Berat

Kali ini aku akan kongsikan lagi sebuah kisah dari seorang kenalan aku sendiri. Sebelum ini dia sendiri pernah berkongsi kisah dengan kita semua tentang dirinya yang tiba-tiba lumpuh tanpa diketahui sebabnya. Ceritanya sebelum ini boleh dilihat pada tajuk HASADA.

Jadi untuk kisah kali ini seperti biasa, aku ingin mengingatkan sekali lagi bahawa untuk kita bersama hormati perkongsiannya. Usah terlalu serius mahupun taksub dengan apa yang bakal dikongsikan. Anggaplah ianya suatu hiburan yang mendidik bagi kita.

Jika ingin membaca, bacalah dengan niat yang baik. Jika tidak mahu membacanya, boleh abaikan tanpa sebarang provokasi atau spekulasi yang boleh membawa kepada fitnah. Moga-moga kita dapat manfaat daripadanya.

Jom kita baca kisah ini…

========================

Setelah aku berhenti kerja di pasaraya tersebut sebagai seorang promoter, kemudian rezeki aku pula dapat bekerja di sebuah universiti terkemuka tanah air sekitar Lembah Klang.

Selama tiga tahun juga aku berada di sana sehinggalah aku ditukarkan ke bahagian lain iaitu unit kemasukan. Lazimnya seperti yang diketahui, unit kemasukan ini banyak menguruskan hal ehwal pelajar seperti uruskan surat menyurat pelajar.

Kisahnya bermula di suatu pagi, di mana ada seorang rakan sekerjaku ini bermurah hati untuk belanja makan sarapan pagi di unit tersebut. Jadi, dia letak satu persatu nasi lemak yang dibelinya di atas meja setiap ahli dalam pejabat.

Aku pula ketika itu sudahpun bersarapan di rumah, sekadar letak dahulu nasi lemak yang diberikan di tepi meja. Namun begitu, timbul pula sedikit rasa kurang senang aku terhadap nasi lemak tersebut.

Nasi lemak itu sepertinya sudah dibuka bungkusannya, cuma ianya seolah dibalut semula. Jadi, ianya kelihatan tidak begitu sempurna balutannya. Walau bagaimana pun, aku biarkan saja. Boleh jadi itu hanya perasaan aku saja.

Kebetulan En.Amirul, (bukan nama sebenar) seorang juruteknik ketika itu belum sarapan maka aku berikan nasi lemak tadi kepada dia. Dia ambil nasi lemak tersebut dan makan seperti biasa.

Keesokan hari, ada rakan sekerjaku dari unit lain (dulu pernah bekerja bersama) datang berjumpa aku sendiri. Dia bertanyakan sesuatu berkaitan nasi lemak semalam.

“Kau semalam ada dapat tak nasi lemak yang Kak Ani (bukan nama sebenar) bagi semalam?”

Aku menjawab, “Ada, kenapa?”

“Kau makan atau tidak nasi lemak tu?” tanya dia lagi tanpa menjawab soalan aku tadi.

“Tiada, sebab aku dah sarapan awal pagi semalam kat rumah. Kenapa?” soalku lagi dengan harapan ada jawapannya.

“Sebab ada orang nampak Kak Ani seperti letakkan sesuatu dalam nasi lemak kau semalam.”

Jawapannya itu membuatkan aku berasa seram bercampur serba salah. Seram kerana ada seseorang ingin kenakan aku lagi atas sebab yang tidak pasti. Serba salah sebab nasi lemak itu dimakan oleh En.Amirul semalam.

Saat itu jugalah aku segera mencari En. Amirul untuk bertanya kondisinya. Tetapi dia tidak datang kerja sehinggalah hari ketiga selepas kejadian itu. Aku segera dapatkannya untuk bertanya lebih lanjut apa yang terjadi padanya.

En. Amirul menceritakan bahawa ketika habis kerja pada hari itu (hari dia makan nasi lemak), langsung dia pulang ke rumah. Anaknya menangis tanpa henti apabila melihat dirinya.

Tambah parah lagi, ketika dia mendukung anaknya itu, tangisannya itu bertambah kuat. Hampir saja berputus asa untuk memujuknya.

Dan ketika itu juga dia merasakan bahawa lehernya itu berat dan panas semacam. Puas diurutnya, tetap juga berasa berat. Tapi semuanya itu dia tidak ambil kisah kerana kondisi anak itu lebih penting menurutnya.

Lalu dia membawa anak itu ke klinik bagi tujuan pemeriksaan. Namun, hasilnya tiada apa-apa yang terjadi. Semuanya baik-baik saja.

Rasa pelik juga kerana anaknya itu masih menangis setiap kali melihat dirinya. Maka dia putuskan untuk bawa bertemu seorang ustaz yang mahir dalam rawatan Islam. Dan di situlah terjawabnya segala persoalan.

Menurut ustaz itu, pada leher En.Amirul terdapat seorang budak kecil yang bertenggek. Kerana itulah lehernya menjadi berat dan panas.

Kerana itu jugalah, anaknya menangis setiap kali melihat dirinya. Bayangkanlah budak kecil seperti watak dalam cerita ‘Ju-On’ itu. Barangkali seperti itulah yang bertenggek pada lehernya.

Setelah aku tahu tentang apa yang terjadi pada En.Amirul selama tiga hari itu, aku pun berceritalah tentang hal sebenarnya yang terjadi pada hari ketika nasi lemak itu diagihkan.

Aku juga turut meminta maaf darinya kerana rasa bersalah. Sekiranya aku tidak berikan nasi lemak itu padanya, mesti perkara ini tidak terjadi padanya.

Dalam masa yang sama, aku juga turut bersyukur kerana Allah masih lagi lindungi aku. Cuma memang aku kesian sangat pada En.Amirul.

Selang beberapa hari selepas itu, jadi pula kes yang lain. Kali ini ianya terjadi dalam rumah keluargaku pula.

Ruang tamu rumah itu di tengahnya ada sebuah permaidani yang terbentang, cantik. Aku dan mak aku kerap ke hulur ke hilir dalam rumah, lalu memijak atas permaidani itu tanpa apa-apa hal yang pelik dan mencurigakan terjadi.

Sehinggalah abahku pulang dari surau dan ternampak sebatang jarum peniti di atas permaidani tersebut.

“Ini kamu punya?”

Aku langsung menggelengkan kepala kerana seminggu ini tidak pula aku memakainya. Mak pula memang tidak menjahit.

Wajah abah terlihat berkerut, barangkali pelik dengan kehadiran jarum tersebut. Dia memegang jarum tersebut selaras dengan wajahnya, lalu mulut terkumat kamit membaca sesuatu.

Serta merta jarum itu patah dan dia pun membuang jarum tersebut menerusi tingkap rumah.

Abah cuma berpesan, jangan sesekali tinggalkan solat. Kita jaga hak Allah, Dia akan jaga kita. Meskipun ada yang buat tak baik pada kita, selama mana kita jaga solat, Dia akan lindungi kita.

Alhamdulilah setelah lima bulan aku bekerja di unit kemasukan, akhirnya aku dipindahkan pula ke unit kewangan.

========================

Kembali pada meja penulis :

Lain orang, lain ujian dan lain juga pengalaman. Namun, semua itu memberi hikmah dan pengajaran buat kita sebagai makhluk-Nya di bumi ini.

Begitu jugalah seperti mana kenalan aku ini, demikianlah bahagian ujian buat dirinya dan keluarga.

Sungguh, sama ada ianya berbentuk nikmat mahupun musibah, kedua-duanya itu adalah bahagian ujian buat manusia untuk menjadi dua golongan paling hampir pada Allah SWT, iaitu golongan bersyukur dan juga golongan bersabar.

Kedua-dua golongan ini punyai kunci paling ampuh untuk memastikan mereka terus kekal sebagai golongan bersyukur dan juga bersabar iaitu solat.

Pernah seorang sahabat aku berpesan, “Jaga solat, In shaa Allah solat akan jaga kita.”. Dalam erti kata yang lain, kita jaga hak Allah, Dia akan jaga setiap hak kita. Sungguh, Allah itu Maha Menepati Janji-janji-Nya.

Syaikh Ibnu A’thoillah As-Sakandari mengatakan,

“Orang yang ikut mengatur bersama Allah adalah seperti anak yang perginya bersama ayahnya. Kedua-duanya berjalan dalam malam yang gelap gelita. Oleh kerana sayang akan anaknya, ayah sentiasa mengawasi dan memperhatikannya tanpa diketahui oleh anaknya. Anak itu tidak mampu melihat ayahnya, keadaan meresahkan dirinya di samping tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Ketika cahaya bulan menyinari suasana, dia melihat keberadaan ayahnya, maka keresahan itu sirna. Dia sedar ayahnya tetap dekat padanya. Kini ia berasa tidak perlu ikut mengurus dirinya kerana segala sesuatu diperhatikan oleh ayahnya. Seperti itulah orang yang mengurus dirinya. Dia melakukannya kerana berada dalam kegelapan, terputus daripada Allah. Dia tidak merasakan betapa hampirnya Allah di sisinya. Andai kata bulan (tauhid) atau mentari itu menyinarinya, tentu dirinya melihat Allah begitu dekat, sehingga dia malu untuk mengatur dirinya dan merasa cukup dengan aturan Allah.”

Demikianlah perumpamaan buat mereka yang selalu menjaga solatnya. Bukan sekadar waktu malahan tatatertibnya itu sentiasa dijaga. Mungkin kerana ini jugalah, abah kepada kenalan penulis di atas ini berpesan sedemikian rupa, “Selama mana kita jaga solat, Dia akan lindungi kita.”.

“Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami dari seksa api neraka.”.

TAMAT

penulis : Saiful Haq

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 46 Average: 4.4]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.