BERUBAHLAH

BERUBAHLAH
Karya: DeeFen DF

==========================

“Miss Tan, I nak apply cuti 2 hari ya next week. Thursday & Friday.”

“Lu mau pigi mana? Holiday mana tempat? Atau lu senyap-senyap mau kahwin? Hehehehe…”

“Hahahaha! Bukan kawin la! Holiday pun bukan. Balik kampung saja. Habiskan annual leave tahun lepas punya.”

Kau tersenyum terkenangkan perbualan minggu lepas dengan Miss Tan. Miss Tan merupakan admin di pejabat tempat kerja Kau. Beliau terkenal dengan sifat suka bergurau dan menyakat kesemua staf. Peramah. Sangat sesuailah dengan kerjayanya yang memerlukan PR yang baik.

Hati Kau sudah mula berbunga-bunga memikirkan cuti panjang yang bakal dinikmati selepas tamat waktu kerja jam 5:30 petang nanti. Kebetulan hari Isnin minggu depan adalah cuti umum, maka Kau akan bercuti selama 5 hari di kampung halaman.

Karier Kau berjalan baik. Gaji Kau agak mewah. Namun, gaji yang tinggi datang dengan tanggungjawab yang besar. Kau selalu sibuk sehinggakan cuti hujung minggu pun kedang-kadang Kau datang bekerja. Masa untuk bersantai diri sendiri pun hampir tiada, apatah lagi untuk keluarga di kampung.

Dikerling jam di tangan. “Lagi 1 jam nak balik. Yahooo!” Bisik hati kecil Kau.

Telefon di meja berdering mematikan lamunan Kau. Namun dibibir masih berbekas senyuman riang. Gembira bukan kepalang. Gagang telefon pantas diangkat.

Selepas beberapa minit bercakap melalui telefon, raut wajah Kau berubah 180 darjah. Keluhan berat dilepaskan selepas gagang diletak. Sedikit kasar cara hentakan gagang menarik perhatian rakan sekerja di sebelah Kau.

“Kau apahal?”

“Takleh balik on time hari ni. Klien minta hantar kerja esok. Tapi esok aku dah cuti. So, terpaksa settle-kan hari ni jugak. OT la nampaknya aku hari ni. Banyak pulak tu kerjanya. Haduiiiii.” Riak kekecewaan jelas terpancar. Dipicit-picit kepala Kau yang mula terasa memberat.

* * *

Lagi 5 minit sebelum pukul 11:00 malam barulah kerja Kau siap semuanya. Kau tersandar rapat ke kerusi. Mata Kau terbeliak dan sesekali berkedip merenung kosong pada skrin komputer. Tak pernah Kau buat kerja di pejabat sehingga selewat begini. Tapi bila mengenangkan kerinduan masakan ibu di kampung, membulatkan tekad Kau untuk pulang seawal yang boleh.

“Perut dah berbunyi teruk dah ni. Lapar oiiii!” Omel Kau sendirian.

Heee heee heee heeee….

Spontan Kau berdiri apabila sayup-sayup terdengar seperti suara perempuan ketawa kecil. Kepala Kau tertoleh-toleh mencari arah punca suara. Kosong. Tiada siapa di dalam pejabat selewat begini. “Shit! Baik aku balik sekarang.”

Kelam-kabut Kau berlari keluar pejabat. Nak mengunci pintu pejabat pun dah terketar-ketar tangan. Semasa di dalam lif baru Kau teringat yang komputer lupa dimatikan. Hati Kau berbelah-bahagi sama ada nak naik semula untuk mematikan komputer atau terus sahaja berambus dari bangunan ini.

Kau mengeluarkan telefon bimbit cerdas daripada kocek kiri.

**Weh, esok tolong shut down PC aku. Aku lupa.**

Mesej daripada aplikasi Whatsapp dihantar kepada rakan sekerja Kau. Hanya satu ‘tick’ berwarna kelabu yang kelihatan. “Takkan dah tido mamat ni. Lantaklah. Esok dia baca la tu.”

Destinasi pertama Kau adalah ke restoran nasi kandar. Kepala dah terasa pening dan loya akibat perut terlalu lama kosong. Manik-manik halus peluh dingin mula merembes melalui celahan liang roma. Kaki longlai mahu melangkah hatta untuk memanjat ‘step’ setinggi 10cm untuk masuk ke dalam restoran pun terasa lemah. Kau memang benci dengan keadaan macam ini.

“Anney, teh wo wais sonne!”

**Mak, jangan tunggu Angah. Tido dulu pun takpa. Angah ada kunci rumah. Ni baru nak gerak dari Penang. Lebih kurang kul 1 sampai la.**

* * *

Selepas melepasi Jambatan Pulau Pinang, Kau mula memasuki Lebuhraya Utara Selatan. Kenderaan masih banyak di atas lebuhraya sekitar Penang kerana memang begitulah lazimnya. Restoran nasi kandar, pub dan pusat karaoke masih beroperasi pada waktu begini menjadikan manusia-manusia masih bersengkang mata menikmati suasana malam hari.

Tak sampai 30 minit memandu, Kau telah berpuluh kali menguap. Penangan nasi kandar disirami kuah kari campur dan ayam goreng panas beserta telur sotong yang ‘nallarekerk’ membuatkan badan kau merindukan tilam empuk untuk dibuat pembaringan. “Ahhhh sedapnya kalau dapat bantal dan tilam.”

Setelah beberapa kali tersengguk ketika memandu akhirnya Kau membuat keputusan untuk berhenti mandi. Atau sekurang-kurangnya membasuh muka. Atau tidur sebentar. Atau mengeliat meregangkan badan. Atau membuat senaman lompat bintang sebanyak 8 set.

Memang menjadi habit Kau untuk berhenti di mini Hentian Sebelah (HS) sahaja. Bukannya di Hentian Rehat & Rawat. Ini kerana di Hentian Sebelah (HS) lebih tenang, kurang sibuk dan kurang manusia. Kau bukanlah seorang yang suka menempel muka di tempat yang ramai orang.

Sebaik kereta Kau dipandu masuk ke HS, kelihatan 3 buah lori kontena serta 3 buah kereta sedang diparkir. Kau dapat melihat beberapa pengguna sedang melakukan aktiviti melepaskan lelah masing-masing. Ada yang melonggarkan sendi-sendi badan. Ada yang tersandar di kereta sambil mengetuk skrin telefon cerdas. Dan ada yang menghisap rokok walaupun dah terpampang jelas papan tanda larangan menghisap rokok di mana-mana hentian lebuhraya.

Kau sedang berkira-kira sama ada untuk mandi atau basuh muka sahaja. Setelah ditimbang dan diteliti, Kau membuat keputusan untuk mandi. Itu pun setelah kau terlihat di cermin pandang belakang dan kelihatan jelas wajah ‘orang minyak’ memenuhi ruangan segiempat tepat cermin. “Fuhh teruk berminyak dah muka aku. Boleh ambik buat goreng nugget. Ketiak pun dah berbau bawang kepam.”

Pencuci muka yang Kau beli di Watsons menjadi mangsa digunakan sebagai sabun badan disebabkan Kau langsung tak membawa sabun mandi. Nak digunakan sabun cecair yang terlekat di dinding sinki tandas rasanya terlalu ekstrem. Entah-entah pihak Propel guna sabun cuci pinggan dan diisi di dalam bekas tersebut. Mau mengelupas kulit badan Kau yang mulus. “Euwww!”

Sebaik keluar daripada jamban, ya Kau hanya mandi di dalam jamban kerana mana ada HS menyediakan bilik mandi, hanya kelihatan 2 buah lori yang masih bersidai di parkir. Kereta-kereta tadi pula semua sudah ghaib meneruskan perjalanan masing-masing.

Walaupun sudah mandi, Kau masih lagi menguap. “Aghhh mengantuk lagi ni. Menyesal aku tidur lewat semalam. Layan movie kat page Pencuri Movie sampai pukul 4 pagi. Padan muka aku!” Mata Kau masih terasa berat. Cubaan kau untuk menyegarkan badan dengan mandi di jamban nampaknya telah gagal sama sekali.

Jadinya Kau mengambil keputusan untuk meridap sebentar. Penggera telefon cerdas ditetapkan pada jam 12:20 pagi, tempat sandar kerusi diturunkan, bantal hiasan yang dibeli di sempadan Siam dipeluk erat. Sekejap sahaja Kau telah masuk ke alam tidur.

* * *

Kringgggggggggggggggggggggggg!

Penggera yang berdering seperti telefon zaman pra-milenium mengejutkan tidur Kau. Nyaring. Membingitkan telinga.

Terpisat-pisat mata Kau merenung skrin telefon cerdas yang bercahaya terang. Jam sudah menunjukkan pukul 5:30 pagi. Umpama terkena elektrik, pantas kau melihat sekali lagi jam. “Shit! Lama gila aku tidur. Aku tersilap kunci alarm ke tadi??”

Kau melihat tolok suhu kereta dan petrol. Suhu masih normal dan petrol masih banyak. “Nasib baik aku tak m**i tidur dengan air-cond terbuka ni. Mamak tu letak ubat tidur ka apa sampai aku terlena tak sedar apa dah.”

Kerusi kereta dibetulkan dan ditampar pipi Kau berkali-kali agar fungsi otak kembali normal. Mata Kau mengitari seluruh HS. Tiada lagi lori atau kenderaan lain di situ. Hanya Kau seorang. Kabus tipis mula menyelubungi kawasan sekitar.

Menyedari keadaan itu, Kau pantas bergerak keluar dari HS. Risau diganggu geng celaka yang membuat onar dengan merompak dan mengambil kesempatan. Sering sahaja Kau terbaca di media sosial bahawa ada geng jahat yang selalu membuat wang mudah dengan mengsabotaj kenderaan pengguna lebuhraya.

Kau memandu pada kelajuan yang menyalahi undang-undang jalanraya iaitu 130km/j. Nak cepat sampai. Kalau mak Kau tahu yang Kau belum sampai rumah, mesti dia risau.

Setelah hampir 30 minit memandu, Kau baru terperasan yang di atas lebuhraya langsung tiada kenderaan lain. “Mungkin awal pagi kot. Lagipun sekarang tengah-tengah minggu. Tapi… sepatutnya time macam ni van dan bas kilang dah berlumba-lumba atas highway. Hmmm…”

Kau terlalu fokus pada pemanduan sehingga radio lupa dibuka untuk menghiburkan suasana. Apabila radio dibuka, langsung tiada siaran yang dapat. Tapi Kau sudah tahu yang memang di kawasan berbukit begini, siaran radio susah dapat.

Kau membuka aplikasi JOOX untuk mendengar lagu secara atas talian. Namun telefon tiada talian. Kau berasa sedikit marah. “Sebelum-sebelum ini Maxis okay ja. Apahal pagi-pagi buta ni buat hal pulak takda line.”

Semakin jauh Kau memandu, semakin tebal pula kabus yang menyelubungi sehingga Kau terpaksa menurunkan kelajuan kereta. Jarak penglihatan semakin lama semakin dekat. Sememangnya suasana berkabus tidak asing di kawasan berbukit-bukau ini.

“Eh, sepatutnya aku dah lepas lebih kurang tiga atau empat susur keluar tadi. Tapi kenapa aku langsung tak perasan.” Kau cuba meneroka kembali memori sebentar tadi. Namun tetap tak terjumpa akan memori yang dicari. “Mungkin cuaca berkabus buat aku tak terperasan kot.” Kau cuba menyedapkan hati walaupun Kau sendiri sudah berasa pelik dengan keadaan itu.

Kau teruskan pemanduan sehingga satu jam lamanya. Namun tetap langsung tiada kenderaan lain. Susur keluar lebuhraya juga tidak kelihatan. Kau semakin berasa tidak sedap hati. Degupan jantung Kau semakin laju.

Keadaaan menjadi sangat berkabus sehingga jarak penglihatan hanya berberapa puluh meter sahaja ke hadapan. Kau menyalakan lampu tinggi serta lampu kabus. Suasana sepertinya Kau sedang masuk ke alam lain.

Badan Kau semakin rapat ke stering. Mata kau terbuntang jelas melihat ke hadapan dan kelajuan kenderaan diturunkan sehingga 50 km/j.

ZUPPPPPP!!!

Satu bayang hitam melintas di hadapan Kau dari arah kiri ke kanan lebuhraya. Terlalu dekat bayang itu melintas, seakan membelah bonet hadapan kereta Kau. Tindakan refleks membuatkan Kau spontan memusingkan stering ke kiri sambil memejamkan mata.

* * *

Kringggggggggggggggg!

Segera Kau terjaga kerana bunyi penggera telefon cerdas. Pukul 5:30 pagi.

“SHIT! Dah lewat. Ngeri betul mimpi aku tadi.”

Cepat-cepat Kau memandu bergerak keluar dari HS. Suasana berkabus, dan tiada langsung kenderaan di HS tersebut. “Hmmm… Sama macam dalam mimpi aku tadi ja.”

Kau memandu laju. 140km/j. Radio cuba dibuka namun tiada siaran. Normal.

Kau melihat skrin telefon. Tiada talian. Tidak normal.

Di lebuhraya langsung tiada kenderaan. Ini lagi tidak normal.

Hati Kau semakin gusar. Bagai dejavu, keadaan sebegini sama serupa seperti yang pernah Kau lalui dalam mimpi sebentar tadi.

Setelah beberapa lama memandu, Kau tetap tak jumpa susur keluar. Degupan jantung semakin pantas. Berdebar. Nafas Kau laju dan kasar.

Apabila melihat papan tanda kecil kilometer di tepi lebuhraya, baru Kau perasan yang ianya menunjukkan angka yang sama berulang kali. 239.9. Walau berapa lama kau memandu, ianya menunjukkan kilometer yang sama iaitu 239.9.

“Aku tak kira, apa sahaja susur keluar yang muncul. Aku akan terus keluar. Asalkan aku dapat keluar daripada lebuhraya puaka bodoh ni!”

Sedang Kau terkial-kial memandu dalam suasana berkabus tebal, melalui cermin pandang belakang, ekor mata Kau terperasan seperti ada sesuatu yang ganjil. Sesuatu yang tak sepatutnya berada di situ.

Kau terus memandang cermin pandang belakang. Apa yang Kau lihat adalah satu sosok hitam sedang melihat tepat ke mata Kau. Seraya itu Kau terjerit tanpa sebarang gelombang suara yang keluar daripada peti suara. Mata dipejam tanpa menghiraukan ke arah mana stering mengatur arah kereta Kau.

* * *

Kringgggggggggggggggggggg!

Kau terjaga lagi dek penggera yang sama. 5:30 pagi.

Kau tertoleh-toleh ke seluruh kawasan HS. Kau hampir menangis apabila melihat suasana sekeliling di HS sama seperti apa yang Kau lalui sebelum ini. Panik. Tangan Kau menggeletar ketakutan. Kau sudah mula meragui sama ada ini adalah realiti atau masih lagi bermimpi.

Kau mendail nombor telefon mak Kau, namun langsung tiada bunyi. Talian telefon juga tiada. Air mata mula mengalir di pipi. Fikiran Kau kusut dan buntu.

Tok! Tok! Tok!

Cermin pintu diketuk. Kau terjerit kecil lantaran terdapat satu sosok berdiri di situ. Sosok itu menundukkan mukanya rapat ke cermin sambil cuba mengintai ke dalam kereta.

Seraya Kau terpandang wajah sosok itu, Kau berasa agak lega kerana itu adalah manusia biasa. Wajahnya bersih dan tersenyum memandang Kau membuatkan Kau terus percaya itu bukanlah manusia jahat ataupun makhluk ghaib yang cuba menganggu.

Kau mengagak yang umurnya muda daripada Kau. Umurnya mungkin 10 tahun lebih muda. Wajahnya seperti orang yang dikenali namun Kau sudah lupa Kau pernah berjumpanya di mana. Fesyen pakaiannya sedikit kekampungan. Terus Kau membuka pintu kereta dan berasa ingin memeluknya. Kau sangat lega akhirnya dapat berjumpa dengan manusia biasa.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam,” jawab Kau.

“Kelihatannya awak macam dalam kesulitan.”

“Errr… Ya.” Pendek Kau menjawab. Cepat-cepat Kau menyeka air mata yang masih bersisa di kelopak mata.

“Kalau dalam kesulitan, minta dengan Allah. InshaAllah, Dia bantu.”

Kau sekadar mengangguk dan kepala menunduk memandang tarmacadam. Memang Kau akui, tadi masa dalam kesulitan Kau langsung tak berdoa kepada-Nya.

“Dah. Jom kita solat Isyak sekejap. Dah pukul 5:30 pagi. Dah nak dekat masuk waktu Subuh.”

Dengan penuh keyakinan dia mengajak Kau solat Isyak. Kau berasa pelik macam mana dia tahu yang Kau belum solat lagi. “Mungkin muka aku muka orang yang jarang solat.” Kau membuntuti dia menuju ke arah gazebo bagi menunaikan solat.

“Awak jadi imam. Saya makmum.”

“Errr… Ba.. Baiklah.” Kau gugup. Kau sendiri tak ada memori bila kali terakhir Kau menjadi imam solat. Mungkin semasa sekolah dahulu. Itupun sekadar praktikal waktu Pelajaran Agama Islam.

Selesai bersolat, Kau memintanya mengetuai bacaan doa. Antara doanya yang Kau masih ingat adalah…

“Tiada Tuhan selain Engkau ya Allah. Maha suci-Mu. Sesungguhnya kami adalah termasuk orang-orang yang berbuat zalim.”

Kau berasa dalaman jiwa Kau lebih tenang. Otak Kau tidak lagi berserabut. Emosi Kau tidak lagi panik.

“Istighfar banyak-banyak ye. Jangan putus asa. Kalau dalam kesulitan, lagilah banyak kita kena beristighfar. Kita ni hanya hamba-Nya yang lemah. Kepada-Nya sahaja kita memohon bantuan. Selain itu kita juga perlu berusaha. Usaha, doa dan tawakal.”

Kau hanya mengangguk perlahan kerana disekolahkan begitu rupa. Malu.

“Jom, saya teman awak naik kereta. Kita usaha sama-sama cari jalan keluar.”

Kau hanya menurut. Kata-katanya bagaikan magik. Kau langsung tak membantah atau menyoal.

* * *

Sepanjang perjalanan di lebuhraya yang berkabus dan sunyi itu, mulut Kau hanya beristighfar tanpa henti. Itu pun diperingatkan berulang kali oleh rakan baru Kau, agar Kau tidak lupa dan leka untuk terus beristighfar.

Rakan baru Kau mengeluarkan senaskah surah Yaasin daripada koceknya dan mula membaca di dalam samar-samar malam bercahayakan lampu dari papan pemuka. Kau menyalakan lampu bacaan bagi memudahkannya membaca. Dia menoleh ke arah Kau sambil tersenyum.

“Sah! Aku rasa macam kenal sangat muka dia ni! Tapi kat mana terjumpa, aku betul-betul lupa.” Bisik Kau di dalam hati.

Hati Kau semakin berdebar tatkala Kau terlihat kilometer 239.9.

Sebaik melepasi 239.9, tak beberapa lama kemudian Kau terlihat lagi kilometer 239.9 yang sama. Debar. Kabus sangat tebal. Kereta dipandu sangat sangat sangat perlahan kerana jarak penglihatan hampir kosong.

“Teruskan istighfar dan berdoa kepada Allah. Mohon kepada-Nya agar dilepaskan kesulitan dan diampunkan segala dosa.” Ringkas sahaja pesanan rakan baru Kau.

Di kiri pembahagi jalan pada kilometer 239.9 terlihat bayang hitam berdiri kaku memandang tajam ke arah Kau.

Akhirnya kabus tebal yang menyelubungi tiba-tiba menghilang. Kau pun terlihat susur keluar dan terus memandu keluar daripada lebuhraya.

“Kita berhenti solat Subuh di sini.” Rakan baru Kau menunjuk ke arah pejabat Plus. Kau tersenyum padanya. Dalam hati Kau tak sabar untuk bersujud syukur pada Ilahi.

Sesudah selesai solat Subuh, Kau tercari-cari rakan baru Kau. Lama kau mencari dan menunggunya namun dia tetap tak kunjung tiba. “Mungkin dia dah balik dulu. Tapi tak sempat aku nak bersalam dengan dia. Nama dia pun aku lupa nak tanya.” Kau berasa kesal kerana tidak dapat menyantuni rakan baru Kau yang banyak membantu sebentar tadi.

Sebaik Kau memasuki kereta, di atas kerusi penumpang terdapat senaskah surah Yaasin. Kulitnya berwarna merah sama seperti yang rakan baru Kau keluarkan daripada koceknya awal tadi. “Ini milik dia tadi. Mesti dia tercicir la ni. Alamak, mana aku nak cari dia, nak pulangkan balik.”

Kau mengambil naskah surah Yaasin tersebut. Serta-merta ingatan kau menerjah kembali fikiran. Naskah ini seperti sangat kau kenali. Kedutnya, kusamnya, sangat kau kenali. Dada Kau berdebar.

Diselak helaian pertama. Di penjuru atas tertulis nama Kau. Ya! Naskah surah Yaasin itu adalah milik Kau yang telah bertahun-tahun hilang.

Kini ianya muncul kembali. Menuntut kembali apa yang Kau lupakan selama ini!

Dan juga kini baru Kau sedar bahawa rakan baru tadi adalah merupakan diri Kau sendiri 10 tahun yang lalu… Kau adalah aku. Dan aku adalah Kau.

-TAMAT-

Dijemput untuk ‘follow’ Facebook penulis untuk membaca kemaskini kisah terbaru.

https://www.facebook.com/deefen.df

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

DeeFen DF

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 8 Average: 4.6]

4 thoughts on “BERUBAHLAH”

  1. Hilang mood bca.. story mcm bgus, p ‘kata ganti nma KAU’ tu yg buat keliru.. aku tak da kena mngena dlm ni dialog lh…hhha

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.