Balan-balan..

Assalammualaikum…salam hormat pembaca.

Aku telah kembali ke Sabah atas nasihat keluarga. Masa ini Malaysia digemparkan dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370 disusuli dengan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine. Aku dan Sera adalah antara petugas yang menyambut jenazah mangsa-mangsa pesawat yang dihantar pulang ke tanah air. Sedih kerana ada antara mangsa adalah petugas yang pernah recruited kami semasa belajar dan bertugas dalam pesawat.
Ayah adalah orang yang paling risau atas keselamatan kami ekoran banyak pesawat yang terhempas dan hilang pada masa itu.

Jadi aku kembali ke Sabah , ke kampung sebelum sempat diserap masuk sebagai petugas tetap.
Rumah mak dan ayah ni dibina lebih dari 10 tahun, hampir 20 tahun rasaya..Dahulunya cuma hutan bakau yang diteroka. Tiada jalan raya,elektrik dan air pada mula kami pindah. Jauh sikit ke hadapan ada perkampungan lain yang juga masih mundur dalam kemudahan seperti air dan elektrik pada ketika itu. Ada sisi mistis di sekitar penempatan kampung.
Penanggal, bola api, atau di Sabah kami panggil Balan-balan, Shortform “B.B” atau BB kuasa dua. Aku rasa di mana-mana pun ada makhluk syaitan ini cuma nama panggilan saja berbeza. Kami di Sabah takkan sebut direct namanya, konon-konon dia boleh dengar kalau disebut. Sinonim seperti kita gelar cik ponti, cik kunti.
Rumah kami ni ada 3 bilik, satu bilik bilik aku dengan achik dan kak long. Sebelah bilik mak ayah, sebelah lagi bilik abang dan kak ipar aku.Satu malam,sepupu aku Ira tidur di rumah sebab suami dia tengah outstation.Ira ni tengah sarat mengandung anak kedua. Satu kebiasaan di sini jikalau hamil,perut akan dibalut dengan kain hitam dan di lumur dengan satu serbuk dipanggil Iggu. Aku tak pasti apa namanya yang sebenar, tapi bentuknya hitam , berbau busuk sikit boleh didapati di kedai-kedai India. Mak bidan jelaskan ini untuk mengelakkan benda -benda halus dapat menghidu bau-bau janin, kain hitam pula untuk melindungi perut yang sarat dari dapat dilihat oleh mata-mata halus.

Malam itu Ira tidur dengan aku dengan achik. Achik dah tidur nyenyak menelentang. Tinggal aku dan Ira belum tidur. Umur kami lebih kurang sebaya, cuma dia kahwin awal.Jadi selesa bercerita. Cerita dari zaman kanak-kanak hinggalah remaja. Satu pertiga malam, atap zink rumah terasa dihempap sesuatu. Ada benda berseret di sekitar atap rumah. Bau busuk kuat, masam seperti bau cuka menusuk hidung. Ira membetulkan posisi kain diperut seperti sudah mengagak, tapi diam membisu, mukanya cemas. Kembang kempis hidung, kami terhidu bau hanyir. Bunyi seretan di atas bumbung berhenti di bahagian perantaraan bilik kami dan mak. Serentak deruan angin menerpa bilik kami , terdengar satu dentuman seperti benda jatuh di sebelah bilik mak. Lekas-lekas aku menutup daun tingkap yang terbuka selakannya. Ira yang baring berdekatan dinding sebelah diam tak berkutik.
Bunyi menderam jelas terdengar saling bertingkah dengan dengkuran ayah yang macam kapal pecah. Bulu roma meremang mendadak. Bau hanyir menyeruak menusuk hidung. Aku paling tak suka bertembung dengan benda ni. Sebab benda ni manusia yang sudah bergabung dengan syaitan. Dan aku tiada sebarang kudrat pun untuk menghalang apa pun kuasa halus dari mencederakan manusia, kecuali berserah kepada Maha Kuasa Allah s.w.t.

Di bilik sebelah, ayah sudah hanyut dalam mimpi tidur terbelingkar, sambil perut memboyot ke hadapan. Mak sedari tadi rupanya belum tidur. Sejak dahulu begitu. Sesiapa saja yang mengandung, mak takkan pernah sedap tidur. Sedikit ilmu perbidanan yang di warisinya masih ada mengalir dalam badan. Mulut mak kumat kamit membaca sesuatu. Dalam kelam suram bilik, dia sudah dapat meneka apa yang ada di atas bumbung. Bunyi berseret dan mencakar, serta bau pedih seperti bau cuka cukup untutk menandakan kehadiran makhluk manusia syaitan itu. Sejak dari tadi mak sudah dapat melihat kepala tanpa badan mengintai dari atap rumah cuba menerobos masuk. Tergolek kepala tanpa badan itu di sisi ayah yang masih nyenyak tidur. Kembang kempis perutnya senada dengkuran. Mak masih membaca ayat-ayat sambil memerhati makhluk itu. Lidahnya terjulur panjang kemerahan. Kulit menggerutu kehitaman dangan bola mata yang terbelalak. Menyeringai, sejalur cecair merah menitis dari bibirnya yang merekah.
Makhluk itu berlegar-legar di sisi ayah. Terdongak-dongak melihat perut buncit ayah. Dia menderam,. Lama dia perhatikan perut ayah. Cuba-cuba menghidu. Ira yang baring di sebalik dinding dapat rasa makhluk itu hampir sangat dengannya. Mak cerita, kepala makhluk itu terteleng-teleng kiri dan kanan melihat perut ayah, cuma menghidu bau-bau janin yang sudah terlindung dari derianya.Lama dia perhati ayah,makin nyenyak dengan dengkuran, tak perasan langsung ada makhluk jadian tengah asyik memerhati perut boroi ayah. Agaknya dia keliru. Siapa yang mengandung sebenarnya. Lama dalam keadaan begitu,makhluk itu menerobos keluar dari sebalik atap. Kami menarik nafas lega. Mak kata,kalau tak tahu ayat pengusir, boleh jugak baling dengan garam halus. Tapi 7 keturunan mu dia akan ingat. Nauzubilaminzalik.Hanya Allah sebagai pelindung.

Aku teringat satu buku karya Ramlee Awang Mursyid. Aku suka penulis ni kerana penceritaannya lari dari kotak fikiran pembaca. Buku ini mengisahkan perjalanan Laksamana Sunan dalam menyebarkan syiar Islam dan menentang makhluk-makhluk syaitan pada abad ke-21. Dalam satu cerita tersebut, ada menyebut Laksamana Sunan telah singgah di suatu pulau di lautan Sulu yang didiami oleh makhluk-makhluk manusia syaitan. Manusia pada siangnya, menjadi syaitan pada malamnya. Bijak memperdaya manusia. Cerita ini seiring dengan cerita emak. Susun galur mak nenek moyangnya pernah mendiami dan bercerita mengenai kewujudan pulau tersebut. Hanya tinggal sisa-sisa manusia beriman yang terselamat.Ini antara sebabnya mak dan arwah nenek dahulu tahu bagaimana cara untuk mengelak dari manusia jadian yang kami gelar Balan-balan.
Keadaan di kampung ini lebih kurang sama. Ibu-ibu yang mengandung,akan sedaya upaya dilindungi dari terhidu oleh makhluk tersebut. Banyak mata-mata halus memerhati, leka sedikit bayi atau ibunya akan terbelingkang kaku tidak bernyawa, ataupun uri pucat kering tidak berdarah. Ramai jadi mak-mak bidan jadian.

Dalam satu cerita. Ada satu saudara dekat. Aku rahsiakan siapa. Entah mengapa hanya aku dan mak saja yang perasan. Seorang makcik. Dia mempunyai anak kak Ita yang sarat mengandung anak sulung. Sudah sampai waktu melahirkan anak ,tapi sangat sukar melahirkan. Dia merintih-rintih kesakitan. Bercucuran air mata menahan sakit. Sudah cucuk ubat, tapi masih belum ada tanda-tanda melahirkan. Sehari dua hari masih dalam keadaan begitu. Seakan pintu bayi untuk keluar dikunci. Nak operate,macam-macam masalah.
Masa ini aku dan mak datang melawat ke hospital. kak Ita, yang lebih kurang sebaya dengan kak long merengek tak tahan. Sedari tadi mak memang sudah membawa sebotol kecil air mineral. Sejak dari perjalanan lagi mak dah usap-usap permukaan atas botol air sambil membaca sesuatu. Kemudian dihembus. Berulangkali.
Mak jamah sedikit perut kak Ita. Mengeras. Sedari tadi makcik, mak kepada kak Ita merenung tajam. Sekejap ikut menangis melihat anaknya. Mundar mandir. Serasa tak senang dengan kehadiran kami.Mak mencapai air kosong dan sapu ke sekeliling perut kak Ita. Seteguk dia suahkan ke mulut kak Ita. Mak kata untuk memudahkan kak Ita bersalin.Emak Kak Ita sudah tak duduk diam. Dia merenung tajam tanpa terkalih memandang mak. Petang itu kak Ita selamat melahirkan anak perempuan dengan izin Allah.

Selang beberapa hari mak ajak aku dan Tina sepupu aku melawat anak kak Ita. Kak Ita masih berpantang. Lazimlah kalau dia kampung,saling menziarahi. Tetapi ternyata kedatangan kami tak di senangi oleh mak kak Ita. Dia senyum, ketawa, tapi matanya tak lepas dari melihat emak. Rupanya mak datang jugak berhajat. Seperti sebelumnya , air mineral yang sudah dibacakan ayat-ayat pendiding disapu keseluruhan tubuh bayi. Kak Ita yang masih berpantang disuahkan air tawar. Emak kak Ita merengus kuat. Tapi tak di pedulikan oleh emak. Matanya liar melilau tak senang. Tina pula ingin menumpang tandas. Tahulah tandas kampung dulu-dulu, kena turun tangga dulu baru jumpa tandas. Sebab lazimnya orang dulu-dulu tak suka bertandas atas rumah.
“Tina tumpang tandas makcik”..Mmm..mak kak Ita berdehem. Bila Tina toleh mencari wajah mak Kak Ita. Dia tersenyum pulas membentuk senyuman menggerikan. Memandang tajam Tina dari jendela. Tina terkedang kaku tak berganjak. Menelan liur. Seram pulak mak kak Ita ni. Selalu kuat celoteh , kuat ketawa , kuat berbual. Aisyhh..perlahan Tina mendapatkan kami tanpa menoleh ke arah emak kak Ita lagi.

Dalam perjalanan pulang aku bertanyakan dengan mak. Mak ketawa kecil sambil mengelus kepalaku.
“Makcik tu tak senang. Kalau betul perkiraan mak, makcik tu dah kunci Ita dari melahirkan. Diam-diam dia nak makan anak sendiri. Cucu sendiri. Dia tahu mak ada ilmu bidan sikit-sikit. Kalau sekadar nak hindar dari makhluk macam dia masih boleh, In SYa Allah. Kita datang ni, dia memang tak senang. Keinginannya terbantut. Mak dah bagi pendinding Ita dan bayinya. In Sya Allah Allah akan permudahkan” Jelas mak.Melopong Tina . Dia terbayang wajah makcik tu.
“Sebab tu ke makcik pandang kita tajam sangat.” tergelak mak.
“Lana perasan ke?..mm.. ya.. dia tahu kita berdua dah tahu. Tu sebab dia tak senang duduk.”
“Anak sendiri dan cucu sendiri mak… takkan la tergamak.”
“Kalau dah bergabung dengan syaitan..” cetus emak. Emak cerita bagaimana dia tahu. Berbelas tahun yang lalu, mak kak Ita pernah melahirkan anak kembar. Masa ni kecoh hantu penanggal ada mengganas. Bukan satu, tapi mempunyai kelompok.. Asal malam saja semua duduk dalam rumah. Emak kak Ita melahirkan anak kembar cukup sifat. Malam tu, pak Kodi, adik kepada mak kak ita balik, lalok. Dia hisap ganja atau seangkatan dengannya. Dia melihat kelibat di dapur menjilat dan meratah uri bayi kembar. Si bayi satu lagi kering pucat tidak berdarah. Tergeletak di atas lantai dengan kepala terkulai. Perasan di perhati, kepala itu menoleh menyeringai menampakkan gigi berceracak tajam. Wajahnya persis muka mak kak Ita. Berpinar pak kodi, serta merta dia pengsan. Esoknya dia bercerita, tapi tiada siapa yang mendengar kecuali emak. Sapa lah nak mendengar dari orang yang lalok. Emak dah pernah melihat dulu dia menghirup d***h segar dari balik-balik lantai papan dari bawah kolong rumah. Beberapa hari selepas itu salah seorang dari bayi kembar itu meninggal dunia.

“bila kepala bercerai dari badan, balan-balan mencari mangsa..”

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Cinta

4 thoughts on “Balan-balan..”

  1. Saya pun suka novel karya Ramlee awang murshid Tu. Saya baru je baca hijab sang pencinta, sambungannya Dari cerita bagaikan putri Dan cinta sang ratu.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.