGAN GANGGU AKU LAGI!” Tengking Kamarul dengan lantang sambil tercungap-cungap. Dia terus dibasahi dengan hujan yang turun. Pada masa yang sama, kereta itu hidup secara tiba-tiba, dan terus mengundur ke belakang. Tidak dapat berbuat apa-apa, Kamarul dilanggar oleh kereta milik bekas kekasihnya itu. Kamarul tergolek beberapa kali, sebelum terbaring di atas jalan raya.

“Argh… haha… hahaha… HAHAHA!” Kamarul seperti sudah hilang akal, tergelak seorang diri dengan kesakitan sebegitu rupa.

Kereta itu kemudiannya bergerak ke hadapan sekali lagi dan terus menuju ke arah Kamarul dan…

“SATU SATU, SAYA SAYANG AWAK,”
“DUA-DUA, SAYA SAYANG AWAK,”
“TIGA-TIGA, SAYA SAYANG AWAK,”
“SATU DUA TIGA, SAYA SAYANG AWAK…”

Tamat

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

zul Hafiq

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 2.7]

42 thoughts on “ATEREK”

  1. puas aku pikir ape tu aterek..ape kaitan aterek dgn setori ni..
    lepas baca baru paham..hahaha..kereta ghupa nyee..nice..7/10

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.