Bilik Tetamu

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih pada FS jika terpilih kisah saya ni untuk dikongsi bersama pembaca.

Peristiwa ni saya alami di rumah pertama kami. Tahun pertama kami menginap tiada apa-apa yang berlaku sehingga saya selamat melahirkan anak yang pertama.

Kisah pertama

Ibu saya telah datang dari kampung untuk menemani saya sejak dari seminggu lagi. Pada hari saya bersalin, ibu mertua saya datang dan ikut kami pulang untuk mengurut saya. Ibu mertua saya ni tinggal berhampiran saja dan dia ni bidan.

Pada malam pertama kami pulang ke rumah dari hospital, ibu mertua saya beritahu dia ada ternampak seorang nenek tua berdiri di tingkap bilik tetamu dan memandang ibu mertua saya dengan pandangan marah dan penuh kebencian ketika dia sedang cuba untuk tidur. Ibu mertua membaca ayat suci dan setelah nenek itu menghilang, dia kembali tidur. Ibu saya yang turut tidur di bilik yang sama tidak mengalami sebarang gangguan pada ketika itu.

Tiba-tiba dalam pukul 3 pagi, bayi saya menangis kuat. Disuakan susu badan pun dia tak mahu. Kami suami isteri mati kutu tak tahu nak buat apa (anak pertama, mentah lagi masa tu). Ibu dan ibu mertua saya bergegas dari bilik sebelah untuk membantu. Ibu mertua saya cuba membantu untuk menenangkan anak saya, namun tangisannya bertambah teruk.

Masa tu, ibu saya terkejut sebab terlihat kelibat nenek tua di kepala katil saya, berhampiran dengan ibu mertua saya duduk. Setelah ibu saya mengambil anak saya dari pangkuan ibu mertua saya, kelibat itu terus hilang dan anak saya terus bertenang.

Esoknya mereka berkongsi dengan kami apa yang mereka nampak dan ibu saya mencadangkan supaya kami pulang ke kampung segera untuk berpantang. Setelah selesai urusan lawatan rumah oleh akak jururawat, kami pulang ke rumah ibu saya di kampung.

Sejak itu, menjadi satu perkara biasa pula jika kami mendengar bunyi orang bertukang, mengemas perabot serta pinggan mangkuk, main guli terutamanya di bilik tetamu. Pada awalnya hanya pada waktu malam, namun lama kelamaan siang hari pun dia ada buat kerja sampai kami pun naik lali.

Kisah kedua

Masa ni kami dah dikurniakan 2 cahaya mata. Bunyi-bunyi dari bilik tetamu tu dah lali kami dengar. Bilik itu jadi tempat anak-anak kami bermain. Suatu hari, sedang mereka bermain, tiba-tiba kedua-duanya berlari keluar sambil menangis. Masa tu anak saya yang pertama sudah 5 tahun dan yang ke dua 3 tahun.

Saya berkejar dan bertanya kenapa, “Mama, ada nenek buruk marah saya main kat situ. Dia duduk kat tingkap tu lepas tu marah saya dengan Ati”, petah anak saya yang sulung bercerita sambil menangis. Aduh, seriau rasa hati, tengah hari buta pun dia boleh ganggu.

Saya terus ke rumah jiran, yang juga merupakan pengasuh anak saya dan menghubungi suami saya yang bekerja pada masa itu. Mujur jiran kami memahami sebab dia dah lebih dulu tinggal di sana dan kami menumpang di rumahnya hingga suami saya pulang.

Menurut jiran saya, kawasan rumah kami memang agak keras dan pernah menjadi lokasi pembuangan benda yang tidak dikehendaki. Dia pun sudah lali dengan gangguan bunyi namun setakat ini dia belum pernah ternampak apa-apa kelibat.

Kisah ketiga

Peristiwa ini berlaku 2 bulan selepas peristiwa ke dua. Memang rutin ibu saya untuk datang melawat dan bermalam di rumah kami setiap 2 – 3 bulan sekali. Setiap kali dia akan tinggal untuk seminggu dua bersama kami.

Satu hari dia beritahu saya yang dia cukup geram dengan bunyian bertukang dan berkemas tu, sampai dah naik hilang sabar. Saya berkongsi apa yang anak saya alami dan nampak di riak wajah ibu saya yang kesabaran dia dah menipis.

Keesokkannya, ibu saya beritahu yang dia memarahi benda tersebut sebab dia tak boleh tidur akibat bunyi bising tu. “Ibu marah benda tu, ibu cakap, kalau ko kacau lagi anak cucu aku, aku pastikan ko hancur” dan bunyi tu hilang selepas ibu saya marah.

Ibu saya tidak pernah menuntut/memiliki sebarang ilmu, tetapi mungkin memang dia seorang yang berhati kering tambahan pula arwah atuk saya yang memang semasa hayatnya banyak mengubat orang membuat ibu saya berani memarahi benda tu.

Selepas itu, tenang hidup kami sekeluarga. Tiada lagi bunyi-bunyi tersebut dan anak kami pun tidak lagi diganggu jika bermain di bilik tetamu tu.

Kami telah pun berpindah dari rumah tersebut dan menjualnya setelah tujuh tahun tinggal di sana. Dalam setahun lebih juga rumah tu bebas dari gangguan sebelum kami menjualnya.
Tapi sekarang, pemilik baru pula sekarang mengadu benda yang sama pernah kami alami. Kami cuma nasihat untuk dia carilah sesiapa yang boleh bantu dan jangan dilayan bunyi tersebut. Dengan izin Allah, kita lebih kuat dari benda tu dan dia tak boleh apa-apakan kita jika kita memohon perlindungan daripadaNya.

Maaf jika panjang dan tidak menyeramkan. Jika ada rezeki dan masa, saya kongsikan kisah-kisah dari ibu saya. Peristiwa yang dia pernah alami sendiri serta pengalaman yang dikongsi oleh arwah atuk saya dengannya.

Sekian..

Makcik Otomen
Bilik Tetamu
8.4 (84%) 5 votes

13 comments

  1. Bagus jugs marah benda tu, biar dia plk takut kita. Anjing pun mcm tu, kalau kena kejar, marah je anjing tu dengan suara yg lebih kuat dari dia. Saya buat mcm tu kt 3 ekor anjing yg kejar, sume berenti pastu lari ke tempat dia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.