Bain Sithe

Assalam. Aku mulakan dengan pengalaman aku semasa aku tinggal di Ireland. Aku belajar dan kemudiannya bekerja di sana lebih satu dekad. Keadaan tempat di sana, walaupun kadang-kadang gelap, sejuk dan suram, tidak pula rasa takut. Mungkin kerana jauh dari cerita-cerita seram Asia.

Aku dapat cuti 4 hari pada suatu masa dan kawan sekerjaku, F, ajak aku balik rumahnya kerana tempat di situ memang sesuai untuk hiking. Aku terima jemputan F dan kami pergi ke sana menaiki keretanya.

Hari Pertama.
Perjalanan mengambil masa dalam 5 jam dan kami bergilir-gilir memandu. Dari jalan besar sehinggalah jalan kecil bengkang-bengkok menuju ke Ireland Utara, rumah keluarga F.

Rumahnya adalah rumah lama, bereka bentuk ‘farmhouse’ yang besar. Di sekeliling rumahnya kawasan padang ragut lapang untuk ternakan biri-biri. Amat cantik dan tenang. Aku disambut mesra oleh keluarganya. Mereka memang peramah, macam dah kenal aku sejak kecil.

Hari Kedua:
Berbekalkan peralatan hiking dan peta (masa tu tiada gps dalam handphone), F, abangnya P, dan aku mulalah perjalanan kami awal pagi. Permandangan dari kawasan ladang yang luas, kami masuk ke kawasan berbukit. Walaupun sudah musim luruh, cuaca agak panas dan cerah. Memang sesuai untuk hiking.

Petang. Kami tiba di tasik yang besar. Airnya jernih sampai boleh nampak batu-batu kerikil dalam tasik. Kami pasang khemah untuk bermalam di situ. Lepas makan malam, borak-borak, kami pun masuk tidur. Aku tidur satu khemah dengan F. Abangnya P tidur di khemah berasingan.

Malam tu aku terjaga kesejukan, rasa macam nak buang air kecil. Aku pun keluar bawa air basuhan dalam botol mineral dan berjalan ke belakang khemah menuju ke kawasan semak tempat yang dipersetujui untuk dijadikan ‘tandas’. Selepas selesai buang air, aku pun berjalan kembali ke kawasan khemah tetapi dalam gelap, aku nampak cahaya seperti lampu suluh. Aku panggil nama F. Lepas tu P.  Tak terjawab. Tapi lampu tu seperti digoyang-goyang beri isyarat. Aku pergi menyiasat. Nampak macam dekat sumbernya tapi bila jalan, semakin jauh. Dah la tanah tak rata, berbatu-batu. Takut terkehel kaki. Aku pun rasa tak sedap jadi ambil keputusan untuk patah balik.

Masa tu kedengaran satu bunyi yang agak kuat dan menakutkan. Aku toleh dan nampak seorang perempuan berdiri cuma sedepa dua dari aku, baju lusuh kelabu putih. Muka dan rambutnya berwarna putih. Bukan putih orang putih tapi putih macam Albino. Seluruh badannya basah kuyup dan terketar-ketar. Rambut melekat pada muka dan badan. Tapi aku nampak mulutnya terbuka besar menjerit ‘nnggeeeeeeeee’.

Aku rasa macam nyawaku tercabut dari badan tapi boleh lagi otakku berfikir, ‘aku ni tengah mengalami shock, sikit lagi, mesti otak aku akan switch off’. Lepas tu memang aku ‘blank’. Aku sedar bila F dan abangnya menepuk-nepuk belakangku. Aku masih lagi berdiri tercegat di tempat tu. Mereka kata aku jerit tak berhenti macam ‘aaaaaaaaa * tarik nafas * aaaaaaaa!’

Hari Ketiga.
Kami pulang ke rumah keluarga F. Aku kembali pulih. Malam tu aku tidur di bilik tetamu. Selepas solat Isyak, aku baca ayat Kursi di 4 penjuru bilik. Aku tak ada la ilmu banyak tapi ini yang aku amalkan kalau aku takut. Bilik tu ada tingkap yang menghadap bangsal di belakang rumah. Malam tu hujan dan angin memang kuat sangat. Aku dengar macam bunyi kaca tingkap pecah. Aku pun bangun dari katil yang berdepan dengan tingkap. Dalam samar-samar aku nampak ada orang berdiri di atas bumbung bangsal. Tinggi bumbung tu macam rumah 2 tingkat. Perempuan putih yang sama. Nampak macam dia menjerit tapi suara tak keluar. Mungkin sebab angin kuat. Bagus juga. Aku tau dia pandang aku. Sekali lagi aku rasa macam nyawaku tercabut. Kulit kepalaku rasa seperti dicucuk-cucuk jarum. Aku pun lari mendapatkan F dan malam tu kami tak tidur. Duduk tengok tv di ruang tamu, bawa selimut dan bantal.

Hari Keempat.
Dalam pukul 5 pagi, handphoneku berbunyi. Nombor ibuku. Tengahari di Malaysia. ‘Ada berita sedih,’ katanya, minta aku bersedia. Pakcik ku meninggal dunia. Arwah memang lama sakit. Non-Hodgkins Lymphoma. Cancer. Memang sedih sangat kerana aku tau semua orang akan berkumpul di sana. Aku saja tak dapat balik.

Selepas sarapan, kami bersiap untuk balik semula ke selatan. Satu keluarga ucapkan takziah padaku. Atuk pada F datang dari ladang sebelah nak jumpa aku sebelum balik. Dia minta aku ceritakan pengalaman aku semasa berkhemah tempoh hari. Mula-mula aku segan juga, nanti dia ingat aku gila nampak hantu. Tapi dia angguk-angguk muka berkerut serius. Lepas tu dia kata masa dia muda dulu memang ada nampak. Rupanya di perkampungan tu dulu memang selalu nampak perempuan putih tu. Tapi sekarang tiada lagi sehingga aku.

Di Ireland, walaupun negara maju, sesetengah masyarakat di sana masih kuat kepercayaan akan makhluk-makhluk halus. Ada yang tinggalkan semangkuk susu di luar rumah waktu malam untuk sang pari-pari. Macam kita juga – pontianak, pocong, hantu raya, bunian. Semua makhluk ada nama.

Berbalik pada Atuk F, dia kata yang aku nampak tu sebenarnya ‘Bain Sithe’ dalam bahasa Gaelic. Tak tahu ejaannya. Macam tu lah sebutannya. Bain sithe atau bahasa Inggerisnya Banshee adalah makhluk yang datang pada manusia di saat orang yang tersayangnya tengah nazak.

Mungkin itu satu kebetulan. Mungkin juga aku berhalusinasi atau mimpi. Yang aku tahu perasaan takut traumanya sehingga kini. Bila aku bercerita semula kisah pengalamanku pada suami beberapa tahun selepas balik Malaysia, suamiku berseloroh. Katanya mungkin aku anak Melayu pertama yang bersemuka dengan banshee. Haha.

Terima kasih membaca. Arcadia..

Arcadia
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

11 comments

  1. A banshee (/ˈbænʃiː/ BAN-shee; Modern Irish bean sí, baintsí, from Old Irish: ben síde, baintsíde, pronounced [bʲen ˈʃiːðʲe, banti:ðe], “woman of the fairy mound” or “fairy woman”) is a female spirit in Irish mythology who heralds the death of a family member, usually by wailing, shrieking, or keening.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.