Batu Sungai Milik Puteri Bunian

Assalamualaikum semua.

Nama aku Far, kampung nun jauh di pelosok hutan belantara disebalik gunung ganang di negeri Pahang. Hutan di tempat aku terkenal sebagai hutan hujan tertua di dunia. Mari aku ceritakan secebis kenangan yang tak mungkin aku dan keluarga lupakan sampai bila-bila.

Pada musim perayaan tahun 2018, kampung aku mengalami masalah air akibat kemarau yang berpanjangan. Sumber air di kampung sejenis terus dari mata air di bukit-bukau. Jadi bila kemarau, dengan ramai nya anak perantau yang balik ke kampung, memang inilah peluang untuk semua mandi sungai. Sungai yang sudah lama jauh dan sepi dari hiruk pikuk selepas satu kejadian yang amat memilukan dan menakutkan (nanti akan aku ceritakan kisah ini, insha’Allah) kembali meriah dengan suara jeritan kegembiraan dan keterujaan anak-anak kecil dan orang dewasa.

Keluarga aku tidak

ikut ke sungai kerana kawasan rumah kami rendah, jadi kami masih dapat bekalan air paip walaupun tekanan nya tidak berapa kuat. Petang hari raya pertama, anak buah sulungku yang aku namakan Bal berusia sekitar 10 tahun pada waktu itu asyik mengajak abah dan ibunya untuk ke sungai. Mungkin kerana dia terliur melihat anak-anak sebaya dengannya turun naik dari sungai – oh ya, rumah aku merupakan antara laluan utama orang ke sungai.

Oleh kerana Bal merupakan anak tunggal Along dan cucu sulung dalam keluarga, akhirnya dapatlah dia ke sungai selepas mendapat lampu hijau dari neneknya yakni mak aku hehe. Jadi pergilah Bal bersama ibu dan abahnya ke sungai beserta dengan adik bongsuku. Mereka pulang ke rumah ketika jam menunjukkan hampir masuknya waktu maghrib.

Malam itu, semasa kami semua sedang menikmati makan malam..along minta diri ke bilik air kerana sakit perut katanya. Ketika along ke tandas, kami yang lain masih meneruskan makan malam seperti biasa sehinggalah abang kembarku D ke dapur sambil berkata dengan tenangnya “Pucat betul muka along, sakit perut sangat kot” – lalu abang iparku, suami kepada Along bertanya “Along dekat mana?” “Ruang tamu” jawab D. Abang iparku bergegas ke ruang tamu bersama mak.

“Allahuakbar!!” jeritan mak kedengaran sampai ke dapur, kami semua bergegas ke ruang tamu..Along terbaring dalam keadaan hampir tidak sedarkan diri. Mukanya pucat seperti tidak berdarah, bibirnya biru menggeletar. Segera mak arahkan aku untuk mengambil tilam dan selimut tebal dan bawa ke ruang tamu tempat Along terbaring. “Ni sakit lain ni, pergi panggil DS” arah mak kepada abang kembarku D dan seorang lagi R. Mereka segera berlari ke rumah DS, jiran kami yang juga merupakan pengubat tradisional untuk meminta bantuan.

Sementara menunggu kedatangan DS, kami anak beranak duduk di sekeliling Along sambil membaca Yassin. Kakak aku yang seorang lagi dalam keadaan berpantang, mak menyuruh dia masuk ke bilik dengan anaknya sambil berpesan supaya jangan berhenti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Along makin teruk, badannya terasa amat sejuk seperti air batu. Abang iparku berterusan membisikkan ayat-ayat suci di telinga Along. Air mata Along bergenang, bibirnya terketar-ketar seperti hendak menyampaikan sesuatu.

Tidak lama kemudian. DS pun sampai bersama sepupunya yang juga dikenali sebagai orang yang pandai berubat. Semasa mereka melangkah masuk ke dalam rumah, Along tiba-tiba bangun dan cakap “Siapa suruh kamu datang? keluar!!!!”. Suara Along ketika itu kedengaran seperti suara yang bukan miliknya. DS dan sepupunya mula membaca ayat-ayat Al-Quran dan Along terus menjadi tidak keruan. Daripada seorang yang lemah lembut, dia menjadi begitu ganas dan kuat. DS mengarahkan abang iparku, abang kembarkan dan adik lelakiku untuk memegang tangan dan kaki Along sambil dia meneruskan membaca ayat-ayat Al-Quran. Sepupu DS meminta aku untuk mengambil garam dan lada hitam.

Sepupu DS menghulurkan garam dan lada hitam kepada DS, DS mula membaca sambil jarinya diputar-putarkan ke dalam mangkuk berisi garam dan lada hitam itu. Along masih lagi meronta-ronta, suaranya sering bertukar-tukar. Sekejap suara merdu perempuan, sekejap keluar suara jantan..DS mengambil secubit garam dan lada hitam itu dan dia meminta izin abang iparku untuk memicit ibu jari kaki Along. Selepas mendapat keizinkan, DS mengambil kain sebagai lapik dan mula memicit ibu jari Along. “Kau jangan kacau aku! Dia milik aku!!” Along menjerit, bersuara jantan. DS meneruskan lagi memicit ibu jari kaki Along, “Pulangkan hak aku, akan aku pulangkan dia” Along menjerit lagi, kali ini bersuara wanita pula. Yang pasti, itu bukan suara Along.

Setelah lebih dari satu jam, Along beransur pulih..DS dan sepupunya masih lagi meneruskan kerja mereka..tidak lama kemudian, DS memanggil abang kembarku R untuk ke beranda rumah, entah apa yang dibicarakan..R datang dan duduk bersimpuh disisi kepala Along dan berbisik sesuatu, Along memandang R dengan pandangan yang kosong dan aku mendengar dia berkata “Ada atas belebas”. Kemudian, R pun masuk ke dalam bilik Along dan dia keluar membawa sebiji batu putih berbentuk tungku yang bulat dibawahnya dan seperti ada pemegang dibahagian atasnya. Tekejut kami semua apabila melihat sebiji batu yang begitu cantik berada di dalam bilik. DS berkata “Pergilah pulangkan batu itu ditempat yang aku cakap tadi, ingat.. jangan dicampak, letak baik-baik”.

Semasa abang kembarku D dan R keluar dari rumah untuk ke sungai, bagi memulangkan batu itu..hujan turun dengan selebat-lebatnya..D membawa motosikal dan R membonceng di belakang sambil memegang batu itu yang sudah pun dibalut dengan kain oleh DS..selang beberapa waktu, ketika D dan R sampai semula ke rumah. Automatik Along seperti terjaga dan bertanya “Eh, kenapa ni?” DS menyuruh Along membaca surah Al-Fatihah, ayatul Kursi dan mengucap dua kalimah syahadah. Alhamdulillah, Along boleh membaca semuanya dengan lancar. DS bertanya, macam mana Along boleh ambil batu itu dan apa tujuan nya, Along menjelaskan bahawa ketika Bal sedang mandi yang dipantau oleh suaminya.. Dia terdengar seperti ada sesuatu yang menyuruhnya untuk melihat disebalik semak di tepi sungai tempat dia duduk. Apabila dia menyelak semak-samun itu, dia ternampak batu itu ada disitu dan terus mengambilnya kerana merasa amat sesuai untuk dijadikan batu tungku apabila dia kembali ke bandar nanti.. selepas mendengar cerita Along, DS pun menceritakan apa yang terjadi kepada Along kepada kami semua..

Semasa DS memicit ibu jari Along, DS nampak bayangan seorang puteri raja bunian yang sedang berpantang mengamuk kepada dayang-dayangnya kerana telah menghilangkan batu tungku kesayangan nya..Setelah diancam, seorang dayang mengaku bahawa dia sangat berkenan akan batu tungku itu dan menyorokkan nya di suatu tempat..Tetapi dia tahu jika batu tungku itu masih berada dialam mereka, mesti batu tungku itu akan dijumpai semula..Dia ternampak Along yang pada pengamatannya baik rupa dan budi, lalu dia memutuskan untuk Along mengambil dan menjaga batu itu sementara. Suara perempuan yang kami dengar dari Along itu menurut DS adalah suara tuan puteri bunian tersebut.

Suara lelaki itu pula sebenarnya adalah suara hantu raya yang tidak bertuan dari dalam hutan, dia mengacau untuk menjadikan Along sebagai tuan nya. Badan manusia, apabila ditebuk oleh satu benda halus..yang lain akan mudah ikut menumpang. Begitulah kata DS.

Hampir pukul 3 pagi baru lah selesai semuanya. Esoknya semasa sarapan, kami bertanyakan kepada D dan R pengalaman mereka semasa menghantar batu itu..Menurut R, semasa sampai di tepi sungai itu..hujan masih lebat, semasa dia hendak meletakkan batu itu dia berkata “Ni aku pulangkan semula batu yang diambil oleh kakak aku..lepaskan kakak aku, dia tak tahu apa-apa” tiba-tiba hujan berhenti dan terbau satu bauan yang amat wangi. Lepas dia letakkan batu itu, dia kembali membonceng motor yang ditunggang D, dan bila motor dah bergerak, dia menoleh kebelakang dan batu itu sudah tiada disitu.

Sekian saja cerita yang masih lagi segar dalam ingatan kami sekeluarga, harapnya semua suka akan cerita ini dan jadikan ikhtibar dimasa akan datang. Terima kasih sudi baca sampai habis. Assalamualaikum

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Farah

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 23 Average: 4.5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.