Bisikan Malam di Felda Sunyi

Sedikit pengenalan, Nek Nah berasal dari Kedah dan berpindah ke Negeri Sembilan. Seperti sedia maklum, apabila berpindah dari negeri yang jauh, selalunya mereka akan ditempatkan di felda-felda. Sudah lama Nek Nah dan Tok Ayah aku duduk di felda itu bersama orang-orang yang semakin dimamah usia sekarang.

Nek Nah dan Tok Ayah seorang yang baik hati, ringan mulut dan tidak pernah sombong dengan sesiapa. Jadi, ada saja orang yang akan bertandang ke rumah mereka kerana tak lain tak bukan disebabkan oleh kopi Nek Nah la. Dia akan menjamu tetamu yang datang ke rumah walaupun sudah lewat petang.

Nak dijadikan cerita, rumah Nek Nah betul-betul di tepi simpang dan di sebelah kanan rumahnya ada seorang makcik dan keluarganya. Aku namakan makcik itu Makcik Timah dan di sebelah kiri pula ada sebuah keluarga yang berasal dari Kedah juga, aku namakan Pakcik Rosli dan Makcik Zah. Kebetulan, Makcik Timah dan Makcik Zah adalah adik-beradik.

Nek Nah tidak pernah ambil kisah… sehinggalah suatu hari dia jatuh sakit teruk. Waktu itu aku baru berumur 10 tahun. Nek Nah tak pernah berburuk sangka kepada sesiapa pun. Cuma, sejak dua beradik itu menetap di antara rumah Nek Nah, sakitnya semakin menjadi-jadi. Aku pula kerap mendengar bunyi seperti orang mencangkul di luar bilik air pada waktu malam.

Malam-malam Nek Nah tidak boleh tidur. Dia akan melilau berjalan dalam rumah sambil menangis perlahan. Sesekali dia mengurut lehernya seolah-olah ada sesuatu tersekat. Jika dipujuk, dia tetap begitu. Dan bila larut malam, keluar bunyi yang lebih menyeramkan “aaaaaa, aaaaa”. Aku yang tidur di depan TV akan segera terjaga bila dia lalu sambil mengeluarkan bunyi itu. Kadang-kadang mak dan ayah aku masih belum tidur, tapi mereka hanya memandang aku tanda jangan menegur.

Keadaan makin parah… siang hari Nek Nah normal seperti biasa, tapi bila malam, dia berubah seperti mayat hidup kaku, tidak bercakap, hanya solat pada waktu siang.

Pelbagai ikhtiar dibuat sehingga akhirnya Nek Nah dan Tok Ayah pulang ke Kedah. Di sana, mereka berubat dengan seorang wanita bernama Makcik Yah di kawasan berhampiran sempadan Thailand. Menurutnya, ada orang berdengki dan menghantar sesuatu dari Thailand yang sangat kuat kesannya. Mujur Makcik Yah separuh berdarah Thailand, jadi dia tahu cara memulangkannya.

Dengan izin Allah, Nek Nah sembuh. Dia kembali bertenaga, boleh memasak, solat, dan bergurau seperti dahulu. Tapi sebelum pulang, dia sempat berkata kepada Makcik Yah:

“Aku tak mahu membalas… cuma pulangkan kepada tuannya sahaja.”

Selepas itu, Makcik Timah meninggal dunia secara tiba-tiba. Sejak hari tersebut, Makcik Zah tidak lagi bertegur sapa dengan keluarga kami.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.